Tag: Pas

  • Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    PAS akan membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada masa sama berkata, parti itu perlu meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Mengenai tawaran Perdana Menteri (Anwar) kepada Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

    “(Pada masa sama Pas) turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menerima dengan redha serta hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.

    Katanya, Pas mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU-15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

    “Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” tambahnya.

  • Annuar Zaini mohon maaf dakwa Bersatu, Pas rebut jawatan MB Perak

    Annuar Zaini mohon maaf dakwa Bersatu, Pas rebut jawatan MB Perak

    AHLI Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini memohon maaf kepada Bersatu Perak atas dakwaannya bahawa ADUN parti itu merebut jawatan menteri besar dengan Pas serta mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

    Beliau mengakui menulis perkara tidak sahih dalam kumpulan WhatsApp mengenai perkara itu yang kemudian menjadi tular.

    “Kepada Dato Zainol Fadzi (Paharuddin), saya sangat mohon maaf kerana memasukkan elemen tidak sahih yang disampaikan kepada saya.

    “Saya mohon maaf di atas kesilapan fakta tersebut,” kata beliau dalam mesej WhatsApp malam tadi, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Zainol menafikan mana-mana ADUN Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

    Kenyataan yang menjadi tular itu menjatuhkan kredibiliti partinya, kata Setiausaha Bersatu Perak itu.

    Dalam mesej WhatsApp yang tular itu, Annuar dikatakan mendakwa PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan menteri besar sedangkan Sultan Nazrin Shah mahukan kerajaan Perak ditubuhkan segera sebelum tibanya musim banjir.

  • Zainol Fadzi nafi Pas, Bersatu rebut jawatan MB Perak

    Zainol Fadzi nafi Pas, Bersatu rebut jawatan MB Perak

    SETIAUSAHA Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menafikan dakwaan berlaku perebutan jawatan Menteri Besar Perak di antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau berkata, tidak pernah timbul soal perebutan jawatan menteri besar di antara Pas Perak dan Bersatu Perak.

    Malah kata beliau, setiap keputusan sentiasa dibuat secara musyawarah di antara kesemua komponen PN.

    “Saya sendiri tidak pernah gilakan jawatan menteri besar malah kami sendiri patuh kepada kepimpinan pusat dalam apa jua yang telah diputuskan.

    “Malah pertemuan dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tempoh hari pun tuanku menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan banyak kerusi kepada saya dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

    “Tuanku turut menasihati kami agar menjadi wakil rakyat yang menunjukkan sikap yang baik tanpa menimbulkan kekecohan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak pada masa sama menafikan dakwaan parti itu akan keluar daripada gabungan PN sekiranya menteri besar dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.

    Menurutnya, dakwaan yang sedang tular ketika ini disifatkan berniat jahat dan cubaan menjatuhkan kredibiliti Bersatu.

    “Saya perlu beri penjelasan bahawa tidak ada seorang pun ADUN Bersatu pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa iaitu jika menteri besar daripada Pas maka kami akan keluar dari PN, ini satu fitnah besar.

    “Dalam perjumpaan di istana telah memaklumkan kepada tuanku kami hanya mempunyai 26 wakil rakyat sahaja dan kami reda, namun janganlah aibkan kami seperti ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Satu tangkap layar perbualan dalam kumpulan Whatsapp tular hari ini mendakwa terdapat perebutan jawatan menteri besar di antara Pas dan Bersatu.

    Razman dan Zainol Fadzi semalam dititah menghadap Sultan Nazrin menyembah maklum bahawa PN tidak mempunyai majoriti mudah yang boleh menubuhkan kerajaan.

  • Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    PAS tidak akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar bagi menekan mana-mana pihak terutama di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam serta agama masing-masing.

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dan individu bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama tersebut melainkan atas kerelaan serta kefahaman sendiri.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui di Kelantan lebih 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

    Takiyuddin juga berkata para pemimpin dan ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar profesional mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila diberikan kedudukan serta peranan di dalam kerajaan dan agensinya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, PAS yang merupakan komponen Perikatan Nasional tampil sebagai parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu 49 manakala Bersatu 24.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – BERNAMA

  • Pas konsisten dengan agenda penyatuan ummah

    Pas konsisten dengan agenda penyatuan ummah

    SETELAH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melabuhkan tirai, Pas akan terus konsisten dengan agenda penyatuan ummah dan bersama dengan mereka yang inginkan sebuah pentadbiran yang bersih dan stabil.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan agenda itu akan bertunjangkan tiga prinsip utama yang telah digariskan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Menurut beliau, tiga tunjang itu ialah adil kepada semua, satu keluarga Malaysia dan Islam memimpin.

    “Bersama dengan slogan “Islam Menyatukan Ummah”, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) akan terus mara mendukung aspirasi ini dan membina semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, agenda penyatuan ummah bukan satu strategi kemenangan, jauh sekali alat meraih kepentingan bagi parti itu.

    Katanya, demi menstabilkan iklim politik negara, Pas telah menjadi perintis penyatuan ummah antara parti-parti politik Melayu melalui pembentukan Muafakat Nasional dan seterusnya melibatkan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem melalui platform Perikatan Nasional (PN).

    “Gabungan yang baik ini telah berjaya menamatkan kesengsaraan rakyat di bawah pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan.

    “Kemudian, konflik-konflik yang berlaku dek kepentingan peribadi pihak tertentu telah memaksa Pas untuk memilih rakan politik.

    “Tetapi, kita masih bertegas dengan prinsip penyatuan ummah dan akan tetap berusaha untuk menyatukan semua pihak Melayu-Islam atas nama perpaduan ummah,” tambahnya.

  • Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    SAF kepimpinan PAS diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau sebaliknya menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

    Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

    “Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang,’ kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah. Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi. 

    “Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka dekat sini malam tadi.

    Sementara itu Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa kerjasama dengan Barisan Nasional tidak akan berlaku sama sekali.

    Beliau berkata PN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari penentuan esok.

    “Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah. Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya. 

    Turut hadir Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, calon PAS Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan calon PAS Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli. – BERNAMA 

  • PRU-15: ‘Saya tidak restu anak tanding melainkan atas tiket Pas’

    PRU-15: ‘Saya tidak restu anak tanding melainkan atas tiket Pas’

    ISTERI Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menegaskan beliau tidak merestui mana-mana anaknya bertanding dalam pilihan raya melainkan atas tiket Pas.

    Tuan Sabariah berkata, beliau dan arwah suami sudah mendidik anak-anak sejak kecil supaya istiqamah dengan perjuangan Islam bersama Pas.

    “Saya tidak pernah merestui mana-mana anak saya bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecuali di atas tiket Pas.

    “Almarhum Tuan Guru dan saya sudah mendidik anak-anak sejak kecil supaya kekal Istiqamah dengan perjuangan Islam bersama Pas,” katanya menerusi kenyataan malam tadi, lapor Berita Harian.

    Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada anaknya, Nik Omar yang bertanding di Parlimen Pasir Salak atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru. Selain Khairul Azwan Harun daripada Barisan Nasional (BN) dan Nik Omar, kerusi itu juga ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), Jamaludin Yahya dan calon PEJUANG, Zairol Hizam Zakaria.

    Nik Omar sebelum ini pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan namun tewas pada PRU14) di kerusi yang pernah disandang arwah bapanya.

  • Pas tidak didominasi Bersatu dalam PN – Tuan Ibrahim

    Pas tidak didominasi Bersatu dalam PN – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan parti itu didominasi Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), bahkan menjelaskan situasi mereka lebih kurang sama dengan BN.

    Malah tegas Tuan Ibrahim, tidak timbul isu siapa mendominasi siapa dalam PN kerana setiap keputusan yang diambil, ia diputuskan secara bersama.

    “Tidak, kita ada majlis tertinggi parti yang (melibatkan) semua komponen kelima-lima parti dalam majlis tertinggi .

    “Sama dengan BN, orang lihat BN didominasi oleh UMNO. Sedangkan dia buat keputusan bersama-sama, kita (PN) pun sama.

    “Apabila bermesyuarat Tan Sri Muhyiddin (Yassin) adalah pengerusi. Jadi, semua kenyataan mestilah daripada pengerusi.

    “(Keadaan itu) bukan bermakna didominasi tetapi ialah keputusan bersama yang disebut oleh pengerusi. Saya rasa tak timbul soal dominasi,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Petang Bersama Timbalan Presiden Pas di Batu Enam, Kuala Nerus, petang tadi.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata setiap keputusan yang dibuat Pengerusi PN itu juga “mesti dibincangkan” dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Apa-apa keputusan pun Tan Sri Muhyiddin mesti dibincangkan dengan presiden Pas, hatta dia pun datang ke Terengganu.

    “Kalau ada benda penting dia (Muhyiddin) akan datang ke Terengganu, jumpa tok guru (Abdul Hadi).

    “Saya pun banyak kali jumpa dia dan setiap kali ada benda penting dia akan bincang dengan Pas . Sebab Pas dengan Bersatu ini menjadi tunggak kepada PN,” tegasnya, lapor Malaysiakini.

    Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas dakwaan Bersatu dilihat lebih dominan daripada Pas susulan banyak keputusan gabungan itu dibuat oleh Muhyiddin.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Bersatu lebih dominan dalam PN dan parti itu hanya memperalatkan Pas demi kepentingan mereka pada PRU ke-15.

    Ismail Sabri turut berkata, penyokong Pas tidak belajar daripada pengalaman PRN Melaka dan Johor, selain berpendapat mereka perlu sedar “taktik licik Bersatu”.

    Dia turut menyeru pengundi memberikan undi kepada calon BN jika tiada calon Pass di kawasan ditandingi PN.

  • Muhyiddin tegaskan hubungannya dengan pemimpin Pas baik, nafi PN bergolak

    Muhyiddin tegaskan hubungannya dengan pemimpin Pas baik, nafi PN bergolak

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya teguran beliau kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kerjasama dengan Barisan (BN) menggambarkan bahawa gabungan itu sedang bergolak.

    Kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, hubungan antara pemimpin dalam parti komponen PN cukup utuh tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang sedang berpecah-belah menjelang PRU-15.

    “Tidak ada pergolakan dalam PN, dalam BN lagi teruk, malam nanti saya dengan tuan guru (Abdul Hadi Awang) akan kempen di Muar, kami tiada masalah, mereka nak kata macam mereka (BN), mereka banyak masalah perpecahan, hancur lebur, calon patut bertanding tak boleh bertanding tersingkir,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Bukit Pasir hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Pas sebagai parti besar dalam PN sepatutnya mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungan, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas PRU-15.

    Muhyiddin berkata, pihak yang menuduh kononnya PN bergolak dibuat tanpa asas kukuh.

    “Kenyataan asal Takiyuddin tidak dipetik secara betul dan tepat (berhubung kerjasama dengan BN) dan Takiyuddin sudah betulkan, saya sudah betulkan, tuan guru Hadi pun sudah betulkan di mana pendirian kita ialah, PN dalam masa hadapi PRU-15 kita bertegas kita bertanding atas PN, saya tak fikir soal gabungan mana.

    “Kalau saya kata PN nak bergabung orang akan kata apa guna sokong PN dia nak masuk kerjasama dengan puak Zahid Hamidi kluster mahkamah, bodoh lah saya. Sebab itu kita ambil kenyataan sangat jelas kami bertanding atas PN, apa kita tawarkan dalam PN, apakah ada kaitan dengan BN, tak ada,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Takiyuddin sebelum ini mencetuskan perdebatan banyak pihak susulan kenyataannya bahawa PN sedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan, sebelum bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu tampil menafikannya sambil memaklumkan ucapan beliau dipetik di luar konteks.

    Susulan itu Hadi dan Muhyiddin tampil menjelaskan bahawa PN akan membentuk kerajaan secara solo dan tiada sebarang kerjasama dengan BN.

  • ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin menjelaskan kenyataan beliau mengenai penggabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diambil di luar konteks.

    Malah tegas beliau, tajuk dalam laporan media itu juga adalah mengelirukan pengundi.

    “Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.

    “Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

    “Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media hari ini memetik Takiyuddin sebagai berkata, Pas akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

    “Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

    “Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.

    “Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya, lapor Berita Harian.