Tag: Nasrudin Hassan

  • Wanita buat komedi hina Islam mesti bertaubat – Nasrudin

    Wanita buat komedi hina Islam mesti bertaubat – Nasrudin

    WANITA yang ditahan polis kerana didakwa menghina Islam dalam persembahan komedi sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dinasihatkan supaya bertaubat atas apa yang telah dilakukannya.

    Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berkata, wanita terbabit juga perlu menginsafi bahawa ia adalah satu kesalahan besar dalam agama.

    “Tampil di khalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al-Quran lalu di saat itu jua, dengan sengaja dan bangga ia meleraikan satu persatu pakaian luarnya sehingga separuh telanjang, adalah satu perbuatan mempersenda dan memperkecilkan Islam.

    “Ia bukan sahaja perbuatan yang mencabul harga diri individu yang terlibat, tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianut serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita Islam yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

    Terdahulu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, suspek itu kini direman tiga hari bermula hari ini.

    Nasrudin mengingatkan bahawa agama Islam bukan prop komedian yang boleh dilantun sesuka hati.

    “Meskipun mendapat tepukan gemuruh dari audien, tindakan itu tidak boleh dinilai sebagai bahan lawak jenaka melainkan ia suatu perbuatan yang hina dan jijik kerana mempersendakan ajaran wahyu dari Tuhan Yang Maha Mencipta,” jelasnya.

    Beliau turut kesal dengan tindakan seorang lelaki yang memuatkan kandungan video memaparkan perbuatan menarik tudung wanita Islam dalam media sosial baru-baru ini.

    “Mempertaruhkan maruah seorang muslimah demi meraih rating di media sosial adalah satu tindakan yang keterlaluan dan wajib dihentikan,” tegasnya.

    Nasrudin berkata, Islam sebagai satu cara hidup yang mulia dan mendidik penganutnya agar berperilaku sopan dan menjaga sensitiviti beragama.

    “Maka tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya,” ujarnya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, YADIM mengingatkan seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam tindakan dan ucapan agar tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci ini.

    “Tidak sahaja berdepan dengan kemarahan umat Islam kerana agama mereka diperlekeh, bahkan ia berdepan dengan kemurkaan Allah SWT yang azabnya sangat dahsyat,” katanya.

    Nasrudin menyeru umat Islam agar menghayati firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 70:

    وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

    Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

    وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

    dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah mereka lakukan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat selain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya.

    أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

    Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka lakukan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

  • Politik PAS sebar risalah, bukan membelasah

    Politik PAS sebar risalah, bukan membelasah

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    SALAH satu dari penegasan yang masih segar dalam ingatan kita ialah pesanan almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemimpin-pemimpin PAS, apabila berceramah jangan sekali-kali lupa untuk mengemukakan nas atau dalil Al Quran sebagai asas kepada point-point ceramah.

    Almarhum Ustaz Yahya Othman ketika menyampaikan tausiahnya kepada pemuda-pemuda PAS dalam satu siri Ijtimak Tarbawi anjuran pemuda PAS, almarhum menegaskan pemimpin PAS mesti menjadikan asas ceramahnya di pentas politik adalah berdasarkan Al-Quranul Karim.

    Sebagaimana difahami oleh semua, bahawa PAS adalah merupakan sebuah gerakan Islam dan politiknya adalah berteraskan dakwah. Dalam erti kata lain, pentas politik PAS adalah pentas PAS untuk berdakwah menyampaikan risalah Islam kepada ummah.

    rundingan nasrudin hassan
    NASRUDIN HASSAN (Gambar: Facebook)

    PAS mesti berbeza dengan parti politik biasa. Berbeza dengan sebuah parti yang berorientasikan politik semata-mata. Berbeza dengan parti yang menjadikan pentas pidatonya hanya untuk membelasah dan memaki hamun lawan politiknya.

    Pentas pidato atau ceramah PAS adalah medan untuk membina pemikiran ummah agar memahami Islam yang syumul lantas menyedarkan mereka dari kealpaan sehingga menggamit mereka menyokong lalu menyertai perjuangan Islam.

    Sarana penyampaian ceramah PAS dimedan politik adalah untuk menarik sokongan masyarakat dan melunakkan pemahaman mereka terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

    Boleh berintonasi dengan nada membakar semangat pejuang serta membangkitkan kesedaran masyarakat berasaskan petunjuk al-Quran dan Sunnah.

    Namun jangan sekali-kali mencerca dan mempersenda pihak lain secara terbuka dengan perkataan dan nada yang tidak sesuai atau tidak selayaknya sebagai seorang pejuang dan pemimpin Islam.

    Pentas pidato PAS bukan medan melampiaskan amarah pada lawan politik. Juga bukan medan laga untuk menunjuk jaguh. Tetapi adalah medan untuk menyuarakan kebenaran Islam dan mempamerkan keindahan syariat.

    Ia juga merupakan medium untuk PAS menjelaskan apa yang diperjuangkan oleh PAS, apakah tawaran PAS kepada masyarakat melalui perjuangan yang didukung. Bagaimana PAS mempraktiskan Islam dalam pemerintahan dan kenapa masyarakat perlu memberi sokongan kepada perjuangan PAS.

    Antara prinsip PAS dalam gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ialah mengelak politik retorik. Jauh sekali bercakap besar dan kasar serta berlagak angkuh di depan khalayak.

    Sebaliknya kita diajar oleh Islam yang dititip melalui usrah, tamrin, ijtimak tarbawi dan lainnya yang telah kita lalui dalam tarbiyah PAS agar kita sentiasa tenang, matang, sabar, lunak, berjiwa besar, sopan santun, berkarisma dan 1001 sikap serta sifat yang positif.

    Kita ceramah adalah untuk tarik sokongan orang ramai kepada perjuangan Islam bukan untuk menyemarak rasa benci dan marah mereka kepada PAS dan perjuangan yang dibawa.

    Cermati firman Allah swt :

    فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

    Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

    Oleh itu maafkanlah mereka dan mohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

    Surah Ali Imran: 159

    Penulis ialah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat

  • PAS, UMNO tak nak gaduh dah, malu kokram!

    PAS, UMNO tak nak gaduh dah, malu kokram!

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    HIRUK pikuk apakah ini? Sungguh ia sangat menyedihkan. Menjatuhkan maruah kita sesama umat Islam. Bercakaran di khalayak, saling tuding menuding dan membalas “tembakan”.

    Apakah kita umat Islam tidak ada kitab panduan? Tidak ada rasul bimbingan? Jika ada, kenapa kita masih bersengketa sesama sendiri hanya kerana kuasa politik? Berebut kerusi dan wilayah penguasaan?

    Sampai bila umat ini akan tenang? Sampai bila umat ini akan damai? Sampai bila umat ini akan bersatu?

    Kenapa tidak dihayati dan praktis kata wahyu dalam al-Quran: “dan taatlah olehmu akan Allah dan RasulNya, janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan, bersabarlah. Sungguh Allah bersama orang yang sabar.” ~ Al Anfaal: 46

    ‎وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

    Ke mana pergi azimat warisan yang soleh berbunyi “BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH”?

    Izinkan saya bertanya lagi … sama ada PAS atau pun UMNO, (yang mewakili parti besar umat Islam di negara ini), bukankah kita semua adalah muslim yang beriman kepada Allah SWT?

    Ya, kita muslim ! Justeru itu .. tenanglah saudaraku. TAMATKAN LAH PERSENGKETAAN ini. Malu pada masyarakat yang menyaksikan kita sesama agama bergaduh tak sudah. Asal ada pilihan raya kita bergaduh. Asal kita bergaduh, ada pilihan raya.

    Saya tahu, semuanya ada alasan.

    “Dia kata aku dulu, maka aku jawablah !”

    “Orang kata kat kita, mana boleh tak jawab, ini maruah kita!”

    “Dia fitnah kita! Mesti balas balik!”

    …. dan 1001 satu alasan lagi yang “kukuh” dan “jitu”.

    Persoalannya ….

    Sampai bila kita akan terus bergelut dan bertelingkah begini? Kemana hilangnya ketenangan dan kesabaran jiwa sebagai seorang muslim?

    Ke mana perginya kematangan kita berpolitik?

    Sahabat-sahabatku pimpinan PAS dan UMNO,

    Saya melihat kita banyak HABISKAN MASA bergaduh dalam perkara yang tidak perlu. Hanya kerana mencari “kepuasan hati”. Melayani kerenah pihak yang antiperpaduan. Terpedaya dengan provokasi licik ejen perpecahan.

    Dalam masa yang sama, kita bercakap bahawa kita mahukan perpaduan.

    Malangnya kita cepat hilang sabar. Panas baran, cepat melatah, terlalu sensitif, CEPAT KOYAK dan mudah terpedaya dengan provokasi yang datang dari segenap arah termasuk menerusi warlord di belakang media.

    Kita bergaduh di tengah laman. Semua orang tengok aksi dan sikap kita. Membosankan. SIKIT-SIKIT GADUH. Kebanyakannya kerana “react” dari kenyataan media.

    Lebih duka jika ada dalam kalangan pemimpin umat Islam dari kedua-dua parti umat Islam ini dah jadi macam kaki gaduh. Asal dia bercakap, cari gaduh. Asal dia menulis di media sosial, cari pasal untuk berbalah. Mencerca dan mengherdik antara satu sama lain.

    Sahabat-sahabatku semua ….

    Anda dan kita semua pemimpin negara, negeri mahupun bahagian dan cawangan. Buktikan kewibawaan kepimpinan anda dan sememangnya negara serta rakyat ini perlukan pemimpin yang berwibawa.

    Serlahkan kehebatan anda memimpin dengan pemikiran yang membawa gagasan besar menyatukan ummah untuk bina kecemerlangan negara dan rakyat.

    Jahitlah luka dan rawatlah kecederaan dengan baik. Jangan dituang minyak pada bara. Bercakaplah dengan ayat yang menyatukan. Menulislah dengan kalimah yang menenangkan.

    Kita berjiwa besar nak menyatukan umat Islam di Palestin supaya ambil semula Al-Quds. Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yaman, Afghanistan dan lain supaya bersatu. Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara.

    Kenapa tiba-tiba kita berjiwa kecil bila berdepan dengan konflik dalaman negara kita sendiri? Hanya sekadar untuk menyatukan PAS dan UMNO jer pun … kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan.

    Sahabat-sahabatku …. PAS dan UMNO.

    Tamatkanlah persengketaan ini. Jom kita damaikan hati dan diri kita sendiri.

    Tak nak gaduh dah. Malu kokram!

    Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

  • Laksana gencatan politik, kembali ke meja rundingan

    Laksana gencatan politik, kembali ke meja rundingan

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    SAYA konsisten dengan gesaan awal saya kepada semua rakan-rakan dari kalangan pemimpin parti-parti politik agar semua rujuk kembali ke meja rundingan dengan mencari solusi terbaik ke arah kestabilan politik negara yang berkocak teruk mutakhir ini.

    Kita semua tahu bahawa politik adalah alat untuk membangunkan negara, berkhidmat kepada rakyat dan lebih penting, politik itu dijadikan alat untuk mengurus kehidupan yang taat kepada Tuhan Yang Maha Mencipta.

    Sebagaimana kita faham, bahawa insya-Allah masih ada ahli politik yang ikhlas dan mahu melunaskan objektif tersebut dengan menjadi seorang pemimpin politik yang bukan sahaja bertanggungjawab tetapi bertakwa kepada Allah SWT.

    Pemimpin politik yang mengambil kira elemen hak dan batil, dosa dan pahala serta syurga dan neraka dalam tindakan politik mereka. Agar mereka menjadi pemimpin yang adil dan soleh di dunia serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah SWT pada hari Kiamat kelak.

    Duduklah berbincang dengan tenang dan saksama demi masa depan agama, negara dan rakyat keseluruhannya, terutamanya saat kita masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 yang sangat bahaya ini.

    Mungkin pihak yang lebih disegani sepertiYang di-Pertuan Agong boleh menjadi mediator lalu memanggil semua pemimpin politik khasnya yang beragama Islam duduk berbincang dalam rundingan mencari penyelesaian demi masa depan Islam sebagai agama Persekutuan, negara yang berdaulat dan rakyat yang harmoni.

    Tempoh wajib diadakan pilihan raya pun sudah tidak lama. Elok sangat masa yang ada ini, kita bersatu dan fokus menyelesaikan isu COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

    Saya fikir, gerakan untuk menukar kerajaan atau mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan amatlah tidak sesuai pada masa ini. Selain ia melarikan fokus pada menangani COVID-19, ia juga tidak menyelesaikan masalah.

    Kita semua tahu, sehingga kini, selain Perdana Menteri yang masih ada sekarang, masih belum ada Ahli Parlimen yang mampu miliki sokongan melepasi had majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kabinetnya.

    Ataupun, dalam situasi margin yang kecil begini, kalaupun naik kerajaan yang baharu, kerajaan baharu itu pula akan berdepan dengan situasi serupa pada hari ini. Dipersoal sokongan majoritinya dan dipertikai pula keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

    Persoalannya, sampai bila negara ini akan damai dari konflik yang merugikan kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan menjejaskan pula ekonomi.

    Selayaknya semua pihak bersabar dulu. Sebelum detik sesuai kita kembali menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat pemilihan baharu bagi menentukan kerajaan yang bakal memerintah kelak.

    Marilah kita bekerjasama. Apalah salahnya sesekali dalam sejarah politik negara, kita adakan gencatan politik untuk semua pihak bersatu membantu kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini serta mengusahakan projek vaksinasi yang sedang giat berjalan ini sehingga capai 80 peratus ke atas.

    Insya-Allah, sampai masa yang sesuai (tidak lama dah pun) maka kembalilah kita kepada rakyat untuk mereka memilih kerajaan baharu dalam proses pilihan raya yang selamat.

    • Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.