Tag: Parti Bangsa Malaysia

  • Ahli Parlimen Lubok Antu tak minat sertai PBM

    Ahli Parlimen Lubok Antu tak minat sertai PBM

    AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang tidak berminat menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) walaupun dipelawa oleh pemangku Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Sebaliknya, beliau ingin menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan telah mengemukakan permohonan tiga bulan lalu.

    “Tetapi, disebabkan dari awal lagi saya tetap dengan pendirian untuk menyokong parti tempatan di Sarawak, jadi fokus saya adalah menyertai parti tempatan.

    “Saya sudah menyatakan sokongan untuk menyokong parti tempatan, iaitu komponen GPS. Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya, saya harap permohonan saya diterima,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Jugah menambah, beliau memilih PRS kerana Parlimen Lubok Antu merupakan kerusi tradisi parti itu dan berharap dapat terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pada PRU-14, Jugah yang bertanding sebagai calon bebas, memenangi kerusi Lubok Antu dengan majoriti 1,059 undi.

    Pada 12 Mei 2018, beliau bersama lima yang lain telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan parti kerajaan persekutuan ketika itu.

    Kemudiannya, pada 5 Jun 2020, Jugah telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau keluar PKR lalu menjadi wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Semalam, Zuraida dilaporkan mempelawa Jugah untuk menyertai parti baharu itu yang kini mempunyai 190 bahagian di seluruh negara, selepas beliau dan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dikhabarkan akan berhijrah ke PBM.

  • Zuraida terus diangkat sebagai bakal Presiden PBM

    Zuraida terus diangkat sebagai bakal Presiden PBM

    AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin diterima sebagai anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan terus diangkat sebagai bakal Presiden parti.

    Presiden PBM, Larry Sng berkata, Biro Politik dan Majls Tertinggi parti memutuskan untuk meluluskan permohonan kemasukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ke dalam PBM, yang diterima pada 26 Mei lepas.

    Beliau berkata, Zuraida juga dinobatkan sebagai bakal Presiden parti sebagaimana yang diinginkan oleh akar umbi, dan akan menerajui parti dalam menentukan hala tuju politiknya.

    “Semasa ketiadaan saya, beliau akan menerajui parti. Saya juga telah memberikan mandat kepadanya untuk mengetuai delegasi serta pemimpin parti, dari segi kemasukan parti untuk menyertai mana-mana pakatan politik,” katanya dalam persidangan media di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, dalam menghormati hak prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan Zuraida sebagai menteri, parti itu berharap Zuraida akan dikekalkan dengan jawatan itu, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan PBM kepada kerajaan.

    “PBM adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan kami menyokong perdana menteri. Soal berhubung kedudukan menteri, kita serahkan kepada prerogatifnya.. PBM harap perdana menteri akan mengekalklan kedudukan Zuraida sebagai menteri berdasarkan kepada prestasinya dan sokongan yang diberikan PBM kepada kerajan,” katanya.

    Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keputusannya menyertai PBM, dan katanya beliau akan berjumpa dengan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai kedudukannya dalam kabinet.

    Sementara itu Zuraida berkata, beliau masih belum menemui perdana menteri untuk berbincang mengenai perkara itu.

    “Saya belum dapat tarikhnya kerana Perdana Menteri sedang sibuk. Dia sekarang berada di Kedah untuk berjumpa dengan Sultan Kedah dan saya masih lagi menunggu,” katanya. – BERNAMA

  • PBM tanding kerusi Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani

    PBM tanding kerusi Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengumumkan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohd Talha berkata, kerusi-kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani.

    Menurut beliau, calon-calon PBM yang akan bertanding adalah Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (N15: Maharani), Mohd Azmi Ali (N40: Tiram), Steven Choong Shiau Yoon (N41: Puteri Wangsa) dan Muhammad Saiful Bahari Sahari (N45: Stulang).

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

    Parti Bangsa Malaysia telah memutuskan untuk meletakkan calon di empat kawasan DUN dalam PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac 2022.

    Keputusan awal adalah untuk Parti Bangsa Malaysia bertanding di dua kawasan DUN.

    Bagaimanapun, kajian penilaian lapangan dijalankan Jabatan Pilihan raya telah mengenal pasti dua lagi kawasan DUN yang berpontensi untuk Parti Bangsa Malaysia memperolehi kemenangan.

    Empat kawasan tersebut adalah DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).

    Calon-calon yang akan bertanding adalah Muhammad Hanis Asmui Bin Md Salleh (N15: Maharani), Mohd Azmi Bin Ali (N40: Tiram), Steven Choong Shiau Yoon (N41: Puteri Wangsa) dan Muhammad Saiful Bahari Bin Sahari (N45: Stulang).

