Tag: Negeri Sembilan

  • Negeri Sembilan mungkin tak bubar DUN sebelum Mac – MB

    Negeri Sembilan mungkin tak bubar DUN sebelum Mac – MB

    KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mungkin tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum Mac tahun depan.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, adalah lebih baik PRU-15 diadakan selepas Mac atau sehingga penggal ini berakhir kerana masih banyak perkara, terutama berkaitan kepentingan rakyat yang memerlukan tumpuan daripada kerajaan.

    Katanya, cadangan kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN di negeri berkenaan lebih awal daripada Mac tahun depan, adalah suatu pandangan dan tindakan yang baik.

    “Walaupun setakat ini PH belum membuat keputusan mengenainya (PRU-15 negeri), saya akan mencadangkan supaya ia diadakan pada tahun depan.

    “Saya rasa itu (cadangan PAS) adalah pandangan yang baik. Dalam kita menantikan tarikh pilihan raya yang menjadi teka-teki ketika ini, adalah lebih baik ia diadakan tahun depan.

    “Saya akan mencadangkan supaya PRU-15 untuk negeri-negeri (di bawah PH) dapat dilakukan pada tahun depan iaitu selepas Mac, misalnya pada Mei atau sehingga habis penggal. Rasanya tiada masalah (diadakan pada waktu itu),” katanya hari ini.

    Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

    Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan diminta mengulas mengenai kenyataan PAS melalui Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang memaklumkan bahawa PAS tidak akan membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu lebih awal daripada Mac tahun depan.

    Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian parti itu yang diadakan kelmarin.

    Mengulas lanjut, Aminuddin bagaimanapun berkata, perkara itu terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan bila tarikh PRU-15 yang sesuai dan sebaik diadakan membabitkan tiga negeri di bawah gabungan itu iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, pelbagai faktor perlu difikirkan terlebih dulu sebelum mengadakan pilihan raya itu.

    Katanya, rakyat dilihat masih bergelut untuk keluar daripada masalah ekonomi berikutan kos sara hidup yang tinggi.

    “Kita dapat lihat rakyat tengah susah dan mereka memerlukan perhatian daripada kerajaan.

    “Sepatutnya kerajaan menumpukan perhatian untuk membantu dan memberikan sokongan kepada rakyat selain memulihkan semula ekonomi daripada mengutamakan PRU-15, yang pastinya membabitkan belanja mencecah bilion ringgit,” katanya.

    Terdahulu dalam satu program di Kuantan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen bahawa PRU-15 akan diadakan tidak lama lagi dan mungkin tahun ini.

    Mohamad dilaporkan berkata, walaupun Ismail Sabri tidak menetapkan tarikh, ada gambaran bahawa PRU-15 tidak akan diadakan pada tahun depan, malah mungkin bukan bulan 12 (Disember) kerana musim tengkujuh.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden Sabtu lalu, di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu, dilaporkan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.

    Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal, sekali gus memberi petanda bahawa PRU-15 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

  • Jenayah komersial di N. Sembilan babit kerugian RM45.1 juta

    Jenayah komersial di N. Sembilan babit kerugian RM45.1 juta

    KES jenayah komersial di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 1,747 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM45.1 juta sejak Januari hingga Julai lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Ruslan Khalid.

    Beliau berkata angka itu sedikit membimbangkan memandangkan kes jenayah komersial direkodkan sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 2,671 kes dengan kerugian berjumlah RM42 juta manakala hanya 1,890 kes dicatat dengan nilai kerugian RM95.6 juta pada 2020.

    Menurut Ruslan, daripada keseluruhan 1,747 kes, penipuan mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,676 kes dengan kerugian RM39.7 juta diikuti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (38 kes, RM27,420), pecah amanah jenayah (12 kes, RM4.8 juta), jenayah siber (11 kes, RM594,026), wang palsu (9 kes, RM1,300) dan pemalsuan satu kes.

    “Kita telah mencapai era digital, jadi kebanyakan kes bertukar arah ke penipuan dalam talian termasuk macau scam dan love scam yang menunjukkan trend membimbangkan serta memberi ancaman serius kerana melibatkan kerugian jutaan ribu ringgit.

