Tag: Palestin

  • Normalisasi Arab-Israel perlihat kerapuhan kesatuan negara Islam

    Normalisasi Arab-Israel perlihat kerapuhan kesatuan negara Islam

    DEWAN Pemuda Pas Malaysia menegaskan, langkah normalisasi hubungan antara negara Arab dengan Israel adalah tidak sihat, selain menunjukkan kesatuan negara Islam yang rapuh dalam mengecam kezaliman rejim zionis.

    Menurut Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, kesatuan ialah kata kunci untuk memastikan tekanan berterusan kepada Israel.

    “Kita telah melihat sebahagian daripada yang telah Malaysia tunjukkan kita tidak pernah ada hubungan diplomatik dengan negara haram israel dan tidak mengiktiraf kewujudan negara haram itu.

    “Kita juga konsisten dalam perkara itu sehingga hari ini. Kata kunci ialah kesatuan. Suara mesti satu, senada dan konsisten membela Palestin.

    “Contoh kalau ini ambil daripada negara-negara Arab, negara-negara yang bukan majoriti orang Islam sekalipun, sepatutnya suara-suara ini disatukan dan mesti menjadi titik kepada persamaan untuk kita duduk semeja dan berunding dan memastikan israel tidak merasakan dirinya satu kewujudan yang disanjungi atau diiktiraf,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Abdul Malik merujuk ketegasan Perdana Menteri yang kini Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan yang menyatakan bantahan secara terbuka dan bersemuka dengan pemimpinan Israel pada tahun 2009.

    “Contoh nama Erdogan, Presiden Turkiye yang telah berjaya melonjakkan nama beliau. Beliau beri amaran dalam satu forum ekonomi kepada (Presiden Israel) Shimon Peres. Ia telah menggemparkan dunia walaupun dunia menyatakan, apalah sangat kata dua yang diberikan oleh Erdogan kepada Peres.

    “Dia besar kepala kerana dia beranggapan masih ada negara yang menyokong kebiadaban yang dibuat,” katanya, lapor Astro AWANI.

  • Polis akan panggil penganjur Himpunan Solidariti

    Polis akan panggil penganjur Himpunan Solidariti

    POLIS akan memanggil beberapa individu termasuk penganjur untuk siasatan berkenaan Himpunan Solidariti Bersama Palestin di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, di ibu negara semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, dianggarkan seramai 40 orang berhimpun di hadapan masjid terbabit selepas solat Jumaat.

    “Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah ditempatkan di sekitar pekarangan masjid untuk kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman mengenai penganjuran himpunan terbabit daripada penganjur,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Noor Delhan berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak polis akan memanggil penganjur serta beberapa individu berkaitan.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Dalam himpunan terbabit, sekumpulan Pemuda UMNO dan orang ramai bertindak membakar bendera Israel sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang ditekan oleh regim Zionis Israel.

    Pembakaran bendera Israel itu diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika Himpunan Solidariti Bersama Palestin di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.

    Dr Muhamad Akmal juga memaklumkan tujuan himpunan itu bertujuan untuk menghantar mesej kepada rejim Zionis serta surat bantahan secara rasmi kepada Kementerian Luar agar dibawa ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

  • Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin dalam tempoh 48 jam, memperlihatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes penculikan berprofil tinggi itu, berikutan kepakaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh pasukan berkenaan dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.

    “Saya ingin ambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang telah berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam penculikan ini.

    “Selain itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak mempolitikkan kes berkenaan, kerana ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi juga membabitkan warga tempatan,” katanya dalam rakaman video ringkas di laman Facebook rasminya malam ini.

    Hamzah berkata keselamatan adalah tanggungjawab bersama, maka semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu bekerjasama dan memberikan semangat kepada PDRM untuk terus berjuang mempertahankan keselamatan negara.

    Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, disyaki didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – BERNAMA

  • Palestin ucap terima kasih kepada Malaysia selamatkan rakyatnya yang diculik

    Palestin ucap terima kasih kepada Malaysia selamatkan rakyatnya yang diculik

    KEMENTERIAN Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.

    Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

    Ucapan penghargaan Palestin kepada pihak berkuasa Malaysia

    Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

    “Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

    “Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

    Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.

    Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Beritahu Israel jika bercinta di Tebing Barat

    Beritahu Israel jika bercinta di Tebing Barat

    SEBUAH badan tentera Israel semalam, mengeluarkan senarai peraturan bagi warga asing yang ingin memasuki kawasan Palestin di Tebing Barat perlu memaklumkan jika mana-mana daripada mereka memulakan hubungan dengan warga Palestin.

    Memetik laporan Berita Harian, peraturan baharu itu dibuat selepas tekanan berhubung perkara berkenaan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kerajaan Eropah.

    Badan Kementerian Pertahanan bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin, Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) pada asalnya menerbitkan draf ‘Prosedur kemasukan dan kediaman warga asing di kawasan Judea dan Samaria’, pada Februari lalu.

    Penguatkuasaan peraturan itu ditetapkan pada Julai lalu, tetapi ditangguhkan oleh petisyen kepada Mahkamah Agung.

    Dokumen yang disemak akan berkuat kuasa pada 20 Oktober ini.

    Dokumen dikemas kini itu mengeluarkan peruntukan bagi warga asing yang memulakan hubungan dengan penduduk Tebing Barat selepas memasuki wilayah itu memaklumkan kepada pihak berkuasa Israel dalam tempoh 30 hari selepas pertunangan, perkahwinan, permulaan hidup bersekedudukan atau ‘mana-mana yang berlaku dahulu’.

    “Warga asing yang berkahwin dengan penduduk di kawasan kediaman atau menjalinkan hubungan dengan seseorang perlu membuat pemakluman sebelum tiba di situ.

    “Jika hubungan bermula selepas warga asing itu tiba di situ, maka pegawai COGAT yang diberi kuasa perlu dimaklumkan secara bertulis dalam tempoh 30 hari dari permulaan perhubungan.

    “Pada masa sama, permohonan perlu dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Palestin untuk memformalkan status terbabit,” kata draf asal.

    COGAT mengeluarkan draf secara dalam talian pada Februari lalu dan semalam menggantikannya dengan versi 90 halaman baharu bertarikh 4 September 2022.

    Draf baharu itu juga membenarkan perlanjutan visa warga asing daripada 90 kepada 180 hari. Selain itu, COGAT menghapuskan kuota pensyarah dan pelajar pelawat di universiti Palestin yang pada asalnya ditetapkan kepada 100 guru dan 150 pelajar.

  • Angka kematian perang Gaza meningkat kepada 48 orang

    Angka kematian perang Gaza meningkat kepada 48 orang

    BILANGAN kematian penduduk Palestin dalam pertempuran antara tentera pengganas rejim Zionis dan kumpulan pejuang Palestin di Gaza meningkat kepada 48 orang semalam.

    Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, ia susulan kematian seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun akibat kecederaan dialami semasa pertempuran berkenaan.

    Selain itu, dua kanak-kanak Gaza berusia 8 dan 14 tahun juga sedang bertarung nyawa di Hospital Baitulmuqaddis.

    Lebih 300 penduduk Palestin cedera dalam serangan tentera rejim yang menyasarkan kedudukan kumpulan Jihad Islam di Gaza.

    Kumpulan itu dalam reaksi balas melancarkan ribuan roket ke kawasan Israel dalam perang rentas sempadan selama tiga hari yang disifatkan terburuk sejak perang 11 hari dengan Hamas tahun lalu.

    Kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu, Layan al-Shaer, di Hospital Mukassed di Baitulmaqdis, juga menambah jumlah kematian kanak-kanak kepada 17 orang.

