Tag: Laporan Ketua Audit Negara

  • Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara akan disiasat – SPRM

    Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara akan disiasat – SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan membuka kertas siasatan berhubung ketirisan dan pembaziran dana awam dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2, baru-baru ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tanpa menyebut mana-mana pihak menyatakan, pihaknya sedang meneliti pendedahan LKAN itu.

    “Kami memberi jaminan, jika ada isu selepas meneliti LKAS, kita akan buka.

    “LKAN ini memang menjadi perhatian kita setiap kali ia diumumkan. Perlu diingat bahawa tugas kita ialah melihat soal pelakuan jenayah sesuatu perkara itu,” katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

    Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi dan pakar integriti menggesa supaya kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas di bawah SPRM bagi menangani isu ketirisan dan pembaziran dana awam, yang hampir setiap tahun didedahkan LKAN.

    Mereka beranggapan, teguran Ketua Audit Negara seolah-olah dipandang ringan tanpa diambil sebagai panduan untuk penambahbaikan.

    Terdahulu, LKAN 2021 Siri 2 mendedahkan pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem kerajaan, yang mengakibatkan kerugian, ketirisan dan pembaziran wang rakyat.

    Antara yang didedahkan ialah kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta, yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan.

    Kementerian dan jabatan terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan, manakala empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

  • Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    AKTIVITI usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan di Melaka kerana projek lewat disiapkan menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 berkaitan Pengurusan Tanah Agensi negeri Melaka.

    Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dalam laporannya berkata, pengauditan melibatkan penilaian terhadap semua tanah dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Yayasan Melaka (YM) dan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), setelah dikenal pasti sebagai agensi yang menguruskan pembangunan hartanah di Melaka secara langsung dan mempunyai milikan tanah lebih tinggi berbanding 11 agensi lain di negeri berkenaan.

    “Terdapat kelemahan dalam pengurusan tanah bagi tiga agensi di Melaka iaitu tanah yang masih kosong/ belum dibangunkan di PKNM, YM dan PERTAM berbanding keseluruhan lot tanah dimiliki masing-masing ialah 156 (64.5 peratus), 42 (33.6 peratus) dan dua (16.7 peratus), tanah kosong PKNM di Mukim Sungai Baru, Sungai Baru Tengah, Sungai Baru Ilir dan Linggi dengan perbelanjaan sejumlah RM58.50 juta masih belum mendatangkan sebarang pulangan.

    “Tunggakan hasil agensi sehingga 31 Dis 2020 iaitu PERTAM masih belum menerima hasil jualan tanah di lot PT8534 berjumlah RM21 juta, YM mempunyai tunggakan hasil sewaan sehingga 2020 berjumlah RM1.16 juta melibatkan sembilan penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah bagi tiga pemajak berjumlah RM120,678. YM juga mempunyai tunggakan hasil jualan tanah sejumlah RM0.57 juta,” menurut laporan itu.

    Laporan itu juga menyebut, PKNM mempunyai tunggakan hasil sewaan tanah sehingga 2020 berjumlah RM42,449 melibatkan tujuh penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah berjumlah RM16,500 bagi satu pemajak; PKNM lewat memperbaharui perjanjian sewaan tanah melibatkan tujuh penyewa dengan kelewatan antara 13 hari hingga 12 bulan 23 hari.

    Selain itu, YM telah memberi pajakan empat lot tanah kepada kelab dan kelab telah melantik pihak ketiga untuk menyewa serta menetapkan kadar sewaan dua kali ganda berbanding bayaran sewa kepada YM, selain YM mempunyai kurangan hasil penjualan tanah sejumlah RM2.33 juta disebabkan penurunan harga dan komitmen sosial berkaitan isu pendudukan orang Melayu kepada 21 orang penduduk di tanah tersebut.

    Laporan itu juga menyebut, pelaksanaan projek secara usaha sama YM dan PERTAM dengan syarikat swasta tidak memuaskan kerana projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian dan keadaan itu menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan.

    Menurut laporan itu, bagi menambah baik pengurusan tanah agensi dan memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang ditetapkan, pihak terlibat disyorkan mengambil tindakan penambahbaikan seperti agensi perlu mengenal pasti tanah-tanah kosong yang berpotensi untuk dibangunkan atau dijual bagi memberi pulangan yang terbaik.

    “Agensi perlu bersama-sama kerajaan negeri merealisasikan hasrat pembangunan tanah yang pesat untuk kebajikan rakyat dan perlu mengkaji semula prosedur bagi aktiviti usaha sama dengan syarikat swasta supaya objektif pembangunan dapat dirancang dengan sempurna dan memberi pulangan yang terbaik.

    “Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan pengurusan aktiviti tanah bagi tiga agensi di Melaka telah memberi pulangan dan hasil yang memuaskan selaras dengan objektif penubuhan agensi,” menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta

    Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta

    KETIDAKPATUHAN kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

    Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta melibatkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sementara itu, daripada RM104.79 juta kerugian wang awam, RM81.69 juta merupakan penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen manakala pembaziran RM4.79 juta melibatkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.

    “Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 29 syor, iaitu empat syor untuk pengesahan penyata kewangan dan 25 syor untuk pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian dan jabatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Bernama berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan melibatkan sejumlah RM899.44 juta telah dilaksanakan terhadap tiga kementerian dan lima jabatan Persekutuan meliputi aspek pengurusan kontrak berjumlah RM772.40 juta, perolehan kerajaan (RM54.8 juta ) dan kutipan hasil (RM72.24 juta).

    Sementara itu, dalam Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, Ketua Audit Negara menyatakan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2020 berjumlah RM879.560 bilion atau 62.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

    Hutang Persekutuan meningkat sebanyak RM86.562 bilion atau 10.9 peratus berbanding RM792.998 bilion atau 52.4 peratus pada tahun 2019.

    Menurut Ketua Audit Negara, sebanyak 50.4 peratus atau RM98.058 bilion daripada RM194.555 billion pinjaman baharu pada 2020 digunakan untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang telah matang.

    “Ini menunjukkan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membayar pinjaman matang dan penggunaan dana Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM8.265 bilion bagi pelunasan Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta dan Komitmen Jaminan,” katanya.

    Selain itu, sejumlah RM2.65 bilion digunakan untuk membayar perbelanjaan perkhidmatan sokongan hospital dan klinik di Kementerian Kesihatan serta penyenggaraan fasiliti di Kementerian Pendidikan yang sebelum ini dibayar menggunakan peruntukan belanja mengurus.

    “Dana Kumpulan Wang Pembangunan yang dibiayai melalui pinjaman sepatutnya digunakan untuk membiayai projek pembangunan fizikal yang menyumbang kepada pembentukan modal baharu yang boleh meningkatkan pembangunan Negara serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk menjana aktiviti ekonomi,” katanya.

    Sementara itu, hasil kerajaan Persekutuan merosot 14.9 peratus kepada RM225.075 bilion pada 2020 berbanding RM264.415 bilion tahun sebelumnya manakala perbelanjaan COVID-19 berjumlah RM38.019 bilion.

    Perbelanjaan mengurus pula merosot 14.7 peratus kepada RM224.6 bilion, iaitu penurunan sebanyak RM38.743 bilion berbanding tahun 2019 manakala perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM51.36 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM2.813 bilion atau 5.2 peratus berbanding RM54.173 bilion pada 2019.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM87.645 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada kadar 6.2 peratus, berbanding 3.4 peratus atau RM51.37 bilion pada 2019.

    Menurut kenyataan itu LKAN ini mengandungi tiga komponen utama iaitu pengesahan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun berakhir 31 Dis 2020, analisis kewangan Kerajaan Persekutuan dan pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhannya, penyata kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan bagi tahun berakhir 31 Dis 2020 dan rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

    Ia merupakan pembentangan LKAN kedua di Dewan Rakyat tahun ini selepas LKAN Tahun 2019 Siri 2 dibentangkan pada 28 Sept lepas dan hari ini juga, Jabatan Audit Negara memberi taklimat kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen berhubung isu-isu utama penemuan Audit.

    LKAN ini boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang http://www.audit.gov.my mulai 10.10 pagi ini manakala isu-isu dalam LKAN Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 pula akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) mulai pukul 11 pagi. – BERNAMA

  • Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

    Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

    KETIADAAN syarat keperluan Surat Berkelakuan Baik (LOGC) untuk mengesahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara.

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri Dua, pengurusan program MM2H juga didapati kurang cekap dan kurang berkesan dengan ketiadaan pangkalan data secara bersepadu dan kelemahan kawalan dalaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

    “Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada LOGC disertakan bagi 107 tanggungan yang dibawa oleh 59 peserta kerana peraturan tidak menetapkan LOGC perlu dikemukakan bagi tanggungan yang dibawa peserta dan tiada kaedah lain ditetapkan bagi mengesahkan tanggungan adalah bebas daripada salah laku jenayah di negara asal,” menurut laporan itu.

    Semakan Audit turut mendapati peraturan atau prosedur yang tidak jelas menyukarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program.

    “Selain itu, syarat minimum pendapatan tetap luar negara berjumlah RM10,000 sebulan tidak pernah dikaji semula sejak Program MM2H dimulakan pada 2002. Pengakuan tahap kesihatan pemohon Program MM2H yang tidak selari mengundang risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya.

    “Anak peserta pula menikmati kelayakan sebagai tanggungan walaupun telah berumur melebihi 21 tahun kerana peraturan yang tidak seragam,” menurut laporan itu.

    Kelemahan lain adalah ketidakpatuhan terhadap peraturan Program MM2H apabila terdapat peserta dan tanggungan kepada peserta bekerja di Malaysia dan ketiadaan punca kuasa menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat atau ejen tidak dapat dilaksanakan.

    “Ketidakberadaan peserta dalam tempoh yang lama dalam negara menyebabkan objektif Program MM2H untuk peserta tinggal dan hidup mewah di Malaysia tidak tercapai,” menurut laporan itu.

    Bagaimanapun, secara umumnya pencapaian penyertaan MM2H bagi tempoh 2015 hingga September 2019 adalah baik iaitu seramai 21,292 peserta berbanding sasaran ditetapkan seramai 17,500 orang.

    Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan Program MM2H MOTAC mencapai objektif yang ditetapkan, adalah disyorkan MOTAC dan JIM mengambil tindakan penambahbaikan.

    “Koordinasi antara MOTAC dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

    “MOTAC perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap isu Audit yang dibangkitkan serta mengambil kira dapatan Kajian Impak dan Keberkesanan Program MM2H sebelum program ini diaktifkan semula untuk kekal relevan atau realistik dengan perkembangan semasa serta memberi penekanan kepada keselamatan negara,” menurut laporan itu.

    Laporan itu memaklumkan MOTAC, JIM dan Jawatankuasa Pemandu MM2H perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling atau garis panduan Program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh.

    Selain itu, kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan prosedur atau standard yang ditetapkan JIM dan Kementerian Kesihatan.

    Di samping itu, laporan berkenaan turut mengesyorkan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dikuatkuasakan dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan yang lebih berkesan. – BERNAMA

  • mySalam diperkenalkan PH ada kelemahan tadbir urus

    mySalam diperkenalkan PH ada kelemahan tadbir urus

    SKIM Perlindungan Masyarakat (mySalam) yang diperkenalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dikesan mempunyai beberapa kelemahan dari segi urusan tadbir urus akaun amanah persendirian.

    Teguran itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 Aktiviti Kementerian Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

    “Secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan dapat dirumuskan bahawa skim mySalam telah memberikan perlindungan takaful/ gantian pendapatan kepada golongan B40 terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital.

    “Bagaimanapun, tadbir urus akaun amanah persendirian tidak memperuntukkan kawalan dalaman yang mencukupi dan mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi menjamin akauntabiliti dan ketelusan pelaporan,” jelas laporan itu.

    Menurut laporan berkenaan, kelemahan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

    • Klausa semasa di bawah Arahan Amanah mySalam adalah tidak lengkap dan tidak mencukupi iaitu tidak menyatakan dengan jelas mengenai peranan MoF dan keperluan pelaporan kepada Jemaah Menteri, Parlimen serta pihak berkepentingan;
    • Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memperincikan mengenai bidang dan had kuasa Lembaga Pemegang Amanah (LPA) juga tidak diwujudkan;
    • Peluasan skim mySalam dilaksanakan tanpa meminda Arahan Amanah mySalam;
    • Pelantikan pengendali takaful mySalam tidak dibuka kepada syarikat insurans tempatan lain menyebabkannya tidak mendapat peluang manfaat ekonomi daripada pelaksanaan skim mySalam; dan
    • Pengaturan takaful semula yang melibatkan kos yang tinggi adalah tidak munasabah kerana tidak dijalankan kajian menyeluruh.

    Untuk rekod, skim tersebut mula diperkenalkan pada 2 November 2018 semasa ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

    MySalam merupakan skim insurans takaful yang memberikan penggantian separa pendapatan terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital.

    Penerima yang layak mendapat manfaat daripada skim ini adalah 4.3 juta individu B40 dan pasangan mereka yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Syarat lain yang ditetapkan adalah warganegara yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun.

    Sumber dana skim berkenaan adalah daripada sumbangan RM2.37 bilion oleh syarikat bernombor pendaftaran 199903008M di mana sumbangan dana tersebut merupakan penyelesaian pilihan alternatif oleh syarikat insurans asing yang perlu melupuskan 30 peratus daripada pegangan saham asing kepada pelabur tempatan.

    Sehingga akhir tahun 2020, terdapat tujuh syarikat insurans asing yang perlu melupuskan 30 peratus pegangan saham asing.

    Skim itu dilaksanakan bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2019 hingga 2023.

    Syarikat 916257-H yang merupakan anak syarikat kepada syarikat 199903008M dilantik sebagai pengendali takaful awal bagi skim mySalam.

    Laporan berkenaan turut mengesyorkan tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan mengelak berulangnya perkara yang sama pada masa akan datang.

    “Kementerian Kewangan/ LPA mengambil langkah untuk mengakaunkan dana mySalam yang berjumlah RM2.370 bilion ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan dan menubuhkan Akaun Amanah Kerajaan (Seksyen 9, Akta 61) bagi mengendalikan dana tersebut.

    “Kementerian Kewangan bertindak untuk memperkemaskan klausa Akaun Amanah mySalam bagi memastikan wujud tadbir urus, akauntabiliti dan pemantauan yang jelas dalam pengurusan dana mySalam.

    “Selain itu, mengadakan SOP dengan memperincikan bidang dan had kuasa LPA yang dinyatakan dalam Arahan Amanah akan memperkemaskan tadbir urus mySalam,” jelasnya.

  • LKAN 2019 Siri 2: 17 pengauditan, 62 syor penambahbaikan

    LKAN 2019 Siri 2: 17 pengauditan, 62 syor penambahbaikan

    SEBANYAK 17 pengauditan prestasi bernilai RM90.635 bilion dilaksanakan sempena Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 melibatkan program, aktiviti dan projek di 13 kementerian dan 62 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    Jabatan Audit Negara (JAN) juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 21 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 26 jabatan dan 10 agensi kerajaan negeri serta 11 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri bagi laporan itu.

    Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan mengenai LKAN 2019 Siri 2 itu berkata, sebanyak 130 syor telah dikemukakan iaitu 88 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh jabatan dan agensi negeri serta 42 syor oleh syarikat kerajaan negeri yang berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini terdiri daripada 15 naskhah yang melibatkan LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2019 Siri 2 bagi Aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

    Nik Azman berkata pengauditan prestasi dijalankan selaras dengan Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 serta berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh The International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

    Pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti, projek dan program kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek tersebut telah tercapai, katanya.

    “Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai terbaik untuk wang,” katanya.

    Mengenai 17 pengauditan prestasi di kementerian, beliau berkata sebanyak tujuh pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, lima melibatkan kategori projek, tiga sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan satu pengauditan masing-masing untuk kategori perolehan dan penyenggaraan.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif yang ditetapkan.

    Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakakuran serta kelemahan dalam pengurusan aktiviti, projek dan program yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya untuk menghasilkan output, keberhasilan dan impak seperti yang diharapkan.

    Nik Azman berkata, LKAN 2019 Siri 2 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan mengandungi hasil pengauditan terhadap tujuh syarikat kerajaan Persekutuan.

    Beliau berkata, secara keseluruhannya, lima syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat manakala dua syarikat masih belum mencapai objektif penubuhan sepenuhnya.

    “Bagi amalan tadbir urus korporat yang baik, satu syarikat di tahap yang baik, lima syarikat di tahap memuaskan dan satu syarikat kurang memuaskan.

    “Bagi penilaian terhadap kedudukan kewangan, lima syarikat berada pada tahap stabil manakala dua syarikat menunjukkan kedudukan kewangan yang kurang stabil,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak 41 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    LKAN Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan bagi 2019 Siri 2 dan LKAN 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

    Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my.

    LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

    Isu-isu LKAN 2019 Siri 2 juga akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) selepas dibentangkan pagi ini.

    Sementara itu, Nik Azman berkata, LKAN 2019 Siri 2 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas, namun tidak dapat dibentangkan setelah sidang Dewan Rakyat tidak dapat diadakan seperti jadual asal berikutan Pengisytiharan Darurat pada 12 Jan lepas.

    “Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, namun nilai penemuan audit yang dilaporkan dalam LKAN berkenaan masih relevan dalam menambah baik pengurusan aktiviti, projek dan program oleh kementerian, jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

    JAN juga telah menambah baik persembahan LKAN pada kali ini dengan menyediakan Ringkasan Penemuan Audit secara infografik bagi merumuskan hasil pengauditan secara keseluruhannya. – BERNAMA