Tag: Najib Razak

  • PRU-15: UMNO ambil risiko besar calon semula Najib

    PRU-15: UMNO ambil risiko besar calon semula Najib

    UMNO mungkin terpaksa berdepan pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Pekan sekiranya parti itu mencalonkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beberapa penganalisis politik membuat andaian tersebut berdasarkan kemungkinan Najib gagal dalam rayuannya di mahkamah selepas PRU-15 diadakan.

    Memetik laporan Malaysia Now, pensyarah sains politik, Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pencalonan Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan itu harus dilihat dari sudut undang-undang.

    Menurut beliau, Najib telah disabitkan bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

    “Sekiranya Najib tidak dapat mengubah keputusan dan tidak mendapat pengampunan diraja, maka ada kebarangkalian plihan raya kecil perlu diadakan semula sekiranya Najib berjaya mempertahankan kerusi Pekan pada PRU-15.

    “Walaupun UMNO yakin boleh menang kerusi Pekan, dalam konteks hendak menjadi kerajaan, Umno harus mendapat jumlah kerusi yang jitu untuk membentuk kerajaan. Pengundian semula (kerusi Pekan) tidak akan membantu UMNO,” katanya.

    Pada Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Dalam satu temu bual bersama Reuters baru-baru ini, Najib menyatakan hasrat untuk dicalonkan semula pada PRU-15.

    Pada PRU-14, beberapa ahli politik dibatalkan pencalonan atau tidak mencalonkan diri berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

    Antaranya bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang ketika itu berhadapan perbicaraan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), dan bekas ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang hilang kelayakan bertanding apabila pegawai pengurus pilhan raya membatalkan kertas pencalonannya ekoran satu kes mahkamah.

    Mujibu menambah, selain sudut memenangi kerusi, aspek reputasi negara juga perlu diambil kira oleh UMNO. Saya tidak fikir pencalonan Najib ini bagus dari sudut integriti.

    “Sekiranya Umno mengekalkan golongan yang digelar kleptokrat, ia menghantar isyarat yang tidak baik tentang hala tuju negara,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, dua faktor utama yang akan menentukan pencalonan Najib ialah Presiden UMNO yang akan menandatangani watikah calon demgan melihat keboleh menangan Najib, dan faktor perundangan.

    “Jika merujuk kepada budi bicara pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari penamaan calon, keadaan ini masih berisiko dan terdedah kepada bantahan calon lain yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencalonan beliau,” jelasnya.

    Beliau berpandangan, pencalonan semula Najib dilihat sebagai strategi menarik semula segmen undi protes yang memberi undi kepada pembangkang pada PRU14 lepas.

    Namun katanya, imej Najib bakal memberi kesan kepada pengundi di kawasan campuran yang undi bukan Melayu menjadi penentu.

    Selain itu, Hisommudin berkata, UMNO perlu memberikan justifikasi sekiranya Najib dan kumpulan kluster mahkamah benar-benar dicalonkan semula.

    “Sebarang keputusan dan riskio perlu dinilai oleh strategis UMNO bagi memberikan formula kemenangan kepada parti Melayu itu,” katanya.

  • Najib punca BN kalah, lupakan hasrat bertanding PRU-15

    Najib punca BN kalah, lupakan hasrat bertanding PRU-15

    DALAM wawancara bersama Reuters, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan beliau mungkin bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pekan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Agak mengejutkan kerana ramai yang menjangka beliau akan berundur dari politik selepas gagal memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa selepas PRU-14.

    Najib bukan sahaja gagal membawa kemenangan untuk BN, malah dirinya yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap oleh sebahagian pemerhati politik sebagai liabiliti terhadap parti.

    Walaupun serangan musuh UMNO dan BN ditujukan terhadap Najib, kesan buruk akibat skandal 1MDB menyebabkan reputasi parti dalam kalangan majoriti rakyat terjejas.

    Seperti yang dibuktikan dalam keputusan PRU-14, keyakinan rakyat terhadap BN terhakis dan skandal 1MDB yang turut mencemarkan nama negara merupakan salah satu puncanya.

    Sekiranya Najib masih enggan berpijak di bumi nyata dan meneruskan hasrat bertanding dalam PRU-15, UMNO dan BN pasti dihukum sekali lagi oleh rakyat.

    Lebih-lebih lagi, bekas Presiden UMNO itu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tahun lalu.

    Walaupun beliau kini dalam proses rayuan terhadap sabitan bersalah tersebut, pihak musuh pasti menjadikannya modal dalam kempen menyerang UMNO dan BN nanti.

    Kes mahkamah yang dihadapi Najib merupakan peluang keemasan bagi pihak lawan bagi meyakinkan rakyat khususnya pengundi muda bahawa UMNO dan BN masih belum insaf.

    Buktinya, selepas menerima tamparan hebat yang memalukan pada PRU-14, UMNO dan BN masih menebalkan muka meletakkan calon-calon kluster mahkamah bertanding dalam pilihan raya.

    Sekiranya Najib masih sayangkan BN dan UMNO, beliau sepatutnya melupakan hasrat untuk bertanding. Adalah lebih baik beliau menumpukan masa dan tenaga untuk membersihkan namanya daripada tuduhan-tuduhan yang dihadapi di mahkamah.

    Najib seharusnya sedar bahawa akar umbi UMNO sendiri berharap agar parti meletakkan calon-calon yang bersih daripada sebarang kes mahkamah.

    Mereka masih belum pulih sepenuhnya daripada kejutan pascatrauma yang dialami ekoran kekalahan UMNO dan BN yang berpunca daripada kegagalan pucuk pimpinan menangani isu 1MDB secara berkesan dahulu.

    Janganlah diulangi kesalahan lama dengan meletakkan muka-muka yang bermasalah dan ditolak oleh rakyat sebagai calon.

    Mungkin calon yang bermasalah itu boleh menang di kerusi yang ditandingi, namun kesan buruk terpaksa ditanggung oleh calon-calon parti di kawasan lain.

    Pengundi kini semakin bijak menilai dan mereka mengambil kira faktor keseluruhan bagi menentukan parti mana yang layak mendapat kepercayaan mereka.

    Bagi mengelakkan BN dan UMNO ‘bungkus’ untuk kali kedua, Najib dan pemimpin-pemimpin kluster mahkamah yang lain sewajarnya berundur dari politik secara terhormat.

    Berilah peluang kepada muka-muka baharu yang lebih bersih dan berintegriti untuk mengembalikan semula maruah parti yang tercalar.

  • PRU-15: Najib mungkin pertahan kerusi Parlimen Pekan

    PRU-15: Najib mungkin pertahan kerusi Parlimen Pekan

    DATUK Seri Najib Tun Razak mungkin bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun beliau telah disabitkan kesalahan rasuah oleh mahkamah dan berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam wawancara bersama Reuters.

    “Mana-mana ahli politik yang mahu memainkan peranan, tentunya ingin menjadi Ahli Parlimen,” katanya apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

    Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

    Beliau telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

    Selain kes SRC, Najib menghadapi beberapa kes mahkamah berhubung dana 1MDB dan Ahli Parlimen Pekan itu telah menolak semua tuduhan tersebut

    Dalam wawancara itu, Najib menambah, soal sama ada beliau layak bertanding dalam PRU akan datang adalah rtakluk kepada tafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    “Ia tertakluk kepada tafsiran dari segi undang-undang, perlembagaan dan apa yang berlaku semasa perbicaraan,” jelasnya.

    Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi terburuk di bawah pimpinan Najib apabila gabungan parti politik yang berkuasa sejak PRU yang pertama itu tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

    Ramai pemerhati politik mengaitkan keputusan yang menyaksikan BN hilang kuasa itu berpunca daripada skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib.

    Kegagalan BN dan UMNO menangani persepsi berhubung skandal 1MDB telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap parti itu.

    BN dan UMNO juga dijangka berdepan cabaran getir untuk mempertahankan pengaruhnya dalam PRU-15 berikutan penguasaan kluster mahkamah di peringkat pucuk pimpinan parti.

    Selain Najib, antara pemimpin tertinggi BN dan UMNO yang sedang berdepan tuduhan di mahkamah ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

    Majoriti akar umbi parti mahu perubahan dilakukan dengan mengetengahkan pemimpin yang bersih seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Ahmad Zahid dijangka mengetuai BN dan UMNO dalam misi menghadapi PRU-15 sekiranya parti terbesar orang Melayu itu tidak mengadakan pemilihan dalam masa terdekat.

  • Mahkamah Tinggi tetapkan tarikh keputusan lucut hak barangan milik Najib

    Mahkamah Tinggi tetapkan tarikh keputusan lucut hak barangan milik Najib

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk menentukan sama ada membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak pelbagai barangan yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta beberapa individu dan syarikat selepas 9 Mei 2018.

    Keputusan itu telah dibuat oleh Hakim, Mohamed Zaini Mazlan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menghantar penghujahan bertulis untuk menyokong permohonan itu.

    Harris berkata, mereka akan bergantung pada penghujahan bertulis dan tidak akan membuat penghujahan lisan di mahkamah.

    “Saya percaya semua telah bersetuju untuk mahkamah menetapkan tarikh bagi keputusan itu,” katanya.

    Hakim secara berseloroh membalas dengan berkata Ia akan menjadi minggu yang baik.

    Zaini turut berkata, mahkamah memerlukan kira-kira dua bulan untuk membuat keputusan dan menyediakan penghakiman bertulis sebelum 8 November.

    Kerajaan memohon untuk melucut hak beratus-ratus barangan yang dirampas daripada Najib dan 17 individu serta syarikat pada 2018, dengan mendakwa barangan itu diperolehi daripada aktiviti yang melanggar undang-undang.

    Antara individu yang dinamakan dalam permohonan pelucutan hak itu adalah Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz, anak-anak Najib, bekas pegawai bank Goldman Sachs dan ibu Low Taek Jhor, Goh Gaik Ewe.

    Barangan itu termasuk beg tangan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, jam tangan, kasut dan 27 buah kenderaan dan wang sebanyak RM18 juta dalam beberapa akaun simpanan dan sebuah banglo milik keluarga Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang turut dirampas.

  • Media sosial sasarkan Najib selepas Muhyiddin ditumbangkan

    Media sosial sasarkan Najib selepas Muhyiddin ditumbangkan

    DATUK Seri Najib Razak kini menjadi sasaran kritikan di Facebook, menyertai pimpinan pembangkang dan sekutu mereka dalam kalangan aktivis terkemuka dalam menggesa peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bagaimanapun, kritikan berterusan yang diterima Najib itu menandakan peralihan dari beberapa keadaan sebelum ini di mana beliau menggunakan media sosial untuk mempertikaikan cara kerajaan menangani pandemik Covid-19.

    Najib kini dilihat gembira dengan peletakan jawatan Muhyiddin dengan satu baris ayat yang sering menonjol dalam kempen media sosialnya sejak tumbang dari tampuk pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum 2018.

    Bahkan dalam hantaran yang menggesa rakyat Malaysia menyokong kontinjen negara ke temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020, beliau turut dilihat dikritik ekoran peranannya yang menjadi punca kelompongan kuasa ketika negara dilanda pandemik.

    “Hilangnya TSMY dari hiraki Kabinet kerajaan, hilang jugak idea bijaksana anda berkait Covid.

    “Biasanya anda mulakan setiap hari baru di muka buku dengan ratib wirid pelbagai salah silap TSMY bersabit Covid-19. Barangkali juga bersama-sama TSMY ada Covid 19? Hilang TSMY, maka hilanglah Covid-19,” kata seorang pengguna.

    Seorang pengguna lagi dilihat mengingatkan Najib mengenai ahli-ahli Parlimen yang beliau kumpulkan untuk menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin sehingga kerajaan hilang majoriti.

    “Waktu sukan Olimpik tempoh hari, menteri KBS dari UMNO ada di sisi atlet-atlet berjuang.

    “Tetapi angkara 15 ekor MP yang bangang, kini atlit paralimpik terpaksa berjuang tanpa kelibat seorang menteri KBS,” katanya merujuk Reezal Merican Naina Merican, salah seorang dari 20 ahli Parlimen UMNO menolak untuk mengikut gesaan Najib untuk meletakkan jawatan.