    Dua lagi kanak-kanak Palestin yang kritikal, Nayef al Awdat ,8, dan Mohammed Abu Ktaifa juga dirawat di hospital sama.

    Nayef yang juga kanak-kanak buta, cedera akibat serangan udara Israel, manakala Mohammed cedera dalam letupan yang berlaku berhampiran majlis perkahwinan, yang turut meragut nyawa seorang wanita warga emas.

    Gencatan senjata pada Ahad menghentikan pertempuran perang antara kedua-dua pihak selepas tentera Israel menahan seorang pemimpin Jihad Islam di Tebing Barat.

  • Peluasan penempatan haram Zionis, Palestin rayu bantuan antarabangsa

    Peluasan penempatan haram Zionis, Palestin rayu bantuan antarabangsa

    PALESTIN pada Khamis menggesa campur tangan antarabangsa untuk menghentikan peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat dan melindungi penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, lapor Xinhua.

    Masyarakat antarabangsa perlu campur tangan untuk menghalang Israel daripada merampas tanah, merobohkan rumah, membakar pokok, dan memusnahkan infrastruktur di wilayah Palestin, menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan.

    “Tindakan Israel telah mengubah perbincangan, kedudukan, atau visi yang berkaitan dengan keamanan berdasarkan penyelesaian dua negara kepada satu khayalan dan impian tidak realistik, yang sukar dicapai,” menurut kenyataan itu.

    Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan membina berpuluh-puluh penempatan di wilayah Palestin yang diduduki.- BERNAMA

  • [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    PESAWAT pejuang Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas dua kubu kuat kumpulan Hamas yang terletak di Semenanjung Gaza.

    Serangan udara itu menyasarkan kilang roket Hamas dan kemudahan pengeluaran senjata lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tentera Israel.

    Kilang itu merupakan pusat pengeluaran roket terbesar di Semenanjung Gaza.

    Menurut kenyataan berkenaan serangan itu sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

    Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat serangan itu.

    Tentera Israel sebelum ini mendakwa satu daripada dua roket yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Ashkelon baru-baru ini berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Iron Dome. – BERNAMA

  • Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    SEORANG wanita Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat pada Rabu, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.

    Ghufran Harun Warasneh, ditembak di dada berhampiran kem Al-Aroub, utara Hebron.

    Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, tentera Israel menghalang pegawai perubatan untuk sampai ke tempat kejadian selama kira-kira 20 minit.

    Wanita Palestin itu dimasukkan ke hospital Al-Ahly dalam “keadaan kritikal” sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

    Tentera Israel bagaimanapun mendakwa wanita itu bersenjatakan pisau dan cuba menyerang seorang anggotanya, menyebabkan tentera bertindak melepaskan tembakan. – BERNAMA

  • Perjuangan bebas Al-Quds tanggungjawab seluruh umat Islam

    Perjuangan bebas Al-Quds tanggungjawab seluruh umat Islam

    PENCEROBOHAN oleh rejim Zionis di Palestin bukan hanya melibatkan isu agama tetapi ia merupakan isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, usaha membebaskan Al-Quds daripada penjajahan Israel Zionis bukan sahaja tanggungjawab rakyat Palestin atau bangsa Arab semata-mata, tetapi ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam.

    “Ia menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang terhadap apa jua cara dan usaha untuk membebaskan Al-Quds dan Masjidil Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi Zionis,” katanya semasa berucap di Majlis Penutup Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa, di Sepang hari ini.

    Idris berkata, pendirian kerajaan Malaysia konsisten untuk terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin sama ada daripada segi politik, ekonomi dan moral.

    “Solidariti itu dibuktikan dengan pendirian negara terus teguh untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel selain mengutuk terhadap siri pencerobohan yang dilakukan di bumi Palestin,” katanya.

    Persidangan selama tiga hari itu yang bermula Jumaat lepas dianjurkan Yayasan MyAQSA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan dihadiri kira-kira 200 ulama dari dalam dan luar negara. – BERNAMA