POLIS menahan seorang lelaki warga emas semalam yang didapati memandu sebuah van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut – Sitiawan di Lumut selepas video tindakannya itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 74 tahun itu ditahan pada pukul 8.20 malam selepas pihaknya mengesan video berdurasi 19 saat itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok, pada sebelah petangnya.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku Rabu lepas kira-kira pukul 7.15 malam. Van itu membawa lapan pelajar sekolah berusia lingkungan 13 hingga 14 tahun dan lelaki itu mengaku van dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana dia hendak menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu kertas siasatan kesalahan trafik telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
Klip video yang tular dalam TikTok memaparkan sebuah van sekolah yang dipandu melawan arus sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen berhubung keselamatan pelajar-pelajar di dalam kenderaan itu.
Beliau seterusnya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dengan menelefon 05-6886222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA
SEORANG remaja ditahan selepas melanggar seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri dari pemeriksaan jalan raya di Jalan Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu ditahan bagi tujuan pemeriksaan sebelum dia bertindak melarikan diri dan melanggar seorang anggota menyebabkan dia turut terjatuh mengenai penghadang jalan.
“Anggota polis yang dilanggar mengalami kecederaan di kepala manakala remaja terbabit cedera di bahu dan kaki akibat terjatuh dari motosikalnya. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu. Semakan terhadapnya mendapati tiada rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing adalah negatif dan direman tiga hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam selain menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya yang lain. – BERNAMA
POLIS menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan kes penemuan janin di dalam tandas sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki dan wanita berusia 27 tahun itu ditahan di pekarangan Hospital Tuanku Azizah, di Kuala Lumpur pada 12.15 tengah malam semalam.
“Mereka ditahan ketika wanita terbabit menerima rawatan di hospital itu akibat pendarahan serius. Kedua-duanya direman hingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes buang janin itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – BERNAMA
SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan 13 buah kenderaan termasuk sebuah treler yang mengalami masalah brek di Jalan Batu Kawan, Simpang Ampat di Nibong Tebal semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Lee Chong Chern berkata, kemalangan pada kira-kira 6.20 petang itu mengakibatkan Tang Hai Kok, 46, yang menunggang motosikal Y110 meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan serta kepala.
“Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku selepas lori treler dipandu seorang lelaki yang mengalami masalah brek melanggar 12 kenderaan yang terdiri daripada lapan kereta, dua motosikal, sebuah pacuan empat roda dan sebuah van.
“Seorang lagi penunggang motosikal, wanita warga emas berusia 64 tahun, mengalami kecederaan pada kaki dan bahu kiri, dan semua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu mengalami pelbagai kerosakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu berumur 28 tahun yang ditahan untuk siasatan lanjut itu negatif dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
SEORANG pelajar perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dibelasah rakan lelakinya selepas dia enggan mengikutnya ke bilik hotel.
Memetik laporan Malaysiakini, mangsa yang berumur sekitar 20-an ditumbuk pada muka, ditendang dan disamun oleh suspek dalam kejadian di Jalan Kedai Mulong, Kota Bharu, kelmarin.
Gadis berkenaan kemudian ditinggalkan begitu sahaja oleh suspek di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa sebelum itu keluar bersama suspek kira-kira pukul 10 malam untuk makan malam.
Menurut beliau, selepas itu, mangsa diajak suspek menemaninya untuk berjumpa dengan seorang rakan lain di sebuah hotel.
“Semasa berada di hotel itu, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan.
“Mangsa takut dan curiga dengan tindakan berkenaan menyebabkan dia meminta suspek menghantarnya pulang.
“Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran antara mereka. Susulan itu, suspek memberhentikan kereta dan bertindak menumbuk serta menendang mangsa,” katanya hari ini.
Mohd Rosdi memberitahu, suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai mangsa sebelum meninggalkan wanita berkenaan di tepi jalan.
“Mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami bengkak serta lebam pada muka dan hidung dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.
Mohd Rosdi menambah, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian tersebut.
“Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 20-an iaitu seorang anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Menurut Mohd Rosdi, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas mereka tampil menyerah diri.
“Sehubungan dengan itu, pihak polis berjaya selesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
LIMA mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora di Ipoh, dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ipoh.
Memetik laporan Sinar Harian, pelajar-pelajar lelaki terbabit ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.
Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan mengesahkan, kelima-lima mangsa merupakan penuntut universiti berkenaan.
Beliau berkata, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.
“Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis.
“Kita juga telah maklumkan mengenai kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir ke hospital bagi proses pengecaman.
“Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
https://youtu.be/kXc3zcTnAJM
Sementara itu, Bernama melaporkan, polis menahan pemandu treler membawa muatan besi pagar bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabkan lima mangsa rentung.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM 246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.
“Pada masa sama, kereta jenis Honda City sedang mengekori di belakang treler itu dengan memperlahankan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.
“Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata akibat daripada kemalangan itu, kereta yang dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Chukai, Terengganu; Parit Buntar, Perak; Batu Caves, Selangor dan Senai, Johor terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangnya.
“Pemandu dan empat orang penumpang dalam kereta itu tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan kesemua mereka rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pihak bomba kemudian berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dan rentung sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar hari ini,” katanya. – BERNAMA
SEORANG ejen insurans mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila kediamannya di Bandar Baru Tambun di Ipoh dipecah masuk.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang daripada bercuti petang semalam.
“Mangsa bersama ibu serta adik perempuan dan anaknya meninggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira 12.30 tengah hari Selasa lepas.
“Bagaimanapun, semasa mangsa pulang ke rumahnya kira-kira 5 petang semalam mendapati pintu gelangsar dan jeriji dalam keadaan terbuka dan mempunyai kesan umpil serta kunci mangga juga telah dirosakkan di pintu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Anuar berkata, antara barangan yang hilang ialah cincin berlian, anting-anting berlian, jam tangan berjenama Rolex, wang tunai mata wang asing serta pasport antarabangsa milik pengadu dan anaknya dianggarkan kerugian bernilai RM100,500.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik polis menemukan sembilan kesan cap jari dan rumah ejen insurans tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.
“Cap jari yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk tujuan perbandingan dan asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – BERNAMA
SEORANG pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Marang, meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian pada 8.34 pagi itu, pelajar tersebut, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.
“Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.
“Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.
“Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.
Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA
DUA pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang, Beseri yang melarikan diri pada Sabtu, ditahan semula hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, kedua-dua tahanan lelaki itu, ditahan di hadapan sebuah kilang di Chuping pada 1.00 tengah hari tadi.
“Ketika ditahan, kedua pelatih masing-masing berusia 51 dan 44 tahun, masih memakai seluar ‘trek’ gelap namun baju berbeza daripada sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua pelatih itu kini ditahan di lokap Balai Polis Padang Besar.
Semalam Bernama melaporkan, Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar telah melancar Op Tutup bagi mengesan kedua-dua pelatih terlibat. – BERNAMA
SERAMAI 801 individu ditahan menerusi 707 serbuan kes judi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kedah bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 7 Mei lalu.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sebanyak 478 peranti berupa telefon bimbit serta komputer turut dirampas dalam serbuan kes judi tersebut.
Selain itu katanya, jumlah wang tunai yang turut dirampas berjumlah RM139,922.
“Bagi kesalahan judi secara dalam talian, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun.
“Untuk kesalahan menjalankan aktiviti judi loteri awam haram pula disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 hingga RM200,000 atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak tujuh serbuan turut dilakukan melibatkan kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM).
“Seramai tujuh tekong darat atau ‘transporter’ ditahan bagi kes itu manakala tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula seramai 113 orang.
“Sebahagian mereka telah dituduh mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun selain boleh didenda atau kedua-duanya sekali. Selain itu seramai 100 PATI pula telah dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.