Tag: Kompaun

  • Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    SEMPENA Hari Polis Ke-216, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pengurangan kadar kompaun dan saman sehingga 60 peratus bermula hari ini.

    PDRM berkata, tawaran itu diberikan kepada pesalah trafik tertakluk kepada saman terpilih sehingga 31 Mac ini.

    “Tawaran pengurangan kompaun saman trafik secara dalam talian sehingga 60 peratus tertakluk kepada saman terpilih melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara.

    “Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan termasuk kemalangan, bicara mahkamah, waran, kenderaan berat, memotong secara bahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, pengubahsuaian ekzos dan saman Op Selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Orang ramai yang mahu membuat bayaran boleh mendaftar MyBayar Saman dan tidak perlu beratur panjang di kaunter bayaran trafik.

    Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal https://mybayar.rmp.gov.my; Google playstore; Apple store dan Huawei Appstore.

  • Penganjur acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000

    Penganjur acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenakan kompaun berjumlah RM1,000 kepada penganjur majlis sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang semalam kerana didapati gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kompaun itu dileluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

    “Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

    “Sehubungan itu, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) bernilai RM1,000 telah dikeluarkan kepada pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Acara itu dianjurkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Berhubung kompaun yang dikenakan, Khairy memberitahu, ia merupakan jumlah maksimum yang boleh dikenakan selepas Ordinan Darurat diungkaikan di Dewan Negara, pada 8 Disember lalu.

    Untuk rekod, had kompaun ketika penguatkuasaan darurat adalah RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk organisasi.

    Dalam pada itu, Khairy berkata kaunter diskaun saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjadi antara tarikan utama pengunjung di acara sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia ditutup mulai petang ini.

    “Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

    “Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” katanya.

  • Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    GARA-gara gagal menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap semasa pemeriksaan pihak berkuasa, Polis Perak mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 terhadap beberapa individu di negeri ini.

    Ketua Polisnya, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun itu selepas individu terbabit gagal membuktikan mereka sudah lengkap dua dos vaksin untuk membolehkannya merentas daerah.

    “Individu terbabit turut tidak membawa telefon bersama bagi menunjukkan bukti lengkap dua dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, dalam satu kejadian berasingan, kompaun RM1,500 juga dikeluarkan kepada seorang individu yang makan di kedai makan tanpa lengkap dua dos vaksin.

    Menurutnya, sebanyak 14 kompaun berjumlah RM21,000 dikeluarkan bagi mereka yang merentas daerah tanpa kebenaran bermula 10 Ogos lepas.

    Ujarnya, selain itu sebanyak 78,703 permit daripada 80,473 permohonan diluluskan Polis Perak sejak 5 Julai sehingga 19 Ogos lalu.

    “Sebanyak 1,995 jumlah kompaun dikeluarkan mulai 5 Julai hingga 19 Ogos lalu,” tambahnya.

  • Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

    Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN ahli-ahli Parlimen pembangkang
    yang berhimpun di sekitar ibu negara semalam sewajarnya dikenakan kompaun.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, ia perlu memandangkan tindakan mereka itu secara jelas telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

    Oleh itu katanya, mereka yang terlibat patut diambil tindakan undang-undang dan dikompaun ekoran tidak mematuhi peraturan setelah berhimpun serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

    “Mereka yang melanggar peraturan, SOP dan tidak menjaga jarak fizikal perlu diambil tindakan kerana apabila berlaku kepada kita (pemimpin kerajaan) mereka kata kita golongan kayangan.

    “Jadi saya harap tidak ada perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan. Mereka yang melakukan kesalahan perlu dikompaun dan denda,”katanya kepada pemberita di rumahnya di Ajil, malam tadi.

    Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyampaikan bantuan kepada 70 tukang gunting di kawasan berkenaan bagi meringankan bebanan golongan itu yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

    Rosol turut menyelar sikap pembangkang yang tidak menggunakan tempoh empat hari persidangan bagi menyuarakan pandangan dalam membantu rakyat dan isu Covid-19 sebaliknya mereka hanya membahaskan isu tidak penting.

    “Mereka minta Parlimen perlu bersidang untuk bincang isu Covid-19 tetapi tiada pun idea untuk atasi Covid-19. Ini bermakna mereka hanya ada agenda sendiri.

    Apabila tidak berjaya di Parlimen mereka cuba berarak di jalan raya pula,” katanya.

    Pada Isnin, ahli-ahli Parlimen pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan pukul 9.30 pagi tidak berjaya.

    Rundingan yang cuba dilakukan bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya mereka mengambil keputusan menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.