Tag: nepal

  • [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    PESAWAT Nepal yang hilang dengan 22 penumpang di dalamnya ditemukan terhempas, lapor Xinhua, memetik Tentera Nepal pada pagi Isnin.

    “Pesawat Tara Air ditemukan terhempas di Sanosware di Bahagian-2 Perbandaran Luar Bandar Thasang di daerah Mustang,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Narayan Silwal dalam satu kenyataan.

    “Butiran lanjut mengenainya akan menyusul.”

    Pesawat Twin Otter yang membawa 19 penumpang dan tiga anak kapal, termasuk empat warga India dan dua warga Jerman, hilang pada pagi Ahad ketika dalam penerbangan dari bandar Pokhara ke bandar pergunungan Jomsom di daerah Mustang.

    Dalam perkembangan terkini, sebanyak 14 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat penumpang Nepal di kawasan berbukit terpencil di daerah Mustang Nepal, lapor Xinhua, memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal pada Isnin.

    “Empat belas mayat ditemukan di lokasi tetapi identiti mereka masih belum didedahkan,” kata agensi penerbangan itu dalam satu kenyataan.

    Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Nepal.

    Pasukan penyelamat dengan 11 anggota berada di lokasi nahas untuk mencari mayat mangsa, dan disebabkan keadaan cuaca buruk tiada pasukan lain dapat terbang ke lokasi, ketua pegawai daerah Mustang Netra Prasad Sharma memberitahu Xinhua.

    “Kawasan itu mendung sehingga mengganggu jarak penglihatan,” katanya. – BERNAMA

  • Pesawat persendirian hilang, apa nasib 22 penumpang?

    Pesawat persendirian hilang, apa nasib 22 penumpang?

    SEBUAH pesawat persendirian yang membawa 22 penumpang dilaporkan hilang di Nepal, kata pegawai pada Ahad.

    Pesawat milik Tara Air itu berlepas dari bandar Pokhara.

    Pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Fanindra Mani Pokharel memberitahu Agensi Anadolu operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan.

    “Terdapat 19 penumpang dan tiga anak kapal di dalam pesawat itu,” katanya.

    Pesawat itu terputus hubungan pada pagi Ahad sejurus berlepas dari lapangan terbang.

    Akhbar Kathmandu Post melaporkan beberapa rakyat India turut berada di dalam pesawat itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Remaja lelaki ada ekor, sami kata dia ‘jelmaan dewa’

    [VIDEO] Remaja lelaki ada ekor, sami kata dia ‘jelmaan dewa’

    SEORANG remaja bertekad tidak akan menyembunyikan lagi ekor yang tumbuh pada bahagian belakangnya selepas sekumpulan sami mendakwa dia ialah ‘jelmaan dewa’.

    Kisah Deshant Adhikari, 16, dari Nepal itu kini tular dalam media sosial termasuk TikTok dan YouTube.

    Memetik laporan Mirror, pada mulanya, dia berasa malu dengan ekor sepanjang 70 sentimeter itu dan menyembunyikannya dari pandangan orang ramai.

    jelmaan dewa
    Deshant kini tidak berasa malu lagi tentang ekornya. (Gambar: Caters News Agency)

    Ibu bapa Deshant juga pernah membawanya ke beberapa hospital di Nepal dan negara-negara lain untuk mendapatkan rawatan.

    Namun, mereka akhirnya gembira apabila bertemu dengan sekumpulan sami tempatan yang mendakwa remaja itu adalah ‘jelmaan dewa’.

    Setelah tular dalam media sosial, Deshant berkata kini dia berasa cukup selesa menunjukkan ekornya kepada dunia.

    “Ibu bapa saya dahulu menyembunyikan ekor saya, tetapi kini saya tidak berasa kekok menunjukannya kepada orang lain.

    “Video tentang saya tular dalam TikTok dan kini ramai orang mengenali saya sebagai budak lelaki berekor, dan saya rasa bangga,” jelasnya dalam video yang disiarkan melalui YouTube.

    Penerbit filem Puskar Nepal turut menemu bual Deshant dan membuat dokumentari tentang ekornya.

    “Ibu bapanya tidak tahu tentang keadaannya sehingga mereka membawanya pulang ke rumah dari hospital lima hari selepas dia dilahirkan.

    “Mereka membawanya ke beberapa hospital di dalam dan luar negara untuk mendapatkan rawatan namun usaha itu tidak berhasil.

    “Kemudian mereka berjumpa dengan beberapa orang sami yang memberitahu mereka supaya jangan menyikat atau memotong ekor itu,” katanya.

    Puskar menambah, sami-sami berkenaan mendakwa, remaja lelaki itu mungkin memiliki kuasa ajaib kerana dia mungkin jelmaan Dewa Hanuman iaitu Dewa Monyet.

    “Mereka membiarkan ekor itu tumbuh secara semulajadi dan berhenti mendapatkan rawatan,” jelasnya.

  • Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    ALASAN sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

    “Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

    Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA