SEORANG jururawat wanita berusia 26 tahun mati ditembak oleh seorang pembantu wad hospital yang sering menghendapnya pada malam Khamis lalu.

Memetik laporan PTI , kejadian berlaku di dalam unit rawatan rapi (ICU) hospital daerah Bhind di Madhya Pradesh, India.

Pesuruhjaya Polis Bhind, Shalendra Singh Chauhan berkata, mangsa, Neha Chandel ditembak di kepala menggunakan sepucuk pistol pada jarak dekat oleh suspek yang merupakan bapa kepada empat anak.

Difahamkan, jururawat terbabit menolak cinta suspek yang berusia sekitar 40-an.

Suspek mahu mengahwini Neha namun perkahwinan mangsa dengan lelaki lain telah ditetapkan.

Keluarga Neha mendakwa, suspek telah mendesak mangsa untuk mengahwini sejak berbulan-bulan lalu.

Namun, Neha menolak lamaran suspek.

Lelaki itu menyerah diri kepada polis selepas insiden tembakan berlaku.

Mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat.

Ekoran kejadian menyayat hati itu, kira-kira 100 jururawat hospital terbabit melancarkan protes bagi menuntut tahap keselamatan yang lebih tinggi di fasiliti kesihatan berkenaan.

Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan Bhind, Dr Ajit Mishra berkata, pihaknya berusaha memastikan para pesakit tidak terganggu dengan protes berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here