INDONESIA menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Kepulauan Riau sepatutnya menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah berkata, dakwaan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Malah, kata beliau, Kepulauan Riau diiktiraf sebagai wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

“Ketika dunia sedang menghadapi banyak cabaran, seorang ahli politik kanan tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan persahabatan,” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik laporan portal berita Indonesia, Tempo semalam.

Wilayah itu terdiri daripada hampir 1,800 pulau dan terletak di antara Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Antara pulau utamanya ialah Batam dan Bintan.

Bercakap dalam satu kongres Ahad lalu, Dr Mahathir yang berusia 96 tahun mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana berdasarkan sejarah, ia adalah ‘Tanah Melayu’.

“Seharusnya kita tidak hanya menuntut agar Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dikembalikan kepada kita, tetapi kita juga harus menuntut kembalinya Singapura dan Kepulauan Riau kepada Malaysia sebagai Tanah Melayu,” ujarnya.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan penghakiman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang turut dikenali sebagai Pedra Branca.

Kerajaan ketika itu berkata, ia tidak meneruskan idea untuk mengkaji semula kedaulatan Pulau Batu Puteh selepas mempertimbangkan pandangan perunding undang-undang asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here