    “Jenayah konvensional seperti ragut, curi, pecah rumah dan kekerasan menurun mungkin tahun lepas semua orang berada di rumah kerana COVID-19 tetapi apa yang meningkat ialah jenayah komersial sebab orang dah mula guna media sosial untuk jual dan beli barang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Townhall Discussion bersama Ketua Polis Negeri Sembilan’ yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor di sini hari ini.

    Ruslan berkata keadaan itu sekali gus memberi peluang kepada ‘scammer’ untuk beralih daripada jenayah konvensional kepada jenayah siber yang dilihat lebih mudah dilakukan selain kononnya memberi keuntungan segera.

    Beliau berkata sindiket penipuan turut menggunakan sentimen emosi melalui perasaan kasih sayang dan kepercayaan bagi memperdaya mangsa walaupun pelbagai kempen dan platform digunakan pihak berkaitan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

    “Kita lihat mereka (scammer) ambil kesempatan serang emosi sebab dalam diri kita ini ada sifat tamak, tak mahu kesunyian dan suka apabila tengok ada tawaran murah, itu yang menyebabkan masyarakat terdedah dengan sindiket itu dan terbabit dengan love scam, pelaburan tak wujud dan banyak lagi,” katanya.

    Mengenai townhall itu, beliau berkata ia sebagai usaha merapatkan hubungan masyarakat dan polis terutama dalam memberi kesedaran mengenai isu semasa dengan memfokuskan agensi kerajaan, pelajar sekolah serta orang awam.

    Sementara itu, Ramli berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu penipuan dalam talian malah beberapa perkara mengenai isu itu turut dicadang dalam pindaan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.- BERNAMA

  • [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    ASRAMA pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas dekat Rembau terbakar 80 peratus tengah hari tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Izwan Md Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 tengah hari dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

    “Kebakaran melibatkan bangunan asrama lelaki di tingkat tiga yang mempunyai kira-kira 10 bilik dan berkeluasan 40×200 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan.

    Sumber video: Akaun TikTok juraizacheyap

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota serta Senawang itu tamat sepenuhnya pada 3.51 petang manakala punca kejadian sedang disiasat. – BERNAMA

  • NS benar solat rapat saf di masjid, surau mulai esok

    NS benar solat rapat saf di masjid, surau mulai esok

    KERAJAAN Negeri Sembilan membenarkan jemaah untuk merapatkan saf ketika solat di semua masjid dan surau di negeri ini berkuat kuasa esok.

    Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jemaah tidak lagi diwajibkan membawa sejadah bersaiz standard selain aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliah, tazkirah dan ceramah dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.

    “Bagaimanapun, jemaah masih wajib memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada dalam ruang masjid dan surau yang tertutup,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini juga dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negeri.

    Aminuddin berkata, pemohon atau penganjur perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS di http://equrbans.jheains.my bermula 2 petang esok hingga 4 petang, 3 Julai depan.

    Menurutnya, jemaah juga dibenarkan merapatkan saf ketika solat sunat Aidiladha namun pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan. – BERNAMA

  • Babi hilang: Kerajaan NS ambil tindakan undang-undang

    Babi hilang: Kerajaan NS ambil tindakan undang-undang

    KERAJAAN Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang susulan isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya meminta Exco dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) menyiasat perkara itu, selain membuat laporan polis berhubung kejadian.

    Katanya, kerajaan negeri khuatir haiwan yang dibawa keluar itu akan mencetuskan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

    “Disebabkan itu kita serahkan pada pihak polis menyiasat bagaimana haiwan itu dipindahkan. Sepatutnya babi itu tidak dipindahkan sehingga JPVNS selesai memeriksa dan mengesahkan kesemuanya selamat daripada jangkitan ASF,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Hari Raya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan kepada golongan fakir dan miskin bagi daerah Seremban di sini, hari ini.

    Sementara itu, Aminuddin berkata, pihak JPVNS juga seharusnya lebih peka kerana mereka ditugaskan untuk memastikan tiada perpindahan haiwan itu keluar dari ladang terbabit.

    Semalam media melaporkan kesemua 2,000 ekor babi yang ditempatkan berhampiran dengan ladang yang dikesan dijangkiti penyakit ASF di kampung berkenaan, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

    Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak itu telah dilupuskan pada 13 April lepas.

    Sementara itu dalam majlis malam ini Aminuddin berkata seramai 4,629 fakir dan miskin di negeri ini masing-masing menerima RM700 dan RM500 daripada MAINS, manakala MBI negeri turut menyumbang RM300 sempena perayaan Aidilfitri ini. – BERNAMA

  • Perak, NS, Pulau Pinang boleh solat jemaah tanpa penjarakan

    Perak, NS, Pulau Pinang boleh solat jemaah tanpa penjarakan

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan solat fardhu, Jumaat, jenazah dan tarawih dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal di negeri itu, dengan bilangan jemaah ditentukan mengikut keluasan ruang masjid atau surau, bermula waktu Subuh pada hari Jumaat, 1 April ini.

    Baginda bertitah, bagi kalangan para pelajar terutamanya di sekolah asrama penuh pula, demi melindungi keselamatan mereka, pengetua sekolah dan pengetua pusat-pusat pengajian diberikan budi bicara untuk mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan sekitar institusi masing-masing.

    Sultan Nazrin bertitah, walaupun Perak lazimnya menetapkan 20 rakaat solat tarawih, bagi meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh Fasa Peralihan Ke Endemik, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat solat Tarawih yang difikirkan munasabah untuk dilaksanakan di masjid dan surau masing-masing.

    “Bagi meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

    “Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan, dengan mengambil langkah-langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan,” titah Baginda pada sesi sembah taklimat aktiviti masjid dan surau di negeri Perak sempena Fasa Peralihan ke Endemik di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh hari ini.

    Sementara itu di SEREMBAN, kerajaan Negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang mulai 1 April ini.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain menjaga penjarakan fizikal satu meter, jemaah yang dibenarkan masuk ke masjid dan surau adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak, warga tempatan dan bukan warganegara serta penduduk tetap yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

    “Jemaah yang hadir juga perlu memastikan dalam keadaan sihat, tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya. Jemaah tidak dibenarkan untuk bersalaman atau melagakan penumbuk.

    “Satu sejadah hanya untuk seorang sahaja, jemaah boleh rapatkan sejadah tapi tidak boleh berkongsi dalam keadaan pandemik ini, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri, pakai pelitup muka dan imbas Mysejahtera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

    Sementara itu di GEORGE TOWN, Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh negeri itu bermula 1 April ini, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

    Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, ketetapan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal itu, dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan mengenainya hari ini.

    “Selain kebenaran merapatkan saf, kami juga membuat ketetapan untuk membenarkan aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di semua masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan nanti dengan pemantauan pengurusan (masjid dan surau) dan jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini, termasuk membawa sejadah sendiri.

    “Solat Tarawih pula dibenarkan sehingga 20 rakaat dan kami turut memberi kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah (untuk) turut menunaikan solat (Tarawih), manakala majlis berbuka puasa dan moreh pula dijalankan mengikuti kesesuaian SOP,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Beliau ditemui selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. – BERNAMA

  • Saman kalau berhenti lorong kecemasan Jalan Temiang-Pantai

    Saman kalau berhenti lorong kecemasan Jalan Temiang-Pantai

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menasihati pengguna jalan raya supaya tidak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar dan berkumpul di lorong berkenaan.

    Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tindakan memberhentikan kenderaan secara berkumpulan di lorong kecemasan adalah perbuatan tidak sepatutnya dilakukan oleh pengguna jalan raya kerana ia mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan di kawasan terbabit.

    “Tindakan pemandu itu membahayakan keselamatan orang ramai dan tidak munasabah kerana ia boleh memberikan satu persepsi bahawa tempat itu adalah tempat pelancongan sedangkan kawasan terbabit adalah lebuh raya, perlu diingat jalan raya ini digunakan untuk kenderaan dan jentera bergerak.

    “Apabila mereka berhenti secara berkumpulan atau beramai-ramai ia mengganggu kelancaran trafik. Pemandu lain akan bertemu kelompok kenderaan berhenti dan berkumpul di jalan raya akhirnya mengundang kemungkinan berlakunya kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini.

    Jalan Temiang-Pantai adalah laluan alternatif ke Kuala Klawang atau Jelebu dibuka pada 26 Ogos tahun lepas.

