Tag: Kementerian Pendidikan

  • Sekolah daif Sabah: JKR jangan terlalu tegar

    Sekolah daif Sabah: JKR jangan terlalu tegar

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang dan akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di peringkat kerajaan negeri bagi menangani isu projek naik taraf sekolah daif di Sabah yang belum dapat dimulakan akibat masalah tanah.

    Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata hal ini memandangkan isu tanah adalah antara kekangan bagi memulakan pembinaan sesuatu projek naik taraf atau membina sekolah baharu disebabkan ketidakcukupan saiz tapak berdasarkan reka bentuk Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Beliau memberi contoh, keperluan tapak tanah ditetapkan JKR bagi membina sesebuah sekolah rendah adalah seluas enam ekar manakala sekolah menengah sebanyak 10 ekar, namun disebabkan saiz tanah yang kecil menyebabkan projek naik taraf sekolah daif tidak dapat dimulakan.

    “Terdapat 31 daripada 270 sekolah yang telah diluluskan peruntukan untuk projek naik taraf sekolah daif bagi tempoh 2016 hingga 2020 masih belum dapat disiapkan atau dimulakan berikutan beberapa masalah berkaitan antaranya isu tanah,” katanya kepada Bernama di Bangunan Parlimen.

    MOHAMAD ALAMIN

    Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis turut meminta JKR agar tidak terlalu tegar dalam aspek reka bentuk sekolah yang telah ditetapkan kerana dikhuatiri akan melambatkan lagi projek yang telah dirancang.

    “Kalau nak tunggu tanah enam ekar, tunggu tanah 10 ekar sampai bila nak dapat. Berbanding bina bangunan di atas tanah, kenapa tidak bina bangunan tinggi, mungkin dua tingkat setengah,” katanya.

    Pemilihan projek sekolah daif dibuat berdasarkan keadaan fizikal bangunan sekolah, sama ada tidak sempurna, tidak berfungsi, atau tidak selamat digunakan, dengan KPM menggunakan tanda aras berdasarkan sistem skala iaitu skala satu hingga hingga tujuh. Skala tujuh merujuk keadaan bangunan yang paling tidak selamat.

    Mengulas isu kekurangan guru di Sabah, Mohamad berkata buat masa ini terdapat beberapa perancangan KPM bagi mengatasinya, antaranya melalui keutamaan penempatan anak jati Sabah sebagai guru di negeri itu, selain pengambilan guru secara one-off dan kontrak untuk perkhidmatan.

    “Daripada 18,000 guru one-off yang akan diambil seluruh negara, saya minta keutamaan juga diberikan kepada Sabah dan Sarawak, kalau boleh 50 peratus,” katanya. – BERNAMA

  • KPM sediakan manual operasi penggiliran PdP

    KPM sediakan manual operasi penggiliran PdP

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyediakan manual pengoperasian pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara penggiliran sebagai panduan kepada guru besar, guru, pelajar, ibu bapa serta penjaga.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, manual berkenaan adalah bagi memastikan PdP secara penggiliran dapat dilaksanakan dengan baik sebaik sekolah dibuka mulai 3 Oktober ini.

    “Sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran hadir ke sekolah.

    “Kemudian, guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan ketika menjalani PdP di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu, dalam sesi soa jawab lisan, beliau memberitahu, sebanyak 10,214 sekolah di seluruh negara dilengkapi capaian jalur lebar internet dengan kelajuan 30 hingga 100 megabit sesaat (Mbps).

    Radzi menambah, jumlah itu termasuk 141 sekolah pedalaman yang dibekalkan dengan talian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30 Mbps mulai Mac lalu.

    “Dalam usaha memastikan capaian Internet di sekolah terus dipertingkatkan, KPM bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.

    “Ini termasuk penyediaan rangkaian bersepadu KPM yang berlandaskan tiga prinsip utama iaitu bersesuaian dengan tujuan, kekal relevan pada masa hadapan dan penyelesaian yang holistik,” jelasnya.

  • Benarkan hanya pelajar lengkap vaksinasi ke sekolah

    Benarkan hanya pelajar lengkap vaksinasi ke sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan disarankan supaya hanya membenarkan pelajar tahun peperiksaan yang telah melengkapkan dos vaksin sahaja untuk bersekolah semula pada 3 Oktober ini.

    Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, selain itu, mereka juga mesti telah melepasi tempoh 14 hari selepas tarikh melengkapkan vaksinasi.