    Calon-calon Parti Bangsa Malaysia akan membawa aspirasi Agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi dan peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.

    PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang disertai oleh Parti Bangsa Malaysia, yang mana ia merupakan medan untuk mengetengahkan iltizam parti dalam usaha membina Malaysia yang lebih inklusif dan progresif untuk masa hadapan.

  • PBM akan bertanding 2 kerusi PRN Johor

    PBM akan bertanding 2 kerusi PRN Johor

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi PBM.

    “PBM akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau menambah, PRN Johor adalah medan terbaik untuk PBM memperkenalkan Agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.

    “Kami berharap akan dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti-parti politik lain yang bertanding di dalam PRN pada kali ini, dengan iltizam bagi mengukuhkan aspirasi demokrasi di Johor,” jelasnya.

  • 3 ADUN Perak masuk PBM, kerajaan negeri masih utuh

    3 ADUN Perak masuk PBM, kerajaan negeri masih utuh

    TINDAKAN tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru dilancarkan pada 21 Dis lepas, tidak memberi kesan kepada kestabilan kerajaan negeri.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana ketiga-tiga ADUN tersebut tidak menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan hanya bertukar parti.

    “Selagi kerajaan ada kerusi yang mencukupi, tidak ada apa kesan sebab sekarang kita ada 36 kerusi yang menyokong kerajaan sedia ada. Tiga ADUN itu mengatakan mereka hanya tukar parti dan tidak menarik sokongan pada kerajaan negeri jadi ia tidak memberi apa-apa kesan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek pecah tanah kerja naik taraf Jalan Tambun di Ipoh hari ini yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Tiga wakil rakyat yang menyertai PBM ialah ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam; ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng.

    Leong dilaporkan berkata, ketiga-tiga mereka menyokong kerajaan pimpinan Menteri Besar, selaras dengan keputusan Presiden PBM, Larry Sng bahawa parti itu di peringkat Persekutuan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Pada pemilihan parti yang berlangsung pada Sabtu lepas, Sivasubramaniam dipilih sebagai Naib Presiden Kanan 2 manakala Yong dilantik sebagai Bendahari Agung PBM.

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau telah cuba menghubungi Sivasubramaniam dan Yong yang sebelum ini merupakan ahli bersekutu Bersatu untuk mengesahkan mengenai perkara itu namun gagal.

    “Saya sudah hantar mesej untuk bertanyakan kepada mereka berdua tetapi belum berjawab jadi saya tidak dapat berikan kepastian, tetapi tidak mengapa kerana saya lihat kerajaan negeri Perak masih utuh dan itu yang paling penting.

    “Saya percaya Menteri Besar bagi fokus pada masalah rakyat dan itu yang kami akan bantu serta beri sokongan penuh kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau dan kami yakin bahawa pentadbiran sekarang berjalan dengan amat baik,” katanya.

    Saarani ketika ini memiliki sokongan 36 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu sebanyak empat kerusi, PAS tiga kerusi, PBM tiga kerusi dan bebas satu kerusi.

    DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

    Terdahulu, Saarani berkata projek kolaborasi bagi menaik taraf Jalan Tambun antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Sunway City Ipoh Sdn Bhd sepanjang 5.2 kilometer itu melibatkan kos sebanyak RM16.35 juta bermula 1 April lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada September depan. – BERNAMA

  • Pemimpin Bersatu masuk PBM gugur keahlian automatik

    Pemimpin Bersatu masuk PBM gugur keahlian automatik

    KEAHLIAN beberapa pemimpin Bersatu termasuk yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tergugur secara automatik apabila mereka menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan perkara itu dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

    Antara bekas pemimpin Bersatu yang terlibat ialah ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang sedang berdepan tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam.

    Kedua-duanya merupakan bekas pemimpin DAP sebelum menyertai Bersatu pada Mac 2020.

    “Perlembagaan Bersatu jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli Bersatu menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur.

    “Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua,” jelas Wan Saiful.

    Sivasubramaniam dilantik sebagai Naib Presiden Kanan II PBM manakala Choo Kiong memegang jawatan Bendahari Agung.

    Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menggesa kerajaan menamatkan kontrak lantikan bekas-bekas pemimpin Bersatu yang menyertai PBM.

    Menurut beliau, langkah tersebut wajar dibuat kerana PBM bukanlah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) atau mana-mana gabungan kerajaan sekarang.

    Satu lagi pilihan, katanya, adalah meminta mereka meletakkan jawatan secara sukarela.

    Wan Saiful menambah, perkembangan terkini itu tidak menjejaskan Bersatu.

    Beliau memberitahu, partinya akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, antirasuah dan anti salah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.

    “Dan Bersatu juga semakin berkembang, dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan,” katanya.

    Senarai kepimpinan PBM yang diumumkan semalam adalah seperti berikut:

    Presiden: Larry Sng

    Timbalan Presiden I: Haniza Mohamed Talha

    Timbalan Presiden II: Wong Judat

    Naib Presiden Kanan I: Steven Choong

    Naib Presiden Kanan II: A Sivasubramaniam

    Naib Presiden:

    Rahimah Majid

    Sathish Kumar

    Saful Bahari Sahri

    Setiausaha Agung: Nor Hizwan Ahmad (lantikan)

    Timbalan Setiausaha Agung: Jenny Chiew (lantikan)

    Bendahari Agung: Paul Yong (lantikan)

    Ketua Penerangan; Zakaria Abdul Hamid (lantikan)

    Ketua Wanita: Daroyah Alwi

    Ketua Pemuda: Na’im Brundage

    Anggota Majlis Tertinggi:

    Ab Aziz Ab Kadir

    Alan Oh Teik Choon

    Lee Chin Cheh

    Zakaria Abdul Rahim

    Dr. Kaniappan

    Levenia Mawas

    Engga anak Unchat

    Chua Lian Chye

    Roger Tan Seng Huat

    Leong Cheok Keng

    Shuhada Abdul Rahim

    Ong Chin Wen

    Albakri Salim

    Ahmad Khairul

    Ramana K. Naidu

    Muniraa Abu Bakar (lantikan)

  • Zuraida tidak ditawar pimpin mana-mana parti politik

    Zuraida tidak ditawar pimpin mana-mana parti politik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa beliau tidak pernah dicalonkan mana-mana pihak untuk memimpin sebuah parti politik yang baru diwujudkan.

    Zuraida yang baru-baru ini dikaitkan akan memimpin Parti Bangsa Malaysia bagaimanapun berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa boleh memulakan kewujudan sesebuah parti asalkan mereka memiliki niat untuk membawa kebaikan kepada negara.

    Ketika disoal lebih lanjut berhubung desas-desus berkenaan, Zuraida kemudiannya mengembalikan soalan tersebut kepada pemberita.

    “Parti itu belum ada nama lagi, macam mana tak tau pimpin? Tak ada orang nak pimpin lagi, macam mana nak pimpin?

    “Semua orang dalam parti politik, kerajaan atau sebagainya perlu memikirkan untuk membangunkan negara dan membantu rakyat. Itu yang penting.

    “Kalau ada 10 atau 20 parti pun, kalau niatnya sama (untuk membangunkan negara), maka negara ini akan membangun tetapi kalau niatnya lain, negara ini takkan membangun,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS), Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai dekat sini, hari ini.

    Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan Zuraida akan keluar dari Bersatu dan memimpin Parti Bangsa Malaysia bersama beberapa bekas Ahli Parlimen PKR antaranya, Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar.

    Parti baharu tersebut bagaimanapun dikatakan akan bertindak sebagai mesra kerajaan.

  • Larry Sng Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia, siapa pula Presidennya?

    Larry Sng Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia, siapa pula Presidennya?

    AHLI Parlimen Julau, Larry Sng hari ini mengesahkan bahawa beliau merupakan Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

    Memetik laporan New Straits Times, beliau berkata, partinya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

    Walau bagaimanapun, katanya, Parti Bangsa Malaysia akan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Tidak, kami tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri, kami akan menyokong GPS,” katanya.

    Bekas Pengerusi PKR Sarawak itu menambah, parti politik baharu itu akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu akan datang.

    Beliau juga akan menjelaskan lebih lanjut tentang Parti Bangsa Malaysia pada hari pelancaran.

    Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengesahkan bahawa beliau berganding bahu dengan Larry dalam proses membentuk sebuah parti politik baharu.

    Beliau menyatakan bahawa parti itu terbuka kepada semua kaum dan mengalu-alukan Ahli Parlimen Bebas termasuk bekas pemimpin PKR untuk menyertainya.

    Borang permohonan keahlian Parti Bangsa Malaysia yang tular dalam media sosial.

    Ura-ura tentang penubuhan parti tersebut mula timbul baru-baru ini apabila salinan borang permohonan keahlian parti itu tular dalam media sosial.

    Setakat ini, masih belum diketahui siapakah pucuk pimpinan tertinggi parti itu yang menyandang jawatan Pengerusi atau Presiden.

    Walaupun Larry menyatakan partinya menyokong GPS di Sarawak, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menyokong kerajaan sedia ada yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Banyak rahsia menyelubungi parti baharu itu dan diharap segala persoalan akan terungkai apabila ia dilancarkan kelak.