    Najib bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi pemimpin utama dalam siri percubaan menggulingkan Muhyiddin.

    Kedua-dua mereka juga turut mendukung pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya menduduki jawatan perdana menteri.

    Pengikut palsu

    Sejak beliau tumbang pada 2018 dan disusuli dengan pelbagai pendedahan jutaan wang tunai dan barangan mewah yang disimpannya, pasukan komunikasi Najib telah berusaha untuk membina semula imejnya menggunakan kuasa media sosial.

    Bekas Perdana Menteri itu mengumpul sekurang-kurangnya 4.5 juta pengikut di Facebook.

    Bagaimanapun wujud keraguan mengenai angka tersebut sekitar lapan tahun selepas sebuah syarikat pemaju perisian yang berpangkalan di United Kingdom mendedahkan Najib adalah pemimpin politik utama yang memiliki pengikut palsu.

    Menggunakan ‘Fake Follower Check’ yang dibangunkan Rob Waller, beliau mendapati Najib memiliki jumlah pengikut palsu paling tinggi dibandingkan tujuh pemimpin lain dari Amerika Syarikat, Australia, India, Thailand, Jepun, Singapura dan Vietnam.

    Beliau turut mendapati sekitar 70 peratus daripada 1.4 juta pengikutnya pada waktu itu adalah akaun palsu.

    Aplikasi yang dibangunkan Waller itu kemudian dibatalkan susulan beberapa perubahan berlaku dalam ekosistem media sosial.

    Setakat ini, masih tidak ada aplikasi atau alat efektif yang mengenal pasti keaslian sokongan dalam media sosial, terutamanya dengan kewujudan ‘cybertrooper’ – mereka yang ditugaskan untuk memberikan sokongan kepada agenda seseorang pemimpin dengan menggunakan akaun palsu. – Malaysia Now

    Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

  • Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    HAKIM Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berang kerana bekas Perdana Menteri itu tidak hadir pada prosiding perbicaraan, pagi ini.

    Sebaik saja perbicaraan kes itu bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah, anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Menurut Rahmat, Najib dan Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    “Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berang dan berkata, Najib seharusnya hadir di mahkamah terlebih dahulu.

    “Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana. Namun, laporan media menyatakan, ia akan dilakukan secara berperingkat.

    “Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

    Tambah beliau, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

    Namun, mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

  • Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu hadir mesyuarat BN

    Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu hadir mesyuarat BN

    PERBICARAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan ke 2.30 petang tadi kerana bekas Perdana Menteri itu perlu menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 pagi berhubung pilihan calon untuk jawatan Perdana Menteri.

    Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Najib untuk menghentikan bicara sesi pagi pada 10.45 pagi kerana Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghadiri mesyuarat itu.

    “Bolehkah saya menyatakan untuk rekod bagi mengelakkan keraguan bahawa saya membenarkan permintaan tertuduh kerana berikutan isu semasa negara pada masa ini, dan saya rasa pentingnya mesyuarat ini untuk mencapai resolusi.

    “Jadi ia hanya disebabkan perkara ini dan saya tidak mahu tanggapan bahawa permohonan pada mesyuarat lain atau acara lain dibenarkan. Hanya permohonan ini. Saya benarkan beliau untuk menghadiri mesyuarat ini tetapi kita harus teruskan semula pada 2.30 petang. Jadi jumpa anda pada 2.30 petang,” tegas hakim itu.

    Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, parti Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat penting hari ini berhubung pemilihan calon jawatan perdana menteri pada 11 pagi ini.

    “Anak guam saya adalah penasihat BN, beliau perlu berada di sana bersama Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin parti yang lain untuk membuat keputusan,” kata peguam itu.

    Prosiding pagi ini dimulakan dengan keterangan Mohd Hazem Abd Rahman, 49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dalam pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee mengenai transaksi berjuta-juta wang daripada 1MDB.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Semalam, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat khas di tempat yang sama untuk membincangkan calon parti untuk jawatan perdana menteri, yang namanya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan semalam pula memaklumkan, semua Ahli Dewan Rakyat diminta menghantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

    Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang hari ini, atau ia tidak akan diambil kira.