Tag: Kemalangan

  • Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

    Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

    NURUL Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan malam tadi, baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lepas.

    Bapa Allahyarham, Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang masih terkejut dengan pemergian anak keempatnya itu, berkata arwah merancang untuk turut pergi menunaikan ibadah itu setelah mengetahui hasratnya dan isteri Saliah Hood, 56, yang mahu ke Tanah Suci.

    “Rasanya empat hingga lima bulan juga dia dan ibunya merancang serta menguruskan perjalanan umrah kami. Baru kini kami dapat pergi memandangkan arwah pun baru tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang. 

    “Alhamdulillah impian dia nak pergi umrah tercapai. Ketika di Tanah Suci, arwah dan suaminya paling muda jadi merekalah yang banyak membantu kami semua. Dia pun ke Tanah Suci sebagai ikhtiar dan berdoa untuk dapatkan zuriat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lukut, dekat sini hari ini.

    Menurutnya lagi Nurul Nazihah, 28, baru sahaja kembali bekerja dua hari lepas dan ada memaklumkan untuk balik ke rumahnya (Kamalul) minggu depan. 

    Kamalul berkata meskipun sedih dengan pemergiaan anaknya itu, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jasad anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.

    “Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama,” katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.

    Sementara itu, sepupu kepada suami mangsa, Nurizzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata suami mangsa, Redzuan Jamil masih trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau bertanya tentang isterinya malam tadi.

    Katanya sepupunya itu ada bercerita bahawa ketika kejadian dia berusaha menyelamatkan Nurul Nazihah atau lebih mesra dipanggil Azi, yang tersepit tetapi gagal sehingga orang awam bertindak menyelamatkan Redzuan melalui pintu belakang kereta.

    “Saya memang tak sangka sebab Azi seorang yang periang, kelakar dan suka ambil gambar atau video” katanya.

    Terdahulu, tinjauan Bernama di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati ia dipenuhi dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dalam suasana hiba. 

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, dekat sini sebaik sahaja jenazah tiba dan disembahyangkan.

    Terdahulu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak pada 7.47 malam tadi.

    Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. – BERNAMA

  • Kanak-kanak dua tahun antara tiga sekeluarga maut kemalangan

    Kanak-kanak dua tahun antara tiga sekeluarga maut kemalangan

    KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di Kilometer 44.5 Jalan Muar-Segamat, dekat sini, petang semalam. 

    Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian melibatkan dua kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan kelabu serta sebuah kereta Mazda itu pada 3.50 petang. 

    Beliau berkata Aarish Ammar Harunarashid, meninggal dunia di Hospital Tangkak manakala ibunya, Nor Haliza Hamzah, 36, dan neneknya Siti Fatimah Ladri, 71, maut di tempat kejadian.

    Bapa kanak-kanak itu, Harunarashid Ghazali, 34, cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi berwarna hitam dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Tangkak menghala ke Segamat, dilanggar Perodua Myvi warna kelabu (arah bertentangan) yang mahu memotong sebuah kenderaan lain di hadapan, sebelum terbabas lalu masuk ke gaung.

    “Kereta dinaiki empat sekeluarga itu kemudian dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Mazda yang cuba mengelak namun terlanggar bahagian belakang kereta mereka,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini. 

    Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta Myvi kelabu serta pemandu Mazda dilaporkan selamat.

    Proses bedah siasat jenazah ketiga-tiga mangsa dilakukan di Hospital Tangkak dan kes disiasat lanjut mengikut  Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II K. Kumar berkata pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan Siti Fatimah yang tersepit di dalam kereta manakala Nor Haliza dikeluarkan oleh orang awam sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan. 

    Beliau berkata operasi menyelamat yang melibatkan 15 anggota berserta dua jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) tamat sepenuhnya kira-kira 4.40 petang. – BERNAMA 

  • 2 jemaah umrah maut, 18 cedera bas bertembung lori

    2 jemaah umrah maut, 18 cedera bas bertembung lori

    SEKURANG-kurangnya dua jemaah umrah Oman maut, manakala 18 lagi cedera dalam kemalangan sebuah bas berhampiran Taif di Arab Saudi ketika dalam perjalanan ke Mekah.

    Saudi Gazette melaporkan, bas membawa jemaah umrah itu bertembung dengan sebuah lori di Lebuhraya Riyadh-Taif pada petang Rabu.

    Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi di Mekah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kemalangan di lebuh raya Riyadh-Taif selepas Jambatan Nasayef menghala ke Taif.

    Bertindak atas laporan itu katanya, 11 anggota pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian dengan ambulans dan menjalankan misi menyelamat.

    “Dua jemaah meninggal dunia di tempat kejadian manakala jemaah yang cedera dibawa ke hospital,” katanya.

    Dalam pada itu, kedutaan Kesultanan Oman di Riyadh mengesahkan penyelarasan sedang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Oman di Jeddah dan pihak berkuasa Saudi yang berkaitan untuk segera menyelesaikan prosedur penghantaran pulang jenazah ke negara itu.

    Pada masa sama, pihak kedutaan akan memastikan rawatan dan perubatan terbaik untuk mangsa cedera.

    Pihak Kedutaan Oman dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga jemaah yang meninggal dunia dan berharap mangsa yang cedera segera pulih.

  • Van rempuh majlis perkahwinan, 2 maut 10 lagi cedera

    Van rempuh majlis perkahwinan, 2 maut 10 lagi cedera

    DUA orang maut manakala sepuluh lagi cedera apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita merempuh sebuah majlis perkahwinan di Vancouver, lapor Sputnik.

    Insiden tragis itu berlaku sekitar pukul 6.10 petang waktu tempatan pada Sabtu (01:10 GMT pada Ahad), menurut media Canada CTV memetik Perkhidmatan Kesihatan Kecemasan British Columbia.

    Menurut jurucakap polis Vancouver Barat Konstabel Nicole Braithwaite,  seorang wanita berusia lewat 60-an, memandu kenderaan di laluan masuk, kemudian memecut dan merempuh orang ramai”.

    Dua orang maut akibat insiden itu manakala 10 yang lain dibawa ke hospital (dua dalam keadaan kritikal).

    Wanita itu turut dibawa ke hospital, tetapi tidak berada dalam tahanan polis setakat Ahad.

    Siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan.- BERNAMA

  • Wanita rentung kereta terbakar dalam kemalangan

    Wanita rentung kereta terbakar dalam kemalangan

    SEORANG wanita rentung selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu 5 tan di Kampung Gong Batu di sini petang tadi.

    Insiden pada 5.35 petang itu menyaksikan Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, ditemukan dalam keadaan rentung akibat kebakaran tersebut manakala manakala pemandu Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian leher.

    Ketua Polis  Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata pemandu lori turut cedera di bahagian leher manakala dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu lori memberi isyarat untuk membelok ke kanan jalan dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja di Besut, ketika tiba di lokasi kejadian.

    “Tiba-tiba datang kereta Perodua Kelisa dari arah sama cuba memotong namun gagal lalu melanggar bahagian kanan lori menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar,” katanya.

    Beliau berkata mangsa lain berjaya keluar dari kenderaan masing-masing kecuali Nurul Emylia Natasha yang berasal dari Kampung Pulau Lima,  Pasir Puteh, Kelantan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Seorang saksi, Abd Muhaimi Ab Halim, 34, berkata selepas Perodua Kelisa mula terbakar di bahagian hadapan, orang awam dilihat mengeluarkan pemandu kereta itu.

    Beliau berkata beberapa pengguna jalan raya pada awalnya cuba menyelamatkan Nurul Emylia Natasha namun gagal membuka pintu di bahagian penumpang hadapan kerana ketika itu api semakin marak.

    “Selepas itu, saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain cuba menghampiri semula kereta yang sedang terbakar untuk mengeluarkan mangsa tetapi bunyi api sangat kuat dan semakin marak.

    “Saya cuba mendapatkan pemadam api daripada pengguna jalan raya lain namun tiada seorang pun mempunyai alat tersebut. Jadi kami hanya berserah kepada Allah dan berasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa,” katanya. -BERNAMA

  • Terbabit kemalangan semasa lintas jalan, budak 3 tahun patah tulang

    Terbabit kemalangan semasa lintas jalan, budak 3 tahun patah tulang

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun patah tulang selangka dan luka di bahagian badan apabila melanggar sisi depan sebuah kereta di Jalan Wakaf Aik, Bachok, Kelantan petang semalam.

    Memetik Astro Awani, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Muhamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu turut menyebabkan kemalangan antara kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Exora.

    Menurutnya, kejadian berlaku apabila kanak-kanak lelaki berkenaan melintas jalan dan pada masa sama, sebuah Proton Exora datang dari Jalan Besut menghala Pengkalan Chepa, manakala Perodua Myvi datang dari arah bertentangan.

    “Ketika kanak-kanak berkenaan melintas, pemandu Proton Exora mengelak dan memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar Perodua Myvi di laluan bertentangan.

    “Ia menyebabkan kanak-kanak berkenaan merempuh sisi kanan Proton Exora berkenaan. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Muhamad Ismail berkata, kanak-kanak berkenaan ditemani seorang lelaki dewasa yang memimpinnya, namun mangsa dikatakan merentap tangannya dan terlepas dari genggaman sebelum berlari melintas jalan.

    Kedua-dua kenderaan berkenaan mengalami kerosakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.

  • Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 22 orang terbunuh dan 33 lagi cedera dalam nahas jalan raya apabila sebuah bas dan trak bertembung di Wilayah Minya di selatan Mesir, dalam kejadian pada Selasa.

    “Sebuah bas penumpang dari wilayah selatan Sohag dalam perjalanan ke Kaherah telah merempuh belakang trak yang berhenti di tepi jalan,” kata Gabenor Osama Al Qady kepada Xinhua.

    Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital berdekatan.

    Nahas berlaku kira-kira 200 kilometer dari Kaherah.

    Kemalangan jalan raya banyak berlaku di Mesir kerana infrastruktur jalan raya tidak diselenggara dengan baik selain penguatkuasaan lemah peraturan lalu lintas.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah meningkatkan perkhidmatan rangkaian jalan rayanya, membina jalan dan jambatan baharu serta membaiki jalan lama untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Nenek jatuh dari bangunan 21 tingkat, tetapi selamat

    [VIDEO] Nenek jatuh dari bangunan 21 tingkat, tetapi selamat

    Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

    SEORANG wanita berusia 55 tahun berpantang maut sebelum ajal selepas terjatuh dari sebuah pangsapuri setinggi 21 tingkat, lapor media tempatan.

    Wanita itu tergelincir ketika menyidai pakaian di balkoni rumahnya di Gading Nias, Kelapa Gading, Jakarta Utara, di Jakarta pada Khamis.

    Wanita terbabit mengalami patah tangan kiri, dan bumbung parkir kereta rosak akibat insiden itu.

    Ketua Polis Daerah Kelapa Gading, Vokky Sagala berkata, wanita itu masih memberi respons ketika dalam perjalanan ke hospital.

    “Kejadian berlaku kira-kira 3 petang. Penduduk setempat segera membawanya ke Hospital Gading Nias.

    “Dia kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

    Pihak polis sedang menyiasat kejadian itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 lelaki maut dilanggar lori semasa tukar tayar

    [VIDEO] 2 lelaki maut dilanggar lori semasa tukar tayar

    DUA lelaki maut termasuk seorang penyelia Kementerian Kesihatan yang bertugas di Seremban, Negeri Sembilan selepas dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur sekitar 4 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang menghala ke Kuala Lumpur itu melihat orang ramai termasuk dua mangsa tersebut berada di bahu jalan kerana terdapat sebuah kereta pancit.

    “Susulan itu pemandu lori berkenaan telah cuba mengelak daripada melanggar mereka dengan melorongkan lorinya ke lorong kanan jalan namun dalam keadaan titik buta, dia tidak menyedari sebuah kereta Mercedez datang dari arah belakang.

    “Seterusnya pemandu lori itu cuba untuk mengelak kereta tersebut lalu melanggar kedua-dua mangsa yang berada di bahu jalan itu. Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa yang berusia 55 dan 40 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    https://www.tiktok.com/@majoritiofficial/video/7104864050281975067?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=langgar%20lori%20tukar%20tayar&t=1654230335827

    Ramli berkata, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • 2 kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta dan treler

    2 kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta dan treler

    DUA beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kampar awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tapah.

    Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah treler kira-kira 2.30 pagi.

    “Kereta itu dinaiki enam orang iaitu empat beradik serta bapa mangsa dan seorang wanita dipercayai tunang kepada bapa mangsa. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menghantar kesemua adik beradik itu ke rumah ibu mereka.

    “Bapa mangsa Jaafar Ahmad, 49, mengalami kecederaan di kaki kanan manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia 14 dan enam tahun hanya cedera ringan dan wanita berusia 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Nazri berkata, pemandu treler berumur 47 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA