Tag: PDRM

  • MPV bawa mercun bola terbalik dalam parit, pemandu lari

    MPV bawa mercun bola terbalik dalam parit, pemandu lari

    SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa enam guni berisi mercun bola ditemukan terbabas di dalam parit berdekatan Taman Prima dekat Lubok Jong, Pasir Mas, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian dimaklumkan orang awam yang melaporkan sebuah Toyota Wish telah terbabas dalam keadaan terbalik ke dalam parit air pada pukul 3.15 petang.

    Beliau berkata, dua anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati pemandu kenderaan terbabit sudah tiada.

    “Pemeriksaan lanjut di dalam kereta terbabit menemukan enam guni plastik bercorak jalur-jalur berada di tempat duduk penumpang belakang yang berisi sejumlah mercun bola.

    “Anggota yang membuat semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut mendapati, tiada rekod kesalahan dan ia telah didaftarkan atas nama seorang individu yang beralamat di Kluang, Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, anggotanya telah menunggu selama sejam di lokasi tersebut sekiranya terdapat mana-mana individu yang menuntut barangan terbabit.

    Mohd Nasaruddin berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM45,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – BERNAMA

  • Tanah bernilai RM4.3 juta hasil edar dadah disita

    Tanah bernilai RM4.3 juta hasil edar dadah disita

    POLIS Terengganu menyita tujuh lot tanah di beberapa lokasi di negeri itu termasuk yang menempatkan 10 unit chalet bernilai RM4.3 juta, disyaki diperoleh daripada pendapatan kegiatan mengedar dadah.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejayaan itu susulan penangkapan dua suspek pengedar melibatkan rampasan dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan syabu seberat 46.7 gram pada 9 Dis 2020.

    “Satu siasatan kewangan telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek oleh Bahagian Perlucuthakan Harta Jabatan Siasatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, yang pada permulaan kes ini tiada sitaan dibuat.

    “Siasatan lanjut melalui penjejakan harta (asset tracing) melalui bank dan institusi kewangan telah berjaya menemukan pemilikan tujuh harta tak alih oleh suspek yang diperoleh secara pembelian yang meragukan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

    Katanya, salah satu lot tanah yang disita ialah di Batu Rakit di Kuala Nerus dengan keluasan 9,105 meter persegi termasuk 10 buah chalet yang dibina di atas tanah berkenaan dengan anggaran nilai RM900,000.

    Rohaimi berkata, turut disita, beberapa lot tanah termasuk di Kemaman, Dungun dan Marang.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan harta berkenaan adalah yang terbesar melibatkan pengedar dadah di negeri itu.

    “Polis Kontinjen Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan penyiasatan ‘asset tracing’ ke atas semua sekutu pengedar dadah dan memastikan kesemua aset-aset ini dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

  • Banduan kedua lari dari Penjara Jelebu ditangkap

    Banduan kedua lari dari Penjara Jelebu ditangkap

    POLIS menahan seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu semalam, di Kampung Petasih Tengah, Pertang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, yang sedang menunggu perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ditahan kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.

    “Lelaki terbabit telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu dan cuba melarikan sebuah kereta Proton Waja tetapi berjaya dihalang seterusnya ditangkap oleh orang kampung dan polis.

    “Menerusi tangkapan lelaki berasal dari Jasin, Melaka itu menjadikan keseluruhan dua daripada tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara semalam berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jelebu, hari ini.

    Banduan pertama yang ditahan semula, Sohaimi Khalid berusia 50 tahun diberkas di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 malam semalam.

    Menurut Maslan, banduan pertama ditahan semua itu telah dibenarkan reman oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selama empat hari bermula hari ini manakala permohonan reman untuk banduan kedua ditahan semula akan dijalankan esok di mahkamah sama.

    Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi di tepi blok itu.

    Susulan itu, polis mengadakan empat sekatan jalan raya di sempadan Jelebu iaitu Nilai, Kuala Pilah dan Jempol dalam usaha mengesan kesemua mereka yang masih lolos termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

    Dalam pada itu, beliau berkata, lima banduan yang menunggu perbicaraan bagi kesalahan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dipercayai sudah menukar pakaian masing-masing sebaik berjaya melarikan diri dan disyaki berjalan kaki dan bersembunyi di kawasan pinggir kampung.

