Tag: logistik

  • Perkukuh sektor logistik agar Malaysia kekal berdaya saing – Muhyiddin

    Perkukuh sektor logistik agar Malaysia kekal berdaya saing – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor logistik perlu diperkukuh bukan sahaja untuk memastikan kedudukan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat perdagangan antarabangsa.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau dalam Facebook hari ini:

    Pagi ini saya telah mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang bagi melihat situasi pemulihan sektor logistik pascapandemik COVID-19. Lawatan ini turut disertai YB Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan, YBhg Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pemulihan Negara (MPN) serta barisan kepimpinan Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang dan Westports Malaysia.

    Seperti mana yang kita sedia maklum, pandemik COVID-19 telah menjejaskan operasi pelabuhan di seluruh dunia sehingga menyebabkan kebanyakan pelabuhan tidak dapat beroperasi.

    Alhamdullilah, melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjadi panduan bagi pembukaan sektor ekonomi dan sosial secara selamat dan teratur, pelabuhan negara masih dapat beroperasi dengan gangguan yang minimum.

    Malahan, lebih 10,000 pekerja di Pelabuhan Klang telah berjaya divaksinasi dengan dalam tempoh seminggu melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam Swasta (PIKAS) yang diselenggarakan bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Malaysia berada di tangga ke-5 dalam pengurusan kontena perkapalan dunia dengan pengendalian 28 juta TEU pada tahun 2021 dan memainkan peranan yang amat penting dalam rantaian bekalan global.

    Pelabuhan Klang juga memainkan peranan yang kritikal dalam rantaian ini dan merupakan pelabuhan terbesar di Malaysia dan juga pelabuhan ke-12 yang tersibuk di dunia dengan pengendalian 13.7 juta TEU pada tahun 2021.

    Lawatan saya ini merupakan susulan mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif MPN bersama pengendali pelabuhan-pelabuhan utama negara berkenaan isu-isu yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.

    Walaupun terdapat trend peningkatan pengendalian kontena di pelabuhan Malaysia, sektor ini masih terdedah kepada kesan pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan geopolitik antarabangsa.

    Terdapat penyusutan pada bulan Mac 2022 bagi pengendalian kontena (11.9%) dan jumlah kargo (8.7%) berbanding bulan Mac 2021 di pelabuhan-pelabuhan utama negara.

    Sektor logistik
    Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

    Antara isu yang dihadapi oleh pengendali pelabuhan adalah konflik Rusia-Ukraine dan penutupan sektor ekonomi negara China yang telah menjejaskan bekalan rantaian global serta keperluan menambah baik infrastruktur di pekarangan kawasan pelabuhan.

    Dengan kapasiti pelabuhan yang semakin meningkat, jaringan infrastruktur di sekitar kawasan pelabuhan perlu dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran proses logistik.

    Dengan input yang diberi serta yang diperoleh daripada lawatan ini, mesyuarat MPN akan membincangkan serta mengemukakan syor penambahbaikan kepada Kerajaan.

    Pemulihan sektor ini perlu diberi perhatian serius memandangkan 90 peratus kargo Malaysia dikendalikan melalui sektor perkapalan.

    Sektor ini perlu diperkukuh bukan sahaja untuk memastikan kedudukan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat perdagangan antarabangsa, tetapi juga kerana sektor logistik ini mempunyai peluang untuk berkembang maju dan memberi manfaat besar kepada ekonomi negara termasuk dari segi menyediakan peluang pekerjaan.

    Dengan langkah-langkah strategik dan kerjasama padu antara Kerajaan dan pihak swasta, saya optimis bahawa sektor ini bukan sahaja akan terus pulih, tetapi akan berkembang pesat dan mengatasi pencapaian prapandemik dengan cemerlang, insya-Allah.

  • Tingkat daya saing industri pengangkutan, logistik, tadbir urus

    Tingkat daya saing industri pengangkutan, logistik, tadbir urus

    RMK12

    MENINGKATKAN daya saing industri pengangkutan dan logistik serta tadbir urus adalah antara fokus Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melonjakkan produktiviti, menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab pengangkutan dan logistik di rantau Asia Tenggara menjelang 2025, dengan beberapa inisiatif akan diperkenal bagi meningkatkan daya saing sektor terbabit.

    Dokumen itu menyatakan inisiatif berkenaan meliputi usaha meningkatkan kecekapan dan memanfaatkan pendigitalan dalam perkhidmatan pengangkutan serta logistik, pada masa sama menyumbang kepada penambahbaikan proses pengendalian kargo, peningkatan jumlah kargo dan pengukuhan perdagangan.

    Dua strategi bakal dilaksana bagi tujuan itu iaitu meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memanfaatkan pendigitalan dalam perkhidmatan dengan langkah akan diambil antaranya menambah baik kapasiti infrastruktur dan perkhidmatan pelabuhan serta melaksana penyenggaraan pencegahan.

    “Inisiatif untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan dan logistik akan ditumpukan kepada menambah baik infrastruktur dan kapasiti perkhidmatan pelabuhan serta mempertingkat ketersambungan batuan akhir,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu, usaha untuk menggalakkan pergerakan barangan pelbagai mod, menaik taraf sistem penerbangan dan melaksana penyenggaraan pencegahan bagi jalan raya serta jambatan akan turut diberi tumpuan.

    Selain itu, ketersambungan logistik antara rel, laut dan udara akan ditambah baik untuk memastikan kedudukan Malaysia sebagai hab kargo berdaya maju dengan industri logistik digalakkan mengguna pakai kaedah pergerakan kargo pelbagai mod untuk menambah baik keupayaan perkhidmatan logistik serta mengurangkan kos pengedaran kargo.

    Sementara itu, platform gerbang tunggal transaksi Ubiquitous Customs (uCustoms) akan diguna sepenuhnya untuk memudahkan urusan perniagaan dengan menyediakan sistem berasaskan web serta penyelesaian dari awal ke akhir secara elektronik.

    Pangkalan data berpusat untuk sektor pengangkutan dan logistik juga akan dibangunkan mengandungi peta berlapis yang komprehensif serta statistik berkaitan jalan raya, rel, penerbangan dan perkhidmatan maritim, selain mengandungi maklumat dalam melaksanakan agenda hijau sektor pengangkutan.

    Menurut dokumen itu, beberapa strategi akan dilaksana dalam memperkukuh rangka kerja institusi dan kawal selia, termasuk menambah baik tadbir urus dan menggalakkan inisiatif hijau.

    Di samping itu, kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh juga akan ditambah baik dengan menyatupadukan pelbagai mod pengangkutan dan menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang akan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan rakyat.

    Menurut dokumen itu, kecekapan dan ketersambungan sistem pengangkutan awam akan ditambah baik bagi mendorong penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama perjalanan.

    Selain itu bagi mengurangkan masa menunggu dan tempoh perjalanan, kekerapan bas perantara akan ditingkatkan dan laluannya akan dijajarkan semula.

    “Perkhidmatan e-panggilan pula akan diintegrasikan dengan MRT dan perkhidmatan lain. Ini dijangka dapat meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam,” menurut dokumen itu. – BERNAMA