Tag: Lim Kit Siang

  • Najib tidak akan kembalikan zaman kegemilangan UMNO, kata Kit Siang

    Najib tidak akan kembalikan zaman kegemilangan UMNO, kata Kit Siang

    PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang tidak percaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan UMNO selepas kekalahan parti itu dalam dua pilihan raya lalu.

    Kit Siang sebaliknya percaya satu-satunya cara untuk memulihkan UMNO ke zaman kegemilangannya ialah parti itu kembali kepada prinsip dan dasar asal pembinaan negara.

    “Ada pihak yang percaya bahawa cara untuk UMNO mendapatkan semula sokongan pilihan raya dahulu adalah dengan mendapatkan pengampunan untuk Najib,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Menurut Kit Siang, dia tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian kerana jika ia berlaku, UMNO tidak akan mempelajari daripada kesilapannya pada PRU14 dan PRU15.

    “Saya percaya satu-satunya cara untuk memulihkan UMNO sebagai parti politik terkemuka ialah memainkan peranan utama dalam menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar pembinaan negara asal untuk negara majmuk, yang mendapat sokongan empat presiden UMNO terawal iaitu Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn.

    “Ini termasuk mengetuai usaha memerangi rasuah di Malaysia dan memulihkan kebebasan kehakiman,” kata Kit Siang pada satu kenyataan hari ini.

    Beliau menegaskan ketika UMNO mula kehilangan sokongan rakyat pada PRU14 dan kemudiannya ditolak pengundi Melayu pada PRU15, menyebabkan parti itu ketinggalan di belakang PAS dan Bersatu.

    Kenyataan Lim itu dibuat selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Puad Zarkashi berkata pemimpin PH termasuk Lim dan Hassan Karim takut kemungkinan Najib keluar dari penjara.

    Jelas Puad, ini kerana UMNO akan bertambah kuat melalui gabungan teraju kepimpinan Najib-Ahmad Zahid Hamidi.

    Kedua-dua Lim dan Hassan sebelum ini menyuarakan bantahan mereka terhadap pengampunan diraja kepada Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dalam kes SRC International.

    Semalam, Lim memberi amaran bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja, manakala Hassan sebelum ini berkata kerajaan akan berdepan dengan masalah besar jika Najib diberi pengampunan diraja.

  • Kit Siang tak layak tegur kredibiliti PN, kata Wan Saiful

    Kit Siang tak layak tegur kredibiliti PN, kata Wan Saiful

    PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang didakwa sudah tidak ada pendirian moral untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun, termasuk Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana Kit Siang sebenarnya telah menggadai prinsip perjuangan dan maruah dirinya apabila berdiam diri melihat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rundingan pintu belakang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

    “Mana suara Uncle Lim apabila Presiden UMNO yang masih mempunyai 47 pertuduhan mahkamah dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Adakah Uncle Lim sanggup terima kleptokrat dan perasuah demi kuasa dan kedudukan?

    “Mana suara Uncle Lim dalam isu nepotisme membabitkan Anwar Ibrahim? Adakah Uncle Lim takut orang tersedar bahawa dia juga mengamalkan nepotisme untuk memberi tempat dalam parti kepada anak dan menantu sendiri?

    “Saya faham Uncle Lim terpaksa bercakap walaupun dah bersara sebab setakat ini Anwar belum bagi jawatan kepada anak lelaki harapan Uncle Lim.

    “Saya ucapkan good luck, Uncle Lim. Semoga anak dan menantu Uncle Lim diangkat oleh Anwar. Lagipun perangai nepotisme dah lebih kurang sama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu, Lim Kit Siang dalam ruangan Malaysiakini mengkritik Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin, telah melakukan dua kesilapan pada hari pertama selepas istiadat pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di Pertuan Agong pada Isnin, 13 Februari lalu.

    Menurut Wan Saiful, beliau terpaksa menegur Kit Siang kerana meskipun sudah berasa, veteran DAP itu terlupa untuk mencermin muka sendiri.

    “Saya antara generasi baru dalam Dewan Rakyat. Saya tahu sejarah dan saya hormat Lim Kit Siang selaku pemimpin veteran dalam arena politik tanah air.

    “Tetapi apabila Uncle Lim yang dah bersara terlupa untuk mencermin muka sendiri, saya terpaksa tegur,” tambahnya.

  • Buktikan perangi rasuah, Kit Siang beritahu PM

    Buktikan perangi rasuah, Kit Siang beritahu PM

    VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan janji memerangi rasuah dan menunjukkan keputusan dalam tempoh setahun melalui indeks persepsi rasuah (CPI).

    Sedia maklum langkah itu terlalu lewat bagi Anwar untuk meningkatkan kedudukan CPI Malaysia, pada 2022, Lim berkata, perdana menteri tidak akan “mempunyai alasan” lagi sekiranya gagal menambah baik ranking negara tahun ini.

    “Ini adalah perkara penting di mana Malaysia mengalami kemerosotan teruk selepas enam dekad, dengan Malaysia jatuh kedudukan separuh teratas dunia kepada menjadi negara terkebelakang di Asia,” katanya.

    Lim merujuk kepada negara Asia seperti Indonesia, China dan India yang menambah baik ranking dalam CPI, manakala Malaysia semakin merudum, sejak akhir-akhir ini.

    “Adakah Malaysia akan ketinggalan di belakang China, Indonesia dan India dalam CPI Transparency International menjelang 2030?” soalnya, lapor Free Malaysia Today.

    Bekas Ahli Parlimen itu berkata, kenyataan Anwar tidak akan berkompromi dalam usaha melawan rasuah walaupun berdepan risiko kehilangan kedudukan menyakinkan.

    “Pemukiman menteri minggu depan dan sidang Parlimen bulan depan sepatutnya membawa lebih berita bagaimana Anwar bercadang menamatkan kemerosotan negara dalam dasar anti-rasuah,” katanya.

    Kedudukan global Malaysia dalam Indeks Transparency International menjunam lima anak tangga, pada 2021, selepas menunjukkan peningkatan kedudukan pasca PRU14.

    Malaysia berada pada kedudukan 62 daripada 100 negara menurut laporan terbaharu – terendah sejak metodologi disemak semula, pada 2012. Pada 2020, negara berada pada kedudukan ke-57, berbanding ke-51, pada 2019.

  • Kit Siang hasut isu perkauman berasaskan agama – Tarmizi

    Kit Siang hasut isu perkauman berasaskan agama – Tarmizi

    AHLI Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan kenyataan Lim Kit Siang bahawa langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam dalam dua kali lagi pilihan raya sebagai tidak bertanggungjawab dan merupakan hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama.

    Menurutnya, kenyataan yang bersifat provokatif dan ekstrimis oleh ahli politik veteran DAP itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

    “Beliau telah menyebutkan langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, sepuluh tahun dari sekarang”.

    “Ia adalah suatu tuduhan berat berniat jahat, hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama dan ia perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

    “Perkara ini jelas menunjukkan beliau seorang yang tidak memahami Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menggariskan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, bahkan menjadi ejen penyuntik Islamofobia di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaKini.

    Pada 9 Disember lalu, Lim Kit Siang berkata kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi mencegah Malaysia tenggelam dalam “gelombang hijau” PAS.

    Kata Lim, kerajaan harus mengambil pelajaran daripada pilihan raya umum ke-15 bagi mengelakkan demokrasi dirampas oleh politik “pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama”.

    Katanya langkah itu boleh memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, iaitu sepuluh tahun dari sekarang.

    Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata PN enggan membentuk kerajaan perpaduan bukan kerana membantah cadangan Yang di-Pertuan Agong seperti dinyatakan PH dan BN, tetapi enggan berkrompromi dengan kluster mahkamah yang disifatkan seperti “enau dalam belukar dan “melepaskan pucuk masing-masing”.

    “Kemenangan besar Perikatan Nasional dalam merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH dengan majoriti lebih 16,260 telah menterjemahkan penolakan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang tidak telus, bahkan sanggup berkompromi sehinggakan terpaksa melantik kluster mahkamah menjawat jawatan penting dalam kabinet demi kelangsungan kuasa mereka,” katanya.

  • Kenapa tiada sokongan antarabangsa jika Najib tak salah

    Kenapa tiada sokongan antarabangsa jika Najib tak salah

    VETERAN DAP Lim Kit Siang hari ini meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menamakan satu negara Komanwel yang percaya bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak dibicara dengan adil dalam kes SRC International.

    “Bolehkah Zahid memberi satu contoh bahawa Najib dibicara secara tidak adil oleh negara-negara Komanwel,” kata Kit Siang sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Ini selepas Zahid berucap dalam taklimat khas UMNO baru-baru ini sebagai solidariti terhadap Najib yang mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan SRC International.

    “Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib ia bakal menjadi rujukan kes-kes selepas ini dan akan juga oleh negara-negara Komanwel,” kata Zahid.

    Presiden UMNO ketika berucap juga mendakwa perbicaraan terhadap Najib boleh mewujudkan persepsi tidak adil kerana beberapa individu ‘tidak dibawa ke muka pengadilan” dan Najib tidak dibenarkan mengemukakan bukti tambahan pada rayuan terakhirnya.

    “Watak-watak penting seperti Jho Lo, Nik Faisal, Zeti Akhtar Aziz yang disebut dalam perbicaraan tidak pun ditampilkan,” kata presiden UMNO itu.

    “Apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil,” dakwa Zahid lagi.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri hari ini juga menyoal Zahid kenapa dia tidak menjadi saksi dalam kes itu, di sebalik kenyataan sebelum ini bahawa dia pernah berjumpa dengan keluarga Arab yang didakwa memberi sumbangan kepada Najib.

    Pada 22 April 2015, Zahid memberitahu Umno bahagian Sri Gading, Johor, bahawa beliau telah bertemu dengan anggota keluarga diraja Arab yang dikatakan memberikan derma RM2.6 bilion kepada Najib.

    Namun, Zahid tidak menyebutkan nama individu berkenaan.

    Zahid secara terbuka berkata “keluarga diraja Arab” membuat derma itu untuk membantu Umno dan BN meneruskan pemerintahan Malaysia dan dia telah memetik dokumen yang membuktikan “derma” itu sah.

    ‘Hujah derma’ itu bagaimanapun telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mensabitkan Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada syarikat milik kerajaan, SRC International Sdn Bhd milik kerajaan.

  • Kit Siang gesa Hishammuddin perjelas percanggahan dalam pendanaan LCS

    Kit Siang gesa Hishammuddin perjelas percanggahan dalam pendanaan LCS

    MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein harus menjelaskan mengapa beliau mengurangkan bilangan kapal tempur pesisir (LCS) untuk disiapkan tanpa peruntukan tambahan daripada dua kepada satu, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

    Ini susulan kenyataan Hishammuddin semalam bahawa pembinaan LCS pertama (LCS 1) yang sedang dijalankan, sepatutnya diserahkan kepada tentera laut pada 2019, tidak akan melibatkan peruntukan baharu daripada kerajaan.

    Bagaimanapun menurut Kit Siang, apabila Hishammuddin tampil di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 25 Jan, beliau berkata Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) perlu menghantar dua LCS tanpa sebarang kos tambahan bagi kerajaan.

    “Hishammuddin harus menjelaskan mengapa kementerian pertahanan mengurangkan daripada dua kepada satu LCS yang mesti disiapkan dan dihantar oleh kontraktor tanpa dana tambahan kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang dilapor Free Malaysia Today.

    Dalam keterangannya di hadapan PAC, Hishammuddin sebelum ini berkata, jika kerajaan mahu meneruskan projek itu, “kita tidak boleh mendahulukan keseluruhan wang jika Boustead tidak komited untuk menyerahkan sekurang-kurangnya dua kapal”.

    Dalam Hansard yang dilihat FMT, beliau berkata, proses menyiapkan dua LCS pertama “tidak akan mempengaruhi bayaran pendahuluan” kerana ia “masih bawah jumlah kontrak”.

    Pada majlis di Kementerian Pertahanan, Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa peruntukan tambahan bagi BNS untuk menyiapkan baki lima LCS hanya akan dipertimbangkan selepas LCS 1 siap dalam tempoh dua tahun lagi.

    Bawah projek LCS bernilai RM9 bilion yang kini diselubungi kontroversi itu, BNS ditugaskan membina enam kapal frigat tentera laut. Projek itu kini bawah penelitian Parlimen oleh PAC berhubung kos dan kelewatan pembinaan.

    Kapal pertama dilancarkan pada 2017 dan dijadualkan untuk diserahkan pada 2019, dengan selebihnya dalam tempoh selang enam bulan. Bagaimanapun, tiada satu kapal pun yang telah siap dan diserahkan.

  • Sehari selepas umum bersara, Kit Siang dijangkiti COVID-19

    Sehari selepas umum bersara, Kit Siang dijangkiti COVID-19

    SEHARI selepas menghadiri Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, Mentor DAP, Lim Kit Siang dijangkiti COVID-19 dan kini dikuarantin.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahredzan Johan.

    “Dia telah diberi vaksin dan juga mengambil suntikan penggalaknya, dan setakat ini dia hanya mengalami gejala ringan seperti batuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Syahredzan berkata, Kit Siang diuji positif semasa ujian RTK-Ag di bangunan Parlimen hari ini, dan ujian PCR berikutnya juga positif.

    “Dia kini dikuarantin mengikut protokol kuarantin biasa,” katanya.

    Pengumuman itu dibuat hanya sehari selepas Kit Siang mengumumkan rancangannya untuk bersara daripada politik pada kongres tahunan DAP semalam.

  • Benarkah cengkaman Dinasti Lim dalam DAP telah berakhir?

    Benarkah cengkaman Dinasti Lim dalam DAP telah berakhir?

    DINASTI Lim telah menguasai DAP sejak Lim Kit Siang menjadi Setiausaha Agungnya selama 30 tahun mulai 1966 hingga 1999. Beliau seterusnya memainkan peranan selaku Penasihat dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sehinggalah semalam.

    Namun, beliau tidaklah lenyap sepenuhnya dari pentas politik DAP kerana masih diberi peranan sebagai Mentor Parti. Tidak pasti apakah fungsi sebenar jawatan tersebut dan tahap pengaruhnya terhadap dasar DAP.

    Anak lelakinya, Lim Guan Eng mula menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP kelima selama tiga penggal mulai 4 September 2004 sehingga semalam.

    Jika tidak kerana Perlembagaan DAP yang mengehadkan tempoh seseorang pemimpin memegang jawatan Setiausaha Agung selama tiga penggal, mungkin bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpeluang menyamai atau memecahkan rekod yang dipegang oleh bapanya.

    Guan Eng yang terpalit dengan tuduhan berkaitan skandal terowong di mahkamah juga masih ada dalam barisan CEC penggal ini malah beliau dilantik sebagai Pengerusi pula.

    Seorang lagi waris Kit Siang iaitu anak perempuannya, Lim Hui Ying juga mendapat tempat dalam CEC DAP bagi penggal 2022 – 2025 yang dianggap sebagai barisan penggempur parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Adik perempuan Guan Eng itu juga merupakan seorang Ahli Dewan Negara bagi mewakili Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP sejak selepas PRU-12.

    Sebelum pemilihan, ramai pemerhati melihat keputusan Kit Siang mengundurkan diri dari persaingan mendapatkan tempat dalam CEC sebagai langkah mengurangkan pengaruh keluarganya dalam parti.

    Mungkin beliau pun sedar tentang tanggapan negatif terhadap kewujudan Dinasti Lim yang ditujukan terhadap dirinya dan Guan Eng selama ini.

    Malangnya andaian itu tersasar apabila dua ahli Dinasti Lim dipilih menganggotai CEC DAP manakala Kit Siang sendiri dilantik sebagai Mentor Parti.

    Maknanya, kini ada tiga ahli Dinasti Lim dalam carta organisasi kepimpinan DAP, berbanding hanya dua sebelum ini.

    Memang benar, seramai 30 ahli CEC termasuk Guan Eng dan Hui Ying dipilih oleh para perwakilan yang menghadiri Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, semalam.

    Kita tidak mempertikaikan keputusan pemilihan tersebut. Cuma agak hairan apabila akar umbi DAP sendiri masih enggan membebaskan parti itu daripada cengkaman Dinasti Lim.

    Lebih pelik apabila mereka selama ini mendabik dada sebagai pejuang CAT atau kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan mengangkat seorang pemimpin dalam kategori kluster mahkamah sebagai Pengerusi.

    Memandangkan akar umbi DAP tidak berani menyingkirkan Dinasti Lim daripada parti mereka, wajarlah rakyat mengajar mereka pada PRU-15 dengan memastikan parti yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) itu jatuh tersungkur.

    Hanya dengan cara itu baru mereka sedar bahawa rakyat Malaysia sudah bosan dan meluat dengan dasar cauvinistik dan sikap hipokrit yang disuburkan oleh Dinasti Lim dalam DAP.

  • Kit Siang umum bersara dari politik, tak bertanding PRU-15

    Kit Siang umum bersara dari politik, tak bertanding PRU-15

    SETELAH 56 tahun bergelumang dalam arena politik tempatan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan beliau bersara dari politik.

    Memetik laporan FMT, tokoh kontroversi yang turut mewarnai dunia politik tanah air sejak 1960-an itu membuat pengumuman tersebut pada Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, hari ini.

    Bapa kepada Lim Guan Eng itu menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sejak 1966 sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan.

    Kemudian, Kit Siang menyandang jawatan Setiausaha Agung selama 30 tahun, mulai 1969 hingga 1999.

    Berikutan keputusan bersara dari politik, Kit Siang turut mengumumkan beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan CEC DAP hari ini.

    Kit Siang juga tidak akan bertanding merebut kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Saya umumkan persaraan dalam politik, umum tarik diri Jawatankuasa Tertinggi Pusat (DAP), saya juga tak akan bertanding Parlimen, negeri di masa depan,” katanya dalam Kongres Kebangsaan DAP sebentar tadi.

    Pemimpin berusia 81 tahun itu merupakan salah seorang daripada 93 individu yang dicalonkan untuk merebut 30 kerusi dalam pemilihan CEC.

    Kira-kira 4,150 perwakilan dijangka mengundi dalam pemilihan hari ini.

    Kit Siang yang turut menyandang jawatan Ahli Parlimen Iskandar Puteri dikenali kerana kenyataannya yang bersifat kontroversi, lebih-lebih lagi dalam isu membabitkan orang Melayu dan umat Islam.

    Beliau juga sering bertukar kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang disertainya.

    Sebelum memenangi kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kit Siang merupakan Ahli Parlimen Bandar Melaka (1969–1974), Kota Melaka (1974–1978), Petaling (1978–1982), Kota Melaka (1982–1986), Tanjong (1986–1999), Ipoh Timor (2004–2013) dan Gelang Patah (2013-2018).

    Beliau juga pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Kubu, Melaka (1974-1982); Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) dan Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).

  • Hutang negara melonjak semasa Guan Eng jadi Menteri Kewangan, Najib tempelak Kit Siang

    Hutang negara melonjak semasa Guan Eng jadi Menteri Kewangan, Najib tempelak Kit Siang

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa situasi ekonomi negara adalah sangat buruk ketika anaknya, Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan selama 22 bulan dahulu.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, hutang langsung kerajaan meningkat daripada RM118.8 bilion kepada RM823.8 bilion.

    “Sudah tentu kadar peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding ketika saya jadi Perdana Menteri.

    “Hutang negara meningkat secara mendadak sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana defisit bajet telah dikurangkan selama lapan tahun berturut-turut semasa saya menjadi Perdana Menteri tetapi melonjak kembali di bawah anak anda,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Ahli Parlimen Pekan itu menjawab kenyataan Kit Siang bahawa beliau tidak taksub dengan Najib tetapi bimbang dengan masa depan negara ini.

    Najib menambah, rizab tunai Petronas juga meningkat daripada RM30 bilion pada 2008 kepada RM176 bilion menjelang PRU-14.

    “Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kemudian menjarah RM24 bilion daripada Petronas pada 2018 dan RM54 bilion pada 2019 – lebih tinggi daripada dividen RM16 bilion yang dibayar Petronas pada 2016 dan 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN),” dakwanya.

    Beliau turut mengingatkan Kit Siang bahawa nilai aset bersih Khazanah Nazional Berhad meningkat daripada RM32 bilion pada 2008 kepada RM116 bilion pada 2017.

    “Selepas PRU-14, nilai aset bersih Khazanah menyusut lebih daripada RM30 bilion kerana kerajaan PH menjual aset-aset tersebut,” jelasnya.

    Selain itu, Najib menempelak Kit Siang atas kejatuhan pasaran saham Malaysia selepas PRU-14 sehingga menyebabkan Bursa Malaysia menjadi salah satu pasaran saham dengan prestasi terburuk di dunia sejak empat tahun lalu.

    Beliau juga mendakwa, nilai ringgit jatuh apabila PH memerintah negara dan sehingga kini, gagal mencapai paras tukaran antara RM3.80 hingga RM3.90 sedolar seperti sebelum PRU-14.