Tag: Macau Scam

  • Penjawat awam rugi RM711,626 ditipu ‘pegawai mahkamah’ dan ‘polis’

    Penjawat awam rugi RM711,626 ditipu ‘pegawai mahkamah’ dan ‘polis’

    SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM711,626 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis di Kuala Lumpur tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa berusia 52 tahun itu telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah pada 4 Okt tahun lepas.

    “Suspek memberitahu mangsa kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram dan jenayah rasuah namun mangsa menafikannya.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan diarahkan untuk membuat transaksi ke 13 akaun berbeza,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang ketakutan membuat 74 transaksi berjumlah RM711,626 di antara 15 Okt 2021 hingga 17 Jan lepas ke akaun berlainan.

    Katanya mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis pada Sabtu lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Justeru, Mohd Mahidisham menasihati orang ramai agar mendapatkan butiran terperinci pihak berkuasa yang berhubung dengan mereka mengenai sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil serta tempat bertugas.

    “Buat semakan di balai berdekatan untuk memastikan butiran panggilan adalah benar-benar daripada pihak berkuasa dan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi,” katanya. – BERNAMA

  • Lebih RM140,000 lesap dikebas sindiket menyamar pegawai TM

    Lebih RM140,000 lesap dikebas sindiket menyamar pegawai TM

    WANG simpanan seorang ahli perniagaan serta milik ibunya berjumlah RM140,679 lesap akibat terperangkap dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM).

    Mangsa terjerat dengan sindiket berkenaan yang kononnya untuk siasatan pembabitannya dalam kes pelaburan dan pengubahan wang haram.

    Mematik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memberitahu, pada 11 Februari lalu, mangsa seorang lelaki yang berusia sekitar 20-an menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai TM Point mendakwa identitinya sudah digunakan untuk mendaftar talian yang terbabit dalam kes jenayah siber.

    Menurutnya, panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada dua suspek berikutnya yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.

    Katanya, hasil semakan lanjut ‘pihak polis’ terhadap identiti mangsa mendapati lelaki itu turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram bersama satu sindiket pelaburan diketuai seorang individu yang mana mangsa dikatakan sudah memindahkan wang sebanyak RM400,000 ke akaun bank milik individu berkenaan.

    Beliau berkata, mangsa cuba menafikan pembabitannya, namun dinasihatkan sipaya meminta bantuan suspek berikutnya bernama ‘ACP Datuk Mohd Fazley’ yang berjanji akan membantunya.

    Menerusi satu kenyataaannya hari ini Shafien berkata, bagi membantu siasatan ‘pihak polis’, mangsa diarah menyerah maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna dan kata laluan serta nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) akaun bank miliknya.

    Menurut beliau, mangsa juga diarah menyerahkan maklumat membabitkan akaun bank milik ibunya atas alasan untuk siasatan bagi mengesahkan sama ada ibunya turut terbabit atau tidak dengan kes pelaburan berkenaan serta pengubahan wang haram.

    Susulan itu, katanya sebanyak 15 transaksi pindahan wang berjumlah RM140,679 dilakukan dari bank milik pengadu dan ibunya yang mana hampir RM100,000 adalah dari akaun bank milik ibunya antara 11 hingga 15 Februari lalu.

    “Suspek mendakwa wang itu dipindahkan sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan.

    “Pengadu kemudian berasa curiga apabila suspek menasihatkannya membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan sebelum segera ke balai polis di Machang untuk membuat laporan,” jelas beliau.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

    Shafien berkata, pihaknya ingin mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan sindiket Macau Scam yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar pegawai dari bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah.

  • Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    SEORANG wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram 1MDB.

    Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini pesara itu memberitahu bahawa dia menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari ibu pejabat polis di Negeri Sembilan yang memaklumkan kononnya kad banknya telah digunakan oleh individu bernama Jimmy Wong dalam kes jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai berpangkat Inspektor yang mengatakan wanita itu perlu membuat pindahan RM10,000 kepada Jabatan Audit Negara jika ingin menyelesaikan kes berkenaan.

    “Kerana panik, wanita itu pergi ke sebuah bank di Jalan Kampung Datu dekat sini sekitar 12.30 tengah hari dan membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu memindahkan RM4,950 bagi transaksi pertama dan jumlah yang sama dalam transaksi kedua, kemudian disusuli dengan RM100 bagi transaksi ketiga ke sebuah akaun milik lelaki bernama Shamsudin Abu Hassan. 

    “Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas pulang ke rumah, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya.- BERNAMA

  • WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    SEORANG ejen broker perniagaan kejuruteraan kerugian RM37,330 akibat menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial, sejak pertengahan Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita dari Felda Gugusan Raja Alias itu mendakwa berkenalan dengan pemilik akaun ‘LinkedIn’ bernama ‘Ali Rahman’ sejak 13 Feb lepas dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. 

    “Wanita itu kerap berhubung dengan lelaki tersebut bagi berkongsi pengalaman hidup dan hal berkaitan kejuruteraan memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama. 

    “Bagaimanapun pada April lepas, lelaki berkenaan memberitahu wanita itu bahawa dirinya menerima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak daripada sebuah syarikat dan menamakan mangsa sebagai penerima manfaat daripada bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata bayaran itu didakwa dilakukan menerusi Unisys Security Agency Company (UK) dan lelaki tersebut meminta mangsa menghubungi ejen-ejen daripada syarikat tersebut bagi menuntut baki bayaran kontrak berkenaan.

    Katanya mangsa diminta melakukan pembayaran ke enam akaun berbeza yang melibatkan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM37,330 bagi kelancaran urusan tuntutan bayaran berkenaan.

    Hoo berkata mangsa menyedari ditipu selepas sekali lagi diminta untuk melakukan pembayaran berkenaan dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Dalam kes lain, Hoo berkata seorang pemandu pengorek-kaut dari Bahau turut kerugian RM20,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jumaat lepas.

    Beliau berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang wakil LHDN pada 3.39 petang dan kemudian memaklumkan namanya tersenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM176,000.

    “Panggilan itu kemudiannya disambung ke pihak lain yang memaklumkan mangsa mempunyai rekod dalam penglibatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram selain akan dikenakan tindakan berkenaan hal tersebut.

    “Akibat percaya, lelaki itu mengikut arahan yang diminta termasuk memberi maklumat ‘nama pengguna’ dan ‘kata laluan’ sistem perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan semakan,” katanya sambil menambah pengadu menyedari ditipu selepas mendapati berlaku dua kali transaksi perpindahan wang berjumlah RM20,000 apabila membuat semakan dengan bank dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Macau scam: Isteri polis rugi RM20,800

    Macau scam: Isteri polis rugi RM20,800

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ISTERI seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah kerugian RM20,800 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan secara dalam talian pada Isnin lalu.

    Mangsa, 32, sebelum ini pernah berurusan dengan suspek untuk membuat kerja secara dalam talian dengan dijanjikan bayaran tertentu.

    Pada 5 September, mangsa telah menerima bayaran sebanyak RM230 setelah melakukan kerja secara dalam talian seperti yang dijanjikan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, namun pada Isnin lalu, suspek lelaki tersebut sekali memperkenalkan satu pelaburan bernama IBC Trader.’

    “Pelaburan ini menjanjikan keuntungan lumayan sehingga mendorong mangsa melakukan tujuh transaksi ke dalam sebuah akaun atas nama Muhammad Saiful Suhaimi dengan berjumlah keseluruhan RM20,800.

    “Bayaran tersebut dibuat kerana dijanjikan pulangan yang banyak, namun selepas transaksi dilakukan, lelaki tersebut gagal dihubungi sehingga hari ini,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mangsa ujar beliau, berkali-kali cuba menghubungi suspek, malangnya nombor telefon mangsa disekat.

    Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di IPD Kuala Pilah bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut.

    Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan berwaspada dengan setiap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

  • Wang simpanan RM32,400 lesap ditipu sindiket selepas serah TAC

    Wang simpanan RM32,400 lesap ditipu sindiket selepas serah TAC

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja swasta wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wang simpanan miliknya sebanyak RM32,400 lesap dipercayai ditipu sindiket Macau Scam semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa berusia 21 tahun itu mula terjerat dengan sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh individu terbabit kononnya terdapat syarikat yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600.

    Tambahnya, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang mengaku pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah.

    “Individu itu kemudian pula mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan dibekukan untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa yang panik telah mengikut arahan individu terbabit supaya menyerahkan maklumat perbankan dan kod pengesahan transaksi (TAC) selain diingatkan tidak memaklumkan kepada sesiapa berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noorzainy berkata, sebaik sahaha menyerahkan nombor TAC mangsa menerima notifikasi daripada pihak bank memaklumkan wang di dalam akaunnya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.

    Jelasnya, mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula individu berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Dua individu rugi RM72,500 serah nombor TAC kepada sindiket Macau Scam

    Dua individu rugi RM72,500 serah nombor TAC kepada sindiket Macau Scam

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja swasta dan seorang pesara di Butterworth, Pulau Pinang kerugian masing-masing RM13,579 dan RM59,000 selepas menjadi mangsa terbaharu sindiket Macau Scam semalam.

    Pekerja swasta berusia 40 tahun itu mula terjerat dengan sindiket tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai khidmat pelanggan dari syarikat aplikasi kewangan, BigPay.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dimaklumkan dia perlu menukar kad bank yang mempunyai pautan dengan akaun BigPay baharu bagi membolehkannya berbelanja tanpa had.

    Yakin dengan panggilan itu, katanya, mangsa memberikan butiran dua akaun perbankan miliknya selain berkongsi nombor TAC kepada suspek.

    “Selepas bertindak sedemikian, dia dimaklumkan oleh pihak bank wang miliknya sebanyak RM13,579 telah dipindahkan ke dalam akaun lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu tambah Noorzainy, dalam kes membabitkan pesara berusia 61 tahun pula, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Alor Setar, Kedah.

    Katanya, mangsa dimaklumkan kononnya mempunyai tunggakan cukai syarikat atas namanya oleh pegawai yang menyamar LHDN namun menafikannya sebelum panggilannya disambungkan kepada individu kononnya polis.

    Bagaimanapun jelasnya, mangsa kemudian didakwa oleh ‘polis’ itu terlibat aktiviti pengubahan wang haram sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan.

    “Mangsa turut menyerahkan nombor TAC kepada suspek sebelum mendapati wang sebanyak RM59,000 dari akaun banknya hilang,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Sementara itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan nombor TAC kepada orang lain kerana ia adalah maklumat sulit.