Tag: Khairy Jamaluddin

  • COVID-19: Fasa endemik dijangka bermula akhir Oktober

    COVID-19: Fasa endemik dijangka bermula akhir Oktober

    SITUASI COVID-19 di seluruh negara dijangka memasuki fasa endemik mulai akhir Oktober ini apabila kadar imuniti kelompok mencapai 80 peratus.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini Labuan dan Sarawak sudah mencapai fasa endemik, selain negara lain yang kebanyakannya sudah beralih ke fasa itu dan pengenalan norma baharu untuk hidup dengan lebih sihat serta selamat.

    Memetik laporan BH, beliau memberitahu, rakyat juga perlu menerima hakikat sekalipun negara berjaya mengawal pandemik, semua pihak perlu menerima kenyataan akan tiba masanya nanti COVID-19 menjadi endemik.

    “Berikutan itu, semua pihak perlu mengambil langkah untuk hidup bersama virus, termasuk mengambil beberapa tindakan seperti perubahan kepada tingkah laku dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berterusan.

    “Langkah ini akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka dan kehidupan penduduk negara ini dapat kembali berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.

    “Kerajaan akan umumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak dan rumit. Sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19, tindakan berikut perlu dilakukan oleh seluruh masyarakat iaitu mengamalkan norma baharu.

    “Pemakaian pelitup muka akan diteruskan dan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai perancangan untuk melonggarkan keperluan pemakaian pelitup muka,” katanya pada sidang media pertamanya di Putrajaya, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

    Khairy menambah, kementerian itu mengambil iktibar terhadap kelonggaran terhadap pemakaian pelitup muka yang diberikan di sesetengah negara yang kemudiannya terpaksa dilaksanakan semula selepas berlaku penularan varian baharu.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan penggunaan peranti digital bagi memantau individu yang pulang dari luar negara dikuarantin di kediaman masing-masing, selepas berpuas hati dengan projek rintis yang sedang dijalankan ketika ini.

    Khairy memberitahu, ketika ini, seramai 404 individu yang pulang dari luar negara dipakaikan peranti digital berkenaan.

    “Sebaik kita melepasi projek rintis ini dan berpuas hati, kita akan menggunakan pemakaian peranti digital ini kepada yang lain,” jelasnya.

  • Kabinet kemuka peletakan jawatan – Khairy

    Kabinet kemuka peletakan jawatan – Khairy

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa semua menteri Kabinet telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

    Beliau menyatakan perkara itu melalui Insta Story miliknya.

    “Kabinet telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kami kepada Agong.

    “Terima kasih sekali lagi atas peluang berkhidmat untuk negara. Semoga Tuhan memberkati Malaysia,” katanya.

    Khairy Kabinet jawatan
    Sumber: Insta Story khairykj

    Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

    Sementara itu, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali gembira dengan pencapaian eksport komoditi negara yang baik sejak beliau memegang portfolio tersebut sehingga kini.

    Menurut beliau, nilai eksport produk agrikomoditi melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding hanya RM64 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

    “Namun, terserah kepada rakyat untuk menilainya setelah bertawakal kepada Allah dengan mengharapkan reda dan ganjaran daripada-Nya.

    “Terima kasih kepada semua yang mendukung saya dalam tugasan ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Wee Ka Siong
    Gambar: Facebook Wee Ka Siong

    Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu, memegang portfolio besar di kementerian itu ketika berdepan pandemik COVID-19 pastinya sukar namun dengan semangat kerja berpasukan, ia berjalan lebih lancar dalam usaha menjadikan industri pengangkutan kekal bertahan.

    Beliau gembira dapat bekerja bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan walaupun berdepan dengan keadaan serba mencabar.

    “Saya sudah berusaha melakukan yang terbaik. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan andai ada kekurangan selama setahun, lima bulan, lima hari saya memikul tanggungjawab di Kementerian Pengangkutan,

    “Saya doakan warga Kementerian Pengankutan terus maju jaya dan berjaya menjadikan Pengangkutan Mampan Nadi Pembangunan Negara,” jelasnya.

    Sementara itu, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk berkhidmat kepada negara di bawah portfolio berkenaan.

    “Marilah kita berdoa agar negara ini terus diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.

  • PICK akan capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi bulan ini –  Khairy

    PICK akan capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi bulan ini – Khairy

    MALAYSIA berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 50 peratus penduduk dewasa melengkapkan dos suntikan vaksin pada bulan ini, demikian  menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

    Khairy berkata PICK sudah mula menunjukkan hasil positif dengan sebanyak 12 juta dos vaksin telah diberikan setakat Julai lepas, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan sejak Februari hingga Jun mencecah lebih 8 juta dos.

    “Purata kadar vaksinasi harian kita pada Julai mencecah hampir 400,000 melebihi sasaran iaitu 300,000. Kita bermula lewat sebulan berbanding negara maju seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan, namun kita telah berjaya bergerak lebih pantas,”

    “Perkembangan di negara kita ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kita berjaya merekodkan kadar vaksinasi harian melebihi setengah juta dos.

    “Ini terbukti bahawa, isu kekurangan kapasiti, sumber daya atau kompetensi bukanlah penghalang kejayaan kita ini, tetapi sebaliknya ia disebabkan oleh bekalan vaksin yang tidak konsisten akibat ketidakadilan pengagihan vaksin COVID-19 oleh negara-negara tertentu yang turut dikritik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya dalam video yang dimuat naik di Twitternya hari ini.

    Menurut Khairy, PICK juga berjaya mencapai sasaran memastikan 100 peratus individu dewasa di Lembah Klang menerima sekurang-kurangnya suntikan satu dos vaksin, melalui Operasi Lonjakan Kapasiti atau Operation Surge Capacity yang melibatkan jumlah kadar purata vaksinasi harian sebanyak 235,000 dos sepanjang program berkenaan.

    Oleh itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap dapat melihat perubahan dalam bilangan kemasukan pesakit ke hospital dan kes kematian di Lembah Klang dalam tempoh beberapa minggu lagi apabila lebih ramai individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

    Khairy berkata, Malaysia kini telah mencapai lebih 40 peratus populasi dewasa yang menerima dua dos suntikan vaksin dan lebih 50 peratus jumlah populasi negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 81 peratus daripada individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Dalam video tersebut, Khairy turut menyebut mengenai keberkesanan PICK di Labuan dengan 60 peratus daripada jumlah penduduknya telah melengkapkan suntikan vaksin, sementara Sarawak mencapai 56 peratus.

    Oleh itu, sejak awal Julai lepas, pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) telah berkurangan sebanyak 60 peratus di Sarawak dan hampir 100 peratus di Labuan, manakala data penting lain termasuk kematian dan kemasukan kes serius ke hospital juga menunjukkan trend yang menurun.

    “Kita menyedari bahawa varian Delta tersebar luas di Sarawak dan Labuan, namun Alhamdulillah, vaksin telah mempunyai kesan yang diharapkan untuk mengurangkan tahap keparahan COVID-19,” katanya.

    Khairy juga menggesa agar lebih ramai pekerja asing dan migran untuk mendapatkan vaksin dan PICK akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk menyuntik vaksin kepada komuniti pelarian dengan vaksinasi mereka tidak lama lagi, manakala individu di penjara dan pusat tahanan juga akan divaksinasi dalam tempoh beberapa minggu lagi.

    “Prestasi kita pada Julai amat memberangsangkan dan kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pada Ogos. Kita perlu bekerja keras untuk memastikan sebanyak mungkin individu divaksin secepat mungkin agar negara kembali pulih, rakyat dapat menjalani kehidupan normal dan aktiviti ekonomi dibuka semula dengan lebih giat.

    “Saya tidak akan berhenti sehingga setiap individu dewasa melengkapkan dos suntikan vaksin mereka pada hujung Oktober ini. Itu adalah janji saya kepada anda. Saya harap saya dapat mencapainya,” katanya.- BERNAMA

  • PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

    Khairy berkata kaedah ini dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    “Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh @JKJAV tentang bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan selari dengan pekeliling @DGHisham dan garis panduan klinikal terkini,” kata Khairy menerusi satu ciapan di laman Twitter.- BERNAMA

  • Johor terima dua juta dos vakin bulan ini – TMJ

    Johor terima dua juta dos vakin bulan ini – TMJ

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, negeri ini akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.

    Menurut Tunku Ismail, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Royal Johor Polo Club di sini hari ini.

    “Pertemuan ini mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor dan hasil perbincangan ini, Johor akan menerima sebanyak dua juta dos vaksin untuk bulan ini.

    “Dos vaksin ini tiba pada 1 Ogos berjumlah 324,940 dos, pada 9 Ogos (564,234 dos); 16 Ogos (340,150 dos) dan 23 Ogos (796,344 dos),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Hadir sama dalam pertemuan itu Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Tunku Ismail juga sudah mengarahkan kerajaan negeri untuk membuka satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu khas di Arena Larkin di sini bagi memudahkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapatkan dos vaksin mereka.

    “Semoga pengumuman ini akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa yang terdekat,” kata Tunku Ismail. – SB

  • Vaksinasi warga emas secara datang terus diperluas ke seluruh negara

    Vaksinasi warga emas secara datang terus diperluas ke seluruh negara

    VAKSINASI secara datang terus bagi warga emas yang belum mendapat tarikh temujanji akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu depan.

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, ini selepas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan kaedah datang terus bagi warga emas yang dilaksanakan di Lembah Klang ke semua negeri.

    Namun beliau menjelaskan, pengumuman dan butiran lanjut mengenai perkara itu akan dibuat oleh badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri.

    “Inisiatif itu membabitkan warga emas di luar Lembah Klang yang belum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan PICK secara maya, hari ini.

    Mengulas lanjut Khairy berkata, ada negeri sudah memulakan inisiatif itu dan ada juga negeri yang sudah bersedia.

    “Pengumuman akan dibuat oleh CITF peringkat negeri. Di peringkat Persekutuan, negeri (luar Lembah Klang) sudah boleh mulakan pemberian vaksin untuk warga emas belum terima dos pertama.

    “Kita sudah serahkan dan turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk buat pengumuman,”katanya.

    Sementara itu, Khairy berkata, setakat ini program vaksinasi yang dijalankan di peringkat nasional secara keseluruhannya telah mencapai tahap 95 peratus bagi warga emas yang telah berdaftar di mana kesemua mereka telah mendapatkan suntikan vaksin.

  • PPV tanpa janji temu buat individu 40 tahun ke atas, komorbiditi di Lembah Klang 2 Ogos

    PPV tanpa janji temu buat individu 40 tahun ke atas, komorbiditi di Lembah Klang 2 Ogos

    PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) secara terus tanpa janji temu atau walk-in di Lembah Klang akan memulakan operasi pada 2 Ogos ini khusus buat golongan 40 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi.

    Namun tidak semua PPV boleh menerima individu tanpa janji temu kerana senarai premis dibenarkan hanya akan dikeluarkan oleh Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bukan semua PPV menerima individu tanpa janji temu itu.

    Katanya, senarai PPV yang dibenarkan akan dikeluarkan dalam masa terdekat hari ini menerusi siaran media CITF bagi mengelakkan daripada masalah berita palsu.

    “Saya harap mereka yang menerima mesej tular di WhatsApp berkenaan senarai PPV dengan vaksin tertentu untuk walk-in itu adalah tidak benar.

    “Bagi walk-in kaedah adalah first come first serve atau siapa dulu dia dapat. Ia bergantung kepada kapasiti PPV itu,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai yang datang un tuk vaksinasi tanpa janji temu di PPV akan dimaklumkan mengenai berapa ramai atau kapasiti sehari untuk imunisasi.

    Ujar beliau, mereka yang tidak dapat suntikan vaksin akan diberikan keutamaan pada keesokan harinya dan ia menjadi kaedah pelaksanaan PPV walk-in bagi Lembah Klang dan perinciannya nanti akan diedarkan kenyataan media.

    “PPV yang terbabit juga akan mengutamakan individu yang sudah mempunyai janji temu untuk suntikan vaksin,” jelasnya.

    Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, kaedah walk-in untuk PPV ditetapkan juga akan dibuka kepada 18 tahun ke atas bermula 5 Ogos ini.

    “Jadi ditegaskan sekali lagi vaksinasi di Lembah Klang, apabila kita selesai Operasi Lonjakan Kapasiti pada 1 Ogos seterusnya pada 2 Ogos akan dimulakan dengan vaksinasi secara walk-in di Lembah Klang bukan esok (1 Ogos),” tambahnya.