Tag: KWSP

  • PH-UMNO cuba bunuh karakter Noorazlan, dakwa Wan Saiful

    PH-UMNO cuba bunuh karakter Noorazlan, dakwa Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Pakatan Harapan dan UMNO cuba “membunuh karakter” Noorazlan Ismail yang dilaporkan berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini bagi menggesa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Katanya, ia dapat dilihat apabila terdapat dakwaan bahawa perjalanan Noorazlan, 49, itu telah diatur oleh beliau dan Perikatan Nasional (PN) untuk kepentingan politik.

    Menurutnya, beliau atau PN tidak menyusun apa-apa di belakang Norazlan kerana pemandu teksi itu berusaha berjalan kaki atas rancangan beliau sendiri.

    “Karakter rakyat marhaen pun diserang oleh kelompok ‘mahazalim 2.0’. Sebab itu saya katakan mereka ini antirakyat.

    “Terkini, mereka mahu membunuh karakter saudara Norazlan Ismail yang berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara, kononnya pergerakan Norazlan bukan perjuangan rakyat, sebaliknya disusun oleh saya dan PN.

    “Habis segala platform media, cybertroopers dan penulis pro PH-UMNO dipergunakan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Norazlan,” katanya menerusi entri di Facebook.

    Noorazlan dikatakan menempuh jarak perjalanan sejauh kira-kira 312km dari Plaza Tol Skudai dengan memakan masa enam hari iaitu antara 28 Mac hingga 3 April, sebagai usaha memohon kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP.

    Bagaimanapun, usahanya itu dipertikaikan oleh beberapa pihak yang antara lain membandingkan perjalanan pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein sejauh kira-kira 235km selama sembilan hari dari Taman Negara di Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu.

    Malah, ketika tiba di hadapan Istana Negara, dia kemudian “secara kebetulan” bertemu dengan Wan Saiful yang ke situ bersama beberapa NGO untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk isu yang sama.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful menuding jari kepada PH-UMNO yang menurutnya selama ini tidak mengendahkan tuntutan pengeluaran bersasar KWSP demi kepentingan rakyat yang memerlukannya.

    “Dalam isu Norazlan, yang silapnya ialah PH-UMNO. Apabila Norazlan umumkan dia mula berjalan, PH-UMNO terus bongkak dan tidak menghiraukan dia.

    “Kalau awal-awal PH-Umno sahut tuntutan rakyat ini, sudah pasti hari ini mereka tak perlu bunuh karakter Norazlan untuk damage control.

    “Berhentilah dari membunuh karakter Norazlan. Dia adalah pejuang rakyat yang tiada kepentingan peribadi atau politik. Takkanlah strategi pembunuhan karakter ini mereka nak gunakan terhadap orang politik sehingga ke peringkat rakyat marhaen?” tambahnya.

    Wan Saiful berkata, semua pihak perlu berhenti membunuh karakter Norazlan dan menghina lelaki itu.

    “Rakyat tahu mana yang baik, mana yang buruk. Norazlan adalah salah satu mata rantai dalam rantaian perjuangan rakyat yang mahukan kehidupan lebih baik. Hentikan bunuh karakter Norazlan dan hentikan hina dia,” katanya.

    Pada 3 Apr, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata antara faktor kerajaan tidak membenarkan permohonan pengeluaran KWSP secara bersasar kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat terutamanya golongan yang berisiko seperti pencarum KWSP yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.

  • KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) yang mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap Yang di-Pertuan Agong dapat mendengar keluhan rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan mereka secara bersasar bukan bercagar.

    NGO itu ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Azmi Mohd Tahir yang mewakili NGO berkata, sebanyak 50,000 pencarum mengisi petisyen bantahan pengeluaran KWSP bercagar yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua hari.

    “Wang itu wang simpanan rakyat mengapa perlu dicagarkan, mengapa kami perlu berhutang dan bayar bunga pula sedangkan duit sendiri?,” katanya pada sidang media selepas selesai menyerahkan memorandum bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara di ibu negara, hari ini.

    Tegas Azmi, inisiatif itu hanya menambah beban hutang pencarum yang rata-rata mahukan pengeluaran bersasar untuk menyelesaikan hutang sedia.

    Menurutnya, pihaknya melihat isu terbabit sangat serius dan menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu secara bersasar kepada yang betul-betul memerlukan.

    Sehubungan itu, pihaknya berharap dengan penyerahan memorandum itu Yang di-Pertuan Agong dapat menasihati kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

    “Pencarum sangat-sangat terkesan, ini bukan perkara main-main. Kami akan terus desak kerajaan benarkan pengeluaran termasuk dari akaun satu.

    “Kalau pengeluaran akaun dua yang pasti buat pengeluaran bukan golongan M40 atau B40 tapi T20. Sebab golongan B40 dan M40 sudah tak ada baki dalam akaun dua. Mereka yang paling terkesan sebenarnya,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, inisiatif mencagarkan simpanan KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu kesempitan hidup rakyat.

    Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju jika inisiatif itu dilaksanakan oleh bank kerana ia dilihat hanya akan menambah hutang rakyat.

    “Kita tak setuju idea pinjaman bank ini. Kalau kerajaan bagi pinjaman menerusi agensi kerajaan yang ada kadar diskaun itu lain tapi yang ini komersial, konsepnya saya tak setuju.

    “Ini bukan pengeluaran tapi pinjaman, buatnya pencarum tak mampu bayar balik? Sudahlah pencarum dalam kesusahan.

    “Kalau dia tak mampu bayar pinjaman itu sudah habis hilang pula duit simpanan KWSP dia,” tambahnya lapor Harian Metro.

  • Perjuangan KWSP Noorazlan dibawa ke Parlimen, kata Hamzah

    Perjuangan KWSP Noorazlan dibawa ke Parlimen, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan membawa misi perjuangan pemandu teksi, Noorazlan Ismail ke Parlimen dengan harapan ia akan mendapat perhatian kerajaan.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, misi murni Noorazlan yang berjalan kaki dari Tol Skudai Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan agar pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar dibenarkan perlu disokong semua pihak.

    “Insya-Allah perjuangan murni saudara Noorazlan ini akan kami bawa ke Parlimen dan Perikatan Nasional akan terus bersuara hingga pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan,” katanya dalam satu entri di Facebook miliknya.

    Dalam hantaran itu Hamzah turut berkongsi video perbualannya bersama Noorazlan yang antara lain menyatakan alasan di sebalik misi berjalannya itu.

    “Dalam menahan sebak, Noorazlan beritahu dia mengambil keputusan berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan haknya agar dibenarkan pengeluaran simpanan KWSP demi anak-anaknya.

    “Allahuakbar. Sedih dan sebak saya dengar luahan hati saudara Noorazlan. Dia benar-benar terdesak dan perlukan duit simpanan KWSP demi keluarganya,” kata Hamzah.

    Hamzah berkata, beliau juga telah meminta ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub membantu Noorazlan yang kini mengalami kesakitan di kaki akibat melecet teruk kerana perjalanan yang lama.

    Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu turut menyindir pihak tertentu yang telah banyak berubah selepas mendapat kuasa.

    “Kami bukan seperti orang tu. Dulu kononnya dialah pejuang rakyat tetapi bila dah berkuasa suara hati rakyat sudah tak dipedulikan.

    “Ketika dia susah, dia suruh rakyat turun ke jalanan tetapi apabila rakyat sedang susah hingga terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer demi menuntut pengeluaran KWSP, dia boleh berlakon berlari-lari di Parlimen,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Kos haji: Pas cadang kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

    Kos haji: Pas cadang kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

    BAGI menampung kenaikan kos haji pada ketika ini, Pas mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melebihi RM3,000 kepada pencarum yang layak .

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangkan.

    “Pas menyedari akan faktor-faktor luar kawal dan luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyebabkan kenaikan kos mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini yang dijangka lebih dari RM31,000 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM28,632.

    “Pas juga menyedari bahawa kerajaan akan menanggung penuh kenaikan kos haji bagi golongan B40, manakala golongan M40 perlu membayar tambahan RM3,000 sementara golongan T20 pula perlu melunaskan sendiri bayaran penuh kenaikan kos haji ini.

    “Oleh yang demikian, melalui sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin, Pas telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Agama untuk mengurangkan bebanan kenaikan ini kepada bakal Dhuyufurrahman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut laporan Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, Pas selain itu Pas mahu Kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada golongan T20 yang turut terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kerajaan tidak menggunakan kaedah pukul rata kepada golongan T20. Kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan bantuan kepada golongan ini juga berdasarkan kepada faktor-faktor berkait seperti bebanan kewangan, lokaliti dan kos sara hidup,” katanya.

    Beliau menambah, Pas sehubungan itu berharap Menteri Agama, Datuk Mohd Nai’im Mokhtar mengambil maklum cadangan yang diberikan dan dibincangkan di peringkat kementerian bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang terbabit.

  • KWSP: Cadangan Anwar tidak bijak, Gerakan saran skim pinjaman ahli memerlukan

    KWSP: Cadangan Anwar tidak bijak, Gerakan saran skim pinjaman ahli memerlukan

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan caruman ahli dijadikan cagaran pinjaman bank sebagai tidak bijak.

    Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana pengeluaran wang simpanan KWSP adalah hak ahli bukannnya hak kerajaan.

    Sebaliknya beliau mencadangkan KWSP mewujudkan skim pinjaman khas untuk ahlinya yang memerlukan untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.

    Menurutnya, KWSP boleh mengenakan kadar faedah lebih rendah kepada peminjam dalam skim itu berbanding bank.

    “Jika membuat pinjaman daripada bank, ia akan memberi lebih masalah kepada ahli KWSP kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Dominic berkata, menerusi langkah itu KWSP juga dapat memberi faedah kepada pencarum dalam bentuk dividen termasuk kepada ahli yang membuat pinjaman.

    Dominic berpendapat, selain itu wang simpanan pencarum KWSP tidak akan terjejas kerana pinjaman perlu dibayar balik dan KWSP boleh memanfaatkan faedah yang diperoleh daripada pencarum KWSP melalui dividen tahunan.

    Katanya, jika pencarum menggunakan wang simpanan mereka untuk membayar pinjaman bank, ahli KWSP juga perlu membayar kadar faedah yang ditetapkan oleh bank.

    “Ini boleh diumpama seperti membuat pinjaman dengan ceti haram. Kenapa jadikan wang simpanan KWSP sebagai cagaran? Itu hak rakyat bukan duit kerajaan atau bank,” katanya.

    Beliau berkata langkah itu juga akan menambahkan lagi beban kewangan rakyat kerana terpaksa bayar faedah pinjaman.

    “Ini (cagaran wang KWSP) bukan membantu tapi menyusahkan dan menambah hutang rakyat,” katanya.

  • PN cadang KWSP bersasar bantu golongan sangat memerlukan

    PN cadang KWSP bersasar bantu golongan sangat memerlukan

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kepada golongan yang memerlukan dengan mencari satu mekanisme yang sesuai.

    Ketua pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini bagi memastikan, hanya golongan yang benar-benar layak sahaja sahaja yang dapat mengeluarkan caruman itu demi meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ada pencarum yang mencarum KWSP secara suka rela…sebagai contoh sebelum pendemik dia ada kedai dan perniagaannya maju. Dia buat simpanan (KWSP) dan dia beli rumah, namun selepas tiga tahun semasa pandemik, pendapatan dia sudah berbeza berbanding zaman dia mencarum.

    “Sekarang dia minta untuk keluarkan duit sebab sudah enam bulan tak bayar hutang rumah dan bank hendak lelong rumahnya. Jika kita tidak bantu orang seperti ini, apa yang akan terjadi? 

    “Rumahnya akan dilelong dan apabila dia hendak beli semula  aset itu setahun atau dua tahun akan datang, saya rasa amat susah sekali. Sebab tu saya minta sangat kerajaan untuk mecari mekanisme untuk tujuan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

    Selain itu, Hamzah meminta kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera yang bergadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara, namun hanya menerima pencen RM500 sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan pada 2013.

    Pada masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Jabatan Warga Emas seiring Malaysia menuju ke arah negara menua, yang membolehkan golongan berkenaan menyertai tenaga kerja bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ketika ini .

    “Kalau boleh kita gunakan lagi mereka sebagai tenaga kerja dan cara membayarnya, tak payah ikut gaji minima tapi menggunakan model baharu,” katanya. – BERNAMA

  • KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

    KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjadi organisasi dan institusi tabung amanah yang paling dipercayai rakyat Malaysia bagi tahun lalu.

    Berdasarkan kajian terbaharu oleh Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), KWSP meraih 76 mata dalam indeks kepercayaan, manakala Petronas 72 mata.

    Pengarah Bersekutunya, Lars Erik Lie berkata, tahun 2022 menyaksikan pandemik yang melanda dunia sebelum ini semakin kurang membimbangkan orang ramai.

    “Kerisauan tersebut kini beralih kepada isu inflasi, kos sara hidup dan kenaikan kadar faedah yang menyebabkan peralihan kepada fasa pasca pandemik berlangsung dalam keadaan kurang lancar daripada jangkaan dan harapan pada peringkat permulaan.

    “Bagaimanapun, di tengah-tengah ketidaktentuan ini, tahap kepercayaan penduduk Malaysia terhadap syarikat dan institusi didapati kekal teguh pada 2022.

    “Sama seperti tahun sebelumnya, tahap kepercayaan kepada syarikat dan agensi-agensi pengawal selia secara khususnya kekal utuh, menyaksikan KWSP dan Petronas menduduki dua tangga teratas sebagai entiti yang paling dipercayai di Malaysia,” katanya menerusi laporan Ipsos, hari ini lapor Sinar Harian.

    Kajian sama menunjukkan Nestle, Laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Petron merupakan nama-nama baharu dalam lima kedudukan teratas bagi 2022.

    Nestle dan PLUS berkongsi mata sama iaitu 71 mata, manakala 70 mata dicatatkan oleh Petron.

    Ujar Erik Lie, pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan orang ramai mula keluar berjalan, sekali gus menyumbang pada peningkatan tahap interaksi antara kumpulan pengguna dan jenama-jenama seperti Plus dan Petron.

    Sementara itu, jelasnya, syarikat yang menghasilkan barang pengguna cepat laris (FMCG) mencatatkan peningkatan kepercayaan dalam tempoh setahun yang lalu walaupun barangan pengguna mengalami kenaikan harga.

    “Situasi ini menunjukkan orang ramai faham bahawa kenaikan harga barangan berlaku kerana kuasa makro yang berada di luar kawalan syarikat-syarikat tersebut,” kata beliau.

    Tambahnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mewarnai liputan media pada tahun lalu juga menyumbang kepada pengiktirafan orang ramai terhadap sektor media dengan mencatatkan lonjakan kepercayaan tertinggi pada 2022.

    Kajian sama merekodkan tahap kepercayaan terhadap sektor kewangan adalah sederhana, meskipun ia mencatatkan peningkatan kecil berbanding 2021.

    “Kenaikan kadar faedah berterusan yang berlarutan sehingga ke 2023 sama sekali tidak membantu situasi ini,” ujarnya.

    Kajian kepercayaan Ipsos melibatkan 6,000 responden yang ditemu bual secara bersemuka mewakili seluruh pelusuk negara.

  • Pemimpin UMNO main wayang isu i-Citra KWSP – Pemuda Pas

    Pemimpin UMNO main wayang isu i-Citra KWSP – Pemuda Pas

    SEGELINTIR pemimpin UMNO dilihat cuba bermain wayang apabila seringkali berkeras mengatakan keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kali kedua adalah keputusan terdesak Perdana Menteri.

    Menurut Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tiada hasrat untuk menbenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua.

    “Bagaimana ada sebahagian pemimpin UMNO berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Beliau merujuk kepada kenyataan yang pernah dikeluarkan Perdana Menteri pada 26 Disember tahun lalu berkenaan isu berkenaan.

    Dalam kenyataan itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

    “Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari UMNO sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang,” soal Ahmad Fadhli lagi.

    Tegasnya lagi, beri ruang selesa kepada Perdana Menteri untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan.

    “Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata,” ujarnya.

  • Jangan beri laluan mudah pengeluaran wang KWSP – Anwar

    Jangan beri laluan mudah pengeluaran wang KWSP – Anwar

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh diberi laluan secara mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.

    Beliau berkata, daripada memberi kebenaran mengeluarkan KWSP apabila bencana menimpa negara khususnya banjir, kerajaan boleh menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa.

    “Ada pandangan bahawa perlu beri kelonggaran bagi pencarum mengambil wang mereka sendiri… tetapi saya cenderung walaupun (pandangan) tidak popular, kita tidak boleh beri laluan mudah kerana wang ini yang sedikit adalah untuk menjamin masa depan mereka.

    “… dan ini kumpulan agak miskin, kalau diambil wang (KWSP) ini, dalam tempoh lima, enam tahun selepas bersara tidak ada jaminan keselamatan hidup mereka dan keluarga,” katanya ketika perbahasan mengenai bencana banjir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata, kerajaan seharusnya menyalurkan bantuan kewangan tambahan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi mengurangkan beban golongan yang terjejas banjir.

    Anwar turut mencadangkan supaya kerajaan menghentikan sementara pembalakan termasuk yang telah diluluskan sehinggalah kajian berkaitan risiko aktiviti tersebut selesai dijalankan bagi mengelak kawasan tadahan hujan terjejas.

    “Janganlah beri kelulusan baharu pembalakan tanpa mengira kedudukan, darjat, pengaruh politik. Kalau ada ketegasan, Parlimen akan beri sokongan penuh tanpa kira siapa,” katanya. – BERNAMA

  • Tidak boleh bergantung pengeluaran KWSP setiap kali bencana

    Tidak boleh bergantung pengeluaran KWSP setiap kali bencana

    Oleh SITI ALYA NADIAH ISMAIL

    PENGELUARAN i-Citra RM10,000 wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini bukan satu jalan penyelesaian yang baik untuk mangsa-mangsa banjir, kata pakar berkaitan kewangan.

    Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengeluaran KWSP akan menyebabkan simpanan persaraan pada hari tua berkurang.

    Beliau berkata, purata umur rakyat di negara ini adalah 75 tahun dan sekiranya mereka bersara pada umur 55 tahun, mereka akan mempunyai 20 tahun lagi untuk hidup sebagai pesara.

    “Dalam 20 tahun itu memerlukan RM1,000 untuk keperluan bulanan, maka simpanan mereka kena ada RM240,000. Tapi apa yang berlaku sekarang, secara purata, pencarum KWSP hanya mampu RM42 sahaja sebulan berdasarkan purata simpanan pencarum sekarang,” katanya ketika dihubungi.

    Ahmed Razman berkata, tidak semua pencarum akan menikmati manfaat daripada kebenaran mengeluarkan dana RM10,000 memandangkan lebih kurang 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada masa ini.

    Isu pengeluaran khas i-Citra RM10,000 secara sekali keluar itu kembali hangat diperkatakan apabila terdapat beberapa pihak mendesak kerajaan mempertimbangkan pengeluaran itu untuk meringankan beban mereka yang terjejas dalam musibah banjir.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP bagi kali kedua berikutan kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk kewangan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.

    Selain bantuan wang ihsan RM1,000, kerajaan turut memberikan baucar tunai bernilai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik, pemberian diskaun dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan dalam banjir dan bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.

    Bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000 dan bagi rumah yang musnah, peruntukan sehingga RM56,000 untuk setiap unit rumah yang dibina baharu.

    Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan wang tunai RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

    KWSP dalam kenyataan baru-baru ini pula menyebut skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

    Menurut KWSP, walaupun skim pengeluaran itu memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik COVID-19 dan PKP, ia menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

    Senada dengan pendapat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari berkata, pengeluaran wang simpanan untuk hari tua itu tidak boleh dijadikan sebagai satu kebiasaan untuk dikeluarkan setiap kali dilanda bencana.

    Beliau berkata, rakyat melihat bencana banjir sebagai peluang mengeluarkan wang simpanan KWSP dan sekiranya ia menjadi kebiasaan, pengeluaran itu akan dilakukan secara berterusan menyebabkan simpanan rakyat semakin berkurang pada masa depan.

    “Kalau biasa gunakan peluang untuk keluarkan KWSP itu, nanti umur sudah 60 tahun nak guna bantuan daripada mana lagi kalau sudah tidak ada simpanan dalam KWSP untuk pengeluaran jika sentiasa guna ketika kecemasan.

    “Kita faham orang yang terlibat (banjir), nak (guna) duit untuk teruskan kelangsungan hidup, jadi kalau nak jadikan KWSP satu-satunya punca untuk meneruskan kelangsungan, jika (individu) ada RM1,000 (dalam KWSP) nak bagi RM500? Jumlah itu mungkin boleh beli makanan untuk sebulan kemudian bulan seterusnya kita masih perlukan (duit),” katanya. – BERNAMA