Tag: PDRM

  • Lelaki menganggur lastik kenderaan di lampu isyarat

    Lelaki menganggur lastik kenderaan di lampu isyarat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan seorang lelaki setelah klip video memaparkan tindakannya melastik ke arah kenderaan lain tanpa sebab, menjadi tular di media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika lelaki berkenaan yang merupakan seorang penganggur berusia 49 tahun, memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat Amanjaya, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 6.20 petang.

    “Ketika kejadian, lelaki itu dipercayai melastik ke arah sebuah lori yang berada di laluan bertentangan. Perbuatannya itu turut dirakam seorang pengguna jalan raya lain yang turut memuat naik klip video berkenaan di Facebook bagi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati.

    “Laporan polis turut dibuat terhadap kejadian tersebut. Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan suspek di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Bedong kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.

    Adzli menambah, suspek didakwa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan rampasan barang kes iaitu lastik serta batu turut dibuat setelah ia ditemukan dalam raga motosikal miliknya.

    “Suspek mendakwa mengalami halusinasi ketika melakukan perbuatan tersebut. Ujian urin mendapati dia positif dadah jenis MOP dan turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Kes lelaki melastik kenderaan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Poster PN dirosakkan, Armada minta PDRM siasat segera

    Poster PN dirosakkan, Armada minta PDRM siasat segera

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Johor mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan segera ke atas aduan berhubung kesalahan pilihan raya sehingga menyebabkan kerosakan pada beberapa poster milik Perikatan Nasional (PN) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketuanya, Mohd Shamsuddin Paijan berkata, kejadian merosakkan kanvas atau menumbangkan struktur poster kempen PN dikesan berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan DUN Buloh Kasap.

    “Kami mahu supaya pendakwaan dan hukuman turut dilakukan segera dalam tempoh kempen PRN Johor sekarang supaya memberi iktibar kepada semua penyokong mahupun kepemimpinan parti lain.

    “Berdasarkan laporan media setakat 1 Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka tujuh kertas siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    “Pada masa sama, ARMADA Johor mencadangkan pihak PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanggil wakil parti yang terlibat dengan mana-mana kesalahan tersebut untuk tujuan kaunseling supaya mereka memainkan peranan atau menyumbang kepada usaha ke arah memahami dan mencapai aspirasi kempen politik lebih beretika serta berintegriti pada masa depan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau menambah, seiring komitmen kepemimpinan PN yang diterajui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan pembaharuan dan perubahan pada landskap politik negara, ARMADA Johor menyarankan semua pendokong serta kepemimpinan parti politik di negara ini harus berusaha membentuk persekitaran politik lebih bersih, matang, profesional, berintegriti serta beretika termasuk merangkumi proses kempen pilihan raya.

    Mohd Shamsuddin memberitahu, dalam keghairahan semua parti untuk meraih sokongan dan seterusnya calon masing-masing mencapai kemenangan bagi kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Johor pada 12 Mac kelak, perkara asas yang amat penting untuk mempertahankan ketenteraman adalah sikap saling menghormati.

    Beliau menjelaskan, saranan ARMADA itu berikutan kebimbangan kami terhadap keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh kempen PRN Johor ini apabila PDRM menyatakan pihaknya mengenal pasti lokaliti panas melibatkan 17 DUN dengan mengambil kira sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap serta pelbagai aktiviti jenayah lain.

    “ARMADA Johor turut menyarankan PDRM mengadakan sidang akhbar harian berhubung tindakan-tindakan tegas yang dilakukan berkaitan kesalahan pilihan raya bagi mewujudkan suasana kempen yang lebih beretika serta aman.

    “Pada masa sama, ARMADA Johor mengucapkan syabas kepada Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) selaku badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang ditauliahkan oleh SPR untuk menjadi pemerhati PRN Johor ini menerusi 13 wakilnya yang telah ditempatkan di negeri ini sehingga 12 Mac nanti.

    “Semoga MCW memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan PRN Johor sifar rasuah dan salah guna kuasa serta tidak melanggar integriti sekali gus menyumbang kepada pembaharuan landskap politik negara ke arah yang lebih bersih,” jelasnya.

  • 4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    SERAMAI empat wanita tempatan merupakan antara 10 individu warga tempatan yang ditahan selepas disyaki menjadi ahli sindiket yang menawarkan pinjaman wang secara haram di Pulau Pinang.

    Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan BSJK IPD Seberang Perai Selatan (SPS) di sebuah premis di Nibong Tebal kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan menerusi Op Vulture itu turut menemukan sejumlah peralatan elektronik yang mencurigakan.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mengesyaki premis berkenaan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang secara online tanpa lesen dan pusat panggilan bagi kegiatan mengutip hutang.

    “Selain menahan kesemua individu terbabit, kita turut merampas peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad prabayar yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

  • Penjawat awam rugi RM711,626 ditipu ‘pegawai mahkamah’ dan ‘polis’

    Penjawat awam rugi RM711,626 ditipu ‘pegawai mahkamah’ dan ‘polis’

    SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM711,626 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis di Kuala Lumpur tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa berusia 52 tahun itu telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah pada 4 Okt tahun lepas.

    “Suspek memberitahu mangsa kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram dan jenayah rasuah namun mangsa menafikannya.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan diarahkan untuk membuat transaksi ke 13 akaun berbeza,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang ketakutan membuat 74 transaksi berjumlah RM711,626 di antara 15 Okt 2021 hingga 17 Jan lepas ke akaun berlainan.

    Katanya mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis pada Sabtu lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Justeru, Mohd Mahidisham menasihati orang ramai agar mendapatkan butiran terperinci pihak berkuasa yang berhubung dengan mereka mengenai sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil serta tempat bertugas.

    “Buat semakan di balai berdekatan untuk memastikan butiran panggilan adalah benar-benar daripada pihak berkuasa dan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi,” katanya. – BERNAMA

  • Pegawai polis maut tembak diri sendiri berintegriti tinggi

    Pegawai polis maut tembak diri sendiri berintegriti tinggi

    PEGAWAI polis yang maut selepas dipercayai menembak kepalanya di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur semalam merupakan pegawai berintegriti tinggi, mempunyai prestasi kerja yang baik dan disenangi rakan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, pegawai berusia 35 tahun itu pernah mendapat pujian daripada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia dan menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara kerana menolak suapan.

    “Pegawai polis berkenaan pernah ditawarkan RM10,000 bagi cubaan membebaskan seorang OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pada Ogos tahun lepas.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan dan pegawai berkenaan tiada masalah berkaitan kerja dan sebelum ini dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan kemudian ditukarkan ke IPD Dang Wangi tiga bulan lepas.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penerimaan semula pondok polis yang dibaik pulih oleh MRT Corp di Pondok Polis Batu 3, di Kuala Lumpur.

    Menurutnya, proses bedah siasat pegawai polis berkenaan akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

    Beh berkata, pegawai itu yang mempunyai seorang isteri dan dua anak, ditemui mati di rumah kawannya.

    “Saksi merupakan kawan kepada pegawai polis berkenaan, ketika kejadian ada kawan lelaki dan kawan perempuan dalam rumah yang didiami beberapa orang itu,” katanya.

    Beh dilaporkan berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu IPD Sentul menerima panggilan daripada sistem MERS 999 pada kira-kira 3.30 petang.

    Semalam, seorang pegawai polis berpangkat Insp maut dipercayai menembak kepalanya dengan pistol dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selingsing, pada Ahad.

    Sementara itu, Beh berkata pondok polis yang diterima pihaknya itu akan beroperasi semula pada hari ini setelah tiga tahun ditinggalkan akibat pembinaan projek MRT. – BERNAMA

  • Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    BARISAN Pesuruhjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Mereka berkata, dalam rakaman percakapan beliau kepada EAIC, beliau tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud kartel dalam PDRM.

    “Selain itu , beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali dan pesuruhjaya-pesuruhjaya EAIC iaitu Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’ Hara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

    EAIC merujuk kepada kenyataan Abdul Hamid Bador dilaporkan dalam media yang mengatakan dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah “cetek dan tidak betul”.

    Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati bahawa:

    (a) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media;

    (b) beliau selaku Ketua Polis Negara sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media;

    (c) sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan; dan

    (d) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Mereka menambah, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat oleh Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

    “Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini,” jelas mereka.

  • Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    DAKWAAN wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

    Pengerusi EAIC ,Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

    “Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

    Beliau berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

    “Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

    Selain itu, Sidek berkata, Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

    “Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

    Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka. – BERNAMA

  • Pelanggan tikam mati tauke kedai motosikal sebab tak puas hati

    Pelanggan tikam mati tauke kedai motosikal sebab tak puas hati

    SEORANG pemilik kedai motosikal maut dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki di premis itu yang terletak di Titi Serong, Tanjung Piandang petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, suspek berusia 52 tahun itu kemudian menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima selepas kejadian pada kira-kira pukul 2.45 petang.

    Katanya, suspek membuat pengakuan bahawa dia telah menikam mangsa yang dikenali sebagai Tan Hee Song, 43, di kedai berkenaan.

    “Soal siasat awal mendapati punca kejadian berlaku kerana tangkapan tidak berpuas hati ke atas mangsa dan menuduh mangsa telah menukar beberapa komponen motosikal miliknya pada tiga minggu lepas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

  • Lebih RM140,000 lesap dikebas sindiket menyamar pegawai TM

    Lebih RM140,000 lesap dikebas sindiket menyamar pegawai TM

    WANG simpanan seorang ahli perniagaan serta milik ibunya berjumlah RM140,679 lesap akibat terperangkap dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM).

    Mangsa terjerat dengan sindiket berkenaan yang kononnya untuk siasatan pembabitannya dalam kes pelaburan dan pengubahan wang haram.

    Mematik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memberitahu, pada 11 Februari lalu, mangsa seorang lelaki yang berusia sekitar 20-an menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai TM Point mendakwa identitinya sudah digunakan untuk mendaftar talian yang terbabit dalam kes jenayah siber.

    Menurutnya, panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada dua suspek berikutnya yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.

    Katanya, hasil semakan lanjut ‘pihak polis’ terhadap identiti mangsa mendapati lelaki itu turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram bersama satu sindiket pelaburan diketuai seorang individu yang mana mangsa dikatakan sudah memindahkan wang sebanyak RM400,000 ke akaun bank milik individu berkenaan.

    Beliau berkata, mangsa cuba menafikan pembabitannya, namun dinasihatkan sipaya meminta bantuan suspek berikutnya bernama ‘ACP Datuk Mohd Fazley’ yang berjanji akan membantunya.

    Menerusi satu kenyataaannya hari ini Shafien berkata, bagi membantu siasatan ‘pihak polis’, mangsa diarah menyerah maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna dan kata laluan serta nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) akaun bank miliknya.

    Menurut beliau, mangsa juga diarah menyerahkan maklumat membabitkan akaun bank milik ibunya atas alasan untuk siasatan bagi mengesahkan sama ada ibunya turut terbabit atau tidak dengan kes pelaburan berkenaan serta pengubahan wang haram.

    Susulan itu, katanya sebanyak 15 transaksi pindahan wang berjumlah RM140,679 dilakukan dari bank milik pengadu dan ibunya yang mana hampir RM100,000 adalah dari akaun bank milik ibunya antara 11 hingga 15 Februari lalu.

    “Suspek mendakwa wang itu dipindahkan sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan.

    “Pengadu kemudian berasa curiga apabila suspek menasihatkannya membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan sebelum segera ke balai polis di Machang untuk membuat laporan,” jelas beliau.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

    Shafien berkata, pihaknya ingin mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan sindiket Macau Scam yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar pegawai dari bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah.

  • Pasangan kekasih positif dadah pandu lawan arus lari pemeriksaan polis

    Pasangan kekasih positif dadah pandu lawan arus lari pemeriksaan polis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tindakan sepasang kekasih melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga melanggar beberapa buah kenderaan lain seperti video yang tular malam tadi mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan.

    Ketus Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shahriman Ashari berkata, lelaki berusia 42 dan pasangannya berusia 34 tahun itu ditahan dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di Jalan Padang Matsirat.

    “Sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi dibantu kenderaan peronda polis (MPV) semasa dalam tugas Ops Tapis pada mulanya ternampak sebuah kereta jenis Toyota Avanza di tepi jalan berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

    “Menyedari kehadiran pasukan polis, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu bertindak memecut dan telah melanggar beberapa kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Shahriman berkata, kenderaan pasangan kekasih tersebut seterusnya menghala ke Jalan Padang Matsirat dan ekoran itu berlaku kejadian kejar mengejar sehingga kenderaan tersebut dipandu melawan arus lalu terbabas ke dalam parit di tepi jalan tempat kejadian.

    Katanya, pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek tidak menjumpai barang yang salah.

    “Ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin manakala wanita itu positif dadah jenis methamphetamine.

    “Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; dan Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau.