TIGA kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu masing-masing Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau dikenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga kawasan itu dikenal pasti berdasarkan insiden-insiden yang berlaku ketika PRU-14.
Pada PRU-14 lalu jelas beliau, terdapat insiden yang mana pihak-pihak tertentu cuba menahan kenderaan polis dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) di kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, kita berharap insiden seumpama itu tidak berlaku pada PRU-15 akan datang.
”Buat masa ini berdasarkan risikan kita juga, tidak ada maklumat yang menyatakan tempat-tempat ini akan berlaku situasi seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, menjelang PRU-15 juga polis Pulau Pinang telah membahagikan penugasan pilihan raya kepada dua skop termasuk melibatkan penugasan yang dipohon oleh SPR.
Selain itu jelas beliau, polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat terjamin bermula daripada tempoh penamaan calon hingga sehinggalah ketika keputusan PRU-15 diumumkan.
Mengulas lanjut ujarnya, seramai 4,514 anggota dan pegawai polis iaitu 73.51 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota kontinjen PDRM Pulau Pinang turut ditugaskan sepanjang PRU-15.
”PDRM Pulau Pinang di peringkat daerah dan kontinjen juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan perincian penugasan dengan pihak SPR.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan semua calon atau wakil calon PRU-15 bagi menjelaskan berhubung peraturan serta undang-undang pilihan raya yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Dalam masa ujar beliau, polis Pulau Pinang turut memohon bantuan Bukit Aman untuk memaklumkan sekiranya terdapat laman-laman web yang menyebarkan maklumat palsu atau melakukan provokasi.
”Kepada penyokong parti saya menyeru supaya berkempen dengan matang serta mengawal emosi dan mengelak daripada melakukan provokasi kepada mana-mana pihak,” katanya.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kurang daripada 100 kawasan berstatus ‘hotspot’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penugasan pegawai dan anggota telah dibuat untuk ditempatkan di kesemua kawasan tersebut.
“…melalui risikan daripada polis daerah, kita tahu beberapa kawasan agak hangat dari segi kempen, sentimen emosi dan seumpamanya. Kita sudah kenal pasti dan membuat penugasan sewajarnya untuk berusaha meredakan suhu apabila kempen tiba kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA di sini hari ini.
Katanya seorang anggota polis akan ditempatkan di setiap saluran mengundi yang melibatkan lebih 38,000 saluran, selain anggota dan pegawai untuk tugasan kawalan rondaan.
“Kesemua mereka akan bertugas bermula hari penamaan calon, masa berkempen…bagi memastikan tiada unsur mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.
Acryl Sani turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan kempen pilihan raya supaya berhemah dan tertib, mengikut peraturan yang ditetapkan.
Sebelum ini, Acryl Sani dilaporkan berkata seramai 94,411 daripada 120,557 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan bagi menghadapi PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – BERNAMA
KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin dalam tempoh 48 jam, memperlihatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes penculikan berprofil tinggi itu, berikutan kepakaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh pasukan berkenaan dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.
“Saya ingin ambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang telah berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam penculikan ini.
“Selain itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak mempolitikkan kes berkenaan, kerana ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi juga membabitkan warga tempatan,” katanya dalam rakaman video ringkas di laman Facebook rasminya malam ini.
Hamzah berkata keselamatan adalah tanggungjawab bersama, maka semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu bekerjasama dan memberikan semangat kepada PDRM untuk terus berjuang mempertahankan keselamatan negara.
Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, disyaki didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.
Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.
Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – BERNAMA
POLIS kini dalam keadaan bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada bila-bila masa bagi memastikan kelancaran proses demokrasi itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sentiasa membuat persediaan rapi seperti tahun-tahun sebelum ini termasuk dari sudut sumber manusia dan aset.
“Dengan persiapan yang telah kita lakukan, kita berdoa mudah-mudahan PRU-15 dapat dijalankan dengan lancar, tenteram, aman serta terkawal,” katanya hari ini.
Spekulasi PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin bertiup kencang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Acryl Sani serta Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya selama hampir lima jam mulai pukul 11 pagi kelmarin.
Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani memaklumkan, sebanyak 5,103 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan sebagainya melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM292,621,167 dikesan pihak berkuasa berkenaan dari Januari hingga Ogos lalu.
Menurut beliau, jumlah itu meningkat berbanding 4,463 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM247,178,076 sepanjang tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan jumlah kes serta nilai rampasan bagi tempoh kajian ini membuktikan tindakan proaktif Pasukan Polis Marin membuahkan hasil,” katanya.
DUA isu penting yang sedang hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak sekarang ini ialah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kemungkinan banjir besar yang bakal melanda negara khususnya melibatkan penduduk di Pantai Timur.
Isu PRU-15 kembali hangat diperbualkan setelah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam kelmarin memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, berdasarkan keputusan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.
Malah, menurut Ahmad Maslan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu beliau menegaskan keputusan mesyuarat berkenaan merupakan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal lagi untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat persengketaan dalaman politik sesama mereka.
Susulan keputusan MKT UMNO berhubung PRU-15, pelbagai pihak khususnya daripada parti pembangkang mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan UMNO hanya mementingkan diri sendiri.
Sebelum ini kecaman pernah dibuat pihak pembangkang selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan partinya sanggup berdepan dengan pilihan raya walaupun jika diadakan pada musim banjir.
Begitulah betapa dahsyatnya politik di negara kita sekarang ini.
Apa yang penulis dapat simpulkan, kebanyakan orang politik lebih mementingkan soal peribadi dengan bertindak sesuka hati sehingga sangup mengetepikan kepentingan dan juga nyawa rakyat.
Itu cerita bab politik, tetapi apa yang lebih menggerunkan apabila penulis semalam ada menerima wash App daripada beberapa pihak berhubung persediaan rakyat Terengganu sekiranya berlaku kejadian empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu pecah.
Wash App berkenaan pada awalnya dikongsikan oleh salah seorang pemimpin masyarakat yang hanya menggunakan nama Poksu yang hadir ke taklimat khas Bencana Tasik Kenyir di ILP Marang.
Menurut Poksu, kejadian yang bakal berlaku cukup menggerunkan, cuma cukuplah jika poksu khabarkan sentiasa bersiap siaga dan ikutlah arahan daripada pihak berkuasa jika diminta.
Dikhabarkan kata Poksu mungkin dalam bulan November 2022 hingga Mac 2023 akan berlaku banjir besar.
Amat dibimbangi banjir ini akan mengakibatkan kebocoran pada pintu keluar atau air buang di Tasik Kenyir yang kini masih dalam pembaikian akibat kerosakan semasa banjir Februari 2022.
Dalam taklimat yang disampaikan pihak pengurusan Bencana itu menurut Poksu, jika berlaku kebocoran, dalam masa 5 hingga 8 jam benteng Tasik Kenyir akan mula pecah dan kepala air yang menakung air seluas 360 km akan melanda hampir semua kawasan Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Kawasan Marang bakal menjadi laluan pokok-pokok tumbang di mana Wakaf Tapai, Tambak Baru bakal ditenggelami air setinggi lima hingga enam meter manakala Pekan Bukit Payung pula air meningkat setinggi 16 meter.
Bagaimanapun dalam taklimat tersebut, pihak pengurusan bencana meminta orang ramai tidak panik, sebaliknya diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang kemungkinan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat pula meminta agar orang ramai tidak panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai kemungkinan ‘Empangan Kenyir pecah’ pada musim Monsun Timur Laut kali ini kerana ia hanyalah bersifat ramalan segala kebarangkalian dan tidak bermaksud akan benar-benar berlaku.
Hafiah berkata, taklimat NADMA sebelum ini adalah sebagai pemberitahuan persediaan dan pelan pihak berkuasa berhubung segala kemungkinan.
Katanya, pelan tindakan itu sudah tersedia selepas NADMA menjangkakan hujan berlaku terlalu lebat dan limpahan air keluar dalam jumlah yang banyak.
Justeru beliau berharap orang ramai jangan panik kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatakan bahawa empangan Tasik Kenyir masih terkawal dan tidak akan pecah.
Sebaik menerima dan membaca washapp dan penjelasan tersebut penulis termenung seketika memikirkan apa akan terjadi kepada rakyat Terengganu sekiranya mala petaka ini benar-benar berlaku?
Persoalannya, adakah pemimpin politik kita sedia maklum tentang perkara ini dan apakah tindakan yang sedang mereka lakukan?
Sepatutnya kebimbangan rakyat seperti ini perlu diberikan keutamaan berbanding ketetapan dan keghairahan untuk mengadakan PRU-15.
Ia penting kerana ketika rakyat sedang melalui musibah mereka tidak lagi berminat memikirkan hal sekeliling, apatah lagi keluar untuk membuang undi.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan amaran kepada orang ramai berhubung penjualan organ di Malaysia.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej bertajuk ‘Amaran kepada semua ibu bapa atau penjaga harga organ di Malaysia’ itu tular di media sosial.
Katanya, ia turut menyenaraikan harga jualan jantung, buah pinggang, mata, paru-paru dan hati.
Menurut beliau, mesej terbabit mendakwa kononnya pihak Bukit Aman (PDRM) mengeluarkan amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati dengan dua kenderaan berwarna putih.
“Kenderaan itu dikatakan terbabit dengan kegiatan penculikan serta penjualan organ terutamanya bagi kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, sedangkan PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran seperti mana mesej tular itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehingga kini katanya, tiada laporan polis diterima khusus, membabitkan dua kenderaan seperti dinyatakan dalam mesej tular berkenaan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh serta tidak membuat perkongsian sebarang hantaran atau mesej di aplikasi media sosial tanpa menyemak kesahihannya,” katanya.
EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan selepas diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu, ditemui ketika cuba diseludup ke Laos.
Lapor Berita Harian yang memetik sumber berkata, kedudukan mangsa dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada Polis Diraja Thailand.
Susulan itu, polis negara berkenaan membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos dan berjaya menyelamatkan mangsa.
Menurut sumber, mangsa kini berada di bawah pemantauan pihak polis di Kuala Lumpur selepas selamat tiba ke negara ini, semalam, untuk pemantauan tahap kesihatannya.
“Buat masa ini, polis sedang memantau perkembangan kesihatan fizikal dan psikologi mangsa sebelum dibenarkan pulang untuk bertemu keluarganya,” katanya.
Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan lokasi sebenar keberadaan wanita itu bagi mengelakkan mangsa diganggu buat masa ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan memaklumkan Rosnazirah, atau Azi, 36, berjaya diselamatkan Polis Diraja Thailand dan dihantar pulang ke tanah air.
Katanya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki dan mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.
“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara itu dan dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya.
Acryl Sani dilaporkan berkata, seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kes itu.
Azi dilarikan pada pukul 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.
Kereta sama kemudian ditemui pukul 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.
Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.
SEORANG pembantu rumah warga asing ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian barang kemas milik majikannya di sebuah rumah di Ampang Jaya Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 63 tahun menyedari barang kemas yang diletakkan di dalam almari pakaiannya hilang pada pukul 5 petang.
“Wanita berkenaan telah bertanyakan kepada pembantu rumahnya dan dia mengaku telah mengambil dan memajakkan barang kemas tersebut di sekitar Ampang.
“Pembantu rumahnya kemudian menyerahkan tiga resit pajakkan barang kemas disyaki milik majikannya dan berjanji akan membayar semula,” katanya sebagaimana lapor Sinar Harian.
Mohamad Farouk berkata, wanita tersebut telah melepaskan pembantu rumahnya dan berbincang semula pada pukul 9 pagi, Ahad.
“Pada keesokan harinya, wanita tersebut telah pergi ke rumah pembantu rumah itu dan mendapati dia telah tiada serta gagal dihubungi. Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000,” katanya.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya telah menahan secara berasingan dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 33 tahun di dua premis pajak gadai pada pukul 10.30 pagi, Ahad.
“Dua lelaki yang ditahan itu merupakan pengurus premis pajak gadai, kita turut merampas sepasang subang dan dua utas rantai dipercayai milik mangsa.
“Kita kemudian berjaya memberkas pembantu rumah berusia 41 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Dagang di sini pada pukul 3.45 petang,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap dua lelaki itu telah ditolak oleh mahkamah, namun suspek wanita telah direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.
KEPUTUSAN bedah siasat hari ini mendapati juruterbang warganegara Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus Ahad lalu, disebabkan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu disebabkan kemalangan aviasi.
Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Richard Chan menerbangkan Eurocopter EC120B dari Subang ke Ipoh apabila terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.
Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA
JUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.
“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.
“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.
Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.
Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA