Tag: maut

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu pagi tadi.

    Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

    “Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

    Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu. – BERNAMA

  • Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    DUA beranak keturunan Orang Asli maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di Temerloh, semalam.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemukan pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.

    “Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu.

    “Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

    Mayat mangsa dua beranak yang maut itu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

    Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri. – BERNAMA

  • Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    SEORANG lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di Kuala Terengganu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

    “Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

    “Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Afandi berkata usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

    Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Lelaki mati selepas tiba-tiba mengamuk tanpa sebab

    Lelaki mati selepas tiba-tiba mengamuk tanpa sebab

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki ditemukan maut setelah tiba-tiba mengamuk tanpa diketahui puncanya di Taman Dahlia, dekat Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia di dalam longkang di belakang rumahnya oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan terhadapnya.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.35 malam apabila pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki menyatakan jirannya mengamuk.

    “Individu yang mengamuk itu dikatakan meracau seorang diri dan membuat bising di luar rumah. Namun apabila polis tiba di lokasi, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri dalam longkang di belakang rumahnya.

    “Petugas KKM yang datang membuat pemeriksaan selepas itu mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati individu berkenaan yang merupakan seorang penganggur telah empat tahun tinggal berseorangan di rumah tersebut selain dipercayai turut menagih dadah.

    “Menurut jirannya, lelaki itu memang kerap mengamuk tanpa diketahui punca hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati dia mempunyai rekod perubatan psikiatri dengan kali terakhir menerima rawatan pada Mac 2016,” katanya.

    Tambahnya setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu dtelah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.

  • Remaja lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan

    Remaja lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan

    Oleh RIZQI ZABIDI  

    SEORANG remaja lelaki maut manakala rakannya mengalami kecederaan parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) 4 di Kulim, Kedah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.12 petang mengakibatkan mangsa, Mohammad Shaharuddin Shah Iran, 17, yang menunggang motosikal tersebut, menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

    Katanya, pembonceng motosikal tersebut, Mohamad Daniel Haikal Kasturi, 17, pula mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan patah kedua-dua kakinya.

    “Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja lelaki itu yang datang dari arah Kulim Utama menghala ke Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) untuk pulang ke Penanga, Pulau Pinang, telah melanggar lampu isyarat merah.

    “Keadaan tu mengakibatkan motosikal tersebut telah dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang datang dari arah Hospital Kulim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    remaja lelaki maut
    Kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan bersama sebuah motosikal dinaiki dua remaja di KHTP, Kulim.

    Tambahnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai seorang mekanik bagaimanapun tidak cedera.

    “Semakan rakaman kamera litar tertutup di situ mengesahkan lampu isyarat di laluan motosikal tersebut, memang berwarna merah sewaktu kejadian itu berlaku.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke jabatan kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Wanita ditemukan mati terlentang dalam bilik

    Wanita ditemukan mati terlentang dalam bilik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Penderitaan seorang wanita yang menanggung sakit sejak dua bulan lalu tanpa mahu mendapatkan rawatan berakhir apabila dia ditemukan maut dalam bilik di sebuah rumah di Lorong Angsana, Taman Keladi Sungai Petani, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, mangsa pada mulanya dilihat bapa saudara tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang di bilik sebelum lelaki itu memberitahu anak dan jiran yang kemudian menghubungi ambulans.

    Kakitangan perubatan yang tiba melakukan pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berusia 45 tahun itu masih bujang dan tinggal bersama bapa saudara dan ahli keluarga lain di rumah terbabit.

    Menurutnya, hasil keterangan daripada bapa saudaranya yang bekerja sebagai pemandu lori mendapati mangsa pernah mengadu mengalami sakit dalam perut sejak dua bulan lalu.

    “Wanita berkenaan juga kerap muntah dan dia pernah dipujuk untuk mendapatkan rawatan namun enggan bertemu doktor.

    “Akhirnya, wanita berkenaan yang menahan sakit sejak dua bulan lalu selain turut menghidap darah tinggi, kencing manis dan masalah mental meninggal dunia dalam bilik terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Anuar berkata, lokasi terbabit sudah disanitasi dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Shah untuk bedah siasat.

