Tag: Melaka

  • PN sokong kerajaan Persekutuan, tetapi 2 ADUN Bersatu Melaka dianggap pembangkang

    PN sokong kerajaan Persekutuan, tetapi 2 ADUN Bersatu Melaka dianggap pembangkang

    WALAUPUN Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan di peringkat Persekutuan, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari gabungan parti politik tersebut masih dianggap pembangkang di Melaka.

    Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, beliau dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof akan duduk di blok pembangkang pada Sidang Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 selama empat hari bermula 27 Disember ini.

    Menurut beliau, mereka masih lagi dianggap pembangkang ekoran menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) Melaka bulan lalu.

    Dr Mohd Yadzil menambah, sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan atau tawaran daripada mana-mana pihak mengenai kedudukan dua ADUN PN daripada Bersatu.

    “Memandangkan kita bukan kerajaan di Melaka, maka kita tidak tahu apa keputusan daripada pihak kerajaan negeri.

    “Justeru, kita teruskan jadi pembangkang yang baik dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya seperti dilaporkan media.

    Perkembangan itu pasti mencetuskan situasi kurang selesa di peringkat kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh BN / UMNO.

    Ia juga mungkin menjadi agak pelik apabila Bersatu / PN memainkan peranan sebagai pembangkang di Melaka walhal ADUN-ADUN dari parti itu menyokong kerajaan negeri yang diketuai BN / UMNO di Perak dan Johor.

    Setakat ini, tidak diketahui sama ada kerajaan negeri Melaka menawarkan Dr Mohd Yadzil dan Dr Mohd Aleef untuk menyertai kem penyokong kerajaan.

    Dalam masa yang masih berbaki kira-kira 10 hari sebelum sidang DUN Melaka bermula, kedua-dua pihak boleh berunding bagi menyelesaikan isu ini.

    Sebelum ini pun, kedua-dua ADUN PN terbabit menyatakan bahawa mereka bersedia menyokong kerajaan BN / UMNO di Melaka walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

  • Acryl Sani terima Darjah Gemilang Seri Melaka

    Acryl Sani terima Darjah Gemilang Seri Melaka

    KETUA Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai 58 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di sini hari ini.

    Acryl Sani dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat penganugerahan di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh.

    Turut menerima anugerah sama adalah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

    Tujuh individu pula menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira membabitkan isteri Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Munira M Yusop, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Wira Zamri Yahya, bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Wira Soh Chin Ann, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Wira Hasan Abd Rahman.

    Selain itu Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Wira Abdul Mutalif Abdul Rahim.

    Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Datuk Anselm Charles Fernandis pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

    Seramai 48 individu pula menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk, membabitkan Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Abd Aziz Engan, Ketua ICT Negeri Melaka (Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi) Datuk Shamsudin Sharif, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) Datuk Mustafa Musa.

    Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Dennis Lim Kwang Keng, Datuk Dr Suhana Md Saleh, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis, Datuk Dr Abd Lah@Abdullah Awang, Datuk Chua Seng Leang, Datuk Afeef Abdul Qader Mansoor Al-Gailani.

    Datuk Ahmad Fahimee Ismail, Datuk Heng Tang Hock, Datuk Amran Hafiz Affifudin, Datuk Azizan Ahmad, Datuk Azlan Ahmad, Datuk Azman Maat, Datuk Kang Chun Keong, Datuk Dr Hafez Hussain, Datuk Jarnail a/l Ram Singh, Datuk Lee Fook Yuen, Datuk Ibrahim Darus.

    Datuk Kharis Bani, Datuk K Kishor Kumar a/l Karuppiah, Datuk Mohamad Azri Abdul Rahman, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Datuk Lieo Yong Tiam, Datuk Mohamad Khairi A Malik, Datuk Mohd Halim Why Abdullah, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid.

    Datuk Ling Thou Lung, Datuk Mohd Asri Abdol, Datuk Mohd Saufi M. Yusop, Datuk Mohd Sharil Abdullah, Datuk Low Kim Hock, Datuk Mohd Yusri Md Yusof, Datuk Ng Kam Meng, Datuk Rushdan Mohamad, Datuk Samsudin Basir, Datuk Syamsul Omar, Datuk Ong Bee Shing, Datuk Thangadurai a/l Govindarajoo.

    Datuk Tajuddin Abdul Latif, Datuk Tan Kung Hoe, Datuk Tengku Daud Shah Tengku Adnan, Datuk Wee Ka Seng, Datuk Wan Naimah Wan Daud, Datuk Wong How Hua dan Datuk Zakaria Ahmad Zabidi. – BERNAMA

  • Mangsa banjir Melaka meningkat, Selangor semakin pulih

    Mangsa banjir Melaka meningkat, Selangor semakin pulih

    JUMLAH mangsa banjir di Melaka terus meningkat pagi ini manakala keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Selangor pula semakin pulih.

    Di MELAKA, mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,105 orang daripada 283 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 932 mangsa daripada 249 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka, Lt Kolonel Cuthbert John Martin Qudra berkata jumlah PPS di tiga daerah masih kekal 12 buah setakat ini.

    Beliau berkata, Melaka Tengah mencatat jumlah mangsa paling ramai membabitkan 718 orang daripada 173 keluarga di enam PPS.

    Antara PPS dibuka di daerah tersebut ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

    Di daerah Alor Gajah pula seramai 121 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang, manakala di Jasin, seramai 266 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen.

    Beliau berkata, lokasi terjejas banjir di Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

    Katanya, bagi Alor Gajah, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasau dan Tehel.

    Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, setakat 8 pagi tadi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semakin pulih.

    “Keadaan banjir semakin baik dan mengikut rekod yang kita peroleh, terdapat tujuh pusat pemindahan di Sepang yang melibatkan 69 keluarga dengan 279 mangsa,” katanya kepada Bernama.

    Norazam berkata, pihak berkuasa akan membenarkan mangsa banjir di PPS pulang jika keadaan selamat dan semakin baik. – BERNAMA

  • Mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka jalan seperti biasa

    Mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka jalan seperti biasa

    MESYUARAT Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung semalam di Seri Negeri berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara walaupun mempunyai had dalam pengurusan dan pentadbiran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    “Ada yang boleh dan tidak boleh. Jadi, bagi memastikan kerajaan di bawah SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Kamel Mohamad, saya sebagai Ketua Menteri dan Exco yang ada sudah tentu membantu dalam apa juga cara agar kerajaan sementara ini terus berfungsi dengan baik.

    “Ini terutama aktiviti berkaitan bantuan kepada rakyat dan pekerjaan yang sepatutnya berjalan seperti biasa, dipantau seperti kebiasaannya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) serta perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri Melaka, di sini hari ini.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zailee Dollah dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman.

    Mesyuarat Exco berlangsung semalam adalah yang pertama dipengerusikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri kerajaan sementara sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

    Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, Melaka dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu ketiga bulan ini.

    “Melaka sepatutnya boleh bersama dengan Pahang untuk beralih ke Fasa Empat namun keadaan kes yang turun naik menyebabkan kita tangguhkan dahulu. Keputusan peralihan fasa akan ditentukan pada minggu hadapan,” katanya.

    Sementara itu, OSHMP25 merupakan kesinambungan daripada tiga pelan strategik lima tahun KKP terdahulu yang bermatlamat membentuk budaya kerja selamat dan sihat, sekali gus menjadi tunggak dalam menjadikan tempat kerja di Malaysia selamat serta sihat menerusi program strategik pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan yang komprehensif.

    Program seminar itu dihadiri 50 peserta secara bersemuka dan 750 lagi secara dalam talian, terdiri daripada golongan profesional dari jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, universiti awam dan swasta serta pengamal KKP. – BERNAMA

  • SUK minta Norhizam pulang kereta rasmi, aset kerajaan

    SUK minta Norhizam pulang kereta rasmi, aset kerajaan

    BEKAS Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee diminta memulangkan dengan segera kereta rasmi dan aset yang diamanahkan kepadanya sepanjang memegang jawatan itu.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamed berkata, tindakan itu bertujuan menyelesaikan isu berkenaan agar tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas penjawat awam.

    Beliau berkata setakat ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron telah memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Okt setelah meletak jawatan sebagai Exco.

    “Bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, yang juga bekas Exco, pula memaklumkan akan memulangkan kereta dan aset terlibat pada Isnin ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua bekas ADUN terlibat.

    “Tindakan tersebut membantu penjawat awam di negeri ini memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negeri yang terkesan ekoran penularan COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau turut menyeru penjawat awam di negeri itu memberi fokus terhadap pelaksanaan projek yang sudah diluluskan agar dapat menjadikan Melaka sebuah negeri yang progresif, maju dan berdaya saing.

    Isnin lepas, ketiga-tiga Exco serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt lepas daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu. – BERNAMA

  • ‘Cikgu’ Anwar dapat empat anak murid baharu?…Idris kata, ”itu pertemuan biasa”

    ‘Cikgu’ Anwar dapat empat anak murid baharu?…Idris kata, ”itu pertemuan biasa”

    KELIBAT Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dalam sekeping gambar yang tular melalui media sosial menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

    Lebih-lebih lagi, mereka merupakan empat wakil rakyat yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.

    Dalam gambar tersebut, dapat dilihat bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Selain mereka, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga ADUN Bukit Katil, Adly Zahari turut dilihat dalam gambar yang dirakam di lokasi dan pada masa yang tidak diketahui.

    Gambar tersebut tular setelah dikongsi dalam laman Facebook ‘Aku YB ke Kau YB?’ milik Norhizam dengan keterangan yang berbunyi: “Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengucapkan tahniah kepada 4 wira negeri Melaka yang akan berjuang dalam MISI MENYELAMATKAN MELAKA…”

    Walau bagaimanapun, ramai netizen meluahkan kemarahan mereka terhadap empat bekas wakil rakyat terbabit lebih-lebih lagi Norhizam yang sebelum ini merupakan pemimpin DAP Melaka.

    Mereka kesal dengan tindakan semberono keempat-empat bekas ADUN berkenaan yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Lebih dikesali, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin terpaksa diadakan justeru mencetuskan kebimbangan rakyat tentang risiko penularan jangkitan COVID-19 secara besar-besaran, seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.

    Sebahagian daripada netizen berazam untuk menamatkan karier politik keempat-empat wakil rakyat terbabit sekiranya mereka bertanding dalam PRN Melaka.

    Tidak kurang juga ada yang bertanya tentang motif Anwar bertemu empat bekas ADUN Melaka berkenaan.

    Portal Agenda Daily pula membangkitkan persoalan sama ada Anwar beroleh empat murid baharu.

    April lalu, dunia politik tanah air digemparkan dengan rakaman perbualan telefon yang tular dipercayai melibatkan pemimpin UMNO dan individu yang suaranya dikatakan mirip Anwar.

    Dalam perbualan itu, pemimpin UMNO terbabit menyatakan bahawa Anwar ialah ‘gurunya’.

    Tidak diketahui apa kaitan Anwar dengan krisis politik Melaka yang telah meruntuhkan kerajaan negeri pimpinan UMNO.

    SEMENTARA ITU bercakap kepada Berita Harian, Idris mengesahkan pernah bertemu Anwar baru-baru ini.

    “Itu adalah pertemuan biasa PH, memperkenalkan empat ADUN yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum malam, itu saja.

    “Pertemuan itu tidak membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR, tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pada perjumpaan berkenaan, Anwar menasihatkan semua empat ADUN terbabit kekal bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak mahkamah.

    Katanya, Anwar turut menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran, selain memperjuangkan keadilan sejagat.

    “Saya memang pegang kepada prinsip itu, bahkan ketika dalam UMNO dulu pun saya berpegang kepada prinsip kesaksamaan sejagat. Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metadologi itu lain sikit,” katanya. 

