Tag: Noh Omar

  • Noh Omar sahkan bertanding PRN Selangor atas tiket PN

    Noh Omar sahkan bertanding PRN Selangor atas tiket PN

    ENGGAN jadi sekadar penonton, Tan Sri Sri Noh Omar akhirnya mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, keputusan itu diambil memandangkan beliau sudah “sebati” dengan politik dan mahu terbabit dalam pilihan raya.

    “Saya sudah sebati dengan politik. Saya bukan penonton, saya mesti terbabit sama dalam pertandingan politik.

    “Jika pasukan dahulu (UMNO), selepas saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak sahaja,” katanya menurut Berita Harian.

    Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.

    Pada Januari lalu, Noh disingkir UMNO selepas memohon dipecat berbanding hukuman asalnya iaitu penggantungan selama enam tahun.

    Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

    Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang bawah tiket Bersatu.

    Nurul kini ketua srikandi muda di Tanjong Karang, menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.

    Noh berkata, beliau memahami kekecewaan anaknya terhadap UMNO dan tidak menghalang niat Syazwani bertanding dalam PRN membawa cabaran PN.

    “Sebagai bapa, sudah tentu saya akan turun berkempen untuknya jika benar dicalonkan bertanding dalam PRN Selangor nanti,” katanya.

  • PRN: Noh Omar ramal sokongan rakyat kepada BN merosot

    PRN: Noh Omar ramal sokongan rakyat kepada BN merosot

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meramalkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) terus merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Noh, rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan ‘No Anwar, No DAP’ sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya sokong PN (Perikatan Nasional),” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Tanjong Karang di Dewan Terbuka Taman Seri Setia Tanjong Karang, hari ini.

    Mengambil contoh di Selangor, Noh memberitahu, beliau sendiri berasakan UMNO tidak lagi kuat terutama di kawasan majoriti Melayu.

    Katanya, berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu, semua kubu kuat parti itu tewas termasuk di Parlimen Tanjong Karang.

    “Rakyat sudah nampak bahawa UMNO bukan lagi payung untuk melindungi perjuangan orang Melayu, sebaliknya sekarang menumpang payung (parti lain) pula,” ujar beliau.

  • Tindakan singkir Iman Irfan daripada senarai pembahas amat mengecewakan – Noh

    Tindakan singkir Iman Irfan daripada senarai pembahas amat mengecewakan – Noh

    TINDAKAN UMNO yang didakwa menyingkirkan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara United Kingdom dan Ireland, Muhammad Iman Irfan Yahya daripada senarai pembahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kelmarin amat mengecewakan.

    Tan Sri Noh Omar menerusi satu kenyataan berkata, beliau bimbang tindakan tersebut akan mengakibatkan pelajar Malaysia di luar negara yang ingin mendekati parti itu kini menjauhkan diri selepas melihat demokrasi semakin mati di dalam UMNO.

    Berikut kenyataan penuh Noh Omar mengenai insiden itu:

    SAYA mendengar rintihan pelajar Malaysia dari Sheffield, United Kingdom, yang pulang mewakili Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di Perhimpunan Agong UMNO 2022 (PAU) yang berakhir pada 14 Januari 2023 yang lalu.

    Sdra. Muhammad Iman Irfan bin Yahya merupakan pelajar Malaysia dari luar negara yang telah di senaraikan sebagai pembahas Ucapan Dasar Presiden No. 17 di PAU 2022 tetapi di saat-saat akhir telah tidak di benarkan berucap oleh pemimpin tertinggi UMNO Malaysia.

    Berkemungkinan kerana Muhammad Iman di lihat sebagai seorang pengkritik Presiden UMNO melalui “tweet-tweet” beliau sebelum ini.

    Muhammad Iman di tulisan beliau di FB, telah menjelaskan bahawa PAU 2022 yang berakhir pada 14 Januari lalu, telah disusun untuk menyelamatkan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO Malaysia.

    Saya sebagai bekas Presiden Kelab UMNO United Kingdom dan Eire pada tahun 1986 dan telah berdamping dengan pelajar-pelajar Kelab UMNO Luar Negara selama lebih daripada 25 tahun, amat dukacita melihat perkembangan ini.

    Amat membimbangkan apabila anak-anak muda, terutamanya pelajar-pelajar Malaysia di luar negara, yang ingin mendekati dan bersama Parti UMNO, kini menjauhkan diri kerana melihat demokrasi semakin mati di dalam UMNO.

    Bukan sahaja jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dibenarkan di tandingi tetapi pembahas-pembahas seperti Muhammad Iman, yang pulang jauh dari United Kingdom telah di singkirkan dan di buang daripada berucap di PAU 2022 kerana takut beliau mungkin akan mengktirik Presiden UMNO didalam ucapannya.

    Ini jelas memperlihatkan bahawa bukan sahaja Demokrasi Telah Mati tetapi Freedom of Speech (Kebebasan Bersuara) juga telah mati didalam Parti UMNO.

    Kerana itulah ketika Usul Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden di undi untuk tidak di pertandingkan, saya duduk dan tidak menyokong.

    Ini adalah kerana saya mahukan Demokrasi Subur di dalam UMNO.

    Kerana saya juga amat bimbang sekiranya demokrasi di dalam parti tidak di pertahankan, apabila tiba Pilihanraya Umum Negara dan Pilihanraya Umum Negeri Selangor nanti, hanya saluran 1 dan 2 sahaja yang akan mengundi UMNO-BN.

    Manakala Saluran 4 dan 5, undi dari Anak-Anak Muda akan menjauhkan diri dari Barisan Nasional dan UMNO.

    Saya sebagai Presiden Kelab UMNO United Kingdom dan Eire pada tahun 1987 telah pulang ke tanah air dan dipilih sebagai juru cakap di PAU tahun 1987 tersebut ketika Tengku Razaleigh menentang Tun Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO.

    Ketika itu berlaku Krisis UMNO tahun 1987, pemilihan tahun 1987 sangat tegang dengan keadaan semua Calon menggunakan jentera yang mereka ada samada parti ataupun jawatan Kerajaan, untuk memastikan mereka menang.

    Ketika itu terbentuklah Team A (Tun Mahathir dan Tun Ghafar Baba) dan Team B (Ku Li, Tun Musa Hitam, Tun Abdullah).

    Walaupun pada masa itu, saya di lihat sebagai seorang pemimpin pelajar Malaysia dari luar negara yang menyokong Tun Abdullah kerana Pak Lah ketika itu Menteri Pelajaran (1984-1986), UMNO Malaysia pada ketika itu, tidak menghalang saya berucap di Perhimpunan Agong UMNO Malaysia.

    Saya juga dimaklumkan bahawa Juru Cakap dari Negeri Selangor iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Sdra. Amin juga telah dihalang dan ditukar pada saat akhir kerana Amin dilihat menyokong jawatan Presiden dipertandingkan.

    Kerana Semangat Demokrasi dan Kebebasan Bersuara pada PAU 1987 tersebut, saya kekal menyokong dan setia kepada parti UMNO sehingga hari ini.

    Tetapi hari ini, saya amat bimbang, dengan alasan agar parti UMNO tidak berpecah maka pindaan Perlembagaan dilakukan agar pemilihan UMNO dilakukan 6 bulan selepas Pilihanraya Umum.

    Akhirnya UMNO tinggal 26 kerusi Parlimen.

    Sekarang UMNO bakal berhadapan dengan PRN di 6 buah Negeri. Alasan yang sama digunakan iaitu mengelakkan pepecahan dalam parti.

    Saya amat bimbang pengundi-pengundi di 6 Negeri ini, akan menolak Calon-Calon dari UMNO.

  • Laungan hidup UMNO, Melayu hanya tinggal sejarah – Noh Omar

    Laungan hidup UMNO, Melayu hanya tinggal sejarah – Noh Omar

    BEKAS Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan laungan hidup Melayu! hidup UMNO! hanya tinggal sejarah susulan perkembangan terkini politik tanah air melibatkan parti itu.

    Hari ini buat pertama kali Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang turut disertai DAP menubuhkan kerajaan negeri di Perak dan terdapat spekulasi kuat gabungan itu akan diteruskan di peringkat pusat.

    Namun tegas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu, keputusan untuk menyertai mana-mana parti telah ditangguhkan.

    “Jawatankuasa perunding harus tegas bukan sekadar hanya untuk mendapat jawatan dalam kerajaan,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut Noh berkata, kesilapan dalam membuat keputusan hanya akan menyebabkan orang Melayu akan memulaukan UMNO.

    “Dari 30 kerusi BN jangan sampai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti hanya tinggal tiga kerusi saja.

    Semalam Noh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Namun Noh masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

    Untuk rekod, Noh menyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang sejak PRU-9 pada 1995 namun digugurkan daripada bertanding pada PRU-15.

  • MEDAC sedia bantu pengusaha bas terjejas

    MEDAC sedia bantu pengusaha bas terjejas

    NASIB pengusaha bas yang terjejas akibat penguatkuasaan larangan merentas negeri bagi mengekang penularan COVID-19 mendapat perhatian daripada kerajaan.

