Tag: Paul Yong Choo Kiong

  • Sebaik-baiknya Paul Yong lepaskan jawatan Pengerusi FPDSB

    Sebaik-baiknya Paul Yong lepaskan jawatan Pengerusi FPDSB

    MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didapati bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini telah dilantik sebagai Pengerusi sebuah syarikat khas (SPV) milik kerajaan.

    Setakat hari ini, maklumat dalam laman sesawang Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) menunjukkan Paul Yong masih lagi menyandang jawatan tersebut.

    fpdsb paul yong
    Gambar: Laman sesawang FPDSB

    Sebelum ini, timbul tanda tanya tentang pelantikan tersebut yang dibuat secara ‘senyap-senyap’ dan tidak ramai orang yang tahu.

    Tahu-tahu sahaja, nama dan gambar Paul Yong sudah tertera dalam carta organisasi FPDSB iaitu SPV yang ditubuhkan dengan matlamat untuk melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan dari 2006 hingga 2020.

    Ketika itu, Paul Yong masih lagi dalam proses perbicaraan atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Hari ini juga, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan dua sebatan terhadap beliau atas sabitan kesalahan tersebut.

    Walau bagaimanapun, jawatan ADUN yang disandangnya masih kekal kerana Paul Yong dibenarkan membuat rayuan.

    Pada masa yang sama, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam kenyataan hari menyatakan bahawa parti itu akan mempertimbangkan jawatan Bendahari Agung yang disandang beliau dalam mesyuarat Jumaat ini.

    FPDSB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kedudukan Paul Yong dalam syarikat itu selepas keputusan mahkamah dijatuhkan terhadapnya.

    Sebaik-baiknya, Paul Yong menawarkan diri secara sukarela untuk berundur dari jawatan Pengerusi FPDSB.

    Sedikit sebanyak, sabitan terhadap jenayah rogol yang berlaku ketika beliau masih bersama DAP dahulu boleh memberi kesan negatif terhadap reputasi SPV milik kerajaan itu.

    Sepanjang prosiding rayuan berjalan, Paul Yong pasti kerap turun naik tangga mahkamah sekali gus menyukarkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawabnya di FPDSB.

    Lebih molek sekiranya kerajaan mempertimbangkan tokoh lain yang lebih layak menggantikan Paul Yong bagi mempengerusikan syarikat berkenaan.

  • Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

    Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah kemudian membenarkan Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Abdul Wahab berkata hukuman berat perlu dikenakan bagi memberi teladan kepada Yong dan masyarakat.

    Beliau berkata, ia supaya benar-benar memberi pengajaran dan amaran kepada mereka yang bertindak untuk melakukan kesalahan itu.

    “Sebagai majikan sepatutnya bagi perlindungan kepada warga asing tetapi bertindak semata-mata nafsu serakah,” katanya.

    Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

    Sementara itu, Setiausaha di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Junjungan Sigalingging ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menunjukkan sistem perundangan negara ini yang adil. – BERNAMA

  • ADUN Tronoh, Paul Yong bersalah rogol pembantu rumah

    ADUN Tronoh, Paul Yong bersalah rogol pembantu rumah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang membacakan penghakiman kira-kira pukul 10.10 pagi memutuskan Yong bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Beliau juga dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan.

    Yong, memakai kemeja putih, berada di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika penghakiman itu dibacakan oleh Abdul Wahab.

    Mahkamah menangguhkan prosiding seketika bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan hujahan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

    Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. – BERNAMA

  • Rogol amah: Nasib ADUN Tronoh ditentukan 29 Jun

    Rogol amah: Nasib ADUN Tronoh ditentukan 29 Jun

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 29 Jun untuk menyampaikan keputusan sama ada melepaskan atau mensabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan lisan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala Yong diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

    Pada 31 Mac lepas, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas selesai memanggil tiga saksi termasuk Yong, 52, dan isterinya Too Choon Looi, 46.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri terhadap pertuduhan merogol itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. – BERNAMA

  • Sejak bila Paul Yong dilantik sebagai Pengerusi FPDSB?

    Sejak bila Paul Yong dilantik sebagai Pengerusi FPDSB?

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong kini menyandang jawatan Pengerusi Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB).

    Maklumat itu tertera dalam laman sesawang syarikat khas (SPV) milik kerajaan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan dari 2006 hingga 2020.

    Program selama 15 tahun itu disokong oleh peruntukan kewangan berjumlah RM1.045 bilion daripada Kementerian Kewangan sebagai insentif menggalakkan penyertaan swasta melalui mekanisme pinjaman fleksibel.

    Paul dalam ucapan aluan yang disiarkan dalam laman sesawang FPDSB berkata, sebagai Pengerusi yang kelapan, beliau akan melakukan yang terbaik bagi merealisasikan visi dan misi organisasi itu supaya ia menjadi rujukan yang berguna untuk mendapatkan maklumat terkini dan menyeluruh bagi industri balak di Malaysia.

    Walau bagaimanapun, tiada maklumat tentang tarikh lantikan Paul sebagai Pengerusi FPDSB mula berkuat kuasa.

    Paul FPDSB
    Ahli-ahli Lembaga Pengarah FPDSB yang dipengerusikan oleh Paul Yong Choo Kiong. (Gambar: Tangkap layar laman sesawang FPDSB)

    Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Paul membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, pada tahun 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Februari 2022.

    Yong, 51 tahun, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Beliau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Ucapan aluan Paul Yong Choo Kiong selaku Pengerusi FPDSB. (Gambar: Tangkap layar laman sesawang FPDSB)

    Paul yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh atas tiket DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah meninggalkan parti itu pada 2020.

    Beliau kemudian menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai Bersatu pada 2021 dan kini Paul menganggotai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru sahaja ditubuhkan tahun ini.

  • Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menangguhkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lepas setelah Yong dan isterinya menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan 16, 30 dan 31 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan peguam Datuk Rajpal Singh dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

    Rajpal berkata, Yong yang juga saksi pembelaan utama dan isterinya, Too Choon Looi iaitu saksi pembelaan kedua memaklumkan mereka menjadi kontak rapat adik perempuan isteri Yong yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Feb selepas melakukan ujian PCR dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

    “Aplikasi MySejahtera (status) kedua-duanya telah bertukar sebagai kontak rapat dan berubah menjadi warna oren. Kami terpaksa memohon penangguhan kerana saksi pembelaan utama iaitu tertuduh (Yong) sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini dan esok,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili Rajpal dan Salim Bashir.

    Sementara itu, Azlina berkata, tiada bantahan daripada pihak pendakwaan kerana ia merupakan alasan yang sah berikutan COVID-19 adalah sangat berbahaya.

    Rajpal turut memaklumkan penyataan saksi kedua-dua suami isteri itu telah diserah kepada pihak pendakwaan sejak 31 Jan lepas.

    Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Rajpal berkata, Yong yang sudah mendapatkan dos penggalak, perlu menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sehingga esok.

    Yong, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Yong yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, sepatutnya membela diri hari ini. – BERNAMA

  • Kes rogol amah: Nasib ADUN Tronoh diketahui 7 Disember

    Kes rogol amah: Nasib ADUN Tronoh diketahui 7 Disember

    KEPUTUSAN sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan rogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui 7 Disember ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pendakwaan.

    “Saya perlu masa untuk semak dokumen, nota, bukti dan hujahan bertulis semua pihak dalam beberapa minggu sebelum membuat keputusan,” katanya.

    Pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi manakala pihak pembelaan terdiri daripada Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.

    Terdahulu, Rajpal berhujah bahawa terdapat banyak persoalan kepada mangsa yang tidak dapat dijawab secara terperinci termasuk tidak membangkitkan isu rogol itu kepada orang terdekat seperti ibu atau isteri tertuduh.

    Rajpal turut membangkitkan mengenai kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada Yong selain terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

    Peguam itu berkata cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya boleh direka kerana berdasarkan keterangan agensi pekerjaan, dakwaan itu adalah normal sekiranya pembantu rumah ingin pulang ke negara asal serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah selain terdapat konspirasi politik.

    Sementara itu, Azlina berhujah, mangsa telah memberitahu bahawa dia tidak menceritakan kepada isteri tertuduh dan keluarga terdekat kerana telah diugut sebelum ini.

    Azlina berkata mangsa, juga telah menghubungi Kedutaan Besar Republik Indonesia sebanyak tiga kali pada 11 pagi keesokan harinya untuk melaporkan kejadian (dakwaan rogol) dan fakta tersebut disahkan melalui panggilan telefon.

    Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

    Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – BERNAMA

  • Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol amah warga Indonesia

    Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol amah warga Indonesia

    PEGAWAI penyiasat dalam kes Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bahawa siasatan mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu telah merogol pembantu rumahnya.

    Asisten Superintendan Yap Siew Cheng, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, berkata beliau telah menjalankan siasatan dengan lengkap dari pelbagai sudut iaitu di tempat kejadian, rakaman percakapan saksi dan semakan dengan pihak telekomunikasi.

    “Hasil siasatan mendapati segala maklumat yang dimaklumkan oleh mangsa, saya telah buat siasatan dan semakan dengan pihak telco dan Kedutaan Besar Republik Indonesia mendapati masa serta tarikh yang dimaklumkan adalah sama,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

    Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Yong tidak merogol mangsa dan cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya direka kerana dia ingin pulang ke Indonesia serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

    Bagaimanapun, Yap bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa terdapat dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada tertuduh dan keluarganya berdasarkan perbandingan.

    Katanya beliau tidak menjalankan siasatan bagi mengetahui pemilik DNA itu.

    Yap juga berkata terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ di dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

    Saksi itu berkata beliau telah merujuk laporan pemeriksaan perubatan mangsa di negara asalnya bertarikh 8 April 2019 sebelum mula bekerja di rumah tertuduh pada Mei tahun sama dan bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada laporan perubatan spesifik atau pakar untuk mengesahkan keadaan mental wanita tersebut ketika kejadian.

    Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

    ADUN Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – BERNAMA