Tag: KPM

  • Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    MURID digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan untuk mereka berdepan dengan dunia yang penuh persaingan pada masa kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

    Beliau berkata mereka yang menguasai banyak bahasa dengan baik mempunyai kelebihan berbanding yang lain kerana dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini, setiap bahasa itu memainkan peranan. 

    “Pada masa yang sama kita juga perlu ingat bahawa dunia sekarang ini luas saingannya, sebab itu secara asasnya sesiapa yang menguasai bahasa dengan baik mereka mempunyai kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan KPM 2022 di sini hari ini.

    Radzi pada masa sama berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga perlu dimartabatkan kerana dalam konteks negara ia adalah untuk pembangunan, manakala dalam konteks kemasyarakatan bahasa kebangsaan diletakkan sebagai tunjang perpaduan. 

    Katanya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan bahasa asas kepada rakyat negara ini dan sesuatu yang merugikan jika tidak ditingkatkan penguasaannya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), pihaknya sentiasa menekankan berkaitan penggunaan bahasa yang terbaik apabila bercakap tentang komunikasi polisi dan dasar. 

    “Bukan sahaja dalam konteks penulisan, tetapi penyampaian lisan juga kita berikan keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini bila diterjemah atas penulisan, ia dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya,” katanya. 

    Radzi berkata KPM juga sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif seperti aktiviti penulisan dokumen rasmi kerajaan, pertandingan melafazkan pantun, bicara berirama dan nyanyian lagu puisi, selain menjalin kerjasama dengan pihak luar untuk mengasah bakat penulisan dan sayembara puisi dalam kalangan pelajar. – BERNAMA

  • KPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat

    KPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mencari pendekatan untuk menyelesaikan isu kantin di sekolah dengan jumlah pelajar yang ramai, sehingga sesetengah sekolah terpaksa menjadualkan lima sesi waktu rehat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata sekolah dengan jumlah murid yang ramai, tidak dapat menampung bilangan murid yang datang secara serentak dan memerlukan beberapa sesi, sehingga ada sesetengah sekolah yang terpaksa melaksanakan sesi rehat sebanyak lima kali.

    Bercakap kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini, Radzi berkata situasi tersebut terjadi kerana sekolah yang mengalami kepadatan murid tetapi kantinnya hanya mampu menampung kapasiti asal, yang ruangnya tidak ditingkatkan selari dengan peningkatan kapasiti murid.

    “Ada sekolah sebab kantin tidak dapat memenuhi keperluan untuk menempatkan murid sewaktu masa rehat maka sesi rehat dilaksanakan antara tiga hingga lima kali, menyebabkan waktu rehat di sesetengah sekolah bermula terlalu awal pada pukul 8.30 pagi. Kalau terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang,” katanya.

    Ditanya jika KPM akan mempertimbangkan kebenaran murid makan dalam bilik darjah terutama mereka yang membawa bekal dari rumah, Radzi berkata perkara itu memerlukan pemantauan yang menuntut penggunaan sumber manusia.

    Katanya kaedah itu pernah dilaksanakan sewaktu pandemik COVID-19 sedang memuncak, namun isu kantin itu memerlukan satu penyelesaian menyeluruh dan kekal untuk menangani situasi berkenaan. – BERNAMA

  • KPM perlu jalin kerjasama dengan kumpulan pelbagai latar belakang

    KPM perlu jalin kerjasama dengan kumpulan pelbagai latar belakang

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mestilah bekerjasama dengan pelbagai kumpulan sokongan bagi memastikan kemajuan sistem pendidikan negara, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata sektor pendidikan tidak seharusnya mendiskriminasi berdasarkan latar belakang, supaya lebih banyak bilangan dan kepelbagaian idea boleh dimanfaatkan untuk menambah baik sektor itu.

    “Ketika ada sesetengah orang yang mengatakan pendidikan kita ke belakang, saya terus mengatakan bahawa kita tidak ke belakang, tetapi kita dalam keadaan stagnant (tiada pergerakan) untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Kami sebagai satu kementerian tidak boleh melakukannya sendiri. Kami memerlukan sokongan dari semua pihak di luar sana yang mahu bekerjasama dengan kami,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Teach for Malaysia (TFM) Ke-10, di sini hari ini.

    Radzi berkata TFM telah melaksanakan usaha yang baik untuk 10 tahun ini dengan mewujudkan kerjasama dengan 893 sekolah di setiap negeri dengan merekrut, melatih dan menempatkan ratusan guru di sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

    Beliau berkata terdapat lebih lima juta pelajar di seluruh negara melibatkan kira-kira 10,000 buah sekolah dengan lebih 500,000 orang guru yang membentuk ekosistem pendidikan yang kompleks.

    “Kami (pihak kementerian) mempunyai sekolah dari Perlis ke Sabah, di kawasan luar bandar dan bandar serta kawasan terpencil dan kami mempunyai guru dari semua latar belakang,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas TFM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz menzahirkan kegembiraan baginda terhadap kemajuan yang telah dicapai organisasi itu, yang telah berkembang sebagai satu gerakan dengan 474 orang pemimpin kompeten yang berusaha ke arah menamatkan ketidaksamaan pendidikan.- BERNAMA

  • JPN, PPD tak boleh minta data markah PBD murid dari guru

    JPN, PPD tak boleh minta data markah PBD murid dari guru

    JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak boleh lagi meminta data pemarkahan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari guru-guru, susulan pelaksanaan sistem perekodan data yang dijangka bermula hujung tahun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata sistem perekodan data itu, yang merupakan satu platform untuk guru-guru memasukkan markah PBD pelajar Tahun Empat, Lima, Enam dan Tingkatan Satu, Dua, Tiga, bakal meringankan tugas guru kerana tidak perlu memasukkan data yang sama berulang kali, dalam sistem yang berlainan.

    “Antara cabaran utama yang kita terima apabila guru-guru sampaikan pada kita (ialah) apabila masukkan markah PBD, perlu masukkan mengikut templat yang disediakan di peringkat sekolah, kemudian PPD pula minta supaya dimasukkan dalam sistem mereka, selang sekejap, JPN pula minta supaya dimasukkan ke dalam sistem mereka juga.

    “Cikgu jadi kecewa bila nak kena masukkan benda yang sama berkali-kali,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata platform yang sedang dibangunkan itu akan membolehkan data pelajar hanya dikongsikan antara guru dan Kementerian Pendidikan (KPM) sahaja, namun PPD dan JPN masih boleh mendapatkan data tertentu dengan kebenaran

    Beliau berkata pelaksanaan sistem itu kelak dapat menambah kecekapan sistem pendidikan serta membolehkan supaya tugasan guru itu dapat ditingkatkan efisiensinya.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata melalui data yang dimasukkan ke dalam platform khas itu, KPM boleh mengenal pasti sekiranya sesebuah sekolah itu memerlukan intervensi dari kementerian.

    “Bila kita dapat data seluruh negara, kita boleh cerakinkan data ini mengikut negeri, PPD, kawasan dan sebagainya untuk kita lihat sekiranya perlu mendapat intervensi, katakanlah satu PPD ni, Bahasa Inggerisnya jauh ketinggalan dari yang lain, mungkin kerana tidak ramai guru Bahasa Inggeris di kawasan tersebut. 

    “Jadi kita boleh perincikan, cerakinkan mengikut keperluan kita.. melalui data tersebut membolehkan kita menyusun apakah intervensi yang bersesuaian,” katanya.

    Sementara itu, ditanya adakah KPM bercadang untuk mewujudkan satu silibus khusus berkaitan rasuah susulan cadangan beberapa pihak yang mahu perkara berkaitan rasuah dimasukkan dalam sistem pendidikan, Radzi berkata nilai-nilai moral telah diterapkan kepada pelajar melalui pelbagai mata pelajaran.

    “Apa paling pentingnya kita lihat dalam konteks yang ingin kita laksanakan kita sedar bahawa integriti, etika ini merupakan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam sistem pendidikan kita,” katanya. – BERNAMA

  • Lokar untuk murid Tahun 1 dan 2 dipasang akhir bulan ini

    Lokar untuk murid Tahun 1 dan 2 dipasang akhir bulan ini

    FASA satu pemasangan lokar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), akan dimulakan bermula akhir bulan ini sebagai satu daripada tujuh inisiatif kementerian menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah.

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, fasa satu inisiatif itu akan dilaksanakan di sekolah dua sesi, membabitkan murid Tahap Satu.

    Beliau berkata, pihaknya menjangkakan menjelang Oktober, perolehan untuk inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan ke sekolah yang disenaraikan dalam fasa satu itu.

    “Dalam fasa satu ini, kita pasang lokar untuk murid Tahun Satu dan Dua. Kita akan mula pasang lokar di sekolah pada penghujung bulan ni.

    “Jadi Oktober nanti, kita akan cuba ikhtiar supaya semua perolehan tu sampai dan dipasang di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus dengan Editor Kanan Media, di Putrajaya, hari ini.

    Mac lalu, Radzi menyenaraikan tujuh inisiatif meringankan beg sekolah iaitu penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari dan buku latihan tidak lebih dua buah serta buku teks digital.

    KPM turut menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan kelas agama fardu ain (KAFA).

    Terdahulu ketika menyampaikan taklimat, Radzi memaklumkan, kebanyakan majlis agama Islam negeri bersetuju untuk pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi kelas KAFA.

    “Murid-murid tidak perlu lagi bawa uniform sekolah KAFA,” katanya.

  • Semua sekolah diarah periksa tangki air, infrastruktur uzur

    Semua sekolah diarah periksa tangki air, infrastruktur uzur

    SEMUA sekolah di seluruh negara diarah melakukan pemeriksaan terhadap tangki air supaya insiden yang menimpa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor dekat Kelantan tidak berulang.

    Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon selain itu berkata, sekolah-sekolah juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua infrastruktur lain terutama yang sudah uzur.

    Beliau berkata, pihak sekolah juga diminta agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat binaan yang dirasakan tidak selamat atau berkemungkinan akan mengancam keselamatan murid.

    “KPM (Kementerian Pendidikan) memandang serius isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengambil tindakan perlu bagi menanganinya daripada berulang.

    “Namun yang utama ketika ini adalah untuk kita mengambil langkah-langlah pencegahan. Selepas itu, sekiranya berlaku insiden yang tidak dijangka, kita akan mengambil langkah seterusnya untuk menyiasat,” katanya dipetik Astro Awani sebagai berkata.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim di sini.

    Semalam media melaporkan sebuah tangki air di SMK Melor Kota Bharu, Kelantan telah pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki di situ.

    Insiden berkenaan telah mengakibatkan lima pelajar cedera yang mana dua daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Dalam pada itu, Hang Soon berkata KPM sentiasa menekankan aspek keselamatan murid dan pelajar terutama dalam kawasan sekolah.

    “Kita memandang serius dan amat menitikberatkan keselamatan anak-anak murid kita ini dan tindakan-tindakan sesuai telah diambil semua pihak.

    “Ini bagi memastikan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dapat kita lakukan dalam waktu terdekat,” tambahnya.

  • KPM tidak halang kehadiran pelajar tolak vaksin di sekolah

    KPM tidak halang kehadiran pelajar tolak vaksin di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan menghalang pelajar yang tidak mengambil vaksin COVID-19 daripada hadir di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan nanti.

    Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang menolak vaksin itu tetapi hanya sebilangan kecil kerana ibu bapa yang tidak bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.

    “Seseorang pelajar itu ada hak (untuk belajar dan datang ke sekolah). Tiada sebab untuk KPM menghalang mereka kembali ke sekolah (tanpa vaksin). Kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin tetapi ibu bapa yang tolak,” katanya pada sidang media khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bersama Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di sini hari ini.

    Beliau berkata KPM melalui pejabat pendidikan daerah (PPD) telah mengeluarkan arahan kepada sekolah di seluruh negara supaya pemberian janji temu bagi PICK Remaja dapat dipercepatkan untuk memastikan kejayaannya. 

    Katanya pelbagai kaedah akan diambil KPM untuk memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius COVID-19. 

    “KPM bersedia mengadakan hebahan membantu ibu bapa dan sekolah mencapai matlamat. KPM merancang untuk menghantar pelbagai bahan hebahan untuk membantu ibu bapa menerima maklumat yang betul supaya bersetuju membenarkan anak-anak menerima vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mah berkata prinsip yang dipegang kementerian itu adalah memastikan seramai mungkin pelajar menerima vaksin COVID-19 menerusi PICK Remaja dalam masa terdekat.

    Beliau berkata prinsip itu adalah seiring dengan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. 

    “KPM tidak memilih jurusan mana atau kumpulan mana tetapi lebih kepada pembukaan sekolah khusus Tingkatan 6 atau pelajar yang perlu kembali ke sekolah untuk membuat persediaan peperiksaan,” katanya.- BERNAMA 

  • Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

    Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

    TAHAP keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

    “Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar. 

    “51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini. 

    Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

    Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

    Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian. 

    Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.- BERNAMA 

  • KPM kerjasama dengan KKM, CITF bantu pendaftaran vaksinasi murid

    KPM kerjasama dengan KKM, CITF bantu pendaftaran vaksinasi murid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin berkata, ini termasuk mengenal pasti sekolah-sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid sekolah.

    “KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.

    “Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau bersama-sama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1), Putrajaya, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

    Dr. Radzi berkata, PICK Remaja adalah program vaksinasi untuk kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

    “Seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi program PICK Remaja ini.

    “Secara keseluruhan, terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara. Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun,” katanya.

    Katanya, sejurus tiba di sekolah, murid yang ditemani ibu bapa ataupenjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin.