Tag: PDRM

  • Peniaga wanita rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket Macau Scam

    Peniaga wanita rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket Macau Scam

    SEORANG peniaga kerugian RM1.02 juta selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkannya mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat miliknya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan kejadian daripada mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun, semalam.

    “Mangsa menerima panggilan daripada pihak sindiket itu pada pertengahan Mei lepas. Mangsa yang terpedaya telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.

    “Mangsa turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada pihak sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa telah membuat semakan akaun bank miliknya semalam dan mendapati sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM122,300 telah dilakukan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak tidak dikenali.

    “Mangsa syak dirinya telah ditipu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Polis tahan lelaki hina agama di media sosial

    Polis tahan lelaki hina agama di media sosial

    POLIS menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial, di sebuah rumah di Puchong kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan mengenainya sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Ibupejabat Polis Bukit Aman, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW, Allah SWT serta agama Islam, dan turut mencabar pertubuhan badan bukan kerajaan yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.

    Turut tular hari ini adalah beberapa klip video yang memaparkan lelaki terbabit dipukul di hadapan rumahnya oleh beberapa individu yang tidak dikenali, dipercayai berpunca daripada cabarannya itu.

    Anbalagan yang turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan di luar batasan undang-undang berkata siasatan juga sedang dijalankan terhadap individu yang dilihat memukul lelaki itu. – BERNAMA

  • Kereta jatuh longkang besar, 2 remaja maut

    Kereta jatuh longkang besar, 2 remaja maut

    DUA remaja lelaki maut manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang besar dipenuhi air di KM14.3 Lebuhraya Sultan Iskandar di Johor Bahru, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid berkata, kemalangan pada 2.05 pagi itu mengakibatkan kedua-duanya yang berusia 18 tahun dan merupakan pemandu kereta serta penumpang hadapan, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, dua penumpang belakang iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang cedera di paha kanan dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera di kepala dan badan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru telah melanggar pembahagi jalan selepas melalui selekoh lalu terbabas ke dalam longkang dipenuhi air yang menyebabkan kereta tersebut tenggelam.

    “Kedua-dua mangsa yang maut dikeluarkan oleh pihak bomba manakala dua penumpang belakang berjaya mengeluarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, dua jentera dan tiga ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dengan 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    “Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, namun dua daripadanya berjaya keluar daripada kenderaan sebelum bomba tiba,” katanya sambil menambah operasi berkenaan ditamatkan pada 3.08 pagi. – BERNAMA

  • Penyeludup diesel himpit anggota polis direman enam hari

    Penyeludup diesel himpit anggota polis direman enam hari

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMANDU kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai penyeludup minyak diesel direman enam hari selepas bertindak menghimpit seorang anggota polis sehingga parah ketika melarikan diri daripada pemeriksaan di Kulim, semalam.

    Lelaki berusia 45 tahun yang berasal dari Bedong, Sungai Petani direman sehingga Jumaat ini selepas perintah reman dikeluarkan Hakim Mirza Mohamad di Mahkamah Seksyen Kulim hari ini.

    Reman tersebut dipohon bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama.

    Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi semalam, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berpangkat Koperal dari Balai Polis Hi-Tech, parah di kepala selepas terbabas dan terjatuh dalam kejadian di Jalan Kulim-Serdang.

    Kejadian berlaku ketika anggota terbabit bersama rakan setugas cuba mengejar kenderaan jenis Nissan Frontier dipandu suspek.

    Lelaki itu berjaya ditangkap di Butterworth, Pulau Pinang beberapa jam kemudian sebelum pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati ia telah diubah suai dengan meletakkan tangki minyak tambahan di bahagian belakang.

    Polis percayai suspek terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel selain hasil ujian air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis Tetra Hydro Cannabinol (THC).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, anggota berusia 31 tahun itu baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

  • Op Maksiat: 3 lelaki, 4 wanita asing dicekup

    Op Maksiat: 3 lelaki, 4 wanita asing dicekup

    DUA lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine antara tujuh individu ditahan menerusi Op Bersepadu Khas Maksiat di empat pusat hiburan di sekitar Melaka Raya di Melaka tengah malam tadi.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua rakan berusia 25 dan 50 tahun itu ditahan ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan dalam operasi bermula 12.30 tengah malam.

    Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penjaga sebuah premis hiburan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji empat wanita warga asing tanpa permit kerja sah.

    “Empat wanita warga asing berusia 31 hingga 38 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial serta permit kerja dengan bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan terlibat dan mereka akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zainol berkata, kesemua serbuan dijalankan secara serentak dan keseluruhannya, seramai 312 individu terdiri daripada 195 lelaki tempatan, 112 wanita tempatan dan lima wanita warga asing berusia 22 hingga 45 tahun diperiksa.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan 56 serbuan melibatkan premis hiburan, rumah urut dan hotel bajet di sekitar negeri itu bagi mengesan aktiviti maksiat dan individu dikehendaki, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Katanya, menerusi siri serbuan berkenaan, seramai 195 individu terdiri daripada 49 warga tempatan dan 146 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

    Zainol berkata, pihaknya juga melaksanakan 45 pemeriksaan ke atas pusat hiburan manakala rumah urut dan hotel bajet masing-masing 25 pemeriksaan sejak Januari hingga Jun tahun ini.

    “Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan, sebanyak 24 saman dikeluarkan iaitu enam saman ke atas pemilik premis kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan, premis beroperasi lebih masa (17) dan premis menjual minuman keras tanpa lesen (satu).

    “Tindakan serbuan, tangkapan dan rampasan yang giat dijalankan sepanjang enam bulan pertama tahun ini sedikit sebanyak memberi impak besar kepada individu dan sindiket maksiat untuk bergerak aktif di Melaka.

    “Polis memandang serius aktiviti ini dan fokus mengambil tindakan berterusan dalam memastikan aktiviti berkenaan dapat dibendung,” katanya. – BERNAMA

  • Tawaran saman PDRM, JPJ melalui WhatsApp adalah palsu

    Tawaran saman PDRM, JPJ melalui WhatsApp adalah palsu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan iklan promosi tawaran saman hingga 20 Julai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, iklan itu yang mempromosikan tawaran 50 peratus diskaun saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memaparkan nombor individu yang boleh dihubungi bagi mendapatkan diskaun tersebut.

    “Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

    “Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita terutama mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    SEBUAH treler 30 tan yang sedang membawa muatan besi guna semula dikatakan berhenti secara tiba-tiba sebelum menggelongsor secara mengundur dan merempuh sebuah rumah dalam satu kemalangan di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan, Seremban malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam apabila treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kerosakan enjin, menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

    Beliau berkata, treler yang dalam perjalanan dari Melaka menuju Sungai Pelek, Sepang itu kemudiannya menggelongsor, sebelum bahagian belakangnya tergelincir ke kiri bahu jalan dan merempuh sebuah rumah.

    Nanda dalam kenyataan hari ini berkata, tiada kecederaan dilaporkan, dan ujian saringan awal mendapati pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine. – BERNAMA

  • Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    KANAK-KANAK perempuan berusia 11 tahun yang ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini, Khamis lepas didapati bukan mangsa penderaan.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai kecederaan lampau pada badannya.

    “Tiada tanda-tanda mangsa mengalami penderaan kerana tidak mempunyai kesan kecederaan lampau di tubuh badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat dijerut di lehernya.

    Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada 4.55 petang Khamis sebelum menahan ibu mangsa berusia 34 tahun bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket kerja e-Dagang

    Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket kerja e-Dagang

    SEORANG pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM18,193.98 selepas ditipu sindiket penawaran kerja menerusi satu platform e-Dagang yang menjanjikan pulangan komisen dalam masa singkat.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pelajar lelaki berusia 22 tahun itu, semalam.

    Beliau berkata, ia bermula apabila pelajar berkenaan tertarik dengan iklan pekerjaan dalam talian di laman sosial yang menggunakan platfrom e-Dagang dan mula berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk berbincang mengenai pekerjaan itu.

    “Pelajar itu diyakinkan yang dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan tertentu dan modalnya nanti akan dibayar serta-merta berserta 10 peratus komisen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata, tertarik dengan tawaran berkenaan, lelaki itu telah membuat pindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang berbeza sebagaimana arahan pihak sindiket itu.

    Bagaimanapun beliau berkata, pelajar itu merasakan dirinya telah ditipu selepas pihak berkenaan mengarahkannya membuat bayaran modal tambahan, sedangkan bayaran modal dan komisen terdahulu belum diterima.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kamarul Zaman berkata, seorang warga emas tempatan mengalami kerugian RM529,300 selepas terpedaya dengan penipuan ‘Macau Scam’, apabila dihubungi seorang lelaki kononnya anggota polis yang mendakwa dia terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

    Menurut beliau, ia bermula apabila bekas pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 85 tahun itu dihubungi lelaki berkenaan pada pertengahan Mei lepas yang memaklumkan bahawa akaun banknya akan disiasat oleh pihak berkuasa.

    “Warga emas itu mengikut arahan lelaki berkenaan dengan memindahkan kesemua wangnya ke dalam satu akaun bank miliknya yang lain dan seterusnya menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada lelaki itu.

    “Rabu lepas, warga emas itu telah membuat semakan terhadap akaunnya dan mendapati wang telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan dibayar kepada beberapa pihak yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah setelah sedar dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis Khamis lepas. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan sehari selepas curi barang kemas

    Lelaki ditahan sehari selepas curi barang kemas

    POLIS menahan seorang lelaki tidak sampai 24 jam selepas dia disyaki melarikan barang kemas bermilai RM35,000 dari sebuah kedai emas di Teluk Intan dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan perumahan di Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber di Ipoh pada pukul 5 petang semalam.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang Khamis lepas, lelaki itu dikatakan memeriksa beberapa utas rantai tangan kononnya untuk dibeli, namun sebaliknya suspek terus melarikan barang kemas itu dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai berkenaan.

    Katanya, polis turut merampas barang kemas iaitu dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher yang dianggarkan bernilai RM35,000 daripada suspek yang didapati positi dadah jenis Methamphetamine itu.

    Ahmad Adnan berkata, suspek yang memiliki empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA