Tag: Muhyiddin Yassin

  • PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    TAN Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga pengerusi gabunagn itu berkata, tiada kerjasama itu kerana berpegang pada prinsip bahawa PN ada kekuatan sendiri.

    “Kenapa nak gabung dengan pihak lain. Berbaki tiga hari lagi PRU yang agak kritikal menjadi penentu.

    “Saya mengharap atau menjangka akan ada satu bentuk gelombang kesedaran baru di kalangan pengundi terutama pengundi Melayu bahawa kita perlu bertindak sekarang,” katanya ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jika berlaku satu peningkatan gelombang peratusan sokongan Melayu dan orang Cina meningkat sedikit, PN boleh menang pada PRU-15.

    Beliau berharap sokongan Melayu akan meningkat sehingga 70 peratus kepada PN.

    Ini kerana dalam PN ada Bersatu dan Pas. Selain Gerakan, ini dua gabungan besar parti politik Melayu dan Islam.

    “Kalau situ tarikan terbesarnya dan kita dapat menarik sekurangnya 70 peratus dan yang sekarang hampir dekat 60 peratus dalam tempoh hari ke depan, saya fikir akan berlaku kawasan yang 50-50 akan ada peningkatan dari situ kita boleh menang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Beliau berkata, tujuan PN bertanding pada PRU15 bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

    Pada Selasa, Takiyuddin berkata, kenyataannya berhubung PN dan BN dapat bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15 diambil di luar konteks.

    Katanya, sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan tajuk laporan media juga mengelirukan pengundi.

  • Pas tidak didominasi Bersatu dalam PN – Tuan Ibrahim

    Pas tidak didominasi Bersatu dalam PN – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan parti itu didominasi Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), bahkan menjelaskan situasi mereka lebih kurang sama dengan BN.

    Malah tegas Tuan Ibrahim, tidak timbul isu siapa mendominasi siapa dalam PN kerana setiap keputusan yang diambil, ia diputuskan secara bersama.

    “Tidak, kita ada majlis tertinggi parti yang (melibatkan) semua komponen kelima-lima parti dalam majlis tertinggi .

    “Sama dengan BN, orang lihat BN didominasi oleh UMNO. Sedangkan dia buat keputusan bersama-sama, kita (PN) pun sama.

    “Apabila bermesyuarat Tan Sri Muhyiddin (Yassin) adalah pengerusi. Jadi, semua kenyataan mestilah daripada pengerusi.

    “(Keadaan itu) bukan bermakna didominasi tetapi ialah keputusan bersama yang disebut oleh pengerusi. Saya rasa tak timbul soal dominasi,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Petang Bersama Timbalan Presiden Pas di Batu Enam, Kuala Nerus, petang tadi.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata setiap keputusan yang dibuat Pengerusi PN itu juga “mesti dibincangkan” dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Apa-apa keputusan pun Tan Sri Muhyiddin mesti dibincangkan dengan presiden Pas, hatta dia pun datang ke Terengganu.

    “Kalau ada benda penting dia (Muhyiddin) akan datang ke Terengganu, jumpa tok guru (Abdul Hadi).

    “Saya pun banyak kali jumpa dia dan setiap kali ada benda penting dia akan bincang dengan Pas . Sebab Pas dengan Bersatu ini menjadi tunggak kepada PN,” tegasnya, lapor Malaysiakini.

    Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas dakwaan Bersatu dilihat lebih dominan daripada Pas susulan banyak keputusan gabungan itu dibuat oleh Muhyiddin.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Bersatu lebih dominan dalam PN dan parti itu hanya memperalatkan Pas demi kepentingan mereka pada PRU ke-15.

    Ismail Sabri turut berkata, penyokong Pas tidak belajar daripada pengalaman PRN Melaka dan Johor, selain berpendapat mereka perlu sedar “taktik licik Bersatu”.

    Dia turut menyeru pengundi memberikan undi kepada calon BN jika tiada calon Pass di kawasan ditandingi PN.

  • Muhyiddin tegaskan hubungannya dengan pemimpin Pas baik, nafi PN bergolak

    Muhyiddin tegaskan hubungannya dengan pemimpin Pas baik, nafi PN bergolak

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya teguran beliau kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kerjasama dengan Barisan (BN) menggambarkan bahawa gabungan itu sedang bergolak.

    Kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, hubungan antara pemimpin dalam parti komponen PN cukup utuh tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang sedang berpecah-belah menjelang PRU-15.

    “Tidak ada pergolakan dalam PN, dalam BN lagi teruk, malam nanti saya dengan tuan guru (Abdul Hadi Awang) akan kempen di Muar, kami tiada masalah, mereka nak kata macam mereka (BN), mereka banyak masalah perpecahan, hancur lebur, calon patut bertanding tak boleh bertanding tersingkir,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Bukit Pasir hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Pas sebagai parti besar dalam PN sepatutnya mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungan, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas PRU-15.

    Muhyiddin berkata, pihak yang menuduh kononnya PN bergolak dibuat tanpa asas kukuh.

    “Kenyataan asal Takiyuddin tidak dipetik secara betul dan tepat (berhubung kerjasama dengan BN) dan Takiyuddin sudah betulkan, saya sudah betulkan, tuan guru Hadi pun sudah betulkan di mana pendirian kita ialah, PN dalam masa hadapi PRU-15 kita bertegas kita bertanding atas PN, saya tak fikir soal gabungan mana.

    “Kalau saya kata PN nak bergabung orang akan kata apa guna sokong PN dia nak masuk kerjasama dengan puak Zahid Hamidi kluster mahkamah, bodoh lah saya. Sebab itu kita ambil kenyataan sangat jelas kami bertanding atas PN, apa kita tawarkan dalam PN, apakah ada kaitan dengan BN, tak ada,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Takiyuddin sebelum ini mencetuskan perdebatan banyak pihak susulan kenyataannya bahawa PN sedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan, sebelum bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu tampil menafikannya sambil memaklumkan ucapan beliau dipetik di luar konteks.

    Susulan itu Hadi dan Muhyiddin tampil menjelaskan bahawa PN akan membentuk kerajaan secara solo dan tiada sebarang kerjasama dengan BN.

  • Surat tular persetujuan PN calonkan Anwar sebagai PM palsu – Muhyiddin

    Surat tular persetujuan PN calonkan Anwar sebagai PM palsu – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyidddin Yassin menegaskan surat yang menggunakan kepala surat Perikatan Nasional (PN) bertajuk “Persetujuan Mencalonkan Datuk Seri Anwar Sebagai PM Ke-10” yang kini tular adalah palsu.

    Tegas Pengerusi PN itu, tiada apa-apa persetujuan di antara PN dan mana-mana parti lain untuk membentuk kerjasama politik.

    “Surat yang tular ini adalah palsu. Tiada apa-apa persetujuan di antara Perikatan Nasional dan mana-mana parti lain,” kata Muhyiddin dalam hantaran Facebook.

    Pemerhatian Warta Rakyat mendapati surat yang tular itu bertarikh 23 Februari 2022 dan ditandatangani Muhyiddin.

    Antara lain surat itu menyatakan, merujuk kepda perbincangan berkaitan kerjasama antara PN dengan PKR diadakan demi menyelamatkan negara dari dirosakkan UMNO, BN.

    Tulis surat itu lagi, bagi merealisasikan kerjasama, PN sanggup memberi kepercayaan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

    Selain itu, surat berkenaan menyebut, satu mesyuarat pembahagian kerusi wajar diadaan secepat mungkin setelah berakhirnya Pilihan Raya Negeri Johor bagi memastikan persediaan ke arah PRU15 akan dapat disusun lebih teratur.

  • PRU-15: ‘Wallahi, semua duit kerajaan saya belanjakan untuk rakyat’

    PRU-15: ‘Wallahi, semua duit kerajaan saya belanjakan untuk rakyat’

    “WALLAAHI, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat.”

    Itu penegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa PH akan menyiasat bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

    Muhyiddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pagoh berkata, setiap wang yang dibelanjakan adalah mengikut peraturan kewangan ditetapkan.

    “Oh, nak bukti kita belanja sewenang-wenangnya, berapa banyak bilion yang saya curi? Saya nak cabar Adly, buktikan, mana satu kes. Jangan cakap lepas pilihan raya (nak siasat kalau mereka menang), ini kerana dia bertanding di sana (Melaka), dia nak menang.

    “Dia kata PN tak betul, dah rosak, macam dialah, parti dia pun ada kes rasuah, kami tak ada, jadi kalau nak mencemarkan nama baik, dia buat tuduhan yang tak betul,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Muar di Bukit Pasir di sini, hari ini.

  • ‘Ajak ahli keluarga, jiran undi PN’, pesan Muhyiddin kepada pengundi

    ‘Ajak ahli keluarga, jiran undi PN’, pesan Muhyiddin kepada pengundi

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak pengundi khasnya anak-anak muda agar berpesan kepada ahli keluarga dan jiran mereka mengundi Perikatan Nasional (PN) pada 19 November ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika golongan muda yang dianggapnya sebagai ‘anak abah’ mahukan beliau kembali ke Putrajaya, mereka perlu beramai-ramai keluar mengundi dan memangkah calon-calon PN.

    Kata Pengerusi PN itu, beliau berterima kasih kepada anak-anak muda yang mendoakan beliau di media sosial.

    “Tapi ingat, kalau nak tengok abah kembali ke Putrajaya, pakat ramai-ramai undi Perikatan Nasional. Menangkan calon-calon PN di kawasan anda.

    “Pesan kepada emak ayah abang adik kakak jiran dan kawan-kawan semua kali ini undi PN, keluar dan undilah awal-awal lagi,” katanya dalam klip video yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

    Muhyiddin kemudiannya sekali lagi mengingatkan anak-anak muda akan janji untuk keluar mengundi pada 19 November dan memilih Perikatan Nasional.

    “Lakukan apa yang betul (pada PRU-15). Gemakan suara anak muda. Ayuh semua! PN BEST” katanya.

    Sementara itu, pada ruangan kapsyen hantaran itu, Muhyiddin turut mengajak anak-anak muda menularkan klip video pesanan beliau di akaun media sosial mereka.

    “Abah ada pesanan untuk anak-anak Abah di media sosial. Sudilah tonton, like, repost dan share dengan kawan-kawan semua di Tik Tok, Instagram, Facebook, Whatsapp, Youtube, Twitter,” katanya.

  • “Apa bukti BN, PN bakal bergabung?” Muhyiddin tanya Anwar

    “Apa bukti BN, PN bakal bergabung?” Muhyiddin tanya Anwar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaannya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan merangkap Presiden PKR itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

    “Apa bukti (PN dan BN berpakat). ‘You don’t just make allegation without basis’. PN kini bertanding secara nyata melawan BN. Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Rafizi Ramli – Timbalan Presiden PKR).

    “Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab,” katanya pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.

    Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing dikatakan ketinggalan dalam persaingan PRU-15, ketika hari mengundi berbaki empat hari lagi.

  • Lebuh raya baharu pesisir pantai Johor-Selangor dibina jika PN menang

    Lebuh raya baharu pesisir pantai Johor-Selangor dibina jika PN menang

    SATU jajaran lebuh raya merentasi kawasan pantai dari Selangor ke Johor Bahru bakal dibina sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat menubuhkan kerajaan pada 19 November ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jajaran lebuh raya itu akan memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya pelancong untuk datang ke Johor, sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

    Berucap pada majlis sembang santai bersama penduduk di Stulang Laut, Johor Bahru hari ini , bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata agenda pembangunan itu boleh dilaksanakan jika Perikatan Nasional memerintah.

    Muhyiddin yang mempunyai berpuluh tahun pengalaman dalam politik negara berkata beliau melihat sendiri sekarang ini satu gelombang sokongan terhadap Perikatan Nasional yang menggegarkan bermula di Perlis dan semakin menghampiri Johor Bahru.

    “Jika Perikatan Nasional memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan pengundi dan saya dilantik menjadi Perdana Menteri, mudahlah pembangunan dilaksanakan.

    “Menteri Besar Johor sekarang daripada UMNO akan berjumpa saya dan memohon pelaksanaan projek pembinaan jalan. Tapi, kita (Perikatan Nasional) akan buat lebuh raya pesisir pantai dari Lembah Klang ke Johor jika menang,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Sehubungan itu, Muhyiddin yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, menasihatkan pengundi Johor supaya tidak melakukan kesilapan ketika Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

    Beliau juga berjanji untuk menyelesaikan isu yang dihadapi antara rakyat dengan kerajaan Johor pimpinan UMNO sekarang ini sekiranya, dengan sokongan pengundi, dapat membentuk Kerajaan Pusat.

    Muhyiddin turut mengingatkan pengundi supaya membandingkan manifesto yang ditawarkan Perikatan Nasional dengan manifesto parti lain.

    “Tawaran Perikatan Nasional lebih baik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis yang turut dihadiri kaum Cina, termasuk peniaga.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata tawaran Perikatan Nasional, termasuk memberi bantuan kepada peniaga seperti moratorium untuk tidak membayar hutang pinjaman bank.

    “Ini pernah dilakukan ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah sebelum ini ketika pandemik melanda. Malah, kerajaan juga memberi wang kepada syarikat untuk membayar gaji pekerja yang tidak dapat bekerja kerana sekatan Covid-19,” katanya.

  • Buktikan PN dapat manfaat daripada kontrak kerajaan, Muhyiddin cabar Anwar

    Buktikan PN dapat manfaat daripada kontrak kerajaan, Muhyiddin cabar Anwar

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dakwaannya bahawa PN adalah gabungan paling kaya.

    “Apa bukti dia ada?” soalnya ketika berkempen di sini.

    Muhyiddin berkata, beliau tiada masalah menunjukkan akaun kewangan PN kepada Anwar, tetapi tertanya-tanya jika pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu lakukan perkara sama.

    “Bolehkah dia lakukannya?” tanya Muhyiddin lagi.

    Terdahulu, Anwar mendakwa PN merupakan gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat projek berbilion ringgit ketika pandemik Covid-19.

    Ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa PN dan Barisan Nasional (BN) merancang bekerjasama, Muhyiddin berkata: “Apa bukti dia ada?

    “Kami sedang bertanding menentang Umno dalam pilihan raya kali ini.

    “Anwar dan Rafizi Ramli suka buat dakwaan tak berasas,” katanya merujuk timbalan presiden PKR itu, lapor Free Malaysia Today.

    Bekas perdana menteri itu berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah membuat penjelasan berhubung perkara itu hari ini.

    Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kenyataan berhubung kemungkinan BN dan PN membentuk kerajaan persekutuan diambil di luar konteks.

    Penjelasannya menyusul kenyataan Muhyiddin yang berkata, PN tidak memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan baharu.

  • Kerajaan pusat: Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN – Muhyiddin

    Kerajaan pusat: Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN – Muhyiddin

    SETIUASAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak pernah diberi mandat untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tujuan PN bertanding dalam PRU-15 adalah untuk membentuk
    kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan.

    “Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS, untuk berunding dengan Barisan Nasional bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.

    “Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, Perikatan Nasional akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU-15.

    Malah katanya, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” katanya.