    Beliau berkata, kepada mereka yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959 yang menyatakan tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

    Beliau berkata, jika disabit kesalahan, mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan didenda kepada pemandu tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Beberapa hari lepas, tular di media sosial berkaitan sekumpulan pemandu kenderaan berkumpul dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan kedua-dua arah di Jalan Temiang-Pantai untuk bergambar di jalan raya berkenaan. – BERNAMA

  • 13 laluan di NS tutup ekoran tanah runtuh, banjir

    13 laluan di NS tutup ekoran tanah runtuh, banjir

    SEBANYAK 13 laluan melibatkan lima daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan manakala empat lagi hanya dibuka untuk kenderaan berat susulan jalan runtuh dan dinaiki air setakat 2 petang ini.

    Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata, laluan berkenaan melibatkan Tampin iaitu sebanyak tujuh jalan, Jelebu (4), Jempol (3), Kuala Pilah (2) dan satu di Seremban.

    Antara jalan tersebut ialah Jalan Segamat-Gemas, Londah-Gemas, Jelai-Bahau, Jeram Toi, Kuala Klawang-Genting Peras, Felda Titi dan Stesen Pemancar Gelombang Telapak Buruk.

    “Pembukaan jalan ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat selepas selesai kerja pembaikan selain bergantung kepada keadaan semasa jalan berkenaan selepas banjir. JKR akan sentiasa berusaha mencari jalan alternatif dan menguar-uarkan kepada pengguna,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

    Justeru, beliau menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan sentiasa berwaspada dengan papan tanda amaran banjir serta jalan ditutup selain menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

    “Pengguna juga boleh merujuk laman sesawang bilik gerakan bencana (BiGBen) JKR iaitu di bencanaalam.jkr.gov.my atau boleh hubungi talian 06-7659659/9614 untuk mengetahui perkembangan terkini bencana dan keadaan jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Pengurusan kuil Hindu kesal terlanjur ceroboh tapak masjid

    Pengurusan kuil Hindu kesal terlanjur ceroboh tapak masjid

    PENGURUSAN kuil Hindu yang dikatakan menceroboh tanah tapak masjid di Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan kesal dengan perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Kuil Sri Murugan Alayam, M Partiban berkata, mereka bersedia mengosongkan kawasan tersebut.

    Pada masa yang sama, beliau menggesa kerajaan Negeri Sembilan supaya mewartakan segera tapak kuil Hindu sedia ada.

    Partiban memberitahu, keputusan memindahkan kuil tersebut dibuat selepas pertemuan diadakan dengan dua Exco kerajaan Negeri Sembilan iaitu S Veerapan dan J Arul Kumar semalam.

    “Kami kesal kerana terlanjur membina kuil di tapak masjid dan ia dibuat secara tidak sengaja,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli jawatankuasa surau di Taman Indah Baru, Tampin, menghantar memorandum kepada Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah bagi membantah pembesaran kuil di atas tapak yang dicadangkan untuk pembinaan masjid.

    Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) merupakan antara pihak yang membangkitkan dakwaan itu dan mahu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memberikan penjelasan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula berkata, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan penggunaan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) itu bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

    Pengarah JHEAINS, Zaidi Ramli sebelum ini berkata, tanah kira-kira 0.6 hektar itu telah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011.

    Partiban turut menggesa kerajaan Negeri Sembilan mewartakan tapak kuil yang sedia ada selepas ia wujud lebih 30 tahun.

    “Isunya sekarang, kerajaan negeri mewartakan tapak masjid tetapi tapak kuil dibiarkan begitu sahaja.

    “Kuil itu berada di situ lebih 35 tahun. Kegagalan kerajaan mewartakan tapak kuil inilah punca kekeliruan yang berlaku sekarang.

    “Ini kerana pihak kuil tidak pasti keluasan tapak kuil dan sempadan kami sehingga secara tidak sengaja menceroboh tapak masjid,” katanya.

  • UMNO sukar tawan Negeri Sembilan tanpa Bersatu, PAS

    UMNO sukar tawan Negeri Sembilan tanpa Bersatu, PAS

    PERGOLAKAN dalaman yang parah ekoran penolakan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat membuka ruang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa di negeri itu.

    Orang-orang UMNO dengarnya semakin bersemangat untuk melipatgandakan usaha menawan semula Negeri Sembilan selepas terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Bagi mereka, maruah yang tercalar teruk akibat kekalahan itu mesti ditebus semula dan Negeri Sembilan mesti ditadbir oleh BN / UMNO selepas PRU-15.

    Namun, krisis kepimpinan yang melanda PKR Negeri Sembilan tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa PH semakin lemah di bumi Adat Perpatih itu.