  • Surat gugur keahlian 2 bekas ADUN UMNO sudah diserahkan

    Surat gugur keahlian 2 bekas ADUN UMNO sudah diserahkan

    UMNO telah menyerahkan surat rasmi pengguguran keahlian dua bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Ahmad berkata, surat itu diserahkan kepada Ketua UMNO Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, kelmarin dan diterima dua ADUN berkenaan yang juga sebelum ini ahli UMNO bahagian itu semalam.

    Kedua-dua mereka adalah bekas ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

    “Mengikut dua fasal dalam Perlembagaan UMNO, mereka berdua telah tergugur daripada keahlian UMNO,” katanya pada sidang media di bilik media Bangunan Parlimen hari ini.

    DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN iaitu Idris dan Nor Azman serta Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ADUN daripada UMNO yang telah mengkhianati kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) akan dipecat. – BERNAMA

  • ADUN khianat kerajaan pimpinan BN akan dipecat – Ahmad Zahid

    ADUN khianat kerajaan pimpinan BN akan dipecat – Ahmad Zahid

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO yang telah mengkhianati kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) akan dipecat.

    Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen hari ini bagi mengulas perkembangan politik terkini Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    “Bagi ADUN parti yang khianati kerajaan yang dipimpin BN dan UMNO, saya harap mereka bersedia terima tindakan parti bagi menerima surat pemecatan.

    “Saya merasakan bahawa persoalan utama sebagaimana berlaku di peringkat nasional dan juga berlaku di beberapa negeri, taat setia mana-mana wakil rakyat sama ada mereka terdiri dari ADUN atau Ahli Parlimen hendaklah berfokus kepada taat setia kepada parti, terutama sekiranya kerajaan itu dinakhodai BN dan UMNO,” katanya.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mengharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat segera mengadakan perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kaedah untuk pilihan raya negeri diadakan.

    “Saya juga berpandangan sekiranya MKN dan KKM (berpendapat) bahawa amat bahaya untuk diadakan pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari sebagaimana yang ditentukan dalam Akta Pilihan Raya, maka tentulah panduan sebagaimana yang berlaku di Sarawak (darurat) mungkin boleh diikuti.

    “Saya merasakan bahawa keutamaan penjagaan kesihatan dan mendepani pandemik COVID-19 ini harus diberikan keutamaan,” katanya.

    Ditanya mengenai berkenaan calon pilihan raya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata ia masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.

    Sementara itu beliau berkata, kerajaan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government) dan diminta untuk terus menumpukan kepada soal kebajikan dan kesihatan rakyat.

    Semalam empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini Kerajaan Melaka pimpinan BN diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – BERNAMA

  • Tiada kunjungan hormat ke atas Mohd Ali hingga Khamis

    Tiada kunjungan hormat ke atas Mohd Ali hingga Khamis

    TIADA sebarang kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam boleh dilakukan oleh mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini.

    Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ini kerana Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19 dan tempoh kuarantin itu berakhir pada hari tersebut.

    “Untuk kunjungan hormat, keputusan bergantung kepada Tun (Mohd Ali) pada hari beliau masuk pejabat semula.

    “Jika beliau masuk pejabat Jumaat ini, mungkin beliau akan bagi keputusan untuk berjumpa atau tidak hari itu. Semua bergantung kepada keputusan beliau,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

    Nur Azmi turut mengesahkan menerima surat permohonan kunjungan hormat ke atas Mohd Ali daripada Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari semalam bagi membincangkan senario politik semasa Melaka.

    Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan mereka hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Perkembangan ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.

    Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2), Amanah (2) dan Bebas (1). – BERNAMA

  • Istana Melaka belum terima surat mohon bertemu Tun Mohd Ali

    Istana Melaka belum terima surat mohon bertemu Tun Mohd Ali

    ISTANA Melaka belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada telah hilang majoriti untuk mentadbir negeri itu.

    Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, buat masa ini, Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

    “Setakat ini tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Tun Mohd Ali,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ali dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.

    Hari ini empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA