Tag: PDRM

  • Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    KIRA-KIRA 833,000 buah kenderaan memasuki Pulau Pinang sejak kelmarin ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, bagaimana aliran trafik di negeri itu secara keseluruhannya masih lagi berjalan lancar di kesemua lokasi.

    ”Bagaimanapun di lebuh raya berhampiran Tol Sungai Dua, kenderaan kadang-kadang dilihat perlahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangkakan jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju ke bahagian Utara negara meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu pihak polis juga menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang sepanjang tempoh tersebut.

    Sementara itu, Zafri turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

    Ujarnya, pengguna jalan raya perlu memberi kerjasama jika berlaku kemalangan dan tidak sesekali menggunakan laluan kecemasan selain sentiasa berhemah semasa memandu.

    ”Pemandu juga perlu memastikan baki tol mencukupi serta mendapatkan rehat yang secukupnya sepanjang perjalanan,” katanya.

  • Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    SEORANG anggota polis trafik maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Supt Shuhaimi Jusoh berkata, dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa Ahmad Ibrahim, 31, yang bertugas di Balai Polis Trafik Klang Selatan, Selangor maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Ariana Sofia, 3, cedera parah dan lima penumpang lain cedera ringan.

    “Mangsa yang memandu kereta Perodua Aruz itu dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghantar ahli keluarganya ke Kampung Manik Urai di Kuala Krai, dipercayai telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    POLIS Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hasan berkata, mereka yang ditahan melibatkan 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula pukul 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di Ipoh.

    “Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

    “Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.

    Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – BERNAMA

  • 9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

    9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

    SEMBILAN individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Australia, dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 31 tahun dipercayai bekerja di pusat panggilan sindiket yang beroperasi sejak Mac 2020.

    Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan kemudahan jalur lebar dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram menerusi dua nama iaitu https:///www.facebook.com/ecotravelmalaysia dan https://www.facebook.com/malaysiaecotravel bagi mengiklankan tawaran bekerja di Australia.

    Selain itu, Kamarudin berkata, sindiket turut menggunakan laman web https:www.malaysia-ecotravel.com/. untuk mengajar mangsa cara membuat permohonan visa bekerja di luar negara.

    “Mangsa akan dikenakan bayaran AUD420 (RM1,400) untuk kos proses (permohonan visa) dan sindiket memasukkan maklumat mangsa dalam immiaccount online application sebelum menghantar tangkap layar yang menunjukkan dokumen permohonan serta salinan dokumen palsu yang menggunakan kepala surat Australian Government-Department Home Affairs kepada mangsa.

    “Mengikut rekod dalam immiaccount online application, sebanyak 658 permohonan yang menggunakan kata kunci alamat e-mel sindiket masih dalam proses dengan melibatkan warga Bangladesh, Malaysia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarudin berkata sehingga hari ini sebanyak 1,023 individu telah membuat laporan kepada pihak Kedutaan Australia manakala polis menerima 28 laporan dengan nilai kerugian RM155,472.

    Katanya, sindiket tersebut beberapa kali menukar nama syarikat perniagaan, akaun Facebook dan alamat laman web, antaranya menggunakan nama Top Speed Agency Visa dan Eco Travel Malaysia, namun reka bentuk, templat dalam e-mel, invois serta media sosial masih mengekalkan format sama.

    “Individu yang menjadi mangsa atau mungkin ditipu sindiket ini diminta tampil membuat laporan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dan pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum memohon tawaran kerja yang mencurigakan atau menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03- 26101559 atau 03-26101599,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – BERNAMA

  • Tahanan lelaki lolos lokap ditahan semula

    Tahanan lelaki lolos lokap ditahan semula

    TAHANAN lelaki yang meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru Selasa lepas, berjaya ditahan semula di Batu Kurau, Perak, semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki itu, Azizi Mohammad Hassan, 33, ditahan kira-kira 6 petang di dalam sebuah chalet di kawasan Batu Kurau.

    “Penahanan lelaki itu adalah hasil maklumat orang ramai, risikan serta intipan pihak polis. Kami sedang menjalankan siasatan bagaimana lelaki itu boleh sampai ke sana (chalet) dan dengan bantuan siapa.

    “Seluruh badan lelaki itu bengkak akibat alahan kulit yang teruk dan kami terus membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di George Town hari ini.

    Dalam kejadian 12 tengah malam itu, lelaki terbabit yang ditahan di Jelutong di sini atas kesalahan dadah pada 20 April lepas disedari telah meloloskan diri dari lokap tersebut dan berikutan itu polis melancarkan operasi mengesannya.

    Mohd Shuhaily berkata, semasa ditahan pada 20 April lepas, lelaki itu sememangnya sudah mengalami bengkak namun tidak seteruk semalam.

    Beliau berkata, lelaki itu yang stabil selepas dirawat, kini direman empat hari bermula hari ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 223 serta 224 Kanun Keseksaan selain memudahkan dia menerima rawatan di HPP jika kesihatannya kembali teruk.

    “Berdasarkan siasatan, lelaki itu melarikan diri dari lokap tersebut tanpa bantuan sesiapa termasuk polis yang bertugas di situ, dia juga dipercayai lari dari situ kerana isterinya hendak bersalin,” katanya.

    Menurutnya siasatan mendapati wujud elemen kecuaian dalam kejadian lolos tersebut dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu membabitkan enam anggota berpangkat Lans Koperal serta Koperal berusia 20-an hingga 30-an.

    “Dalam kertas siasatan itu, kami usulkan tindakan yang sesuai (terhadap enam anggota) kepada Timbalan Pendakwa Raya. Enam anggota tersebut telah dibebaskan daripada reman hari ini dan mereka dipindahkan ke bahagian lain untuk penugasan sehingga siasatan selesai,” katanya. – BERNAMA

  • Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    POLIS menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat mendera dua beradik di Jalan Sungai Petani, dekat Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Jalan Sungai Petani, manakala ibu kandung mereka yang berumur 31 tahun, ditahan kira-kira dua jam kemudian di sekitar Jalan Kolam Air, dekat sini.

    “Polis masih sedang menyiasat sama ada ibu dua beradik itu terlibat sama dalam kes berkenaan. Ibu dan bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan reman selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun yang disyaki mencederakan dua anak tirinya, masing-masing merupakan murid darjah satu dan tiga sebuah sekolah rendah di sini, dan hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif terhadap jenis methamphetamine.

    Pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak berkenaan mengesahkan bahawa mereka mengalami kecederaan akibat dipukul, dan mereka kini ditempatkan di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemantauan lanjut. – BERNAMA

  • Tapak pelupusan mercun meletup, tiga cedera

    Tapak pelupusan mercun meletup, tiga cedera

    TIGA pekerja pembersihan cedera semasa menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak pelupusan mercun dan bunga api di sebuah Stor Penyimpanan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian 6.15 petang tadi, tiga lelaki yang berasal dari Sabah itu diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang dilakukan pihaknya pada pukul 3 petang tadi.

    “Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum berlaku beberapa siri letupan dipercayai mercun.

    “Ketiga-tiga mangsa berusia 25 hingga 30 tahun telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Mengulas mengenai prosedur digunakan polis ketika melupus barang kes (mercun dan bunga api), Beh berkata ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Kerja pelupusan ini telah menerima kelulusan dari Mahkamah Majistret 2 Kuala Lumpur yang membenarkan ia dilupuskan menggunakan SOP polis. Majistret juga turut hadir menyaksikan kerja pelupusan yang selesai pada 4.30 petang tadi,” katanya.

    Beh berkata tiada unsur khianat dalam kejadian berkenaan serta tidak menolak faktor cuaca panas hari ini memungkinkan berlakunya percikan api sebelum meletup dan terbakar.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pihaknya menerima laporan kebakaran pada 6.20 petang tadi dan mengerahkan 60 anggota dan 10 jenteranya ke lokasi di Jalan Perhentian, di sini.

    Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka serta 50 kenderaan yang merupakan barang kes di lokasi kejadian.

    “Bomba menggunakan teknik offensive (memadam kebakaran dari dalam bangunan) and defensive (memadam kebakaran dari luar bangunan) firefighting. Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 7.05 malam dan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran sedang disiasat,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Al Kasim, 30-an, berkata sebelum kejadian dia sedang membersihkan longgokan sampah di stor berkenaan.

    “Tiba-tiba saya saya terdengar percikan api besar dari tong sampah besi lalu meletup dengan kuat. Saya terus melompat dari lokasi letupan lalu kaki saya terseliuh dan percikan mercun mengenai bahagian belakang saya,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

    Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sunjeet Kaur, 47, yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian berkata dia dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan kuat.

    “Sewaktu kejadian saya hendak membeli makanan di bazar berhampiran. Saya melihat asap tebal menjulang tinggi,” katanya.

    Hari ini, polis melupuskan 1,059 kotak dan 35 guni mercun dan bunga api pelbagai jenis di stor berkenaan. Mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM4.1 juta yang dirampas pada Mac lepas itu dipercayai untuk dipasarkan semasa Aidilfitri ini. – BERNAMA

  • Treler bawa besi terbabas, pemandu mati tersepit, kelindan tercampak

    Treler bawa besi terbabas, pemandu mati tersepit, kelindan tercampak

    SEORANG pemandu treler dan kelindannya maut selepas kenderaan muatan besi yang dinaiki mereka terbabas semasa menuruni kawasan berbukit di KM55 Jalan Lipis-Merapoh, Lipis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, Mohamad Syawal Ahmad Basari, 34, yang beralamat di Tapah, Perak dan kelindannya Mohd Faizal Mohd Noor, 35, beralamat di Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke arah Merapoh itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri ketika menuruni bukit dan laluan berselekoh.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu treler telah tersepit di tempat duduknya manakala kelindan tercampak keluar dari kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    POLIS menahan sepasang suami isteri selepas disyaki menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM17,660 menggunakan kereta jenis Proton Saga di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis peronda mengesan pasangan berumur 38 dan 42 tahun itu berdekatan lampu isyarat di Kampung Lati-Lubuk Jong kira-kira 10 malam sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

    Beliau berkata, ketika pemeriksaan di dalam kereta didapati ada puluhan bungkusan dan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

    “Kita dapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam kereta tersebut termasuk mercun bola, Sky Thunder, Cracker Ball, mercun mancis dan mercun papan.

    “Kesemua mercun itu disyaki diperoleh dengan cara menyeludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata, siasatan juga mendapati nombor plat kenderaan yang digunakan oleh suspek tidak didaftarkan.

    “Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan jenis Proton Saga itu dianggarkan bernilai RM72,660,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mercun tersebut kemungkinan untuk pasaran di sekitar Kota Bharu kerana terdapat permintaan yang tinggi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. – BERNAMA

  • Bayi 6 bulan maut, ibu patah paha dalam kemalangan

    Bayi 6 bulan maut, ibu patah paha dalam kemalangan

    SEORANG bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya patah paha kaki kiri apabila kereta yang dinaiki bersama keluarga terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 75 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Air Sejuk, Setiu petang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, bayi tersebut, Mohammad Qais Rizqi Shafiee dilaporkan meninggal dunia di Hospital Setiu sementara ibunya yang berusia 29 tahun kini dirawat di hospital sama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu kereta Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dan motosikal Honda Wave.

    Menurut beliau, ketika kejadian, bapa mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Unser dipandu peniaga berusia 49 tahun yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta berkenaan.

    “Selepas itu, datang motosikal ditunggang seorang suri rumah dari arah sama dan juga Toyota Unser yang gagal mengelak lalu bergesel dengan kereta, itu” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut Afandi, bapa bersama dua kakak mangsa yang berusia lima dan dua tahun tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata, semua mangsa terlibat dihantar ke hospital dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan APJ.