Tag: Mahathir Mohamad

  • Kepulauan Riau wilayah Indonesia, dakwaan Tun M tidak berasas

    Kepulauan Riau wilayah Indonesia, dakwaan Tun M tidak berasas

    INDONESIA menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Kepulauan Riau sepatutnya menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia.

    Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah berkata, dakwaan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

    Malah, kata beliau, Kepulauan Riau diiktiraf sebagai wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

    “Ketika dunia sedang menghadapi banyak cabaran, seorang ahli politik kanan tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan persahabatan,” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik laporan portal berita Indonesia, Tempo semalam.

    Wilayah itu terdiri daripada hampir 1,800 pulau dan terletak di antara Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Antara pulau utamanya ialah Batam dan Bintan.

    Bercakap dalam satu kongres Ahad lalu, Dr Mahathir yang berusia 96 tahun mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana berdasarkan sejarah, ia adalah ‘Tanah Melayu’.

    “Seharusnya kita tidak hanya menuntut agar Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dikembalikan kepada kita, tetapi kita juga harus menuntut kembalinya Singapura dan Kepulauan Riau kepada Malaysia sebagai Tanah Melayu,” ujarnya.

    Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan penghakiman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang turut dikenali sebagai Pedra Branca.

    Kerajaan ketika itu berkata, ia tidak meneruskan idea untuk mengkaji semula kedaulatan Pulau Batu Puteh selepas mempertimbangkan pandangan perunding undang-undang asing.

  • Julai 2023 sesuai diadakan PRU-15, kata Tun Mahathir

    Julai 2023 sesuai diadakan PRU-15, kata Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tarikh yang sesuai bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan adalah pada Julai tahun depan.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, tarikh itu bersesuaian kerana ia merupakan penggal Parlimen ke-14 tamat.

    “Kalau kita ikut jadual pilihan raya, itu tarikh yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pejuang Muda dan Silver Gold Collector Group di Putrajaya hari ini.

    PRU-15 perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan September 2023, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas penggal Parlimen kini terbubar secara automatik pada 16 Julai 2023.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi pendirian PRU-15 tidak sesuai diadakan ketika ini, malah tindakan terlalu membincangkan tarikh PRU15 akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara. – BERNAMA

  • Tun Mahathir mesti terima Anwar atau lupakan kerjasama PH-Pejuang

    Tun Mahathir mesti terima Anwar atau lupakan kerjasama PH-Pejuang

    PENGERUSI Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mesti menerima Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mahu bekerjasama dalam kerangka ‘khemah besar’.

    Kata dua itu ditegaskan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ekoran sikap Dr Mahathir yang berkeras enggan menerima Anwar.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, PH sememangnya berhasrat membuka pintu rundingan dengan Pejuang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun mungkin terpaksa melupakannya ekoran pendirian Dr Mahathir itu.

    “Pimpinan PH sekarang ialah Anwar, kami bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, tapi dia tolak kerjasama dengan PH disebabkan Anwar pengerusi (PH), jadi tak perlu kerjasama lagi. Begitu…mudah sahaja,” katanya kepada FMT.

    Berhubung dakwaan Dr Mahathir bahawa kejatuhan PH pada 2020 adalah susulan kesilapan Anwar, Guan Eng berkata, dakwaan sedemikian adalah salah dan tidak adil.

    Terdahulu, Dr Mahathir menegaskan partinya enggan bekerjasama dengan Anwar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang bawah pendekatan ‘khemah besar’ untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

    Pengerusi Pejuang itu berkata, sikap pemimpin pembangkang yang ‘tidak lurus’ menjadi sebab mengapa partinya menolak konsep ‘khemah besar’.

    Beliau turut mengulangi kekesalannya berhubung kejatuhan PH pada 2020 yang didakwanya adalah susulan kesilapan Anwar, sekali gus memberi laluan kepada UMNO dan BN kembali mendominasi kerajaan sedia ada sekarang.

  • Tun Mahathir cabar Zahid buktikan dakwaan beliau bukan Melayu

    Tun Mahathir cabar Zahid buktikan dakwaan beliau bukan Melayu

    TUN Dr Mahathir Mohamad mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bukti bagi membuktikan dakwaan yang mempertikaikan status bangsa beliau sebagai orang Melayu.

    Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid yang didakwa berbohong ketika memfitnahnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu.

    Beliau mendakwa, ketika itu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan kononnya kad pengenalan yang asal menamakan dirinya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.

    “Dia dakwa bahawa IC biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

    “Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri.

    “Saya tunggu apakah Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihan raya tidak,” katanya dalam laman blog miliknya, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Ahmad Zahid memburuk-burukkan beliau sedemikian untuk mempamerkan kepada umum bahawa beliau menipu mengenai status bangsanya.

    Dr Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid mahu mempertikaikan kelayakannya memimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya.

    “Kononnya saya “anak lelaki” dan bukan “bin”, jadi saya ini bukan Melayu.

    ” Ya, saya memang pun ada darah keturunan India dan ini saya nyatakan dalam buku saya. Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad.

    “Mengikut takrifan Perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.

    “Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan kami semua beragama Islam.

    “Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” jelasnya.

    Dr Mahathir menjelaskan, sebelum ini beliau tidak gemar menggunakan mahkamah walaupun ramai yang memfitnahnya kerana beliau sedar dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

    Namun, kali ini beliau berasa perlu bertindak kerana sikap Ahmad Zahid itu amat memualkan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

    “Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya.

    Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, tindakan mahkamah akan diambil jika Ahmad Zahid tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah tersebut.

  • Belum sesuai PRU-15 dalam masa terdekat – Tun Mahathir

    Belum sesuai PRU-15 dalam masa terdekat – Tun Mahathir

    AHLI Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih belum sesuai diadakan dalam masa terdekat walaupun jumlah kes harian jangkitan COVID-19 dilihat semakin terkawal ketika ini.

    Menurut beliau, langkah berjaga-jaga perlu terus diambil bagi mengelakkan wabak itu kembali menular sehingga meningkatkan kembali jumlah kes jangkitan di negara ini.

    “Kita harus berjaga-jaga. Kita harus ingat apa berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Pada masa itu jumlah kes (COVID-19 di negara ini) rendah tapi bila diadakan PRN Sabah ia menyebabkan berkembang penyakit ini.

    “Kes COVID-19 (kini dilihat) berkurangan tetapi kita perlu jaga juga, macam pakai pelitup muka itu perlu diteruskan dan tidak berkumpul terlalu dekat…, jika tidak angka itu (jumlah kes) akan meningkat semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di sini hari ini.

    Bekas perdana menteri itu diminta mengulas sama ada PRU-15 sesuai diadakan dalam masa terdekat berikutan kes harian jangkitan COVID-19 di negara ini semakin terkawal.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard masih perlu dititikberatkan bagi mengelakkan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di negara ini, selain risiko serangan varian baharu wabak itu. – BERNAMA

  • Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan pelajar bahawa buli bukanlah kegiatan yang boleh dibanggakan.

    Sedih dengan kes buli di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi, Kedah yang tular di media sosial semalam, Dr Mahathir berkata, tindakan itu hanya membawa kepada budaya samseng.

    “Kini ia menjadi kes polis. Saya harap semua pelajar terlibat sedar dan ambil peringatan buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menerusi catatan di akaun Twitter rasminya.

    Semalam, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian pada 9 pagi Rabu itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain dengan mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata 13 pelajar tingkatan empat sekolah terlibat ditahan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Pindaan RUU lompat parti jangan jejas hak asasi rakyat – Tun M

    Pindaan RUU lompat parti jangan jejas hak asasi rakyat – Tun M

    RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung anti lompat parti perlu dikaji secara lebih teliti agar tidak menjejaskan hak asasi rakyat, tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Ahli Parlimen Langkawi berpandangan, pindaan tersebut disaran hanya melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Senator.

    “Ini adalah satu cabaran yang perlu dikaji dan saya bersetuju supaya dikaji dengan mendalam soal lompat (parti) ini dan juga pindaan Perlembagan kerana kalau dipinda begitu sahaja, mungkin hak asasi rakyat lain yang tidak terlibat dengan dewan ini akan kehilangan.

    “Inilah sebabnya kita patut percepatkan proses menggubal undang-undang yang sesuai dengan keadaan yang dihadapi oleh kita. Mungkin apa yang kita buat itu tidak begitu lengkap dan mungkin juga akan disalah gunakan seperti sekarang undang-undang kerap kali disalah gunakan.

    “Umpamanya, sementara kita jamin hak seseorang untuk mengadakan persatuan atau menyertai mana-mana persatuan, tetapi bagi kerajaan ada hak untuk tidak mendaftarkan kesatuan, dengan itu hak rakyat kehilangan. Perkara semacam ini perlu kita beri perhatian,” katanya pada Mesyuarat Khas Parlimen ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Satu Berita.

    Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyat menyebabkan negara menjadi tidak stabil dari segi politik dan pemerintahan.

    Tambah beliau, kedudukan seseorang Perdana Menteri itu juga didakwa tidak dapat dipastikan sama ada diiktiraf atau sebaliknya.

    “Ada negara-negara yang tidak iktiraf Perdana Menteri kita sebagai Perdana Menteri dan (tidak) memberi layanan yang sepatutnya.

    “Ini adalah oleh kerana kedudukan Perdana Menteri yang masuk dari pintu belakang ini tidak begitu diiktiraf oleh masyarakat. Ini menunjukkan Rang Undang-Undang Antilompat Parti perlu diadakan tetapi dia mestilah terhad khusus kepada ahli Dewan Rakyat, ADUN dan mungkin ahli Senat.

    “Kalau dihadkan kepada mereka sahaja dan pihak lain bebas untuk menukar parti, itu memelihara hak asasi mereka,” kata Dr. Mahathir lagi.

  • “Saya jangka akan mati kerana sudah tua” – Tun Mahathir

    “Saya jangka akan mati kerana sudah tua” – Tun Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada pakar-pakar perubatan Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar perubatan jemputan atas kepakaran serta kebolehan mereka merawat beliau ketika menjalani rawatan di pusat rawatan jantung itu Januari lepas.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sudah percaya bahawa hayatnya sudah tiba namun dengan rawatan yang diberikan oleh doktor-doktor pakar, penolong doktor serta bantuan daripada pekerja-pekerja di IJN mereka berjaya memulihkan kesihatannya.

    “Bagi saya ini adalah satu keajaiban, saya tidak menyangka untuk hidup. Saya menjangka akan mati kerana saya sudah tua dan saya juga menghidap penyakit yang serius yang memberi kesan… mula-mula jantung saya, apabila jantung lemah ia memberi kesan kepada paru-paru dan apabila paru-paru lemah ia memberi kesan kepada buah pinggang dan seterusnya.

    “Tetapi entah bagaimana atau lebih tepat doktor memulihkan saya dan akhirnya saya dibenarkan keluar dan agak sihat, bukan seratus peratus tetapi cukup untuk saya meneruskan kerja yang perlu saya lakukan,” katanya menerusi saluran rasminya di YouTube CHEDET hari ini.

    Tun Mahathir berkata, ini sesuatu yang patut dibanggakan kerana rakyat Malaysia tidak perlu lagi ke mana-mana untuk mendapat rawatan kerana negara ini sudah mempunyai pakar perubatan yang boleh merawat penyakit serius seperti dialaminya.

    “… seperti yang anda tahu saya juga dilatih sebagai doktor dan semasa saya bermula pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, pada ketika itu terdapat ‘slot khas’ untuk doktor Malaysia terutama doktor Melayu, doktor-doktor di hospital pada masa itu dikenali sebagai pembantu pegawai perubatan… tidak ada orang Asia boleh menjadi pegawai perubatan… kerana tiada kepercayaan terhadap doktor Malaysia.

    “Saya amat percaya bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain boleh lakukan. Semasa saya (sebagai perdana menteri) saya pernah bercakap bahawa Malaysia kita boleh… kita cekap,” katanya.

    Dalam video berdurasi kira-kira lapan minit itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, kekal bertenaga dan kelihatan sihat ketika menyampaikan ucapan berkenaan.

    Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan namun beliau dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang 5 Feb. – BERNAMA

  • Pejuang kekal dalam arena politik walaupun kalah teruk PRN Johor

    Pejuang kekal dalam arena politik walaupun kalah teruk PRN Johor

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan meneruskan perjuangan dalam arena politik Malaysia meskipun mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Akur dengan kekalahan Pejuang di kesemua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam PRN Johor itu serta hilang semua deposit, Dr Mahathir berkata, Majlis Eksekutif dan biro politik Pejuang bagaimanapun sebulat suara tekad untuk meneruskan perjuangan dalam arena politik negara.

    Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN Johor pada 12 Mac apabila menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor yang ditandingi. Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi, Perikatan Nasional (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR masing-masing satu kerusi.

    Dr Mahathir dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata, Pejuang akan terus memperjuangkan isu keperluan rakyat khususnya orang Melayu dan negara amnya.

    “Kita (Pejuang) sebelum ini banyak tumpu untuk banteras rasuah sehingga kurang menekankan mengenai masalah dihadapi oleh rakyat seperti pengangguran dan tidak cukup makan.

    “Perkara seperti ini tidak diberi penekanan oleh Pejuang sehingga menyebabkan pengundi tidak tertarik kepada parti ini,” katanya dan menambah Pejuang akan terus memperbaiki perkara tersebut.

    Ditanya adakah akan wujud gabungan parti pembangkang bagi menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bekas Perdana Menteri itu berkata terdapat kemungkinan perkara itu akan berlaku.

    “Ada kemungkinan…cadangan ada disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah, berpecah ini hanya menyebabkan kita kalah. Cadangan ini (pembangkang bergabung) perlu dikaji secara mendalam,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat, PRU15 wajar diadakan apabila rakyat benar-benar bersedia bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik. – BERNAMA

  • Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    DALAM surat kelima kepada Bangsa Johor yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan mereka agar menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Berikut adalah petikan kandungan surat tersebut seperti yang disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini:

    Pilihan saudara dan saudari bukan sekadar menentu siapa yang akan memerintah Johor tetapi akan menjadi kayu pengukur hala tuju politik Negara di dalam pilihanraya mum yang akan datang.

    Perkara utama yang saya tekan ialah menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Ada yang memandang remeh isu rasuah dan menganggap ia tidak sepenting isu untuk meneruskan kehidupan seharian.

    Saya setuju meneruskan kehidupan yang stabil amat penting tetapi jika dipilih Kerajaan perasuah, penyalahguna kuasa dan penyangak, kestabilan negara tidak akan tercapai.

    Empayar-empayar Islam dan bukan Islam yang maha hebat dahulu telah jatuh kerana pemimpin pemimpinnya perasuah atau tidak menyekat amalan rasuah di kalangan pentadbir dan pegawainya.

    Rasuah ini seperti api di dalam sekam yang tidak kelihatan sangat kerosakan pada permulaan, tetapi apabila ianya menjadi nyata, ia sudah terlambat untuk diselamat.

    Perjuangan melawan perasuah-perasuah, penyamun-penyamun dan penyangak-penyangak bukan untuk yang muda sahaja.

    Selagi ada hayat perjuangan in mesti diteruskan.