SEMUA sekolah di seluruh negara diarah melakukan pemeriksaan terhadap tangki air supaya insiden yang menimpa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor dekat Kelantan tidak berulang.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon selain itu berkata, sekolah-sekolah juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua infrastruktur lain terutama yang sudah uzur.

Beliau berkata, pihak sekolah juga diminta agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat binaan yang dirasakan tidak selamat atau berkemungkinan akan mengancam keselamatan murid.

“KPM (Kementerian Pendidikan) memandang serius isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengambil tindakan perlu bagi menanganinya daripada berulang.

“Namun yang utama ketika ini adalah untuk kita mengambil langkah-langlah pencegahan. Selepas itu, sekiranya berlaku insiden yang tidak dijangka, kita akan mengambil langkah seterusnya untuk menyiasat,” katanya dipetik Astro Awani sebagai berkata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim di sini.

Semalam media melaporkan sebuah tangki air di SMK Melor Kota Bharu, Kelantan telah pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki di situ.

Insiden berkenaan telah mengakibatkan lima pelajar cedera yang mana dua daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Dalam pada itu, Hang Soon berkata KPM sentiasa menekankan aspek keselamatan murid dan pelajar terutama dalam kawasan sekolah.

“Kita memandang serius dan amat menitikberatkan keselamatan anak-anak murid kita ini dan tindakan-tindakan sesuai telah diambil semua pihak.

“Ini bagi memastikan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dapat kita lakukan dalam waktu terdekat,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here