    Memetik laporan BH, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya bersedia mempertimbangkan bantuan dalam bentuk pinjaman kepada golongan berkenaan.

    Menurut beliau, walaupun industri bas bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), bantuan boleh disalurkan dari segi keusahawanan.

    Noh turut mencadangkan supaya persatuan pengusaha bas bertemu pihaknya bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

    “Dari segi pinjaman, boleh kita pertimbangkan di bawah MEDAC, bukan sahaja untuk (pengusaha) bas tetapi perniagaan lain seperti kedai gunting rambut.

    “Kita akan cuba semampu yang boleh, sebab itu saya kata kena ada persatuan. Kalau ada persatuan dan kemudian jumpa (MEDAC), kita akan bertukar-tukar fikiran dan mungkin dapat bantu untuk ringankan beban mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (ACCI) Kedua, yang berlangsung secara maya, hari ini.

    Noh mengulas laporan BH berkenaan perkhidmatan bas yang berisiko lumpuh sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini apabila pengusahanya kehabisan modal kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya berikutan penularan COVID-19 dan larangan rentas negeri.

    Masalah itu berlaku ekoran jumlah penumpang yang susut teruk sehingga ada pengusaha terutama pengusaha kecil terpaksa menjual bas atau menunggu masa bas mereka ditarik semula oleh institusi kewangan akibat tidak mampu membayar pinjaman.

    Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Che Ibrahim Che Ismail berkata, ramai pengusaha bas semakin tenat sehingga hampir muflis selepas tidak dapat beroperasi dalam tempoh yang lama.

    “Kewangan semakin meruncing, modal habis apabila tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), manakala kos lain termasuk gaji pekerja, sewa kaunter dan tapak bas tetap perlu dibayar setiap bulan.

    “Jika kerajaan tak bantu, termasuk beri modal pusingan atau one off, kami akan muflis” katanya.

    Sementara itu, Noh memberitahu, MEDAC akan menubuhkan enam jawatankuasa bagi menyelaras peranan 11 agensi di bawah kementerian itu supaya gerak kerjanya benar-benar dapat membantu usahawan.

    Beliau menambah, jawatankuasa-jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh wakil kementerian bagi menyelaras kemudahan kepada usahawan kerana setiap agensi mempunyai program sendiri dan ada yang mempunyai persamaan.

    “Begitu juga dengan pemberian geran dan pinjaman kepada usahawan yang kini diagihkan melalui agensi tertentu, namun jumlahnya adalah berbeza-beza.

    “Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ada geran untuk bantu usahawan eksport produk mereka tetapi jumlah maksimum adalah RM500,000.

    “SME Bank juga ada geran tetapi jumlahnya RM200,000. Sebab itu saya nak selaraskan pemberian geran ini,” katanya.

  • Bagai sirih pulang ke gagang, kata Noh Omar

    Bagai sirih pulang ke gagang, kata Noh Omar

    TAN Sri Noh Omar menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai sirih pulang ke gagang.

    Ahli Parlimen Tanjong Karang itu pernah memegang portfolio yang sama semasa era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima.

    Selain itu, antara portfolio yang dipegang beliau dahulu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Timbalan Menteri Pendidikan I dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

    “Alhamdulillah, saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

    “Pelantikan ini ibarat sirih pulang ke gagang kerana saya pernah memegang jawatan yang sama ketika pemerintahan Tun Pak Lah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Beliau turut menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan terutama sekali ketika ramai usahawan terkesan dengan kejatuhan ekonomi akibat wabak Covid-19.

    “Pelantikan ini juga adalah kesinambungan kepada tugas saya selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam membantu usahawan bumiputera.

    “Terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong saya dari dulu. Insya-Allah amanah ini akan saya tunaikan selaras dengan kehendak Perdana Menter supaya memfokuskan kepada agenda membantu rakyat,” jelasnya.

    Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau perlu bekerja lebih keras kerana dua menteri sebelum beliau telah meletakkan penanda aras yang tinggi.

    Ahli Parlimen Arau itu memberitahu, adalah menjadi satu cabaran baginya untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Tan Sri Annuar Musa.

    “Saya melihat kedua-duanya telah melakukan yang terbaik untuk penduduk Wilayah Persekutuan.

    “Memandangkan mereka telah menetapkan standard yang tinggi, saya akan berusaha untuk mencapai sekurang-kurangnya standard yang sama dengan mereka,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

    Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.