Tag: KFA

  • Sanusi ‘sindir’ JDT, dakwa pemain JDT tak pandai cakap Johor

    Sanusi ‘sindir’ JDT, dakwa pemain JDT tak pandai cakap Johor

    BERIKUTAN kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas pencapaian itu.

    Bagaimanapun, ucapan tahniah Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu dilihat ‘sinis’ kerana seakan menyindir skuad Harimau Selatan berkenaan.

    Umum mengetahui kelab yang memegang rekod juara Liga Super lapan kali itu dibarisi dengan ramai pemain naturalisasi dalam kesebelasan utamanya.

    “Tahniah JDT menang Piala FA semalam..sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” kata Sanusi di Facebook hari ini.

    Bagaimanapun hantaran itu menyebabkan akaun Facebook Sanusi ‘diserang’ warganet termasuk mereka yang menyindir pasukan dari selatan tanah air tersebut.

    Malam tadi, JDT menjulang Piala FA buat kali kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

    Kemenangan JDT selepas 2016 itu turut menyaksikan hasrat TFC untuk menamatkan penantian 11 tahun tidak kesampaian selepas kali terakhir skuad Penyu menjuarai Piala FA pada 2011.

    Sebelum itu, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri menerusi hantaran di media sosial beliau mendedikasikan kejayaan menjulang Piala FA kepada Menteri Besar Kedah berkenaan.

    “Ini untuk sahabat, Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan ada. Nikmati piala ini,” tulisnya.

    Sebelum perlawanan akhir berlangsung, tular di media sosial klip video berdurasi 21 saat memaparkan Sanusi menggayakan jersi TFC dalam satu majlis menjelang aksi final Piala FA.

    Namun video itu mengundang pelbagai reaksi warganet di sebalik penjelasan Sanusi bahawa sokongan tersebut adalah disebabkan isterinya berasal dari negeri Pantai Timur berkenaan.

  • Tunggakan cukai KFA kini mencecah RM10 juta

    Tunggakan cukai KFA kini mencecah RM10 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tunggakan cukai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini mencecah RM10 juta setelah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan semakan semula terhadap perkara itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, pada awalnya KFA sudah pun menerima tuntutan notis LHDN berjumlah RM3.4 juta merangkumi tunggakan antara tahun 2016 hingga 2019.

    “Setelah menerima tuntutan tersebut, pengurusan baharu KFA memberi komitmen untuk membayarnya. Malah LHDN juga setuju agar KFA membayar secara berjadual untuk tempoh tertentu.

    “Namun selepas itu LHDN telah melakukan semakan semula dan mendapati terdapat tunggakan sejak 2014. Tunggakan untuk 2014 hingga 2019 itu berjumlah lebih RM10 juta,” katanya dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Tambahnya, tunggakan itu meliputi potongan cukai untuk pemain-pemain import terdahulu.

    Mengulas lanjut katanya, tunggakan tersebut meliputi potongan cukai untuk pemain-pemain import terdahulu.

    “Oleh itu Menteri Besar yang juga Presiden KFA telah menyatakan kita akan bincang dengan LHDN untuk beri komitmen sebaik mungkin memandangkan kita bukan ada satu kewangan kukuh.

    “Isu ini berlarutan sejak 2014. Justeru perbincangan akan dilakukan untuk dapatkan keputusan baik, bagi memastikan masalah ini tidak berlanjutan hingga membebankan pengurusan baharu pada masa depan,” katanya.