Tag: MKN

  • Tiga lokaliti di Pahang, satu di Sabah dikenakan PKPD mulai Isnin

    Tiga lokaliti di Pahang, satu di Sabah dikenakan PKPD mulai Isnin

    TIGA lokaliti di Pahang iaitu Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong di Lembah Bertam, Cameron Highlands serta Kampung Tamu Darat, Kota Belud, di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 20 Sept hingga 3 Okt depan.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

    Sementara itu, PKPD di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, Sabah dan dua zon dalam Mukim Kuala Kedah, Kota Setar, Kedah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan. 

    PKPD di Penjara Tapah (termasuk kuarters), Batang Padang, Perak turut ditamatkan esok. – BERNAMA

  • PKPD babit 1 lokaliti di Pahang – MKN

    PKPD babit 1 lokaliti di Pahang – MKN

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan hanya satu lokaliti sahaja di negara ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Pahang.

    Menurut ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan berkata, PKPD itu akan dilaksanakan di Kampung Paya Mengkuang, Sanggang, Temerloh, Pahang bermula Jumaat ini selama dua minggu susulan peningkatan kes positif COVID-19.

    Keputusan melaksanakan PKPD di lokaliti itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

    Rodzi berkata, penguatkuasaan PKPD di itu akan berpanjangan sehingga 30 September depan.

    Sementara itu, satu lokaliti juga dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu, bermula mulai Jumaat ini.

    Lokaliti tersebut adalah di Kampung Dumpiring Bawah, Ranau, Sabah dan ia akan berpanjangan sehingga 30 September.

  • PKPD di dua lokaliti di Sabah

    PKPD di dua lokaliti di Sabah

    DUA lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 9 hingga 22 Sept ini susulan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokaliti itu melibatkan Kampung Sugiang Baru, Tenom dan Kampung Rapak, Ranau.

    PKPD di Kampung Rempayan Laut, Kota Belud juga di Sabah yang sepatutnya tamat esok pula dilanjutkan bagi tempoh sama sehingga 22 Sept.

    Sementara itu, PKPD yang dilaksana di tiga lokaliti di Pahang dan lapan di Sabah ditamatkan hari ini seperti dijadualkan manakala lapan lagi PKPD di Sabah, dua di Pahang serta tiga di Kelantan turut ditamatkan hari ini, masing-masing lebih awal daripada yang ditetapkan.- BERNAMA

  • MKN mula bincang SOP, kelonggaran fasa endemik

    MKN mula bincang SOP, kelonggaran fasa endemik

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, selain beliau, tiga lagi menteri iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan dilibatkan dalam perbincangan itu.

    Beliau juga akan memanggil ketiga-tiga mereka dalam masa terdekat.

    “Pada masa yang sama, saya juga telah mengarahkan MKN untuk terus mengemas kini SOP-SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini agar ia lebih mudah difahami,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Hishammuddin menambah, sebagai persediaan ke arah fasa endemik, kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian termasuk rentas negeri bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

    Namun pada masa yang sama, beliau yang mengetuai MKN memberitahu, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

    “Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor.

    “Bagi menetapkan kelonggaran-kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” jelasnya.

  • Hishammuddin kembali ketuai usaha pengurusan pandemik di bawah MKN

    Hishammuddin kembali ketuai usaha pengurusan pandemik di bawah MKN

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husssein kembali mengetuai usaha berkaitan pengurusan pandemik termasuk Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Hishammuddin dalam satu kenyataan berkata, sidang khas MKN sebentar tadi mengesahkan beliau akan kembali mengetuai usaha itu yang pernah digalasnya beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, sebelum ini.

    “Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kepada saya adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa.

    “Saya percaya, ini merupakan kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif. Saya sentiasa berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan serta rakyat harus bersama-sama bersiap sedia bagi menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu dan hidup bersama Covid-19 sebagaimana dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam.

    Ujarnya, untuk menuju ke fasa endemik, adalah amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

    “Ini kerana situasi sekarang sudah berbeza dengan tahun lepas. Tahun ini kita sudah melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat yang mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga
    menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

    “Harapan saya, perancangan kita selepas ini akan boleh terus ditambahbaik. Saya juga berharap SOP seterusnya yang bakal diumumkan oleh Kerajaan kelak lebih bersifat menyeluruh, jangka masa panjang, mudah difahami serta paling penting dapat menjamin tiga tonggak utama iaitu, kesihatan, ekonomi
    dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

  • Bidang kuasa berbeza, SOP ziarah kubur tak seragam

    Bidang kuasa berbeza, SOP ziarah kubur tak seragam

    PERBEZAAN bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri dikatakan menjadi punca ketidakseragaman prosedur operasi standard (SOP), termasuk kebenaran ziarah kubur.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan di peringkat Persekutuan membenarkan masyarakat untuk menziarahi kubur ketika di luar musim perayaan.

    Menurut beliau, pertimbangan sedemikian dibuat berikutan orang ramai lazimnya berpusu-pusu ke pusara ahli keluarga apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri.

    “Apa yang saya nyatakan ialah pendirian kerajaan Pusat atau MKN. Ini satu kes terpencil yang berpunca daripada ketidakseragaman SOP,” katanya seperti dilapokan BH, hari ini.

    Beliau mengulas keluhan yang disuarakan cef selebriti, Chef Zam menerusi media sosial kerana dihalang daripada menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam, dekat Seksyen 9 Kota Damansara, Selangor.

    Difahamkan, Chef Zam atau nama sebenarnya, Zamzani Abdul Wahab dilarang berbuat demikian atas arahan Majlis Agama Islam Selangor, memandangkan kawasan berkenaan masih dikategorikan dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Walaupun kerajaan Persekutuan bertanggungjawab memuktamadkan SOP berhubung kawalan pergerakan, Rodzi berkata, ada negeri yang bertindak mewujudkan peraturan tambahan.

    Beliau memberitahu, hal itu kerana perkara berkaitan Islam adalah tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa agama negeri.

    “Memang MKN putuskan boleh ziarah kubur di luar waktu perayaan, namun ada negeri yang bertindak mewujudkan peraturan tambahan kerana perkara keagamaan (Islam) adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” jelasnya.

  • Dua lokaliti di Sabah, satu di Johor dikenakan PKPD

    Dua lokaliti di Sabah, satu di Johor dikenakan PKPD

    DUA lokaliti di Sabah dan satu di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 31 Ogos hingga 13 Sept ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

    PKPD di Sabah melibatkan Kampung Bukit Gemuk, Tawau dan Kampung Nasakot, Ranau, manakala PKPD di Johor melibatkan Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan di Pontian. 

    “Sementara itu hanya satu kawasan PKPD yang dilanjutkan iaitu Taman Megah Jaya (Lorong 2,3,9 dan 10) di Tawau, Sabah bermula 31 Ogos hingga 13 Sept ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    PKPD di tiga lokaliti di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Mantanau, Kampung Pirasan Ulu dan Kampung Suang Punggur pula akan ditamatkan esok mengikut jadual.

    Turut ditamatkan esok seperti dijadualkan ialah PKPD di Kampung Bukit Cina, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu dan 19 lokaliti di Mukim Kuala Dungun serta 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun juga di Terengganu. – BERNAMA

  • Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    JUMLAH penumpang dalam kenderaan khusus bagi individu yang telah menerima dos vaksin lengkap di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini adalah mengikut kapasiti tempat duduk.

    Kelonggaran yang diumumkan kerajaan itu mula berkuat kuasa semalam bagi memudahkan pergerakan mereka yang telah melengkapkan vaksinasi.

    Namun, pada masa yang sama, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh dan individu mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan dan polis.

    Prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu turut memberikan panduan mengenai individu yang belum mendapat vaksin lengkap.

    “Hanya dua orang saja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

    “Selain itu, maksimum tiga orang saja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan,” kata MKN dalam infografik yang dikongsi di aplikasi Telegram, hari ini.

    Kelmarin, kerajaan mengumumkan kemudahan tambahan termasuk makan di dalam premis menjual makanan, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu bagi individu yang lengkap vaksinasi.

    Sementara itu, MKN menetapkan bilangan penumpang bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dengan penumpang mesti duduk di bahagian belakang.

    Bagi kenderaan yang membawa barangan termasuk rantaian ekonomi serta industri, kapasitinya bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan.

  • Sembilan lokaliti di Sabah, tiga di Pahang dikenakan PKPD

    Sembilan lokaliti di Sabah, tiga di Pahang dikenakan PKPD

    SEMBILAN lokaliti di Sabah dan tiga di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 4 Sept, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

    Beliau berkata PKPD di Sabah melibatkan empat lokaliti di Kota Belud, dua di Lahad Datu, dua di Tawau serta satu di Tongod.

    Lokaliti terlibat di Kota Belud ialah Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang dan Kampung Kulambai Dundai; Kampung Labuan; Kampung Ambong Tolus serta Kampung Tuguson; manakala di Lahad Datu ialah Perumahan Ladang Cantawan, Silabukan dan Perumahan Lestari FELDA Sahabat 48.

    Dua lokaliti terlibat di Tawau pula ialah Taman Millenium dan Taman Kinabutan Ria manakala di Tongod, lokaliti dikenakan PKPD ialah Kampung Tangkuyan.

    Sementara itu, lokaliti terlibat di Pahang ialah Taman Balok Makmur dan Kampung Seberang Sungai Ular di Mukim Sungai Karang, Kuantan serta Flat Damai Taha, Temerloh.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai PKPD hari ini.

    Rodzi berkata PKPD di Bandar Sinsuran, University Condominium Apartment Fasa 2 dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan hingga 4 Sept.

    Sementara itu, PKPD di FELDA Sungai Panching Selatan, Kuantan, Pahang dan Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang, Perak ditamatkan hari ini, lebih awal daripada dijadualkan.

    Beliau berkata keputusan MKN itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.- BERNAMA