Tag: mengaku tidak bersalah

  • Penganggur mengaku didakwa menyamar polis

    Penganggur mengaku didakwa menyamar polis

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menyamar sebagai polis, Isnin lalu.

    Tertuduh, C. Kevin Cornelius, 41, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan dengan menyamar sebagai anggota polis di Bukit Kledang, Menglembu kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan THC (tetrahydrocannabinol) ke dalam badan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun selain perlu menjalani pengawasan tidak lebih tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.

  • 4 kakitangan RELA didakwa buat tuntutan palsu RM59,520

    4 kakitangan RELA didakwa buat tuntutan palsu RM59,520

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520, dua tahun lalu.

    Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Khairul Anuar Maliki, 32; Idrus Zakaria, 47; Siti Munirah Abdul Rahim, 35; dan Sahrol Miza Samad, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama telah menggunakan dokumen tuntutan dengan niat hendak memperdaya prinsipal mereka iaitu RELA negeri Kedah.

    Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran matan palsu berkenaan bayaran berjumlah RM59,520 berkaitan perakuan tertuduh, kononnya terdapat anggota RELA menjalankan penugasan rondaan keselamatan sempena Bulan Kemerdekaan 2019 Daerah Kulim.

    Seorang daripada tertuduh diiring Pegawai SPRM untuk membayar wang jaminan di Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Penugasan itu bagaimanapun didakwa tidak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam tuntutan tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 September 2019 di Pejabat RELA negeri Kedah, Aras 4, Fasa 2B, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah, dekat Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

    Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Disember depan.

  • Kontraktor didakwa atas tuduhan jual darjah kebesaran negeri palsu

    Kontraktor didakwa atas tuduhan jual darjah kebesaran negeri palsu

    SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas kesalahan menjual darjah kebesaran negeri yang tidak diiktiraf pada 2017.

    Sinar Harian melaporkan, Nik Hasyidat Nik Daut, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

    Mengikut pertuduhan pertama, Nik Hasyidat didakwa menerima suapan berjumlah RM1,000 melalui akaun bank miliknya di Bank CIMB, Jalan Tunku Ibrahim di Alor Setar pada pukul 3.37 petang, 15 Jun 2020 yang dimasukkan penama, Ahmad Nazri Ibrahim, 57, sebagai dorongan untuk mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf.

    Bagi pertuduhan kedua, pada pukul 1.39 tengah hari, 27 Julai 2020 tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 melalui akaun bank miliknya yang dimasukan penama sama sebagai dorongan untuk mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf melalui bank sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Khairul Azreem Mamat dan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nazri Awang.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.

  • Dua anggota polis mengaku tidak bersalah lepaskan pesalah dadah

    Dua anggota polis mengaku tidak bersalah lepaskan pesalah dadah

    DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menerima rasuah agar tidak mengambil tindakan terhadap pesalah dadah.

    Koperal Sebestino Bong, 42, dan Lans Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Menurut pertuduhan, Sebestino yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud berhadapan dua pertuduhan iaitu menerima suapan sebanyak RM300 daripada seorang lelaki supaya tidak diambil tindakan terhadapnya di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 pada 6 Jun 2017.

    Tertuduh kedua, Haikal Ibrahim yang bertugas sebagai koperal di IPD Kota Belud pula berhadapan dengan sembilan pertuduhan membabitkan nilai suapan sebanyak RM1,570antara 23 Mei 2017 hingga 6 Julai 2018.

    Wang yang diterima tertuduh adalah sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan terhadap seorang lelaki di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

    Kedua-dua tertuduh dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Sekysen 24(1) akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Sebestino sebanyak RM6,000 bersama deposit RM3,000, seorang penjamin tempatan dan diarah untuk melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lahad Datu selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

    Sementara itu, Haikal Ibrahim dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 bersama deposit RM4,000 dan seorang penjamin tempatan selain diminta untuk melaporkan diri kepada SPRM Sandakan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

    Kedua-dua tertuduh sebelum itu memohon rayuan kepada mahkamah supaya wang jaminan mereka dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga masing-masing.

    Mahkamah turut menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.

  • Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    SEORANG ahli Jawatankuasa Amanah Perak, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Naib Ketua Wanita Amanah Kawasan Teluk Intan pada 14 Oktober tahun lalu.

    Tertuduh, Safarizal Saleh, 43,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mengakibatkan kecederaan kepada Zulaiha Mohd Azam di Hotel Rivertel, Jalan Changkat Jong di sini, pada pukul 9.30 malam.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili peguam, Akhiruddin Mohamad Taib.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 20 Oktober ini.

    Sementara itu, di mahkamah sama, Zulaiha, 32, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Safarizal.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

    Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Tejal Harash kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Oktober ini.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa ditumbuk, manakala kakaknya dikasari ketika menghadiri satu mesyuarat sebuah parti politik.

    Mereka mendakwa menerima jemputan menghadiri mesyuarat itu tetapi dihalang masuk ketika tiba di lokasi kejadian sebelum berlaku sedikit kekecohan.

  • Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua pertuduhan gubah wang haram

    Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua pertuduhan gubah wang haram

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memindahkan wang sebanyak RM50,000 sebanyak dua kali dari akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.

    Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Maybank Islamic Berhad beralamat di Nombor 17 dan 19, Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda sehingga lima kali ganda atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd. Afif Ali.

    Syed Saddiq yang sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi diwakili peguam, Gobind Singh Deo.

    Wan Shaharuddin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Syed Saddiq mengguna pakai jaminan sama yang dikenakan terhadap beliau ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

    Pihak pendakwaan turut memohon agar mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana semua saksi pendakwaan adalah saksi yang sama bagi kes dihadapi tertuduh di Kuala Lumpur.

    Mahkamah kemudian membenarkan semua permohonan pendakwaan dan menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada 22 Julai lalu, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu berdepan pertuduhan menyeleweng dana politik kira-kira RM1 juta dan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000.

    Bagaimanapun, beliau membuat pengakuan tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.