    Beliau turut mencadangkan agar sekolah dibuka semula untuk pelajar-pelajar tahun peperiksaan yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di seluruh negara tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    pelajar perkara
    ANUAR AHMAD

    “Semua guru yang mengajar tahun peperiksaan, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan sekolah dan pemandu bas telah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari vaksinasi kedua.

    “Semua ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan murid-murid tahun peperiksaan telah lengkap dua doktor vaksin dan melepasi 14 hari vaksinasi kedua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar menambah, sebelum sekolah dibuka semula, Kementerian Pendidikan seharusnya telah selesai membentangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan secara terperinci, jelas dan mudah difahami oleh semua pihak.

    Menurut beliau, SOP tersebut merangkumi keluarga pelajar, perjalanan pergi dan balik sekolah serta peraturan di dalam kawasan sekolah.

    “Murid-murid lain (bukan tahun peperiksaan) boleh teruskan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga hujung tahun ini atau sehingga kes baharu Covid-19 turun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh Kementerian Kesihatan di negeri-negeri berkaitan.

    “Bagi guru-guru yang berkeras tidak mahu vaksin, mereka bolehlah diarahkan mengajar secara PdPR pada pelajar bukan tahun peperiksaan,” jelasnya.

    Hari ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan, kementeriannya bersetuju untuk membuka semula sekolah di Labuan mulai 3 Oktober dengan fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan 5 dan 6.

    Beliau berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan jangkitan COVID-19 yang dapat dikawal.

  • Guru antivaksin tetap bertugas, bukan duduk goyang kaki

    Guru antivaksin tetap bertugas, bukan duduk goyang kaki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    WALAUPUN guru-guru yang menolak vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka, itu tidak bermakna mereka boleh goyang kaki sahaja.

    Sebaliknya, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kira-kira 2,500 guru terbabit akan diberi tugasan-tugasan lain di sekolah.

    Sehubungan itu beliau berkata, dakwaan yang mengatakan guru-guru tersebut hanya akan goyang kaki dan dibenarkan bekerja dari rumah adalah tidak benar.

    “Kalau ada yang mengatakan mereka tak ada kerja hendak dibuat, itu tak betul.

    “Di sekolah ada banyak perkara lain yang perlu dilaksanakan dan mereka akan diberi tugasan itu.

    “Itu tindakan segera di pihak kementerian. Pada masa sama, kami juga sebenarnya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan selanjutnya terhadap guru-guru ini selaku penjawat awam,” katanya.

    Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Haji Nyak Gam di Yan, Kedah hari ini.

    Semalam Radzi mengumumkan, guru-guru yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 ataupun antivaksin tidak akan dibenarkan mengajar, berinteraksi atau bersama murid dalam kelas menjelang pembukaan sekolah bulan depan.

    Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga akan mengeluarkan garis panduan kepada guru terlibat mengenai tugas sesuai bakal dilakukan mereka apabila tidak boleh mengajar di kelas.

    Radzi juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan guru-guru terlibat selepas ini bagi bagi membincangkan perkara itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, inisiatif Kementerian Pendidikan untuk bertanya kepada ibu bapa mengenai kebenaran untuk pemberian vaksin kepada pelajar sekolah baru-baru ini hanyalah satu bentuk kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal mengenai pekrara itu.

    Beliau menambah, kaji selidik itu masih dilaksanakan kini dan kementerian dijangka akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat.

    “Itu bukan satu arahan sebaliknya kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF),” jelasnya.

    Radzi berkata, hasilnya akan diketahui dalam masa terdekat dan secara keseluruhannya, Kementerian Pendidikan hanya ingin melihat secara umum gambaran awal dari ibu bapa berkaitan vaksinasi.

  • Peruntukan RM2.4 juta baiki 4 sekolah dilanda kepala air

    Peruntukan RM2.4 juta baiki 4 sekolah dilanda kepala air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERUNTUKAN sebanyak RM2.4 juta akan disalurkan oleh Kementerian Pendidikan bagi membaik pulih dan menggantikan aset di empat sekolah yang terjejas akibat fenomena aliran debris di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, empat sekolah yang menerima peruntukan itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) York Khoon dan SK Haji Nyak Gam.

    “Insya-Allah kita akan pastikan pelaksanaan projek kecil ini dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan sekolah-sekolah terlibat berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk menerima murid apabila sekolah dibuka nanti.

    “Berdasarkan pemantauan hari ini, kita yakin sekolah-sekolah ini dapat kembali dipulihkan sebelum tarikh pembukaan sekolah nanti,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Haji Nyak Gam di Yan, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berharap orang ramai tidak terkeliru dengan kenyataannya semalam mengenai pembukaan sekolah yang akan bermula pada 3 Oktober ini.

    “Apabila saya katakan demikian, ramai yang anggap semua sekolah akan dibuka pada 3 Oktober. Itu tak betul kerana pembukaan sekolah ini akan dibuat mengikut fasa serta berperingkat dengan kami akan kembali berbincang bersama Kementerian Kesihatan selepas ini.

    “Daripada situ kita akan tetapkan kaedahnya untuk negeri di fasa satu, dua, tiga dan empat.

    “Semua itu akan dijelaskan satu per satu selepas ini kerana kita memiliki pelan komprehensif merangkumi prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan,” jelasnya.

    Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak terlibat untuk mendapatkan input-input berkaitan.

    “Hasil daripada sesi libat urus itu nanti akan dibawa dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. Segala kaedah dan prosedurnya nanti akan saya umumkan dalam satu sidang khas nanti,” ujarnya.

  • Kementerian Pendidikan perlu utamakan 3 perkara penting

    Kementerian Pendidikan perlu utamakan 3 perkara penting

    KEMENTERIAN Pendidikan seharusnya memberi keutamaan terhadap tiga perkara penting dalam masa 100 hari pertama di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

    Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, bagi perkara pertama, data dan sains mestilah menjadi hujah dalam membuat semua keputusan dasar pendidikan dan bukan lagi sekadar hujah politik.

    Menurut beliau, setiap keputusan mestilah disokong dengan data kajian dan pandangan pakar berwibawa.

    “Walaupun keputusan mungkin tidak popular tidak mengapa, asalkan keputusan tersebut dibolehkan diyakini, tepat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas pembentukan Kabinet baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

    Menyentuh tentang perkara kedua, Anuar menambah, Kementerian Pendidikan perlu melibatkan lebih ramai pakar pendidikan dan pakar kesihatan dalam sesi perbincangan dasar kementerian sebelum membuat keputusan.

    Beliau memberitahu, langkah itu bertujuan supaya pertimbangan lebih menyeluruh dan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terkesan dalam sektor pendidikan.

    Perkara ketiga, kata Anuar, Kementerian Pendidikan perlu melibatkan secara aktif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan khususnya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dalam sesi merumuskan keputusan KPM.

    Menurut beliau, dengan cara itu, rakyat dapat melihat usaha kebersamaan yang erat antara Kementerian Pendidikan dengan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.

    Anuar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Kanan Pendidikan.

    “Pelantikan ini adalah diperlukan dalam keadaan semasa bagi memastikan semua perancangan dan keputusan Kementerian Pendidikan yang telah dibuat sebelum ini dapat diteruskan dengan segera khususnya persediaan pembukaan sekolah pada 3 Oktober 2021.

    “Semoga semua perancangan Kementerian Pendidikan yang telah dirancang sebelum ini dapat digerakkan dengan segera demi kebaikan pendidikan anak-anak kita,” jelasnya.

  • Kementerian Pendidikan tangguh buka sekolah 3 Okt

    Kementerian Pendidikan tangguh buka sekolah 3 Okt

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini kepada 3 Oktober.

    Beliau membuat pengumuman tersebut melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook, hari ini.

    Radzi memberitahu, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.

    Menurut beliau, pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

    “Perincian pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diperincikan dan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

    “Namun, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN.

    “Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang pembukaan semula sekolah,” katanya.

    Radzi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan anak-anak dan kebimbangan ibu bapa.

    “Bagi negeri-negeri Fasa 2 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan sahaja.

    “Negeri Fasa 3 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan dan murid-murid lain,” jelasnya.

    Bagaimanapun, Radzi berkata, bagi negeri Fasa 2 dan 3 pula, pembukaan sekolah dibenarkan selepas penilaian risiko penularan wabak di negeri berkenaan.

    Sebelum ini, orang ramai khususnya ibu bapa menyuarakan kebimbangan tentang perancangan Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah secara berperingkat mulai 1 September ekoran situasi COVID-19 yang masih belum reda.