BERIKUTAN kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas pencapaian itu.

Bagaimanapun, ucapan tahniah Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu dilihat ‘sinis’ kerana seakan menyindir skuad Harimau Selatan berkenaan.

Umum mengetahui kelab yang memegang rekod juara Liga Super lapan kali itu dibarisi dengan ramai pemain naturalisasi dalam kesebelasan utamanya.

“Tahniah JDT menang Piala FA semalam..sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” kata Sanusi di Facebook hari ini.

Bagaimanapun hantaran itu menyebabkan akaun Facebook Sanusi ‘diserang’ warganet termasuk mereka yang menyindir pasukan dari selatan tanah air tersebut.

Malam tadi, JDT menjulang Piala FA buat kali kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan JDT selepas 2016 itu turut menyaksikan hasrat TFC untuk menamatkan penantian 11 tahun tidak kesampaian selepas kali terakhir skuad Penyu menjuarai Piala FA pada 2011.

Sebelum itu, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri menerusi hantaran di media sosial beliau mendedikasikan kejayaan menjulang Piala FA kepada Menteri Besar Kedah berkenaan.

“Ini untuk sahabat, Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan ada. Nikmati piala ini,” tulisnya.

Sebelum perlawanan akhir berlangsung, tular di media sosial klip video berdurasi 21 saat memaparkan Sanusi menggayakan jersi TFC dalam satu majlis menjelang aksi final Piala FA.

Namun video itu mengundang pelbagai reaksi warganet di sebalik penjelasan Sanusi bahawa sokongan tersebut adalah disebabkan isterinya berasal dari negeri Pantai Timur berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here