Tag: pecah amanah

  • Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    SEORANG bekas pengurus syarikat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan membabitkan jenayah komputer dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM220,000 enam tahun lepas.

    Hakim Datuk M M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu terhadap Muhamad Shahrul Md Sabri, 41, yang ketika kejadian merupakan Pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB), selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    “Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim itu.

    Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB, menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain yang menyebabkan kerugian kepada MBSB.

    Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

    Dia juga menghadapi pertuduhan membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data-datanya melibatkan wang sama, mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Muhamad Shahrul turut didakwa melakukan pecah amanah wang sama (RM220,000) mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya antara 10 Ogos dan 12 September 2017.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

    Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 2019.

  • Pembantu ADUN Bersatu disiasat kerana pecah amanah

    Pembantu ADUN Bersatu disiasat kerana pecah amanah

    POLIS menahan seorang pembantu kepada ADUN Bersatu Selangor bagi membantu siasatan kes pecah amanah jenayah berjumlah RM533,440.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan bersama dua yang lain termasuk isterinya pada 10 April lalu.

    Difahamkan ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

    “Polis sedang menyelesaikan siasatan dan akan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi,” kata sumber itu kepada FMT, sambil menambah ADUN itu bukan suspek dalam kes berkenaan.

    Sumber itu berkata, pada Julai 2022, pembantu ADUN itu menjemput mangsa, seorang pengarah syarikat, untuk membida kontrak RM1.7 juta bagi menganjurkan program Kementerian Belia dan Sukan di Perak.

    Mangsa diminta membayar komisen 3% dan membida projek itu melalui NGO yang dikaitkan dengan pembantu berkenaan.

    Bagaimanapun, selepas menerima bayaran, mangsa menyedari dia mengalami kekurangan wang sebanyak RM533,440, kata sumber itu.

    Mangsa dikatakan mendapati jumlah itu dipindahkan oleh NGO itu kepada sebuah syarikat milik isteri suspek.

    Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.

    FMT telah menghubungi ADUN berkenaan bagi mendapatkan komen.

  • 3 ditahan disyaki pecah amanah lebih setengah juta ringgit jualan vape

    3 ditahan disyaki pecah amanah lebih setengah juta ringgit jualan vape

    TIGA lelaki berusia antara 22 hingga 25 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang jualan sebuah syarikat menjual vape bernilai RM505,674.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini berkata, mereka ditahan secara berasingan di sekitar Bayan Lepas dan George Town semalam.

    Jelasnya, tiga suspek terbabit ditahan kerana melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan produk syarikat iaitu sebanyak 28,093 botol vape yang bernilai RM505,674.

    ”Kegiatan pecah amanah ini dilakukan menerusi transaksi akaun bank persendirian,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang giat dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, tambah kenyataan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berumur 30 tahun di Jelutong dan Bayan Lepas semalam kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

    Jelasnya, berdasarkan siasatan mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam urusan tawaran kerja sambilan melalui laman jualan Zalora dan urusan jual beli pakaian yang diiklankan melalui Facebook.

    ”Siasatan polis mendapati suspek-suspek itu terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan tahun lalu dan tahun ini. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM7,234 sehingga RM61,946.

    “Mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, polisnmenasihatkan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau boleh memuat turun di Aplikasi Google Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Pengusaha kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

    Pengusaha kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

    SEORANG pengusaha kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan mesin dobi dan wang tunai berjumlah lebih RM3.2 juta, empat tahun lepas.

    Terrence Conrad Fernandez, 43, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tidak menghantar sejumlah mesin dobi bernilai lebih RM3.2 juta, milik sebuah syarikat ke sebuah premis yang disewa di Pulau Pinang seperti diamanahkan.

    Bapa kepada dua anak itu sebaliknya meletakkan kesemua mesin dobi tersebut di sebuah premis yang disewa syarikatnya di Kuantan, Pahang.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Krubong, Melaka pada Januari 2019.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak membayar wang sewaan milik sebuah syarikat sebanyak RM24,000 kepada premis yang disewa di Pulau Pinang bagi tujuan meletakkan sejumlah mesin dobi berkenaan, sebaliknya memasukkan duit sewaan itu ke dalam akaun miliknya untuk membayar sewa premis di Kuantan.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit di Blok A, Kelana Centrepoint,  Petaling Jaya, Selangor pada 31 Jan  2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Abuar Sharuddin manakala tertuduh diwakili peguam James S. Thanjong Tuan.

    Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan Terrence diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pecah amanah RM1.3 juta: Pegawai akaun ditahan, warga Kemboja diburu

    Pecah amanah RM1.3 juta: Pegawai akaun ditahan, warga Kemboja diburu

    SEORANG pegawai akaun sebuah syarikat agensi pelancongan ditahan kelmarin, manakala seorang lelaki warganegara Kemboja diburu selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah membabitkan jumlah RM1.3 juta.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menerusi satu kenyataan, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada pukul 6.45 petang di Balai Polis Kota Bharu.

    Beliau berkata, lelaki itu ditahan susulan laporan oleh pengarah syarikat pada pukul 4.58 petang kelmarin, berkaitan kes pecah amanah membabitkan pekerja yang mengambil wang syarikat.

    “Pengarah syarikat berkenaan membuat semakan akaun dan mendapati keraguan transaksi wang keluar ke akaun yang tidak diketahui.

    “Pengadu mengesan suspek iaitu pekerja yang bekerja sebagai pegawai akaun membuat transaksi perbankan dalam talian secara tidak sah iaitu tanpa arahan dan bukan untuk urusan syarikat.

    “Suspek mengaku mengambil wang itu sejak Julai tahun lalu hingga Januari tahun ini dan kesemua transaksi dipindahkan ke dua akaun milik rakannya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, suspek mengaku membuat transaksi pindahan wang milik syarikat berjumlah RM1.3 juta atas arahan rakannya yang juga warganegara Kemboja yang berada di Johor.

    Beliau berkata, susulan itu, polis menahan lelaki itu dan suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 29 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, manakala lelaki warganegara Kemboja, Rafur Sufi sedang dikesan.

    “Orang ramai yang mengenali atau mengetahui dan mempunyai maklumat berkaitan, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Norfazila Baharom di talian 017-9268001 Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan atau balai polis berhampiran,” katanya.

  • Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    PERBICARAAN kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran itu hari ini dan esok serta 9 dan 10 Nov selepas peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu.

    Hakim menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.

    Terdahulu, Hisyam berkata pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Beliau berkata rayuan itu dijadual didengar pada 14 Nov di Mahkamah Rayuan.

    “Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi-saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.

    “Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 Nov,” kata peguam itu.

    Beliau juga berkata seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.

    Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB. – BERNAMA

  • Pengurus akaun mengaku tidak salah pecah amanah libatkan lebih RM2.5 juta

    Pengurus akaun mengaku tidak salah pecah amanah libatkan lebih RM2.5 juta

    SEORANG pengurus akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 114 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai dan cek bernilai lebih RM2.5 juta, antara Jun 2017 hingga November 2019.

    Mohd Reazal Mohd Yassin, 48, didakwa melakukan perbuatan itu ketika bekerja di syarikat pembuatan perabot di Kundang Ulu, Grisek, Tangkak.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda.

    Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun Mohd Reazal yang tidak diwakili peguam, merayu agar jaminan dikurangkan memandang dia yang kini tidak bekerja, tidak sihat dan menanggung isteri serta ibu mentua yang sakit.

    Hakim Irwan Suainbon membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM1,000 setiap pertuduhan dan menetapkan 5 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Bicara kes pecah amanah, pengubahan wang haram Syed Saddiq mula esok

    Bicara kes pecah amanah, pengubahan wang haram Syed Saddiq mula esok

    PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Kes itu akan didengar oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada 9 pagi.

    “Bicara akan berjalan esok. Enam saksi pendakwaan dijangka beri keterangan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya akan memanggil 40 saksi pada perbicaraan kes itu.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

    Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 Nov tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

    Pada 22 Julai 2021, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

    Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – BERNAMA

  • Syed Saddiq berdepan pertuduhan pindaan kes pecah amanah RM1 juta

    Syed Saddiq berdepan pertuduhan pindaan kes pecah amanah RM1 juta

    PIHAK pendakwaan hari ini mengemukakan dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan wang RM120,000 milik Armada terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan pada prosiding pengurusan kes hari ini dan Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan tersebut.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Rafiq Hakim Razali yang mana lelaki itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan dana itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 April 2018 hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Sebelum ini, beliau juga didakwa atas dua pertuduhan iaitu melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tiada perubahan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak membantah perkara itu.

    Hakim Mohamed Zaini mengekalkan tarikh perbicaraan tersebut.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20-22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4-8 Julai, 13-15 Julai dan 18-22 Julai untuk perbicaraan kes. – BERNAMA

  • Bekas pengarah syarikat didakwa pecah amanah lebih RM500,000

    Bekas pengarah syarikat didakwa pecah amanah lebih RM500,000

    SEORANG bekas pengarah sebuah syarikat logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 65 pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian RM584,955.92, antara 2019 hingga 2020.

    Tertuduh, Yap Ping Eng, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

    Mengikut kertas pertuduhan, ibu tunggal kepada tiga anak itu didakwa sebagai pengarah syarikat CM Express Sdn Bhd dan Cell City Delivery (M) Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah keseluruhan RM584,955.92.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank dekat Jalan Rasah, Seremban antara 5 Julai 2019 hingga 2 Dis 2020, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam, A Partheeban.

    Terdahulu Partheeban memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan jaminan paling minimum atas alasan tertuduh tidak bekerja serta perlu menjaga tiga anak berusia 11, 9 dan 7 tahun serta ibunya.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tertuduh perlu melaporkan diri ke Balai Polis Seremban 2 pada setiap bulan manakala sebutan semula kes itu pada 25 April ini. – BERNAMA