Tag: Nurul Izzah Anwar

  • Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme, kata Wan Saiful

    Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme, kata Wan Saiful

    PEMBANGKANG mendesak kerajaan supaya menghentikan amalan nepotisme dan kronisme dengan melantik individu yang mempunyai hubungan keluarga ke dalam jawatan kerajaan.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Bersatu), Datuk Saiful Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan sebelum ini jelas membuktikan kerajaan sedang mengamalkan nepotisme.

    Katanya, pelantikan Nurul Izzah Anwar adalah bertentangan dengan prinsip yang diperjuang selama ini iaitu menentang kronisme dan nepotisme, malah Perdana Menteri sanggup ‘tidur sebantal’ dengan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO.

    “Kami mengingatkan kepada Perdana Menteri agar bertindak segera dan jangan melihat negara ditadbir dengan amalan nepotisme dan kronisme apatalah lagi anak sendiri di dalam jawatan penting kerajaan.

    “Ini bukan soal layak atau tidak atau emolumen (gaji) tidak diberi, tetapi ini soal risiko wujudnya konflik kepentingan di dalam urus tadbir kerajaan. Sebagai ketua sekretariat, sudah pasti (Nurul Izzah) ada kemudahan dan akses kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

    Kelmarin, Nurul Izzah yang tewas di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

    Nurul Izzah kini dilaporkan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan setelah menerima jemputan daripada pengerusi Tan Sri Hassan Marican untuk mengetuai sekretariat itu secara bersama.

    Jawatankuasa itu akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

    Selain itu, jawatankuasa berkenaan berperanan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi, menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik lapor Utusan Malaysia.

  • Bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM, Nurul Izzah kini…

    Bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM, Nurul Izzah kini…

    NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memaklumkan bahawa beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelasnya, beliau akan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.

    “Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

    “Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut Nurul Izzah berkata, beliau amat menghargai peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik.

    “Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

    “Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.

    “Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya.

    Nurul Izzah sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2023.

    Anwar memberitahu anaknya tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah sebagai penasihat.

    Terdahulu, Hassan dalam kenyataan memaklumkan, Nurul Izzah dijemput mengetuai secara bersama sekretariat untuk menyokong operasi Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

    Sekretariat berkenaan terletak di Menara Berkembar PETRONAS dan berfungsi membantu jawatankuasa penasihat yang melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung pada keperluan.

    Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 10 Februari 2023.

    Ia akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus, berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, selain penyediaan perlindungan sosial lebih holistik.

    Pembentukan sekretariat itu diumumkan Anwar pada 7 Februari lalu dan setiap anggotanya tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

  • Lantik Ahmad Zahid, Nurul Izzah punca indeks rasuah Malaysia makin buruk

    Lantik Ahmad Zahid, Nurul Izzah punca indeks rasuah Malaysia makin buruk

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan rasa kecewa dengan kedudukan Malaysia dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) yang hanya mendapat 47 daripada 100 mata, iaitu merosot selama tiga tahun berturut-turut.

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, beliau percaya kedudukan terbaharu itu turut dipengaruhi dengan tindakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik individu yang terlibat dalam kes rasuah sebagai pegawai tinggi kerajaan.

    Ujarnya, selain melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pelbagai pertuduhan dimahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar turut melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan.

    “Keputusan itu membuktikan Kerajaan Perpaduan Anwar meninggalkan prinsip anti rasuah demi kuasa, dan juga menunjukkan Kerajaan Perpaduan tiada kemahuan dan keazaman untuk memerangi rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kalangan 180 negara yang dinilai, Malaysia menduduki tempat ke-61 tahun lepas dengan memperoleh 47 mata iaitu penurunan 6 mata daripada 53 mata pada 2019, yang merupakan penurunan ketara.

    Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang menggesa Kerajaan Perpaduan menyelesaikan isu persepsi rasuah itu termasuk memecat mereka yang terlibat dalam kes rasuah dan membiarkan kes mahkamah berakhir untuk dibuktikan tidak bersalah sebelum dilantik menjadi pegawai kerajaan.

    Beliau berkata, pada Januari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ahmad Zahid dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah.

    “Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum pada November 2022, Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri membuatkan orang ramai mempersoalkan kesungguhan Anwar untuk menghapuskan rasuah,” katanya.

  • Nurul Izzah tidak dibayar sebarang elaun, kata Anwar

    Nurul Izzah tidak dibayar sebarang elaun, kata Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan Nurul Izzah yang dilantik sebagai sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, tidak akan menerima sebarang elaun.

    Perdana Menteri berkata, beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

    “Ya, saya yang meminta, mempelawa dia untuk bantu saya tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, di Ipoh, hari ini.

    Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.

    Pelantikan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkuat kuasa 3 Januari lalu hangat diperkatakan di media sosial, ketika ini.

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, antara yang memuat naik komen dan ucapan tahniah yang dilihat sinis melalui ciapan di Twitter.

    Ditanya mengenai tahap kelulusan akademik Nurul Izzah, yang didakwa beberapa pihak sebagai tidak sesuai dengan jawatan penasihat itu, Anwar berkata, individu yang dilantik, walau sebagai menteri pun, tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio yang dipegang.

    Perdana Menteri berkata, Nurul Izzah juga mempunyai dua ijazah iaitu yang berkaitan dengan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam, yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial, dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

    “Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi lapan tahun saya menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.

    “Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfoilo) masing-masing. Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.

    “Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Tak pernah berlaku macam itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau belum pernah mendengar kenyataan daripada pihak Ahmad Faizal, menyokong usaha kerajaan membersihkan negara daripada gejala rasuah yang disifatkan menjahanamkan negara.

    “Dia berhak bertanya (mengenai pelantikan Nurul Izzah) tetapi saya hendak beritahu, yang penting sekali adalah hentikan curi tanah, pembalakan dan saham projek komisyen, yang menjahanamkan negara.

    “Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Ya, semua bicara soal rasuah tapi bila kita sebut kes sebegini, dia kata (mempersoal) mengapa hendak bongkar kisah lama,” katanya.

  • Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

    Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

    NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    FMT melaporkan, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.

    Anak Perdana Menteri itu berharap, pengalamannya sebagai Ahli Parlimen yang mana beliau mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membantunya untuk bertugas dengan baik.

    “Ini boleh dimanfaatkan dalam pembabitan saya bersama pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, kebertanggungjawaban dan dasar berasaskan bukti,” lapor FMT memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

    Nurul Izzah berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk menyalurkan dan memanfaatkan bakat terbaik dan cemerlang Malaysia, di dalam dan luar kerajaan, serta menambah nilai kepada usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

    “Peranan baharu saya akan membolehkan saya memikul tanggungjawab baharu yang sudah pasti mencabar, berikutan masalah ekonomi yang kita hadapi.

    “Bagaimanapun, saya yakin mampu menyumbang kepada evolusi Malaysia, yang bukan saja untuk pertumbuhan tetapi yang memartabatkan semua lapisan masyarakat dan menyediakan kesaksamaan dalam peluang,” katanya.

    Nurul Izzah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak 2008. Pada 2018 beliau menang di Parlimen Permatang Pauh, namun tewas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

  • Terus-terang itu penting bentuk kerajaan gabungan – Nurul Izzah

    Terus-terang itu penting bentuk kerajaan gabungan – Nurul Izzah

    NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak menolak kemungkinan terbentuknya kerajaan gabungan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Namun, bagi beliau, parti-parti yang akan membentuk kesepakatan untuk bekerjasama nanti perlu ada ketelusan dalam perhubungan supaya jelas segala matlamat yang didukung bersama.

    Bukan sahaja dengan rakyat, yang sememangnya menjadi keutamaan, tetapi pimpinan parti yang terlibat dalam rundingan juga perlu berterus-terang dengan ahli parti supaya batasan yang ditetapkan serta hala tuju kerjasama itu dapat dihadam mereka sebaiknya.

    “Saya rasa yang paling kecewa bila saya sendiri, bila ada keputusan diambil, pimpinan tak berterus-terang dengan saya.

    “Kalau kita amalkan prinsip (yang didukung parti), kita berterus-terang, kita communicate, ini keputusan yang kita buat, ini adalah agenda kita dan semua parti yang mahu bersama mengangkat agenda tersebut… kami bersama anda,” katanya dalam laporan Astro Awani, semalam.

    Sementara itu, Nurul Izzah berkata, perlu juga dilihat rekod lampau parti-parti yang mahu menjalin kerjasama, sama ada wakil-wakil rakyatnya memiliki reputasi baik dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebelum ini.

    Di samping itu, ujar Nurul Izzah, ada yang diketahui bergelumang dengan amalan korup selain bertindak khianat maka soal integriti juga menjadi faktor penting untuk dipertimbangkan.

    “Jadi pada saya kalau kita boleh tetapkan perkara ini, kita tunjukkan gabungan ini secara rasional, objektif, nak berunding dengan emosi itu terpulang tapi ada garis panduannya, ia lebih baik.

    “Ia akan menjadi sesuatu yang tidak mudah, tapi di sinilah kita perlukan kematangan, kebijakan dan kesabaran,” kata Nurul Izzah lagi.

  • Nurul Izzah: Apalah sangat kerajaan tunggu sampai akhir penggal adakan PRU-15

    Nurul Izzah: Apalah sangat kerajaan tunggu sampai akhir penggal adakan PRU-15

    KERAJAAN tidak perlu terburu-buru mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian dalam menangani permasalahan dihadapi rakyat terutamanya ketika negara bakal berdepan dengan musim tengkujuh.

    Lapor Astro Awani, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu, keutamaan harus diberikan kepada persediaan kelengkapan untuk musim tengkujuh dan iklim yang terlalu ekstrem.

    “Kita dikhabarkan enam negeri akan terjejas dengan cuaca ekstrem ini dan kita tahu dengan cuaca sebegini di mana-mana sahaja boleh berlaku banjir atau banjir kilat.

    “Pada saya, apalah sangat kerajaan tunggu sampai akhir penggal? katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis makan malam Social and Economic Research Initiative di Kuala Lumpur, semalam.

    Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam laporan itu berkata, PRU pada ketika ini adalah tidak penting berbanding keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan negara.

    “Kita jangan digembar-gemburkan sedangkan tugas kerajaan adalah mengurus negara dengan baik bukan berpolitik,” tambahnya.

    Meskipun penggal Parlimen Ke-14 hanya berakhir Jun tahun depan, namun pemimpin UMNO sudahpun menggesa agar ia disegerakan.

    Antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berpendapat bahawa PRU tidak boleh ditangguhkan lagi.

    Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum itu dilaporkan berkata, PRU15 sudah mencapai tempoh matang sejak PRU14 iaitu empat tahun sudah berlalu dan kini memasuki tahun terakhir iaitu tahun kelima sebelum Parlimen dibubarkan.

  • Sah! Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

    Sah! Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Naib Presiden PKR, manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kembali menyandang jawatan Setiausaha Agung parti itu.

    Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang dikongsi bersama media menerusi WhatsApp parti itu selepas mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR penggal 2022-2025 malam tadi.

    Dua lagi Naib Presiden yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Awang Sahari dan Saraswathy Kandasamy, sementara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan; Ahli Parlimen Selayang, William Leong (Bendahari) dan Zahir Hassan (Ketua Setiausaha Pengelola).

    Selain itu, lima ahli MPP yang dilantik ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, Manivanan Gowin; Yuneswaran Ramaraj dan Abun Sui Anyit.

    Pada Kongres Nasional PKR Ahad lepas, Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan secara rasmi Anwar kekal sebagai Presiden parti selepas menang tanpa bertanding, sementara Mohd Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu mengalahkan Saifuddin Nasution. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Nurul Izzah berundur kerana kurang yakin?

    Pemilihan PKR: Nurul Izzah berundur kerana kurang yakin?

    KEPUTUSAN Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk tidak bertanding pada pemilihan PKR kali ini dikaitkan dengan kurang keyakinan.

    Memetik laporan FMT, penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, Nurul Izzah mungkin menyangka beliau tidak mempunyai peluang yang baik untuk menang jika bertanding.

    Namun beliau percaya, Nurul Izzah sekurang-kurangnya perlu menyasarkan untuk menjadi salah seorang Naib Presiden.

    Azmi menambah, prospeknya untuk melangkah naik dalam kepimpinan PKR akan terjejas, manakala ahli parti akan mendapati sukar untuk memandang tinggi kepadanya sebagai salah seorang pemimpin utama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berundur dari jawatan Presiden.

    “Ini adalah masa yang tepat untuk beliau sekurang-kurangnya menjadi salah seorang Naib Presiden memandangkan bapanya masih Presiden. Pengaruh bapanya bagus untuknya.

    “Ini akan menjadi kerugian bagi PKR kerana beliau dilihat sebagai sebahagian daripada generasi baharu ahli politik yang akan datang, bukan sahaja dalam PKR tetapi dalam politik negara, sama seperti Rafizi Ramli atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    “Ia satu kerugian bagi generasi muda juga, yang mahu melihat pemimpin baharu,” katanya.

    Azmi menjangka, bekas Naib Presiden PKR itu mungkin mengikut jejak langkah Rafizi, yang berundur daripada arena politik pada Disember 2019 dan mengumumkan kepulangannya bulan lepas.

    “Apabila tiba masanya, beliau akan kembali,” katanya, sambil menambah, Nurul Izzah “mungkin akan bertindak” apabila peluangnya lebih baik untuk memenangi jawatan.

    Pada 12 April lalu, Nurul Izzah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan PKR, walaupun beliau digembar-gemburkan akan berganding dengan Rafizi bagi salah satu jawatan Naib Presiden.

  • PH bakal tewas 2 PRU sebelum rampas semula Putrajaya

    PH bakal tewas 2 PRU sebelum rampas semula Putrajaya

    PAKATAN Harapan (PH) dijangka hanya berpeluang kembali memerintah negara dalam masa sekurang-kurangnya 10 tahun lagi atau selepas dua kali pilihan raya umum (PRU).

    FMT yang memetik laporan Sinar Premium melaporkan, jangkaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

    Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR memberitahu, PH turut dijangka berdepan laluan sukar dan hilang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15.

    Sehubungan itu, Nurul Izzah berpandangan, PH perlu menjadi parti pembangkang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.

    “Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.

    “Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU-15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya.

    Beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU-15 adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU-14 selepas menjadi kerajaan.

    Pada masa yang sama, Nurul Izzah berkata, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional yang berkuasa selama lebih enam dekad.

    “PH banyak belajar dan maklum balas rakyat daripada pengamalan itu. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh.

    “Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN mungkin dapat markah F (gagal),” katanya.

    Beliau turut meramalkan selain PH, parti lain khususnya UMNO turut berdepan kehilangan banyak kerusi pada PRU15.

    “Mungkin UMNO dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi mengaum sekuat mungkin.

    “Ini kerana pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung kita belum memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang,” katanya.

    “Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua Ahli Parlimen patut berasa takut.”

    Dalam pada itu, Nurul Izzah berharap diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU-15.

    “Bagaimanapun, saya menghormati apa jua keputusan akhir dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR,” katanya.