Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG pekerja lelaki warga Indonesia ditemui maut setelah dikisar jentera palong bijih besi dalam kejadian di Kampung Aring 5, Gua Musang, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai Sakdan, 36, dipercayai terjatuh ke dalam jentera lombong bijih besi tersebut sebaik sahaja seorang rakannya cuba menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada pukul 8.40 pagi ketika mangsa melakukan pemeriksaan pada mesin lombong tersebut.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan mangsa merupakan tugas biasanya setiap pagi bagi memastikan jentera berada dalam keadaan baik sebelum memulakan operasi.

Beliau berkata, ketika mangsa berada di atas jentera palong lombong bijih itu, seorang rakannya pula berada di tempat suis mesin tidak jauh dari situ.

“Setelah mangsa berpuas hati dengan keadaan mesin berkenaan, dia memberi arahan kepada rakannya supaya menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

“Namun, sebaik jentera dihidupkan, rakan mangsa turun ke bahagian bawah jentera dan ternampak mangsa berdiri di atas jentera yang bergetar dengan kuat,” katanya hari ini.

Sik memberitahu, rakannya tidak sempat mematikan suis sebelum ternampak mangsa terjatuh ke dalam jentera tersebut.

Menurut beliau, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12 tengah hari terus bergegas ke lokasi kejadian.

Ujarnya, mangsa yang baru sahaja bekerja di lombong tersebut dua minggu lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dirujuk kepada Kedutaan Indonesia bagi urusan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here