Tag: Norhizam Hassan Baktee

  • DAP tolak Norhizam, PH Melaka pula kata ‘boleh runding’

    DAP tolak Norhizam, PH Melaka pula kata ‘boleh runding’

    prn melaka

    WALAUPUN DAP bertegas enggan menerima pencalonan Datuk Norhizam Hassan Baktee, Pakatan Harapan (PH) Melaka pula mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu tersebut.

    Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, mereka masih membuka pintu rundingan untuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu.

    “Perkara ini (penolakan DAP) boleh diselesaikan secara baik. PH tidak mengetepikan pandangan mana-mana pemimpin dalam komponen PH, termasuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menolak penyertaan Norhizam,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

    Bekas Ketua Menteri Melaka itu menambah, PH tetap mengambil kira pandangan semua pihak dalam pakatan itu dan perbincangan boleh diadakan bagi mencapai persetujuan bersama.

    “Saya yakin kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mampu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang akan diadakan secepat mungkin,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, beliau berpandangan, pemimpin DAP berhak menyatakan pandangan mereka mengenai penyertaan Norhizam dalam mana-mana parti komponen PH tetapi pandangan keseluruhan parti komponen juga harus diambil kira.

    Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon PH pada PRN Melaka.

    Norhizam seterusnya mempersoalkan kewajaran Guan Eng enggan menerimanya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, Guan Eng sepatutnya sedar bahawa DAP tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

    “Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

    “Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya.

    Selain isu pencalonan Norhizam, PH Melaka juga berdepan polemik berkaitan tiga penyandang kerusi DUN yang lain itu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Nor Effandi Ahmad.

    Mereka merupakan wakil rakyat yang berpaling tadah menyokong usaha PH Melaka membentuk kerajaan negeri yang baharu setelah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti.

  • Siapa DAP nak menghalang saya? Soal Norhizam

    Siapa DAP nak menghalang saya? Soal Norhizam

    prn melaka

    PERANG mulut antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semakin panas.

    Norhizam mempersoalkan kewajaran Guan Eng enggan menerimanya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, Guan Eng sepatutnya sedar bahawa DAP tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

    “Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

    “Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya.

    Hari ini, Guan Eng dilaporkan berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon PH pada PRN Melaka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Norhizam memberitahu, beliau tekah menerima tawaran kerjasama daripada pelbagai parti menjelang PRN Melaka bulan depan, namun masih terbuka sebelum membuat sebarang keputusan.

    “Setakat ini banyak parti yang dah ‘offer’ saya, parti mana, kita akan tengok nanti,” katanya.

    Beliau juga menyifatkan figura calon lebih penting daripada nama atau logo parti.

    “Parti ini hanya satu platform saja, bila pilihan raya memang kita kena ada parti untuk bertanding tetapi lepas itu kita bergerak atas tiket sendiri,” jelasnya.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

    Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.

    Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.

  • DAP masih sentap, tolak Norhizam jadi calon PH

    DAP masih sentap, tolak Norhizam jadi calon PH

    PRN Melaka

    DAP nampaknya masih belum dapat memaafkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Saya nak tegaskan bahawa DAP tolak sama sekali YB Pengkalan Batu (Norhizam) sebagai calon dalam PRN ini. Itu sahaja,” katanya pada sidang media yang diadakan di Melaka hari ini.

    Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan, termasuk kemungkinan Norhizam bertanding menggunakan tiket parti lain dalam pembangkang.

    Guan Eng berkata, beliau menegaskan hal itu agar tiada sebarang kekeliruan atau pertanyaan ditimbulkan lagi selepas ini.

    “Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tak terima dia sebgai calon dalam pilihan raya ini,” tegasnya.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

    Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.

    Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu, PH akan menggunakan lambang gabungan tersebut dalam PRN Melaka.

    “Kami akan bertanding dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan dalam PH. Oleh kerana kami bertanding dalam satu pasukan, sudah tentu kami bertanding di bawah khemah besar PH dengan logo PH,” katanya.

    Beliau menambah, DAP juga mahu Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dinamakan sebagai calon Ketua Menteri bagi PH.

    “Saya harap tak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini, bahawa DAP dengan semua parti komponennya memang sokong Adly sebagai ketua menteri,” katanya.

  • SUK minta Norhizam pulang kereta rasmi, aset kerajaan

    SUK minta Norhizam pulang kereta rasmi, aset kerajaan

    BEKAS Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee diminta memulangkan dengan segera kereta rasmi dan aset yang diamanahkan kepadanya sepanjang memegang jawatan itu.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamed berkata, tindakan itu bertujuan menyelesaikan isu berkenaan agar tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas penjawat awam.

    Beliau berkata setakat ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron telah memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Okt setelah meletak jawatan sebagai Exco.

    “Bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, yang juga bekas Exco, pula memaklumkan akan memulangkan kereta dan aset terlibat pada Isnin ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua bekas ADUN terlibat.

    “Tindakan tersebut membantu penjawat awam di negeri ini memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negeri yang terkesan ekoran penularan COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau turut menyeru penjawat awam di negeri itu memberi fokus terhadap pelaksanaan projek yang sudah diluluskan agar dapat menjadikan Melaka sebuah negeri yang progresif, maju dan berdaya saing.

    Isnin lepas, ketiga-tiga Exco serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt lepas daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu. – BERNAMA