KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diperuntukkan RM100 juta iaitu masing-masing RM50 juta untuk menggerakkan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir.

Inisiatif itu diumumkan dalam sidang media bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Putrajaya, hari ini.

Reezal Merican berkata, menerusi inisiatif tersebut, kedua-dua kementerian memperuntukkan kos sebanyak antara RM5,000 dan RM15,000 bagi proses baik pulih rumah yang terjejas akibat banjir manakala RM56,000 bagi kos bina baru rumah.

“KPKT bertanggungjawab bagi rumah-rumah kategori bandar di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala KPLB pula rumah-rumah di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurut Reezal Merican, sebanyak 8,257 buah rumah dibawah seliaan KPKT dikenal pasti terjejas akibat banjir setakat ini dan daripada jumlah itu, 113 buah bagi proses pembinaan baru manakala bakinya untuk dibaik pulih.

“Angka-angka ini bersifat dinamik dan dijangka akan bertambah memandangkan masih ada negeri yang dilanda banjir. Data ini sedang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri dan akan dikemukakan kepada kementerian,” katanya.

Reezal Merican berkata, pelaksanaan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di peringkat KPKT akan dilaksanakan melalui Syarikat Perumahan Nasional Bhd (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

“Inisiatif pembaikan dan pembinaan rumah terjejas banjir ini sedang giat dilaksanakan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah meminta agar semua pihak segera membantu mangsa banjir serta tidak berlengah,” katanya.

Reezal Merican berkata, pihaknya juga telah mengemukakan cadangan agar ‘baucar sewa’ sebanyak RM200 diberikan kepada mangsa banjir yang rumahnya musnah akibat banjir bagi meringankan beban mangsa banjir untuk tinggal sementara di lokasi lain sementara rumah mereka disiapkan.

Sementara itu, Mahdzir berkata, proses baik pulih rumah menerusi inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia itu akan mengambil masa dua minggu manakala proses bina baharu pula adalah empat hingga enam bulan.

Setakat ini katanya, KPLB terima 1,879 permohonan untuk proses baik pulih dan 165 bagi pembinaan baharu di kawasan terjejas banjir.

“Maklumat mengenai mereka yang memerlukan pembaikan dan pembinaan rumah ekoran terjejas banjir akan diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya.

Di bawah KPLB, katanya, agensi pelaksana yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan proses baik pulih dan bina rumah dibawah inisiatif itu antaranya adalah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan GiatMara.

“Kita juga akan melantik kontraktor tempatan untuk menjalankan projek-projek pembinaan dan pembaikan rumah,” katanya bahawa reka bentuk rumah baharu yang bakal dibina adalah mengguna pakai model yang ditetapkan KPLB dan KPKT.

Mahdzir berkata, KPLB turut memperuntukkan RM50 juta bagi membaiki infrastruktur awam yang rosak di luar bandar seperti balai raya, surau dan jambatan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here