    Menurutnya, polis sedang giat mengesan kesemua baki banduan berkenaan dan dipercayai masih berada di daerah ini dengan tumpuan pencarian dilakukan di sekitar kawasan Pertang.

    Lima lagi yang masih bebas dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Shazuan Md Sharif, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai, Zainuddin, 62.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Jelebu di talian 06-6136222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096996, katanya. – BERNAMA

  • Bayi lelaki dibuang di depan kedai runcit

    Bayi lelaki dibuang di depan kedai runcit

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang bayi lelaki yang masih belum dipotong tali pusatnya ditemukan di depan sebuah kedai runcit di Kampung Padang, Kuala Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bayi tersebut ditemukan seorang lelaki berusia 56 tahun kira-kira pukul 1.40 petang.

    “Individu berkenaan terdengar bayi itu menangis dan menemukan bayi lelaki tersebut yang diletakkan dalam sebuah kotak di depan kedai runcit.

    “Pengadu kemudiannya datang ke balai polis untuk membuat laporan dan pemeriksaan mendapati bayi ditinggalkan itu adalah lelaki,” katanya.

    Tambahnya, bayi tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

    “Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak kurang 12 tahun membuang bayi baru lahir.

  • Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    SEORANG lelaki ditahan susulan penemuan sebanyak 48 bungkusan dan 273 kotak mercun bernilai RM20,745 di dalam rumahnya di Kampung Bunut Payung di Kota Bharu, malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, serbuan pada kira-kira pukul 8 malam itu, dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berkaitan penyeludupan mercun di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu, yang mengaku pemilik rumah tersebut, ditahan untuk siasatan dan hasil pemeriksaan menemukan bungkusan dan kotak yang mengandungi mercun.

    “Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu termasuk di pasar malam Wakaf Che Yeh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhari berkata, penjualan mercun dalam bulan puasa adalah atas faktor permintaan tinggi, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali mengeluarkan larangan.

    Katanya, harga mercun didapati meningkat sehingga dua kali ganda kerana kesukaran untuk dibawa masuk ke negara ini ekoran kawalan ketat oleh agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand.

    “Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

    Beliau berkata PGA7 akan terus menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara, terutama menjelang musim perayaan, kerana permintaan kepada barang-barang seludup (kontraban) dijangka meningkat.

    “Masyarakat juga diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – BERNAMA

  • 3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    TIGA lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru di sini petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menggunakan aplikasi TikTok di premis berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada pukul 2.50 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial itu, turut merampas antaranya tiga unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, satu unit modem dan satu monitor komputer.

    “Semua suspek, berusia antara 19 hingga 23 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan penduduk tempatan serta warga asing menerusi aplikasi TikTok.

    “Semua suspek ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” katanya. – BERNAMA

  • Dua pelajar sekolah merempit, buat aksi Superman

    Dua pelajar sekolah merempit, buat aksi Superman

    PERBUATAN dua orang pelajar berlumba dengan melakukan aksi bahaya ketika umat Islam menunaikan solat tarawih di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus, malam tadi membawa padah.

    Ini kerana, remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun itu akhir ditahan polis ketika memberhentikan motosikal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus pada pukul 9.06 malam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, Skuad 42 JSPT sebelum itu melakukan pemantauan di Bandar Baru Kuala Nerus sebelum terlihat dua penunggang terbabit yang berlumba sesama sendiri, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kedua-dua pelajar itu turut melakukan aksi bahaya dengan menundukkan kepala selari dengan meter disamping menunggang secara zig- zag.

    Katanya, mereka dikesan membuat aksi itu sejauh 700 meter dari Bandar Baru Kuala Nerus menghala ke Taman Kemunting, Kuala Nerus sebelum Skuad 42 JSPT bertindak mengekori dua penunggang terbabit.

    Ujarnya, kedua-dua remaja itu berjaya ditahan ketika memberhentikan motosikal.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Selain menyita dua motosikal suspek, kita turut mengeluarkan sembilan saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dalam operasi berasingan, Ismail memberitahu, seorang remaja lelaki ditahan selepas dikesan melakukan aksi merbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan menunggang motosikal dengan aksi superman secara berulang kali membabitkan jarak kira-kira 600 meter.

    Menurutnya, suspek berusia 17 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.45 pagi tadi.

    “Skuad 42 JSPT bertindak mengekorinya sehingga ke Jalan Gong Kijang, Kuala Terengganu sebelum ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987,” jelas beliau.

  • Didakwa hina polis, pemilik Facebook ‘Ain Singa’ ditahan

    Didakwa hina polis, pemilik Facebook ‘Ain Singa’ ditahan

    GARA-GARA membuat hantaran berbaur hinaan melalui ruangan komen di Facebook terhadap seorang anggota polis trafik, seorang wanita yang dikenali sebagai Ain Singa ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad, wanita berusia 19 yang sudah berkahwin itu meninggalkan komen menghina melalui Facebook ‘Kuala Krai Kini’ selain memuat naik gambar seorang polis trafik sedang menjalankan tugas dengan kapsyen ‘Salam Jumaat.Duk memukat duit BKM ke tu? area wisma koya’.

    Menurut beliau, pemilik akaun Facebook itu dilihat sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej polis.

    Justeru katanya, selepas menerima satu laporan, polis bertindak menahan pemilik akaun Facebook Ain Singa itu untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

    Suzaimi berkata, anggota polis trafik yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada kekuatan penugasan Snap Check Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Krai yang sedang bertugas di Jalan Ah Sang, Kuala Krai pada 1 April lalu.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen dan maklumat salah, tidak beretika dan berhemah melalui aplikasi media sosial demi kesejahteraan semua pihak.

    “Orang ramai boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang meragukan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Juruteknik rugi RM222,473 terperdaya love scam Facebook

    Juruteknik rugi RM222,473 terperdaya love scam Facebook

    SEORANG juruteknik kilang di Seremban kerugian RM222,473 selepas menjadi mangsa ‘love scam’ atau penipuan cinta oleh wanita yang dikenali menerusi laman Facebook sejak Januari lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, juruteknik lelaki berusia 45 tahun itu dihubungi oleh seorang wanita menerusi aplikasi ‘messenger’ Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling dan mendakwa dirinya seorang doktor dari Yaman.

    Beliau berkata, setelah persahabatan terjalin, wanita itu memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar bungkusan berisi wang sebanyak AS$1 juta (RM4.2 Juta) dan lelaki itu perlu membuat pembayaran bagi penghantaran bungkusan tersebut.

    “Pada 18 Feb lepas, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM25,137 ke dalam satu akaun bank tempatan di sebuah bank di sini. Seterusnya pada 10 Mac lepas, mangsa sekali lagi telah memasukkan duit berjumlah RM60,650 ke akaun sama di sebuah bank di Nilai.

    “Empat hari kemudian, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke sebuah akaun bank tempatan milik individu lain bernama ‘Sellyhia’. Kedua-dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di Kastam Kemboja dan lapangan terbang Kemboja,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Aibee berkata, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM76,686 lagi ke akaun bank pertama pada 28 Mac lepas kerana dimaklumkan bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama mangsa dan pembayaran perlu dibuat.

    Menurutnya, pihak bank ada bertanyakan kepada siapa wang itu diberikan, namun wanita terbabit terlebih dahulu meminta mangsa memberitahu bahawa ia adalah untuk urusan membayar hutang, perbelanjaan dan pinjaman bagi mengelakkan bank mengesyaki urusan transaksi itu.

    Aibee berkata, lelaki berkenaan sekali lagi diminta untuk membayar wang sebanyak RM41,000 kepada wanita itu pada 31 Mac lepas, namun mangsa tidak membuat pembayaran kerana tidak mempunyai wang selain berasa ditipu.

    Mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya. – BERNAMA

  • Mayat bayi lelaki 4 bulan dibuang dalam tong sampah

    Mayat bayi lelaki 4 bulan dibuang dalam tong sampah

    MAYAT bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan ditemukan di tempat pembuangan sampah di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, berkata mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki di lokasi tersebut kira-kira 3 petang.

    “Hasil pemeriksaan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, bayi malang itu telah tidak bernyawa dan dianggarkan dia telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menangkap seorang wanita warga asing dan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan masing-masing berumur lingkungan 30-an dan 40-an di sekitar lokasi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan perintah tahanan reman bagi meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA