WALAUPUN Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan di peringkat Persekutuan, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari gabungan parti politik tersebut masih dianggap pembangkang di Melaka.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, beliau dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof akan duduk di blok pembangkang pada Sidang Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 selama empat hari bermula 27 Disember ini.

Menurut beliau, mereka masih lagi dianggap pembangkang ekoran menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) Melaka bulan lalu.

Dr Mohd Yadzil menambah, sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan atau tawaran daripada mana-mana pihak mengenai kedudukan dua ADUN PN daripada Bersatu.

“Memandangkan kita bukan kerajaan di Melaka, maka kita tidak tahu apa keputusan daripada pihak kerajaan negeri.

“Justeru, kita teruskan jadi pembangkang yang baik dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya seperti dilaporkan media.

Perkembangan itu pasti mencetuskan situasi kurang selesa di peringkat kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh BN / UMNO.

Ia juga mungkin menjadi agak pelik apabila Bersatu / PN memainkan peranan sebagai pembangkang di Melaka walhal ADUN-ADUN dari parti itu menyokong kerajaan negeri yang diketuai BN / UMNO di Perak dan Johor.

Setakat ini, tidak diketahui sama ada kerajaan negeri Melaka menawarkan Dr Mohd Yadzil dan Dr Mohd Aleef untuk menyertai kem penyokong kerajaan.

Dalam masa yang masih berbaki kira-kira 10 hari sebelum sidang DUN Melaka bermula, kedua-dua pihak boleh berunding bagi menyelesaikan isu ini.

Sebelum ini pun, kedua-dua ADUN PN terbabit menyatakan bahawa mereka bersedia menyokong kerajaan BN / UMNO di Melaka walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here