Tag: PDRM

  • Belasah pemandu e-hailing sampai mati, 6 lelaki ditahan

    Belasah pemandu e-hailing sampai mati, 6 lelaki ditahan

    MALANG tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 28 tahun yang diserang sekumpulan lelaki warga tempatan selepas berhibur bersama teman wanitanya, di sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Dis lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, seramai enam individu memukul mangsa yang merupakan pemandu e-hailing sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘Blunt Force Trauma to The Head’ pada 30 Dis lalu, selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, sebelum kejadian itu berlaku, telah terjadi isu salah faham membabitkan teman wanita mangsa bersama kesemua suspek yang terlibat.

    “Menurut teman wanita mangsa yang merupakan saksi kejadian terbabit, dia bersama mangsa berada di dalam kereta di tempat letak kereta berkenaan, dan mereka melihat kesemua suspek dari dalam pusat hiburan menghampiri dan bertindak membuka pintu kereta milik mangsa.

    “Kesemua suspek menarik keluar mangsa dari kenderaan dan memukul mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan yang parah, dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

    Eng Lai berkata, pihaknya bersama bahagian D9 ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, berjaya menahan kesemua individu terbabit di dalam beberapa siri serbuan di lokasi yang berbeza.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Jan depan.

    lelaki dadah sentul
    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, lima wanita antara 15 warga tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual dan memproses pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM300,000 di sekitar ibu kota, Selasa lepas.

    Eng Lai berkata, suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Jalan Ipoh, Jinjang, Jalan Kuching dan Cheras Awana.

    Beliau berkata antara lain, polis merampas lebih 5 kilogram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kanabis seberat 745.69 gram (g), pil eramin 5 (173.64 g), pil ekstasi (30.42 g), ketamin (0.99 g) dan syabu (0.94 g).

    “Turut ditemukan makmal mini pemprosesan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar kawasan Jalan Ipoh.

    “Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lapan daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol dan Ketamin serta tiga lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya

    Eng Lai berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari hingga 11 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat sebagai sumber bekalan,” katanya. – BERNAMA

  • Tular: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dirempuh kereta

    Tular: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dirempuh kereta

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di Johor Bahru, petang semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supt Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.

    Menurut beliau, ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal bersama isteri bersama dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

    “Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jit Huey berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.

    Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.

    Akibat dari rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.

    Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut. – BERNAMA

  • Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali N. Ganesparan kerana gagal hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berkenaan dikehendaki bersabit waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pada 20 Dis lepas, berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 233(1(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun itu,(dinasihatkan) supaya menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat Insp Shahrir Mohamad 019-5414014,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Mayat wanita reput, busuk dalam tasik di Putrajaya

    Mayat wanita reput, busuk dalam tasik di Putrajaya

    MAYAT wanita yang sudah reput dan busuk ditemukan di dalam sebuah tasik berhampiran Sky Ride Presint 2 di Putrajayasemalam.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang menjumpai mayat itu kira-kira 6.55 petang.

    “Pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati keadaan mayat telah kembung, reput, kulit terkupas dan berbau busuk, bahagian kemaluan si mati didapati reput dan terurai daripada badan manakala rambut juga telah tertanggal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, mayat juga ditemukan dalam keadaan telentang, berpakaian lengkap dan dipercayai berada di dalam air lebih kurang dua ke tiga hari.

    “Pakaian mangsa ialah blazer berwarna hitam, kemeja-T berwarna biru, skirt mini jean berwarna hitam dan tali pinggang pada skirt berlogo Versace, mangsa turut memakai tiga bentuk cincin dan gelang tangan,” katanya.

    A. Asmadi berkata, ketinggian wanita itu kira-kira 160 sentimeter namun taraf kewarganegaraannya dan umur masih belum dapat dipastikan dan memohon orang ramai atau waris yang kehilangan ahli keluarga atau saksi kejadian tampil membantu siasatan.

    Beliau berkata, mayat wanita itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan awal sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat dan pengesanan identiti.

    Katanya, orang awam terutama ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian serta mangsa diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerusi talian 03-88862145 atau pegawai penyiasat (IO) Insp Hafiza 019-8926572. – BERNAMA

  • Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    SERAMAI 2,933 individu ditahan kerana disyaki terlibat pelbagai kes judi di ibu kota sepanjang tahun 2021, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya telah melakukan sebanyak 1,528 serbuan serta merampas wang tunai RM1.12 juta, dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian.

    “Jumlah berkenaan meningkat berbanding 779 serbuan, 2,051 individu ditahan dan wang tunai RM637,563 dirampas pada tahun 2020.

    “Pada tahun lepas (2021) juga seramai 20 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala sebanyak 1,528 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu 1,142 kes telah berjaya dituduh di mahkamah berbanding 581 kes pada 2020 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Jalil berkata, pihaknya memandang berat kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan kesungguhan pihaknya membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

    “Polis akan terus melipatgandakan usaha bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad, jabatan agama Islam negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mengekang kegiatan ini,” katanya. – BERNAMA

  • Ops Ambang 2022: Polis rampas 350 kg ketum, keluar 299 kompaun

    Ops Ambang 2022: Polis rampas 350 kg ketum, keluar 299 kompaun

    POLIS menahan dua lelaki dan merampas daun ketum seberat 350 kilogram (kg) serta pelbagai jenis dadah seberat 325 gram (g) yang kesemuanya bernilai RM28,621 dalam tiga serbuan di sekitar ibu kota malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, polis menahan seorang suspek selepas menemukan beberapa jenis dadah antaranya serbuk MDMA seberat 169g, methamphetamine (27.5g), serbuk ketamin (18.31g), pil erimin 5 (2.85g) dan pil ecstacy (37.87g) di dalam pangsapuri berkenaan.

    Beliau berkata, dalam serbuan kedua di kawasan berhampiran Pasar Sri Sentosa Jalan Seri Sentosa pula polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 45g, methamphetamine (10g), ganja (17g) dan menahan seorang lagi suspek.

    “Di lokasi ketiga serbuan di Persiaran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail polis berjaya menemukan daun ketum seberat 350 kg dan ubat batuk sebanyak 8,230 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu Amihizam berkata, polis mengeluarkan 299 kompaun dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah ‘Ops Ambang 2022’ di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Solaris dan di sekitar Bandar Baru Sri Petaling, bagi kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 637 individu dan 33 buah premis perniagaan di kawasan terbabit dalam operari itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata 12 orang dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar SOP di sekitar kawasan Bukit Bintang ketika ambang tahun baharu 2022 semalam kerana tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan oleh polis supaya tidak berhenti dan berkumpul di kawasan terbabit.

    “Walaupun dalam keadaan hujan renyai ketika waktu puncak ambang tahun baru 2022 pihak kami menganggarkan seramai 700 hingga 1,000 orang mula hadir sekitar kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota seperti di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan KLCC mendapati kawasan itu yang menjadi tumpuan ketika menyambut ambang tahun baharu dipenuhi pengunjung dari pelbagai bangsa.

    Pihak polis turut kelihatan mengawal keselamatan di kawasan-kawasan berkenaan. – BERNAMA

  • 8.6 juta saman selesai sepanjang tempoh tawaran diskaun

    8.6 juta saman selesai sepanjang tempoh tawaran diskaun

    SEBANYAK 8.6 juta saman trafik telah diselesaikan sepanjang tempoh pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis hingga semalam.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.

    “Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Banjir di Kampung Jongok Batu, di Dungun hari ini.

    Ditanya sama ada tempoh tawaran diskaun tersebut akan dilanjutkan, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikan memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.

    Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua agensi berkaitan dalam pengendalian situasi banjir di seluruh negara dan kesemuanya mengikuti Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20), termasuk di peringkat negeri.

    “Berdasarkan arahan ini semua agensi akan terlibat. Maknanya semua agensi terlibat melalui konsep ‘gotong-royong’. Di peringkat kontinjen pun telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang ketua polis negeri telah memanggil semua agensi berkaitan untuk berbincang dan memperincikan peranan mereka.

    “Setakat ini, saya berpuas hati dan maklum balas yang saya terima daripada ketua-ketua polis negeri didapati persiapan dan persediaan telah dibuat. Kita sama-sama berdoa supaya apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 mangsa korban banjir dicatatkan setakat hari ini manakala dua lagi mangsa iaitu di Telemong dan Bentong, Pahang masih hilang sejak bencana itu melanda di beberapa negeri bulan lepas. – BERNAMA

  • Polis utamakan konvoi PM berbanding ambulans elak kemalangan

    Polis utamakan konvoi PM berbanding ambulans elak kemalangan

    KONVOI Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi keutamaan oleh polis di laluan utama di Hulu Langat, semalam berbanding ambulans di persimpangan jalan bagi mencegah risiko kemalangan.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, tindakan itu diambil mengikut Kaedah Lalu Lintas No 9 LN 166/959 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan yang membawa pesakit.

    Walau bagaimanapun, jelansnya, petugas berkenaan membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kenderaan terbabit dalam tempoh singkat berikutan pendahulu konvoi sudah hampir persimpangan itu.

    “Kita terkesan dengan satu video tersebar di media sosial memaparkan kenderaan pacuan empat roda dan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi diiringi polis trafik.

    “Kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi semalam, ketika rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan bagi melihat kerja pembersihan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding ke Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 diiringi polis trafik.

    “Menerusi video itu, jika anggota trafik di persimpangan jalan memberi keutamaan kepada dua kenderaan berkenaan yang hendak keluar ke jalan utama, ia tindakan yang akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azman menambah, sejurus konvoi melepasi persimpangan itu dalam masa singkat, anggota trafik segera memberi keutamaan kepada dua kenderaan berkenaan setelah mendapati tidak risiko kemalangan.

    “Polis sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans serta bomba,” katanya.

  • Banjir: 47 mangsa maut, 5 lagi masih hilang

    Banjir: 47 mangsa maut, 5 lagi masih hilang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 47 orang menjadi mangsa korban banjir seluruh negara sehingga kini dan lima lagi masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.

    “Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita dan di Pahang melibatkan 13 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. – BERNAMA

  • Tahanan serang pegawai pendaftar Mahkamah JB

    Tahanan serang pegawai pendaftar Mahkamah JB

    SEORANG pegawai pendaftar Mahkamah Johor Bahru berdepan detik cemas apabila diserang seorang tahanan di mahkamah berkenaan hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Lim Jit Huey berkata kejadian berlaku pada 11.20 pagi tadi ketika proses permohonan reman sedang berlangsung di dalam mahkamah itu.

    “Seorang tahanan lelaki secara tiba-tiba menyerang pegawai wanita itu namun keadaan dapat dikawal oleh anggota polis yang bertugas. Pegawai tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

    Lim berkata kes itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA