Tag: KPM

  • Klang tidak dianaktirikan KPM, Radzi nafi dakwaan Ganabatirau

    Klang tidak dianaktirikan KPM, Radzi nafi dakwaan Ganabatirau

    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menafikan dakwaan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau bahawa kawasan itu dianaktirikan kerajaan terdahulu apabila tiada sekolah baharu dibangunkan dalam tempoh 20 tahun.

    Radzi menerusi kenyataan di Facebook beliau berkata, dakwaan Ganabatirau itu dibangkitkan semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam dan usahanya mencelah untuk memberikan penjelasan tidak diberikan ruang oleh Ahli Parlimen Klang berkenaan.

    “Tuduhan YB Klang bahawa kawasan tersebut dianaktirikan adalah tidak benar, khususnya sewaktu saya di KPM (Kementerian Pendidikan).

    “Untuk makluman YB Klang, ketika saya di KPM antara sekolah yang lulus di RP1-RMK12 dan RP2-RMK12 di Klang adalah SMK Kota Kemuning (2), Klang melibatkan pembinaan baharu 42 bilik darjah SK Bukit Raja, Klang bagi pembinaan baharu 36 bilik darjah dan SMK Meru (2), Klang bagi pembinaan baharu 42 bilik darjah,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut Radzi berkata, selain itu terdapat dua projek pembinaan bangunan baharu iaitu SK Pulau Indah, Klang melibatkan bangunan baharu 12 bilik darjah dan dewan terbuka dan SMK Meru, Klang melibatkan bangunan baharu yang mengandungi 8 bilik darjah PPKI dan kemudahan lain.

    Beliau menjelaskan, perancangan untuk projek-projek pembinaan sekolah baru sememangnya mengikut satu proses yang telus dan mengambil kira kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.

    “Tidak timbul isu menganaktirikan siapa-siapa. Saya percaya proses yang sama akan diteruskan oleh KPM pada masa akan datang,” tambahnya.

  • Hampir 45,000 permohonan pertukaran guru diluluskan dalam tujuh tahun

    Hampir 45,000 permohonan pertukaran guru diluluskan dalam tujuh tahun

    SEJUMLAH 44,960 permohonan pertukaran guru telah diluluskan pada 2016 hingga 2022, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

    KPM menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan penambahbaikan dalam melaksanakan urusan pertukaran guru telah dibuat dengan menyediakan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil. 7/2021 Pelaksanaan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional.

    “Turut dilampirkan bersama SPI ini ialah Garis Panduan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional KPM yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2022 yang menjelaskan perkara berkaitan Dasar Pertukaran Guru yang digunakan sebagai rujukan kepada pelaksanaan permohonan pertukaran guru,” katanya.

    Menurut KPM, peratus kelulusan bagi permohonan pertukaran guru pada 2022 meningkat kepada 41 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya setelah inisiatif penambahbaikan dilakukan.

    Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta KPM menyatakan jumlah pertukaran guru bagi 2016 hingga 2022 dan langkah penambahbaikan dilaksanakan KPM bagi meningkatkan kadar pertukaran guru. – BERNAMA

  • Mansuh pertandingan, sambutan tak beri impak antara 7 langkah KPM kurang beban guru

    Mansuh pertandingan, sambutan tak beri impak antara 7 langkah KPM kurang beban guru

    SEBARANG bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membeban tugas guru di sekolah dimansuhkan Kementerian Pendidikan (KPM).

    Sebagai contoh ialah, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik dan seumpamanya.

    Menurut KPM dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian, ia antara tujuh langkah pelaksanaan segera ke arah kesejahteraan guru.

    Enam langkah lain yang diumumkan ialah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.

    Turut ditekankan menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

    Kementerian juga membuka pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kepada individu selain guru.

    Ini termasuk penjawat awam yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

    Langkah lain ialah mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja.

    Menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat kementerian bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

    Kementerian juga memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

  • KPM tetap tidak iktiraf UEC, bukan keutamaan, kata Fadhlina

    KPM tetap tidak iktiraf UEC, bukan keutamaan, kata Fadhlina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tetap tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

    Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, malah melihat isu berbangkit tentang pengiktirafan UEC itu bukan keutamaan kementerian tersebut.

    Beliau berkata, pendirian teguh itu berlandaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

    “Sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di SMPC dan KPM tidak melihat isu berbangkit tentang perkara itu sebagai keutamaan.

    “Pendirian ini berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang sentiasa menjadi pegangan KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang mahu tahu pendirian KPM terhadap pengiktirafan UEC dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC.

    Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.

    Dalam konteks itu, beliau memaklumkan, SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 Akta 550.

    “Oleh yang demikian, KPM tiada obligasi untuk memperuntukkan atau menginstitusikan sebarang sumbangan modal atau sumbangan bantuan penuh kepada SMPC,” jelas beliau, lapor UtusanTV.

  • Video tular ibu dakwa terima wang BAP berbeza-beza disiasat

    Video tular ibu dakwa terima wang BAP berbeza-beza disiasat

    DAKWAAN seorang wanita yang menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dalam jumlah yang berbeza-beza akan disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).

    Menerusi kenyataan KPM memaklumkan, pihaknya telah menerima satu video yang tular dalam aplikasi TikTok tersebut.

    Menurutnya lagi, wanita berkenaan yang juga ibu kepada tiga orang anak belajar di sekolah sama mendakwa menerima jumlah bayaran BAP yang berbeza-beza.

    “KPM akan menyiasat perkara tersebut dengan kerjasama pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan.

    “Ini supaya tindakan yang tegas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Sementara itu, KPM turut memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga membuat aduan secara rasmi melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my.

    Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan melalui telefon sepanjang waktu pejabat beroperasi di talian 03-8884 6456.

    KPM katanya, akan memastikan semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan.

    Terdahulu, tular seorang wanita mempersoalkan tindakan seorang guru yang didakwa sengaja mengurangkan jumlah asal wang BAP.

    Berdasarkan rakaman video di TikTok itu, wanita berkenaan mendakwa guru tersebut tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP bagi tiga orang anaknya.

    Kerajaan memperuntukkan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini.

  • Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa agar tidak tunduk dengan beberapa tekanan oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), khususnya berhubung bank soalan Bahasa Melayu (BM) untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

    Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, KPM perlu kekal teguh dengan dasar yang menggunakan hanya satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk apa-apa subjek, khususnya yang berunsur pembentukan negara bangsa.

    Kata ahli Parlimen Machang itu, KPM juga perlu bersedia membantu dalam apa jua cara dalam memudahkan dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BM di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan.

    “Saya agak terkejut membaca keluhan Jiao Zong berhubung bank soalan Bahasa Melayu untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA). Alasan pertama ialah ianya bertentangan dengan prinsip pendidikan.

    “Alasan kedua pula waktu belajar subjek BM di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SRJK berbeza. Masa pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua tahap pertama dan tahap kedua BM di SK lebih 32 jam berbanding pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK.

    “Namun, persoalannya ialah mengapa perlu beza-bezakan soalan BM untuk SK dan SRJK walhal kurikulum pengajian bahasa di peringkat asas menuntut kepada silibus yang sama seperti yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan apakah Jiao Zong mempunyai matlamat tertentu sehingga menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan buku teks.

    “Apakah ada perbezaan prinsip dan matlamat pendidikan yang Jiao Zong perjuangkan sehingga menuntut kepada bukan saja perbezaan bank soalan malah buku teks yang berlainan?

    “Bukankah pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat asas adalah sama untuk semua pelajar di peringkat itu tidak kira di SK ataupun SRJK?
    Mengapa waktu pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK 32 jam lebih pendek berbanding SK?

    “Bukankah patut digandakan masa pengajaran dan pembelajaran BM agar penguasaan BM di kalangan pelajar SRJK menjadi lebih baik dan fasih?”, katanya.

    Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayshal mengingatkan Jiao Zong supaya akur dengan dasar KPM bahawa proses pendidikan di Malaysia turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan agama melalui penggunaan BM yang betul dan meluas.

    “Kita tidak boleh membeza-bezakan silibus yang ada kerana kita ingin melahirkan warganegara Malaysia yang punya kefahaman yang sama tentang negara bangsa Malaysia.

    “Keluhan Jiao Zong ini tidak membantu dalam usaha memupuk perpaduan nasional di peringkat paling asas iaitu peringkat persekolahan anak-anak kita.

    “Kita mahu lebih ramai pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih kerana ianya akan membantu keboleh pasaran para pelajar SRJK dan juga mengukuhkan usaha SRJK menjayakan perpaduan nasional,” tambahnya.

    Beliau mengulas kenyataan Jiao Zong berpendapat penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek BM bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

    Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

    Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk UASA bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

  • Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    MALAYSIA diyakini sedang bergerak seiring negara luar, dalam memberi ruang kepada anak muda untuk menyandang jawatan penting organisasi termasuk pentadbiran kerajaan.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata anak muda sewajarnya diberi peluang dan dididik sebaik mungkin agar wujud generasi atau pelapis berkaliber pada masa akan datang.

    “Apabila kita cakap tentang kepimpinan muda, setiap daripada kita perlu mainkan peranan dalam mengasuh anak-anak kita.

    “Kita mesti bina generasi baharu yang jauh lebih hebat daripada kita,” katanya pada forum bertajuk ‘Kecemerlangan Kepimpinan’ yang diadakan sempena Forum Eksekutif Muda Global 2022 anjuran Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

    Beliau berkata seorang pemimpin perlu jujur dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, sedia mendengar dan sedia untuk diajar, selain menyusun pandangan yang diterima mengikut keutamaan.

    Memberi contoh dalam mengemudikan Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, Radzi berkata beliau menggunakan pendekatan berstruktur yang akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kepada pelajar sekolah.

    “Perubahan adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua. Sebab itu pemimpin kena berani bawa perubahan tapi berasas, berani berdasarkan maklumat yang tepat dan objektif yang jelas,” katanya merujuk kepada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

    Katanya setiap perubahan yang dilakukan KPM, termasuk kedua-dua ujian itu, telah melalui pelbagai proses perbincangan teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan dan tidak dibuat secara tergesa-gesa seperti yang didakwa ramai pihak. – BERNAMA

  • KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

    “Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.

    “Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Pengetua dan Guru Besar sekolah menengah agama merakam gambar kenangan bersama Dr Radzi.

    Pada hantaran itu, beliau berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Subang Jaya malam tadi.

    Majlis itu turut disertai 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM.

    Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan, dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

    Menurutnya, mereka juga berperanan membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.

    “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) dan SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan).

    “Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan,” tambahnya.

  • KPM terus ikhtiar tambah baik infrastruktur pendidikan – Radzi

    KPM terus ikhtiar tambah baik infrastruktur pendidikan – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus berikhtiar menambah baik infrastruktur pendidikan bagi menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif kepada warganya.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini berikutan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk selenggara dan membaik pulih sekolah-sekolah KPM di bawah Bajet 2023.

    “Peruntukan ini meningkat RM250 juta berbanding RM850 juta tahun 2022.

    “Dengan ini, KPM akan dapat menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah,” katanya di Facebook hari ini.

    Ia sebagai reaksi beliau kepada pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, peruntukan untuk bangunan daif di sekolah yang ditingkatkan sebanyak RM454 juta kepada RM1.2 bilion juga antara ikhtiar KPM.

    Menurutnya, sudah menjadi tekad beliau agar isu bangunan daif di sekolah seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh.

    “Sewaktu mula menjejak kaki di KPM, saya bertekad agar isu bangunan daif di sekolah seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh.

    “Kita akan terus ikhtiarkan yang terbaik,” katanya.

    Sementara itu, Radzi meramakamkan ucapan tahniah kepada penduduk Cyberjaya apabila sebuah sekolah rendah baharu akan dibina di kawasan berkenaan.

  • Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    KERAJAAN menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.

    Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.

    “Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450,” katanya.

    Beliau berkata peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta.

     Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion dalam belanjawan Persekutuan pada 2023 berbanding RM52.6 bilion tahun ini.

    Selain itu, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala RM4 berbanding RM3 sebelum ini bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa pada bulan ini.

    Katanya, RM777 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.

    Tengku Zafrul turut mengumumkan RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah dengan RM1.1 bilion daripada jumlah itu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

    Beliau berkata RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah manakala 182 projek di Sarawak.

    Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, beliau memaklumkan kerajaan akan membina lima sekolah baharu dengan kos RM430 juta pada tahun depan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Sabah; SMK Dudong, Sarawak; Sekolah Kebangssan (SK) Paya Dusun, Terengganu serta SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor. – BERNAMA