    Tiada sebarang unsur jenayah dikesan ketika pemeriksaan di lokasi serta tubuh mangsa dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

  • Pasangan suami isteri muda rentung kereta terbakar

    Pasangan suami isteri muda rentung kereta terbakar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEPASANG suami isteri yang masih muda maut dalam keadaan rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di lampu isyarat berhampiran Tesco Mergong, Alor Setar, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pemandu kenderaan itu, Lim Gi Ying, 21 dan isteri, Tan Sun Wen, 19 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.15 pagi dengan siasatan awal mendapati kenderaan tersebut terlebih dulu terbabas ketika menghampiri lampu isyarat tersebut.

    Pasangan suami isteri yang masih muda maut dalam keadaan rentung setelah kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berhampiran Tesco Mergong, Alor Setar di Kedah, awal pagi hari ini.

    “Kereta itu dipercayai terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang papan tanda di situ sebelum kembali memasuki jalan utama dan terbakar.

    “Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dan siasatan lanjut ketika ini masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon memaklumkan, dianggarkan kira-kira 80 peratus atau hampir keseluruhan daripada kenderaan itu terbakar dalam kejadian tersebut.

    “Pihak kami berjaya memadamkan kebakaran kira-kira pukul 3.25 pagi namun penumpang kenderaan itu hanya berjaya dikeluarkan pada pukul 4.55 pagi manakala pemandunya pula pukul 4.59 pagi akibat kesan kebakaran, selain kenderaan yang rosak teruk.

    “Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke lokasi kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Kelindan maut tersepit dalam lori terbalik

    Kelindan maut tersepit dalam lori terbalik

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG kelindan lori maut akibat tersepit setelah kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer (KM) 96.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Karak ke Lanchang, pagi tadi.

    Kejadian berlaku pada pukul 6.40 pagi di mana mangsa, Muhammad Alif Roslan, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori berusia 38 tahun itu pula hanya cedera ringan.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak, Penolong Penguasa Bomba, Suhairul Ibrahim, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, seramai empat anggota dan seorang pegawai membabitkan dua jentera terus bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurut beliau, apabila tiba di lokasi kejadian, mendapati sebuah lori jenis Isuzu terbabas dan terbalik di bahu jalan.

    Beliau memberitahu, seorang mangsa lelaki dewasa iaitu pemandu lori terbabit telah dikeluarkan oleh orang awam dan hanya cedera ringan.

    Katanya, manakala kelindan lori itu pula didapati tersepit di tempat duduk penumpang dan tidak sedarkan diri.

    “Anggota bomba mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat pemotong penyelamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Menurut Suhairul, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lanchang.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

  • Pekerja Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi

    Pekerja Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pekerja lelaki warga Indonesia ditemui maut setelah dikisar jentera palong bijih besi dalam kejadian di Kampung Aring 5, Gua Musang, semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai Sakdan, 36, dipercayai terjatuh ke dalam jentera lombong bijih besi tersebut sebaik sahaja seorang rakannya cuba menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada pukul 8.40 pagi ketika mangsa melakukan pemeriksaan pada mesin lombong tersebut.

    Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan mangsa merupakan tugas biasanya setiap pagi bagi memastikan jentera berada dalam keadaan baik sebelum memulakan operasi.

    Beliau berkata, ketika mangsa berada di atas jentera palong lombong bijih itu, seorang rakannya pula berada di tempat suis mesin tidak jauh dari situ.

    “Setelah mangsa berpuas hati dengan keadaan mesin berkenaan, dia memberi arahan kepada rakannya supaya menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

    “Namun, sebaik jentera dihidupkan, rakan mangsa turun ke bahagian bawah jentera dan ternampak mangsa berdiri di atas jentera yang bergetar dengan kuat,” katanya hari ini.

    Sik memberitahu, rakannya tidak sempat mematikan suis sebelum ternampak mangsa terjatuh ke dalam jentera tersebut.

    Menurut beliau, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12 tengah hari terus bergegas ke lokasi kejadian.

    Ujarnya, mangsa yang baru sahaja bekerja di lombong tersebut dua minggu lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.

    Beliau memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dirujuk kepada Kedutaan Indonesia bagi urusan selanjutnya.

  • Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Oleh:RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

    Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.

    “Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.

    “Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.

    Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

    “Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.

    Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.

    “Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.