Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

ISTERI seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah kerugian RM20,800 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan secara dalam talian pada Isnin lalu.

Mangsa, 32, sebelum ini pernah berurusan dengan suspek untuk membuat kerja secara dalam talian dengan dijanjikan bayaran tertentu.

Pada 5 September, mangsa telah menerima bayaran sebanyak RM230 setelah melakukan kerja secara dalam talian seperti yang dijanjikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, namun pada Isnin lalu, suspek lelaki tersebut sekali memperkenalkan satu pelaburan bernama IBC Trader.’

“Pelaburan ini menjanjikan keuntungan lumayan sehingga mendorong mangsa melakukan tujuh transaksi ke dalam sebuah akaun atas nama Muhammad Saiful Suhaimi dengan berjumlah keseluruhan RM20,800.

“Bayaran tersebut dibuat kerana dijanjikan pulangan yang banyak, namun selepas transaksi dilakukan, lelaki tersebut gagal dihubungi sehingga hari ini,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa ujar beliau, berkali-kali cuba menghubungi suspek, malangnya nombor telefon mangsa disekat.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di IPD Kuala Pilah bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut.

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan berwaspada dengan setiap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here