DALAM wawancara bersama Reuters, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan beliau mungkin bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pekan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Agak mengejutkan kerana ramai yang menjangka beliau akan berundur dari politik selepas gagal memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa selepas PRU-14.

Najib bukan sahaja gagal membawa kemenangan untuk BN, malah dirinya yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap oleh sebahagian pemerhati politik sebagai liabiliti terhadap parti.

Walaupun serangan musuh UMNO dan BN ditujukan terhadap Najib, kesan buruk akibat skandal 1MDB menyebabkan reputasi parti dalam kalangan majoriti rakyat terjejas.

Seperti yang dibuktikan dalam keputusan PRU-14, keyakinan rakyat terhadap BN terhakis dan skandal 1MDB yang turut mencemarkan nama negara merupakan salah satu puncanya.

Sekiranya Najib masih enggan berpijak di bumi nyata dan meneruskan hasrat bertanding dalam PRU-15, UMNO dan BN pasti dihukum sekali lagi oleh rakyat.

Lebih-lebih lagi, bekas Presiden UMNO itu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tahun lalu.

Walaupun beliau kini dalam proses rayuan terhadap sabitan bersalah tersebut, pihak musuh pasti menjadikannya modal dalam kempen menyerang UMNO dan BN nanti.

Kes mahkamah yang dihadapi Najib merupakan peluang keemasan bagi pihak lawan bagi meyakinkan rakyat khususnya pengundi muda bahawa UMNO dan BN masih belum insaf.

Buktinya, selepas menerima tamparan hebat yang memalukan pada PRU-14, UMNO dan BN masih menebalkan muka meletakkan calon-calon kluster mahkamah bertanding dalam pilihan raya.

Sekiranya Najib masih sayangkan BN dan UMNO, beliau sepatutnya melupakan hasrat untuk bertanding. Adalah lebih baik beliau menumpukan masa dan tenaga untuk membersihkan namanya daripada tuduhan-tuduhan yang dihadapi di mahkamah.

Najib seharusnya sedar bahawa akar umbi UMNO sendiri berharap agar parti meletakkan calon-calon yang bersih daripada sebarang kes mahkamah.

Mereka masih belum pulih sepenuhnya daripada kejutan pascatrauma yang dialami ekoran kekalahan UMNO dan BN yang berpunca daripada kegagalan pucuk pimpinan menangani isu 1MDB secara berkesan dahulu.

Janganlah diulangi kesalahan lama dengan meletakkan muka-muka yang bermasalah dan ditolak oleh rakyat sebagai calon.

Mungkin calon yang bermasalah itu boleh menang di kerusi yang ditandingi, namun kesan buruk terpaksa ditanggung oleh calon-calon parti di kawasan lain.

Pengundi kini semakin bijak menilai dan mereka mengambil kira faktor keseluruhan bagi menentukan parti mana yang layak mendapat kepercayaan mereka.

Bagi mengelakkan BN dan UMNO ‘bungkus’ untuk kali kedua, Najib dan pemimpin-pemimpin kluster mahkamah yang lain sewajarnya berundur dari politik secara terhormat.

Berilah peluang kepada muka-muka baharu yang lebih bersih dan berintegriti untuk mengembalikan semula maruah parti yang tercalar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here