Tag: PDRM

  • Mayat lelaki tangan terikat wayar kabel di tepi jalan

    Mayat lelaki tangan terikat wayar kabel di tepi jalan

    MAYAT lelaki tanpa identiti ditemukan di tepi Jalan Sepang-Salak di Sepang pagi tadi, dengan kesan kecederaan di perut serta tangan terikat dengan wayar kabel.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.32 pagi daripada seorang individu yang menghubungi Balai Polis Sepang.

    Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan berpakaian baju kemeja-T warna putih berkolar, berseluar panjang hitam dan pelitup muka di bawah dagu, dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an serta tiada kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada bahu.

    Beliau berkata, lokasi kejadian merupakan kawasan yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan pemeriksaan di sekitar kawasan penemuan mayat menjumpai satu unit sarung sabit, tiga puntung rokok, gumpalan rambut dan kesan darah berhampiran mangsa.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat.

    Wan Kamarul Azran turut meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Polis tahan juragan bot karam di Semporna

    Polis tahan juragan bot karam di Semporna

    POLIS hari ini menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun yang merupakan juragan sebuah bot yang karam, menyebabkan lima penumpangnya lemas berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di Semporna malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penahanan lelaki itu adalah bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

    “Pihak polis telah membuat tangkapan pada 12.50 tengah hari tadi dan beliau akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak masih hilang iaitu Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

    Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata lima mangsa yang meninggal dunia, dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4 tahun.

    “Lima mangsa yang meninggal dunia dan dua mangsa yang hilang itu mempunyai ikatan kekeluargaan, lokasi pencarian kini diluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Dalam pada itu, Norrimi berkata, lebih kira-kira 60 anggota penyelamat terdiri daripada APMM, bomba serta Pasukan Polis Marin dan orang kampung, kini giat melakukan pencarian dua mangsa yang belum ditemui.

    Menurutnya, kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar. – BERNAMA

  • [VIDEO] Lelaki Myanmar sengaja langgar kereta ditahan

    [VIDEO] Lelaki Myanmar sengaja langgar kereta ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar, yang dipercayai dengan sengaja mencederakan dirinya dalam satu kemalangan jalan raya di sekitar Klang, minggu lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dari seorang lelaki tempatan pada Khamis lalu (7 April), yang mengatakan semasa sedang memandu dan sampai di sebuah jalan, seorang lelaki tidak dikenali yang berada di tengah jalan secara tiba-tiba berlari meluru ke arah keretanya dan melompat ke arah cermin hadapan.

    “Selepas kemalangan itu berlaku, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki yang melanggar keretanya itu bahawa kenderaannya terdapat rakaman kamera papan pemuka dan pejalan kaki tersebut terus beredar dari lokasi kemalangan, dan hanya mengalami kecederaan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bertindak atas maklumat, Vijaya Rao berkata, pihak polis telah menahan lelaki berumur 25 tahun itu di Jalan Shahpadu Rantau Panjang, Klang pagi tadi dan kini direman untuk siasatan lanjut.

    “Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya.

    https://youtu.be/S1JL_SHBMnI

    Kejadian kemalangan itu turut tular menerusi satu video berdurasi 45 saat, yang dimuat naik di laman sosial Facebook semalam. – BERNAMA

  • Bapa lapor polis dakwa anak dipukul guru

    Bapa lapor polis dakwa anak dipukul guru

    POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang murid perempuan Tahun Empat dipukul oleh seorang guru lelaki sehingga mengalami kecederaan tisu lembut.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan polis dibuat oleh bapa mangsa pada 9.59 malam, Isnin lepas mendakwa guru lelaki berusia 50 tahun telah memukul belakang badan anaknya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipukul dengan tangan dan pemeriksaan doktor di Hospital Bentong telah mengesahkan kecederaan akibat dipukul tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Humaira hilang sejak Ahad, dijumpai di Pontian

    Humaira hilang sejak Ahad, dijumpai di Pontian

    PELAJAR perempuan, Humaira Ahmad Fauzi, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Klebang Perdana, Chemor di sini, Ahad lepas, ditemukan selamat di Pontian, Johor hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bahawa Humaira dijumpai bersendirian di Masjid Bandar Pontian kira-kira 5 petang tadi.

    “Ibu bapa Humaira juga berada di sana (Pontian) sekarang bersama pihak polis Pontian. Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dilakukan,” katanya ringkas kepada Bernama.

    Terdahulu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu daripada bapanya, Ahmad Fauzi Ibrahim kira-kira 3 petang, Ahad lepas di Balai Polis Chemor.

    Kakak pelajar tersebut, Sabrina, 24, dilaporkan berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik kecuali memakai stoking pada pagi kehilangannya atas alasan mengelak sejuk sebelum keluar rumah.

    Humaira yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sepatutnya pulang semula ke asrama sekolahnya di Simpang Empat, Semanggol pada Ahad, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri di rumahnya akibat dijangkiti COVID-19.

    Kisah kehilangan Humaira turut tular menerusi media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen supaya melaporkan kepada mereka jika menjumpai remaja itu. – BERNAMA

  • Video TikTok tular dakwa anggota rasuah, polis Pulau Pinang siasat

    Video TikTok tular dakwa anggota rasuah, polis Pulau Pinang siasat

    POLIS Pulau Pinang telah menjalankan siasatan berhubung video TikTok yang tular di media sosial melibatkan anggotanya yang didakwa menerima rasuah yang berlaku di Bagan Ajam, Butterworth semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, video kejadian berdurasi 1.01 minit menerusi aplikasi TikTok itu dikesan tular pukul 10 pagi semalam.

    Menurut beliau, rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Iqalice1 Babymeylice’ di media sosial TikTok itu memaparkan dakwaan anggota polis menerima rasuah daripada seorang lelaki.

    “Susulan itu, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) pukul 11.30 pagi.

    “Kita tidak akan berkompromi sekiranya berlaku salah laku membabitkan mana-mana pegawai polis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi rakaman video itu, seorang wanita dilihat menghulurkan wang sebanyak RM200 kepada seorang lelaki yang kemudiannya keluar dari kereta dan dipercayai menuju ke kenderaan polis untuk menyerahkan wang terbabit.

    Video itu kemudian tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam perbuatan tersebut dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya kesalahan melibatkan anggota polis terbabit benar-benar berlaku.

  • Budak lelaki hiperaktif mati terjatuh dari tingkat 11

    Budak lelaki hiperaktif mati terjatuh dari tingkat 11

    SEORANG kanak-kanak lelaki hiperaktif berusia enam tahun maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 di Pangsapuri Intan, Taman Puchong Intan, Subang Jaya, dekat sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.45 petang.

    Beliau berkata, mayat kanak-kanak berkenaan ditemukan terlentang di atas bumbung tempat letak kenderaan di aras dua bangunan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau hiperaktif itu sedang bermain permainan video bersama tiga adik-beradik yang lain sebelum disedari hilang.

    “Ketika kejadian, ibu mangsa berada di rumah dan bekerja secara dalam talian manakala bapa kanak-kanak itu berada di kuil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Khalid berkata, setakat ini, polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA

  • Banduan ketiga lolos Penjara Jelebu ditangkap

    Banduan ketiga lolos Penjara Jelebu ditangkap

    SEORANG lagi banduan daripada lima yang masih bebas selepas melarikan diri dari Penjara Jelebu dua hari lepas ditahan di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki berkenaan, Shazuan Md Sharif, 32, ditahan kira-kira 4 pagi dan Mahkamah Majistret Bahau kemudian membenarkan dia direman empat hari bermula esok.

    “Penahanan lelaki itu menjadikan tiga daripada keseluruhan tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara dua hari lepas, berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, polis berjaya menahan lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, kira-kira 5.15 pagi di Kampung Petasih Tengah, Pertang dan menahan Sohaimi Khalid, 50, di kawasan kebun sawit, Kongkoi, kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu pada 7 malam sehari sebelumnya.

    Maslan berkata, polis bersama Jabatan Penjara sedang giat mengesan empat lagi banduan yang masih bebas iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Zainuddin, 62.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak tepat yang akan menganggu gugat ketenteraman awam dan siasatan polis,” katanya.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju ke semak di belakang penjara itu. – BERNAMA

  • Macau scam: Suri rumah, pelajar IPTA rugi lebih RM200,000

    Macau scam: Suri rumah, pelajar IPTA rugi lebih RM200,000

    SEORANG suri rumah dan seorang pelajar lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Melaka kerugian RM259,642 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt E.Sundra Rajan berkata, suri rumah berusia 60 tahun yang tinggal di Alor Gajah itu kerugian RM247,642 manakala pelajar berusia 21 tahun dari Batu Berendam pula kerugian RM12,000.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penipuan itu daripada mangsa, masing-masing di Balai Simpang Ampat dan Batu Berendam pada 8 April lepas.

    “Kedua-duanya mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari KKM yang memaklumkan butiran peribadi mereka telah digunakan individu lain untuk pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19.

    “Mangsa kemudian diarahkan memberi kerjasama kepada suspek untuk menyiasat perkara itu dan kemudian dihubungkan dengan panggilan daripada pihak polis untuk pengesahan lanjut sebelum dimaklumkan butiran peribadi mereka terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa diugut akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka gagal memberikan kerjasama kepada sindiket tersebut.

    Katanya, sindiket berkenaan kemudian mengarahkan mangsa memberikan segala maklumat akaun bank kononnya bagi tujuan semakan audit tetapi setelah mangsa memberikan maklumat nombor akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan dalam talian, wang mangsa dipindahkan ke akaun yang digunakan suspek.

    Sundra Rajan berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, beliau berkata Polis Melaka menerima 93 laporan berkaitan sindiket Macau Scam melibatkan kerugian kira-kira RM3.12 juta dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan panggilan mencurigakan dan menyemak nombor telefon atau nombor akaun yang diberikan suspek melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ di Play Store sebelum melakukan apa-apa transaksi. – BERNAMA

  • [VIDEO] Polis buru geng main meriam karbaid tepi jalan

    [VIDEO] Polis buru geng main meriam karbaid tepi jalan

    POLIS sedang mengesan sekumpulan lelaki yang bermain meriam karbaid di tepi Jalan Permatang Rawa, di Bukit Mertajam selepas video mereka tular menerusi media sosial sejak semalam dan menerima kecaman netizen kerana berbahaya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad berkata rakaman video berdurasi dua minit dan 20 saat itu mendapati mereka bermain meriam berkenaan di tepi jalan raya dan membuat gangguan bising kepada penduduk.

    “Semalam pihak polis telah mengesan sebuah video membabitkan sekumpulan lelaki sedang bermain meriam yang tular menerusi laman sosial Twitter. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai video itu termasuk mengesan beberapa lelaki yang yang terlibat dalam video itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain meriam karbaid sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana ia kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Video yang tular itu memaparkan sekumpulan lelaki sedang seronok bermain meriam karbaid yang diperbuat daripada paip polivinil klorida (PVC) di hadapan deretan rumah kedai.

    https://twitter.com/i/status/1513333500753358850

    Ia menunjukkan meriam berkenaan dihalakan ke arah jalan raya yang dilalui banyak kenderaan tanpa menghiraukan keselamatan orang ramai.

    Perbuatan itu mendapat kecaman netizen kerana bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadan malah memberi ancaman kepada pengguna jalan raya terutama warga emas yang mungkin akan terkejut selepas mendengar dentuman kuat. – BERNAMA