    Yang menjadi punca masalah adalah Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, bukannya PH itu sendiri.

    Mungkin PKR Negeri Sembilan bermasalah tetapi yang menjadi tunjang sebenar kekuatan PH adalah DAP.

    Parti cauvinis itu menguasai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding enam kerusi PKR dan tiga kerusi PAN.

    Semua DUN yang dikuasai DAP iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah merupakan kawasan yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

    Kecuali MCA mampu melakukan keajaiban, agak sukar bagi BN untuk menawan 11 DUN yang kini boleh dianggap sebagai kerusi tradisi DAP.

    Begitu juga dengan kawasan majoriti bukan Melayu yang dikuasai PKR seperti Sri Tanjung dan Chuah.

    UMNO dilihat berpeluang mengambil semula kerusi-kerusi DUN yang tewas dalam PRU-14 iaitu Klawang (PAN), Pilah (PKR) Labu (PKR), Paroi (PAN) dan Lenggeng (PAN).

    Usaha membebaskan dua lagi DUN yang dikuasai PKR agak getir memandangkan Sikamat yang diwakili Aminuddin serta Ampangan yang diwakili Dr Mohamad Rafiei Ab Malik merupakan kerusi selesa bagi parti itu sejak PRU-12.

    MIC pula memenangi hanya satu kerusi iaitu di DUN Jeram Padang yang merupakan kawasan tradisinya sejak dahulu lagi.

    Melihat kepada realiti sebenar, UMNO memang tidak mampu bertindak secara bersendirian untuk menawan semula Negeri Sembilan.

    Sekiranya parti itu benar-benar ingin mencapai objektif tersebut, langkah terbaik adalah bekerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih, UMNO boleh memberi tumpuan untuk mempertahankan 15 kerusi yang disandangnya ketika ini.

    Kerusi-kerusi tersebut adalah Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.

    Tujuh lagi kerusi iaitu Sikamat, Ampangan, Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng boleh diserahkan kepada Bersatu dan PAS.

    Difahamkan, masalah dalaman merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon UMNO di Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng.

    Masalah yang sama dapat dielakkan daripada berulang jika UMNO Negeri Sembilan beralah dan memberi laluan kepada calon-calon PAS atau Bersatu untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut.

    PAS dan Bersatu juga boleh membuktikan keupayaan mereka untuk merampas DUN Sikamat dan Ampangan yang dianggap sebagai ‘kerusi maut’ kepada calon-calon yang ingin mencabar Aminuddin dan Mohamad Rafiei.

    Walaupun Aminuddin berdepan krisis kepimpinan, beliau masih mempunyai pengaruh yang besar di Sikamat setelah berkhidmat di sana selama tiga penggal.

    Begitu juga dengan Mohamad Rafiei. Beliau merupakan seorang tokoh politik yang dihormati oleh masyarakat.

    Andainya PAS dan Bersatu berjaya dalam misi yang diberikan, UMNO masih lagi menjadi parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar dan pemimpinnya berhak diberi jawatan Menteri Besar.

    Kerjasama UMNO, PAS dan Bersatu berupaya memastikan sekurang-kurangnya 20 daripada 22 kawasan majoriti Melayu-Islam tidak jatuh atau terus dikuasai PH.

    Melalui kerangka kerjasama BN, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) pula, sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN boleh dikekalkan atau ditawan semula.

    Memang UMNO dan BN dahulu begitu gah di Negeri Sembilan di mana sebelum PRU-12, hanya seorang dua sahaja wakil pembangkang dari DAP yang menjadi kera sumbang di dalam DUN Negeri Sembilan.

    Zaman gemilang itu sudah lama berlalu dan situasi politik ketika ini semakin mencabar lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Undi 18 yang bakal menyaksikan kemunculan generasi pengundi muda yang kurang menerima sentuhan UMNO.

    Kekalahan mengejut pada PRU-14 seharusnya menyedarkan pucuk pimpinan UMNO Negeri Sembilan bahawa mereka tidak boleh lagi hanya berasa selesa dalam silo masing-masing.

    Lakukan apa sahaja yang perlu untuk kembali mentadbir Negeri Sembilan termasuk bekerjasama dengan Bersatu dan PAS.

    Misi itu mesti dijayakan bagi menjaga air muka Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

    Nostalgia lampau sememangnya sangat indah namun ia tidak mampu menjamin kemenangan.