Tag: lemas

  • Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    TINDAKAN lima pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah di Aceh, Indonesia mandi sungai semasa hujan lebat mengundang padah apabila mereka dihanyutkan arus deras sungai Sabtu lalu.

    Lapor CNN Indonesia, akibat kejadian itu, empat pelajar termasuk seorang dari Malaysia ditemukan meninggal dunia manakala seorang lagi diselamatkan penduduk setempat.

    Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Darazatul Aulia (17), M. Reza Asri (18), Ahmadal Hadi (17) dan Fakhrul Razi (20) dari Malaysia.

    Sementara seorang mangsa selamat bernama Saiful Amani (23).

    Ketua agensi Basarnas Banda Aceh, Ibnu Harris Hussain berkata, tragedi itu menimpa mangsa yang berenang di Sungai Brayeun semasa hujan lebat dan secara tiba-tiba datang kepala air datang menghanyutkan mereka.

    “Seorang pelajar berjaya diselamatkan penduduk setempat manakala empat lagi pelajar dihanyutkan dan ditemukan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Mengulas lanjut Ibnu Harris berkata, mayat terakhir mangsa ditemukan ialah Fakhrul Razi yang dijumpai di Pantai Lampuuk di Aceh Besar.

    “Fakhrul Razi ditemukan nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

    Tambahnya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.

    “Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI

  • MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MUHAMMAD FIRDAUS

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam mengimamkan solat jenazah pelajar Universiti Al-Azhar, Muhammad Firdaus Ab Rais yang mati lemas dalam satu kejadian di Mesir kelmarin.

    Allahyarham, 25, meninggal dunia semasa mandi di sebatang sungai di al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir.

    Ahmad berkongsikan perkembangan itu menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Menurutnya, beliau bersama Duta Besar Malaysia Ke Mesir sempa bersuia dengan ahli keluarga Allahyarham yang baru tiba di negara itu.

    “Sama-sama kita doakan moga Allah SWT cucuri rahmat keatas roh Allahyarham,” katanya.

    Pelajar berusia 25 tahun jurusan Syariah itu dikatakan pergi berkelah bersama 10 rakan lain di sebuah sungai pada Jumaat tetapi ditemui lemas kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

    Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi rakannya yang berasal dari Patani, Thailand.

    Memetik laporan Sinar Harian, ibu Muhammad Firdaus, Siti Azlina Mohamad, 46, tidak menyangka dengan kejadian yang menimpa anaknya.

    Siti Azlina ketika ditemui mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas anak sulungnya itu tetapi reda dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Mesir petang Ahad.

    Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus ketika majlis perkahwinan anaknya itu tahun lalu.

    “Selepas itu arwah dan isterinya pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran.

    “Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada mertua arwah Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, semalam.

    Menurut Siti Azlina, Muhammad Firdaus seorang anak yang baik dan peramah serta sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak melakukan sesuatu.

    “Bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya untuk pergi berkelah di sungai itu,” katanya.

  • Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki  berlanggar tongkang

    Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki berlanggar tongkang

    SEORANG kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama ibu bapa dan adik perempuannya karam hari ini akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Batang Rajang berdekatan Kapit, kira-kira 167 kilometer dari sini.

    Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata kehilangan Jenggut Antas, 10, dilaporkan oleh bapanya, Antas Agang, 38, yang terselamat bersama isteri dan anak perempuannya dalam insiden yang berlaku kira-kira 8 pagi tadi.

    Beliau berkata berdasarkan laporan dibuat oleh Antas, semasa menghampiri sebuah dermaga batu di seberang bandar Kapit enjin perahu yang dinaiki keluarga itu tiba-tiba mati dan gagal dihidupkan semula.

    “Perahu itu kemudian dihanyutkan air deras dan berlanggar dengan tongkang yang berlabuh di dermaga batu lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11.30 pagi melibatkan tiga anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kapit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang masing-masing menghantar empat anggota.- BERNAMA

  • Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang di Taman Plentong, Masai pada Jumaat lepas, ditemukan lemas dalam Sungai Plentong di Johor Bahru pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di sungai berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

    “Kami menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pukul 6.49 petang semalam daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan bahawa anaknya masih tidak pulang sejak keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

    Menurutnya, mangsa disahkan sebagai anak wanita yang hilang itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – BERNAMA

  • Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    SEORANG kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam parit di Kampung Kuridak Gadong, Beaufort pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, mangsa, Muhammad Qays Izhar Abd Alim dilaporkan hilang semalam.

    Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari kawasan dilaporkan hilang.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi, semalam.

    Menurut beliau, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

    “Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    “Mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.

    Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

    Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

    “Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

  • Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    KEGEMBIRAAN tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat Jeli hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

    Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

    “Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad berkata, Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

    “Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Wanita hilang mandi di Pantai Penunjuk ditemukan lemas

    Wanita hilang mandi di Pantai Penunjuk ditemukan lemas

    SEORANG wanita yang dilaporkan hilang ketika ketika mandi bersama suaminya di Pantai Penunjuk, Kijal di Kemaman Jumaat lepas, ditemukan lemas malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, mayat Rokiah Abd Rahman, 59, ditemukan terapung pada 7.30 malam oleh beberapa pekerja chalet di Pantai Air Tawar berdekatan Pulau Tenggol, Dungun kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian.

    “Pasukan penyelamat telah menerima laporan dari beberapa pekerja chalet mengenai penemuan objek seperti manusia. Polis dan bomba dengan bantuan orang awam telah pergi ke lokasi tersebut dan membawa mayat ke darat.

    “Mayat tiba di Jeti Kuala Kemaman kira-kira 3 pagi dan proses pengecaman telah dibuat oleh dua waris di Unit Forensik Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Pada awal pagi Jumaat lepas, Rokiah dan suaminya Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, dari Temerloh, Pahang datang bercuti di pantai tersebut bersama empat anak mereka sebelum kedua-duanya hilang akibat arus deras.

    Mayat Ahmad Qarib bagaimanapun ditemukan terapung oleh dua pemancing kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman pada 2.10 petang hari sama. – BERNAMA

  • 2 pelatih lelaki PUSPEN Raub mati lemas

    2 pelatih lelaki PUSPEN Raub mati lemas

    DUA pelatih lelaki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditemukan lemas ketika mandi tasik di pusat pemulihan itu yang terletak di Kampung Kundang Patah, Raub hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa pertama berusia 43 tahun ditemukan pada kedalaman 10 meter pada 4 petang tadi, manakala mangsa kedua 37 tahun ditemukan empat minit kemudian pada kedalaman lapan meter.

    “Pasukan bomba telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan melakukan pencarian di permukaan air dan menggunakan peralatan grappling iron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang, sebelum tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub digerakan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi lebih sejam itu. – BERNAMA

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering, di Kuala Terengganu hari ini.

    Mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

    Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, kehilangan warga emas itu hanya disedari rakannya pada jarak empat batu nautika dari pangkalan di Chendering.

    “Sebaik menerima laporan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot Perkasa 1234.

    “Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai termasuk komuniti nelayan dan maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sebagai langkah keselamatan. – BERNAMA

  • Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    SEBUAH bot membawa 60 pendatang asing, karam di luar pantai bandar Tripoli, Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut Palang Merah Lubnan pada Sabtu.

    “Bot yang membawa 60 penumpang itu karam. Pasukan Palang Merah Lubnan menghantar tujuh ambulans ke pelabuhan Tripoli untuk bantuan,” ciapnya di Twitter.

    Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan seorang remaja terbunuh dan 27 lagi mangsa hilang manakala yang lain diselamatkan tentera laut.

    Sementara itu di Jepun, empat penumpang bot pelancong KAZU 1 yang dilaporkan hilang di pantai Hokkaido Jepun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor Sputnik memetik penyiar NHK.

    Dalam kemas kini pada Ahad, NHK melaporkan penyelamat menjumpai tiga lagi penumpang namun keadaan mereka masih tidak dapat dipastikan.

    Pada Sabtu, bot persiaran KAZU 1 menghantar isyarat kecemasan selepas belayar meninggalkan pelabuhan Utoro di Hokkaido.

    Bot itu membawa 24 penumpang, termasuk dua kanak-kanak serta dua anak kapal.

    Sebuah helikopter dan kapal peronda telah dihantar ke lokasi bot itu disyaki hilang tetapi penyelamat gagal menemukan kapal berkenaan. – BERNAMA