Tag: Pas

  • Tak patut desak bubar Parlimen awal – Abdul Hadi

    Tak patut desak bubar Parlimen awal – Abdul Hadi

    DESAKAN pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak wajar memandangkan ketika ini rakyat agak terbeban dengan isu ekonomi dan kos sara hidup, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, Pas bersedia untuk berdepan PRU-15 pada bila-bila masa, namun kesusahan rakyat perlu diberi keutamaan dan diselesaikan.

    “Berdasarkan perkembangan ekonomi dunia banyak pihak yang terkesan akibat peperangan antara Rusia-Ukraine di samping krisis harga minyak yang turut mempengaruhi ekonomi negara.

    “Tambahan pula, Covid-19 masih belum diisytiharkan tamat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila, Marang hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, kerajaan tidak perlu tunduk desakan mana-mana pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan.

    “Kita tidak bergantung kepada desakan sesiapa. Mereka (yang mendesak) hanya mahukan kuasa.

    Kita bukan nak kuasa kita mahu kepada rakyat sahaja, jangan susahkan rakyat.

    “Mereka yang mendesak supaya diadakan PRU dalam keadaan negara berdepan inflasi ini hanya pentingkan diri sendiri,” ujar beliau.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menyangkal pandangan mengatakan 32 kerusi Pas kritikal jika tiada kerjasama dengan BN dalam PRU-15.

    “Kita ada kajian kita sendiri di mana post- mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kita dapati undi BN tak berganjak.

    “Mereka yang undi Pakatan Harapan (PH) pula sudah tidak undi PH malah undi kita meningkat 100 hingga 200 peratus,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU-15 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

    Ahmad Zahid berkata, pertemuan bersama Ismail Sabri serta ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen yang dijangka berlaku bila-bila masa.

  • UMNO, BN Perlis gerak solo tanpa kerjasama PAS

    UMNO, BN Perlis gerak solo tanpa kerjasama PAS

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis bersedia untuk bergerak solo tanpa melibatkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu tidak ingin meneruskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

    Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, UMNO negeri tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS dan apa yang dilakukan sebelum ini dibuat secara bersendirian.

    “Tidak ada pun kerjasama politik antara BN dan PAS pada masa ini,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kepada pemberita di Kangar malam tadi.

    Beliau berkata, dapat dilihat bahawa isyarat yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS dilihat tidak konsisten sama ada mahu meneruskan atau menamatkan kerjasama MN dengan meletakkan kesalahan kepada UMNO menerusi kenyataan negatif oleh beberapa pemimpin PAS sebelum ini.

    “Kenyataan sebegini tidak memberikan semangat untuk kita menghidupkan kembali MN namun ia tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO nanti,” katanya menambah bagi meneruskan MN, ia terpulang kepada PAS untuk membuat pilihan dan UMNO juga mempunyai pilihan sendiri. – BERNAMA

  • PAS tetap istiqamah bersama PN – Muhyiddin

    PAS tetap istiqamah bersama PN – Muhyiddin

    TAN SRI Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa PAS tetap istiqamah bersama Perikatan Nasional (PN).

    Pengerusi PN itu berkata, pendirian itu ditegaskan oleh PAS dalam pertemuannya dengan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

    “Tapi apa PAS nak buat kita nak buat ada usaha tertentu tak apa, akhirnya kita akan duduk semeja bincang apa yang terbaik untuk PN.

    “Dan yang lebih penting apa yang terbaik untuk negara, itu yang saya fikir perlu kita berikan perhatian,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi MPN diminta mengulas tentang laporan media semalam di mana Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, partinya akan terus mempertahankan hubungan bersama UMNO kerana agenda penyatuan ummah yang menjadi tunjang utama Muafakat Nasional (MN) adalah lebih besar berbanding kelangsungan mana-mana parti politik tertentu.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu menambah, pada dasarnya, PN tidak menghalang mana-mana parti termasuk PAS yang dalam gabungan politik tersebut untuk mengambil sebarang langkah asalkan ia berpegang pada prinsip penyatuan ummah.

    “Kalau ikut sejarah, kita pun nak sertai MN dulu tetapi kita ditolak, tak diterima walaupun dah dijawab secara rasmi.

    “Jadi ini usaha yang PAS nak ambil secara usaha mereka tetapi sama ada usaha itu akan berhasil wallahualam.

    “Saya tak dapat pastikan kerana daripada kenyataan pihak UMNO termasuk Presiden yang terkini pun bahawa sudah sampai masa tiada lagi MN,” jelasnya.

    Beliau berkata, pihak di luar MN termasuk parti yang sebahagian daripada PN tidak tahu apa strategi sebenar iaitu sama ada MN akan diteruskan atau sebaliknya.

    “Tetapi tak apa kita tidak menghalang, kita menghormati.

    “Akan sampai tahap nanti kita dapat keputusan yang muktamad jadi atau tak jadi dan sebagainya.

    “Tetapi di sudut PN kita masih dalam PN,” katanya.

  • PAS kekal sokong RUU Anti Lompat Parti

    PAS kekal sokong RUU Anti Lompat Parti

    PAS kekal dengan pendirian menyokong Rang Undang-undang Anti Lompat Parti, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata, sebelum ini juga, Kelantan di bawah pentadbiran PAS telah meluluskan enakmen anti lompat parti di negeri itu, tetapi dibatalkan oleh Mahkamah Agung.

    “Secara dasarnya kita bersetuju dengan RUU ini cuma dari segi teknikal sahaja ia sedang diperhalusi oleh Kabinet. Jadi sekarang kita serah kepada Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

    Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan bermula 11 pagi hingga 2 petang itu dihadiri lebih 30,000 pengunjung. – BERNAMA

  • Tiada keperluan mendesak bubar Parlimen – Takiyuddin

    Tiada keperluan mendesak bubar Parlimen – Takiyuddin

    TIDAK ada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan memandangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bergerak dengan teratur mengikut Perlembagaan.

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini kerajaan yang ada perlu menyelesaikan beberapa tugas terutamanya melibatkan fasa pemulihan pasca COVID-19.

    Beliau berkata, secara umum tempoh penggal PRU14 juga masih berbaki sehingga Julai 2023.

    “Pemulihan ini dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya, jadi perlu diberi peluang kepada kerajaan yang sedang berjalan untuk menyelesaikan pasca pemulihan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kampung Sireh, di Kota Bharu hari ini.

    Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata PAS sedang memperkuatkan parti tersebut menerusi tambahan cawangan dan ahli.

    “Setiap bulan PAS pusat ada mesyuarat bulanan dan kita menerima sebanyak 2,000 ahli baharu dan cawangan baharu.

    “Kita ada 197 kawasan di seluruh negara dan saya sudah mengarahkan supaya ditambah lagi,” katanya.

    Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, Unit Pembahagian Pusaka di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) akan dinaik taraf kepada sebuah jabatan menjelang akhir tahun ini.

    Beliau berkata, ketika ini rundingan berkaitan peruntukan serta perjawatan dengan jawatan tertinggi adalah ketua pengarah sedang diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    “Saya melihat keperluan cukup mendesak untuk menaik taraf Unit Pembahagian Pusaka kepada sebuah jabatan kerana banyak kes tertunggak membabitkan permohonan dan pembahagian harta pusaka,” katanya.

    Pada 3 Mac lepas, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan Dewan Rakyat bahawa sebanyak 72,348 kes pembahagian harta pusaka tertunggak direkodkan sehingga 31 Dis lepas dengan Kedah dan Selangor masing-masing mencatat jumlah tertinggi, iaitu 13,423 dan 10,358 kes.

    Beliau juga dilaporkan berkata sebanyak 43,519 kes pembahagian harta pusaka dengan nilai keseluruhan RM11.2 bilion telah diselesaikan pada 2021, dengan nilai kutipan fi RM14.5 juta sebagai pendapatan Kerajaan Persekutuan. – BERNAMA

  • Kerjasama PAS dan PH tidak akan berulang – Abdul Hadi

    Kerjasama PAS dan PH tidak akan berulang – Abdul Hadi

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan bahawa kerjasama politik antara parti itu dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata, kerjasama menerusi strategi ‘khemah besar’ seperti yang disebut oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu tidak akan berlaku malah PAS akan meneruskan kerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

    “Kita dah bekerjasama 20 tahun lebih dah… cukuplah tu. Kita akan usahakan supaya (kerjasama dengan PN) kekal, dengan PH memang tidak akan berulang,” katanya kepada pemberita di Masjid Rusila di Marang hari ini.

    Ahli Parlimen Marang itu juga berkata tidak mungkin kerjasama dalam politik akan berulang setelah ia berakhir. – BERNAMA

  • PH mesti jiwa besar, buka pintu rundingan dengan Bersatu dan PAS

    PH mesti jiwa besar, buka pintu rundingan dengan Bersatu dan PAS

    PAKATAN Harapan (PH) perlu membuka pintu rundingan dan perbincangan kepada semua pihak termasuk Bersatu dan PAS bagi membentuk kem pembangkang yang ampuh dalam menentang Barisan Nasional (BN).

    Saranan itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang pada masa sama, meminta pemimpin-pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan melupakan perkara lalu.

    Memetik laporan BH, apa yang penting, kata beliau, adalah merealisasikan gagasan Khemah Besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi memastikan pembangkang bersepakat sekali gus berupaya meyakinkan pengundi untuk menyokong besar.

    Salahuddin menambah, sehubungan itu, pembangkang sewajarnya duduk semeja dan berani membuat keputusan yang besar untuk berdepan dengan BN.

    “Kalau kita tak capai kesepakatan kita akan hancur berkecai. Jadi saya harap kita dapat buat sesuatu dan Amanah sendiri sentiasa akan ambil sikap proaktif dan progresif untuk melakar satu politik baharu yang kita akan lakukan secepat mungkin sebelum PRU-15.

    “Kalau kita dapat adakan satu persefahaman untuk memaafkan dan melupakan, tidak lagi mengungkit masa lalu untuk kita melakari masa depan. Ini yang penting ketika ini untuk kita jadikan realiti.

    “Jadi kita perlu duduk semeja fikirkan mengenai kesepakatan satu lawan satu daripada berpecah-belah,” katanya selepas majlis Iftar bersama pengamal media Johor, di Johor Bahru, malam tadi.

    Ahli Parlimen Pulai itu berkata, perbincangan antara PH, Bersatu dan PAS perlu dilakukan lebih awal untuk menghadapi musuh.

    “Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.

    “Kita berjumpa berbincang dulu. Tak bolehlah dulu kita tak berkawan, sekarang pun nak teruskan permusuhan,” ujarnya.

    Namun, Presiden Amanah, Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, pendekatan ‘khemah besar’ yang dianjur partinya tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS.

  • PAS sahkan tiada kerjasama dengan ‘khemah besar’ PH

    PAS sahkan tiada kerjasama dengan ‘khemah besar’ PH

    PAS sepanjang masa amat konsisten dengan pendirian mendukung dan memperkuat kerajaan Persekutuan yang diterajui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, PAS juga melalui pendekatan politik matang dan sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Apa yang penting dalam era pascapandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” katanya.

    Takiyuddin berkata, PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

    Beliau berkata, PAS mengucapkan terima kasih atas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang mengesahkan bahawa PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dan sekali gus tidak akan menjalin kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam pendekatan ‘Khemah Besar’ bagi menghadapi PRU15 nanti.

    Mohamad dalam kenyataannya hari ini berkata pendekatan ‘khemah Besar’ yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS. – BERNAMA

  • Teruskan MoU kerajaan dan pembangkang hingga Parlimen bubar – PAS

    Teruskan MoU kerajaan dan pembangkang hingga Parlimen bubar – PAS

    PAS yakin Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan pembangkang akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MoU tersebut akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata.

    Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan bahawa MoU tersebut tidak akan diteruskan selepas tempohnya berakhir pada 31 Julai ini.

    Selain itu, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan bahawa Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Takiyuddin menambah, PAS menyambut baik keputusan UMNO mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

    “Sebagaimana buat masa ini PAS mendokong serta menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri Ke-9 ini, PAS mengharapkan Agenda Perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

    “Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  • Tak perlu gopoh buat RUU Anti Lompat Parti – Abdul Hadi

    Tak perlu gopoh buat RUU Anti Lompat Parti – Abdul Hadi

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpendapat penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak perlu dilakukan secara gopoh.

    Sebaliknya kata Abdul Hadi, rang undang-undang itu memerlukan penelitian secara mendalam dan menyeluruh sebelum dibentang serta dibahaskan di Parlimen.

    “Kita kena sedar lompat parti ini ada sebabnya. Jika sebab (lompat parti) itu betul, tidak boleh tolak tapi kalau sebab itu salah baru kita tolak. Ini perlu kepada pentaksiran kerana perjuangan kita selamatkan rakyat, bukan selamatkan diri.

    “Kalau parti itu sudah tidak betul, takkan dia mahu ikut parti itu lagi, termasuk PAS sendiri, kalau PAS sudah ubah dasar orang PAS tidak boleh ikut. Sebab itu ia perlu ada huraian dan tidak boleh buat mudah-mudah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Abdul Hadi, lompat parti bukan isu baharu kerana masalah tersebut sudah berlaku sejak tahun 1959 dan kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan sendiri pernah jatuh akibat tindakan berkenaan.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, pengalaman itu menyebabkan PAS memperkenalkan baiah.

    “PAS sebut dalam baiah, mana-mana wakil rakyat PAS lompat parti wajib letak jawatan, jika tidak akan dilaknat oleh ALLAH SWT.

    “Kita sudah ikat kerana kita sudah lama menghadapi masalah ini.

    “Memang undang-undang ini perlukan penelitian, tidak perlu gopoh,” katanya.

    Abdul Hadi turut menolak dakwaan mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melengah-lengahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.

    “Tidak timbul isu berlengah-lengah kerana Bersatu akan berbincang dengan kita dan rakan dalam PN termasuk Sarawak dan Sabah serta sebahagian UMNO,” katanya.