Tag: pecah amanah

  • Wanita pekerja kondominium songlap setengah juta ringgit

    Wanita pekerja kondominium songlap setengah juta ringgit

    SEORANG wanita yang bekerja dengan perbadanan pengurusan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur disyaki melarikan wang pengurusan lebih RM500,000.

    Memetik laporan FMT, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, polis sedang menyiasat kes tersebut selepas laporan dibuat oleh pengurusan kondominium terbabit.

    Menurut beliau, siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    Amihizam memberitahu, suspek wanita rakyat tempatan itu dikatakan menghilangkan diri bersama wang terbabit sejak September 2020.

    “Siasatan awal mendapati suspek telah mengeluarkan resit penyelenggaraan penduduk yang berbeza dengan jumlah kemasukan wang kutipan ke dalam akaun syarikat, sejak Julai 2016 hingga September 2020.

    “Namun begitu, tindakan siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan jumlah kerugian sebenar dan dokumen lengkap daripada pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Amihizam berkata, beberapa saksi kes sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata, maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

    Kelmarin, pengerusi badan pengurusan kondominium terbabit dilaporkan berkata, suspek berusia lingkungan 60-an hilang selepas memaklumkan perlu berjumpa doktor pada 25 September 2020.

    Laporan polis mengenai kehilangan wanita terbabit dibuat badan pengurusan lima hari kemudian di IPD Brickfields selepas wanita itu gagal dihubungi.

    Selain dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan dana pengurusan bernilai RM150,000, wanita terbabit juga dipercayai melarikan beberapa fail milik badan pengurusan ketika menghilangkan diri.

    Lebih mengejutkan pemeriksaan sebuah firma perakaunan forensik mendapati, nilai sebenar dana yang hilang ialah RM582,125.05 sepanjang 2017 hingga 2020.

  • Hakim tegur Syed Saddiq keluar kenyataan kes mahkamah dalam media sosial

    Hakim tegur Syed Saddiq keluar kenyataan kes mahkamah dalam media sosial

    HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, menasihatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya di media sosial.

    Memetik laporan BH, seperti yang dikatakan Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika prosiding sebutan kes tersebut hari ini, beliau memahami keadaan sukar dialami bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

    Walau bagaimanapun, menurut beliau, Syed Saddiq perlu membezakan kedudukannya di antara seseorang yang didakwa dan sebagai ahli politik.

    Sehubungan itu, Mohamed Zaini menasihatkan peguam bela, Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, untuk mengingatkan anak guamnya mengenai perkara itu dari masa ke semasa.

    Hakim memberikan nasihat itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu mahkamah, Syed Saddiq sebelum ini ada membuat hantaran di Facebook mengenai perjalanan kesnya di media sosial, seolah-olah ia adalah pembelaan awal dalam kes sedang dihadapi beliau.

    Wan Shaharuddin berkata, beliau hendak mengingatkan Syed Saddiq supaya lebih berhati-hati kerana apa-apa kenyataan yang dikeluarkan itu boleh digunakan terhadap beliau (di mahkamah).

    “Ini bukan satu permohonan gag order (perintah larangan), cuma nasihat daripada orang yang lebih matang daripada tertuduh,” katanya.

    Sementara itu, Gobind berkata, anak guamnya perlu diberi lebih fleksibiliti bagi menjelaskan kepada orang ramai yang hendak mengetahui mengenai kes yang dihadapinya di mahkamah.

    Bagaimanapun katanya, beliau mengambil maklum mengenai teguran hakim itu.

    Sementara itu, Syed Saddiq mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan pecah amanah dana parti Bersatu dan menyalahgunakan kuasa serta pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya.

    Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru, bagaimanapun mahkamah tinggi pada 25 November tahun lalu membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes itu (ke mahkamah tinggi).

    Kesemua kes itu juga akan didengar bersama yang ditetapkan selama 22 hari bermula 10 Jun ini.

    Mahkamah turut menetapkan pada 24 Mac ini bagi pengurusan kes.

    Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,

    Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad, milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada 5 Ogos tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

  • Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    SEORANG bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019.

    Bagi kesemua pertuduhan, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat, dengan nilai keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat kepada murid asnaf di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, dekat sini di mana tertuduh merupakan guru besar sekolah itu pada masa tersebut.

    Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor didakwa menyalahgunakan wang sumbangan itu, masing-masing RM5,000; RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaannya sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolahnya, bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

    Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank tempatan di Saujana Utama, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini pada 17 dan 19 Jun 2019.

    Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusoff.

    Terdahulu, Nur Asikin yang mewakili Mohamed Nor Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah daripada RM80,000 yang dicadang pihak pendakwaan, atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan enam anak dengan dua daripada mereka masih belajar serta tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga.

    Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk kesemua kesalahan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Nov depan.

    Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak kebal daripada didakwa hanya kerana mendedahkan maklumat transaksi berkaitan yayasan kebajikan, Yayasan Akalbudi (YAB) yang dijalankan keluarganya.

    Ketua pendakwaan Datuk Raja Rozela Raja Toran  berkata tuntutan tertuduh untuk kekebalan tidak boleh didengar oleh mahkamah kerana ia tidak mempunyai  kuasa untuk mengetepikan pertuduhan berdasarkan kekebalan.

    Beliau berhujah pihak pembelaan bergantung kepada Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menuntut kekebalan tetapi seksyen itu tidak memberikan kekebalan hanya pengecualian daripada didakwa dengan pertimbangan pendakwa raya kepada orang tertentu yang membantu siasatan.  

    “Pihak pendakwa raya mengambil keputusan bahawa tertuduh tidak berhak untuk diberi kekebalan. Bahkan beliau tidak mempunyai hak untuk menuntut kekebalan di bawah Seksyen 30 (7).

    Seksyen 30 (7) apabila dibaca berdasarkan konteks menyeluruh perundangan, ia digubal untuk menggalakkan saksi-saksi untuk bekerjasama mendedahkan maklumat dan dokumen bagi membantu SPRM dalam siasatannya.

    “Seksyen ini terpakai kepada mereka yang mendedahkan maklumat atau dokumen dan maklumat atau dokumen itu sebaliknya mendedahkan individu berkenaan kepada penjenayah atau tindakan atau tuntutan sivil,” katanya dalam hujahan untuk mematahkan hujahan pembelaan mengenai kekebalan tertuduh di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Sebelum ini, ketua pembelaan Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018 dan dengan membuat pendedahan itu menerusi dua kenyataan, Presiden UMNO itu sepatutnya mendapat kekebalan daripada pendakwaan di bawah Seksyen 30 (7).  

    Raja Rozela berkata pihak pembelaan tersilap anggap bahawa kes pendakwaan dibicarakan berdasarkan kedua-dua kenyataan itu.

    “Sebaliknya, pihak pendakwaan bersandarkan kepada bukti daripada 99 saksi, kebanyakannya orang awam yang kenyataan mereka dirakamkan oleh SPRM.  Tidak pernah pendakwa raya atau SPRM melakukan sesuatu bagi menggalakkan tertuduh mempercayai bahawa beliau akan diberikan kekebalan. 

    Seksyen 30(7) tidak mengandungi perkataan kekebalan. Jika Parlimen merancang untuk menyediakan kekebalan di bawah Seksyen 30 (7), ia akan menyatakannya dengan jelas,” kata beliau. 

    Timbalan Pendakawa Raya itu kemudian berhujah bahawa SPRM mempunyai kuasa di bawah Seksyen 30(7) untuk memanggil siapa sahaja untuk memberikan maklumat termasuk mereka yang masih belum didakwa di mahkamah sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

    “Jika SPRM merekodkan kenyataan daripada saksi dan semua mereka dilindungi, setiap orang adalah kebal, maka apa tujuan siasatan dibuat? Di mana letaknya SPRM ? Adalah tidak masuk akal untuk menyatakan Ahmad Zahid tidak perlu didakwa hanya kerana beliau telah memberikan makluamt kepada SPRM,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berhadapan 47 pertuduhan – 12 daripadanya adalah pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 mengenai pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit milik YAB. 

    Pihak pendakwaan akan menyambung penghujahannya pada 4 Okt ini.- BERNAMA